Atopic Ekzema
Apakah itu Atopic Eczema/Dermatitis?
Terdapat ramai penghidap penyakit kulit Atopic Eczema Pesakitakan merasa gatal disebabkan oleh proses inflamasi pada kulit yang kronik dan berulang-ulang. Ruam-ruam merah yang gatal (kadang-kadang timbul gelembung-gelembung kecil berisi air pada kulit bayi) akan menjadi semakin tebal apabila digaru berulang kali. Atopic Eczema juga di gelar Atopic Dermatitis. Penyakit kulit ini sering di kaitkan dengan penyakit alahan lain pada seseorang individu atau ahli keluarga yang mempunyai kecenderungan transmisi secara genetik. Penyakit-penyakit tersebut adalah asma (lelah), resdung (allergic rhinitis), konjuktivitis atau alahan kepada debunga. Ia bukanlah sejenis penyakit berjangkit; seseorang tidak akan mendapat Atopic Eczema dengan menyentuh kulit kanak-kanak atau orang dewasa yang menghidapi penyakit tersebut.
Bagaimanakah rupa Atopic Eczema?
Atopic Eczema biasanya bermula ketika seseorang itu masih bayi atau kanak-kanak. Walau bagaimanapun, terdapat juga kes-kes di mana ia bermula apabila seseorang itu sudah dewasa. Penyakit kulit ini melibatkan kedua-dua jantina. Semasa bayi, bahagian kulit yang kerap terlibat adalah kawasan muka, lengan dan kaki. Bagi kanak-kanak pula, kawasan lipatan badan seperti lipatan lengan, belakang lutut dan leher sering terlibat. Penyakit ini, juga boleh melibatkan pergelangan tangan, tapak tangan, pergelangan kaki dan tapak kaki. Bagi pesakit dewasa, penyakit ini juga kebiasannya melibatkan lipatan badan. Namun, hampir keseluruhan kulit boleh terlibat termasuk kawasan sekeliling bibir dan mata. Satu ciri utama Atopic Eczema adalah kegatalan yang amat teruk. Perpeluhan atau penggunaan pakaian yang di perbuat daripada bulu boleh menyebabkan gatal dan ruam-ruam merah yang lebih teruk. Ciri khas yang lain adalah kulit yang kering dan dialami oleh 98% pesakit Atopic Eczema.
Apa yang menyebabkan Atopic Eczema?
Punca Atopic Eczema masih belum di ketahui sepenuhnya. Ia dipercayai terjadi akibat tindakbalas faktor persekitaran dan genetik. Perubahan dalam sistem ketahanan tubuh juga dipercayai memainkan peranan dalam menyebabkan penyakit ini. Fungsi kulit sebagai pelindung terjejas dan menyebabkan kekeringan disamping terdedah kepada jangkitan bakteria dan virus. Terdapat perlbagai faktor termasuk alahan, jangkitan, perubahan emosi, iklim dan pengaruh persekitaran lain yang turut menyumbang kepada punca penyakit Atopic Eczema.
Adakah saya mempunyai alergi/alahan?
Alahan sistem pernafasan sering dikaitkan dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang menghidap Atopic Eczema. Kebiasaannya faktor-faktor penyebab utama adalah hama, debunga, bulu binatang dan kulat. Sehingga 40% bayi dan kanak-kanak dengan ekzema yang sederhana teruk dan teruk mengalami alergi makanan. Makanan yang paling kerap menyebabkan alergi adalah susu lembu, telur, kacang tanah, soya dan gandum. Walau bagaimanapun, kebiasaannya alahan kepada susu lembu dan telur akan hilang dengan sendirinya apabila umur kanak-kanak ini meningkat. Alergi terhadap kacang tanah dan kekacang dari pokok, ikan dan makanan laut bercengkerang sering berlarutan sehingga dewasa. Alahan makanan jarang sekali bermula apabila seseorang sudah dewasa. Ujian saringan yang boleh dilakukan untuk alahan makanan termasuklah ujian āskin prick testā dan ujian darah seperti lgE (imunoglobin E) yang spesifik seperti RAST Test (radioallergosorbent test). Keputusan ujian haruslah ditafsirkan oleh pakar kulit yang berpengalaman.
Bolehkah Atopic Eczema sembuh?
Sehingga kini, tiada ubat yang boleh menyembuhkan Atopic Eczema. Walau bagaimanapun, keadaan kulit dapat dirawat dan dikawal dengan penjagaan kulit yang baik dan penggunaan ubat-ubatan yang sesuai. Secara umumnya, keadaan ekzema akan menjadi semakin baik apabila umur kanak-kanak semakin meningkat. Namun begitu, bagi sesetengah pesakit, ekzema masih berulang-ulang sehingga dewasa. Kajian menunjukkan bahawa lebih kurang 40% dari pesakit yang menghidapi Atopic Eczema semasa kanak-kanak akan mengalami penyakit secara berterusan atau berulang semula apabila dewasa.
Bagaimanakah cara menjaga kulit?
Berikut adalah saranan penting cara-cara penjagaan kulit pesakit yang menghidapi Atopic Eczema :
- Jangan menggaru,menggosok dan mengopek kulit. Perbuatan seperti ini akan menyebabkan ekzema semakin teruk dan boleh mengakibatkan luka, perubahan warna kulit menjadi tompok-tompok kehitaman atau putih atau meninggalkan parut.Pastikan kuku anda pendek dan bersih.
- Elakkan penggunaan sabun mandi, bahan kimia atau sabun pencuci pakaian yang terlalu kuat atau boleh menghakis kulit. Sabun mandi yang bersesuaian adalah sabun yang lembut dan tidak mengeringkan kulit atau sabun alternative yang mengandungi pelembap. Penggunaan ābubble bathā, garam mandian (bathing salts) atau minyak wangi boleh mennyebabkan inflamasi lebih teruk dan haruslah di elakkan.
- Berenang di kolam renang yang mempunyai air yang di campur klorin dibenarkan tetapi pesakit digalakkan untuk menggunakan pelembap sebaik sahaja selepas mandi.
- Rajin-rajinlah menyapu krim atau ointment pelembap kulit. Pelembap tidak akan menyebabkan kulit nipis dan ia harus digunakan dengan kerap. Waktu terbaik untuk menggunakan pelembap adalah selepas mandi.
- Pakaian-pakaian yang diperbuat daripada bulu (wool) dan linen boleh menyebabkan kulit lebih gatal. Penggunaan pakaian yang diperbuat daripada fabrik kapas adalah lebih selesa untuk kulit pesakit Atopic Eczema.
- Ketika berada di persekitaran yang kering atau sejuk, adalah amat penting untuk menggunakan pelembap untuk mencegah inflamasi kulit dari menjadi lebih teruk.
- Gunakan syampu rambut yang lembut untuk penjagaan kulit kepala.
- Tenangkan fikiran dan elakkan tekanan emosi.
Apakah jeinis-jenis rawatan yang sedia ada?
Rawatan konvensional termasuklah penggunaan krim pelembap dengan kerap dan elakkan penggunaan bahan-bahan yang akan menyebabkan iritasi pada kulit. Krim atau ointment yang mengandungi ācorticosteroidā/steroid merupakan rawatan utama. Di antara rawatan-rawatan lain yang digunakan untuk merawat Atopic Eczema termasuklah penggunaan krim yang mengandungi ācalcineurin inhibitorsā (seperti ProtopicĀ® atau ElidelĀ®), rawatan sinaran ultraungu, antibiotic, āantihistamineā dan ubat-ubatan yang mengandungi bahan-bahan āimmunosuppressantā. Rawatan-rawatan ini hanya digunakan dalam kes-kes tertentu, bergantung kepada penyakit dan respon pesakit terhadap rawatan sedia ada.
Rawatan yang paling kerap digunakan untuk merawat ekzema adalah krim pelembap dan penggunaan krim atau ointment yang mengandungi steroid. Ubat sapu yang mengandungi steroid amat berkesan untuk mengurangkan inflamasi kulit. Ubat ini selamat jika digunakan dengan cara yang betul. Di antara kesan sampingan akibat penggunaan steroid adalah kulit yang nipis atau skin atrophy. Namun, komplikasi ini hanya akan berlaku jika pesakit menggunakan ubat sapu yang mengandungi steroid berpotensi tinggi secara berterusan dalam jangka masa yang panjang. Doktor anda akan menunjukkan cara penggunaan ubat sapu yang mengandungi steroid dengan betul. Di antara ubat yang perlu dimakan untuk merawat Atopic Eczema adalah antibiotik dan hanya digunakan apabila kulit dijangkiti kuman. Ubat antihistamine pula digunakan untuk mengurangkan rasa gatal.
Adakah ubat tradisional atau rawatan alternative berkesan?
Analisa yang telah dijalankan ke atas krim-krim herba yang di gunakan oleh pesakit menunjukkan bahawa sebahagian besar krim-krim jenis ini mengandungi steroid yang berpotensi tinggi. Jika tidak digunakan dengan betul, krim herba begini juga akan mendatangkan kesan sampingan. Ubat-ubat tradisional Cina didapati berkesan hanya dalam 2 buah kajian perubatan untuk merawat Atopic Eczema. Walau bagaimanapun, ubat-ubat ini didapati boleh menyebabkan kembung perut dan sakit kepala. Pil-pil tambahan atau supplement seperti āevening primroseā juga telah di kaji tetapi tiada bukti menunjukkan ia boleh memberi manafaat tambahan untuk merawat penyakit ini. Rawatan hipnosis (Hipnoterapi) dan terapi urut juga didapati boleh membantu merawat penghidap Atopic Eczema tetapi tidak disyorkan sebagai rawatan utama. Rawatan lain yang kerap diperkatakan termasuk mandian garam dan air berion (ionized water), namun sehingga kini belum ada bukti keberkesanannya.
Kulit saya menjadi semakin teruk apabila terkena habuk. Bolehkah saya sembuh dari alahan hama?
Untuk mengelakkan dari terdedah kepada hama seratus peratus bukanlah mudah. Hama berada di mana-mana sahaja termasuklah di dalam habuk yang terdapat pada cadar, bantal, pakaian, mainan (soft toys), sofa dan karpet. Langkah-langkah yang mudah tetapi berkesan untuk mengurangkan hama adalah seperti berikut :
- Tukar cadar dan sarung bantal setiap minggu. Rendam dalam air panas melebihi 60oC selama setengah jam sebelum dicuci. Cadar dan sarung bantal kemudiannya perlu disidai di bawah pancaran cahaya matahari sehingga kering.
- Jemur dan bersihkan tilam anda dengan menggunakan hampagas (vacuum cleaner) sekurang-kurangnya sekali seminggu.
- Jangan menyimpan mainan-mainan yang berbulu (soft toys).
- Elak dari menggunakan langsir yang berat dan tebal yang mudah memerangkap habuk dan susah dicuci.
- Gunakan almari bertutup untuk menyimpan pakaian atau buku-buku untuk mengurangkan pengumpulan habuk.
- Elakkan penggunaan penyapu atau feather duster.Penyapu sebegini akan menyebabkan habuk berterbangan. Gunakan kain lap yang lembap untuk membersihkan permukaan yang berdebu.
- Elakkan daripada menggunakan karpet di rumah.
- Jika boleh, elakkan dari memelihara binatang.
- Jika menggunakan penghawa dingin, ia harus dibersihkan dari masa ke semasa.
Semakan Akhir | : | 20 Julai 2011 |
Penulis | : | Dr. Tang Min Moon |