A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Autisma Dan Kesihatan Pergigian

Individu dengan autisma memerlukan pendekatan khas untuk penjagaan kesihatan mulut. Pencegahan masalah pergigian adalah isu penting disebabkan oleh beberapa faktor

Mengapa kesihatan mulut penting bagi individu dengan autisma?

Gangguan spektrum autisma merupakan satu masalah sistem perkembangan yang memberi kesan ke atas keupayaan seseorang untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Ia juga melibatkan masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. Ada di kalangan individu dengan autisma yang mempunyai corak tingkah laku atau minat yang terhad atau pelik. Ada juga yang gemar untuk melakukan sesuatu perkara berulang-ulang kali. Mereka biasanya suka mengikuti rutin yang tetap. Jika berlaku sebarang gangguan kepada rutin, ini boleh menyebabkan tingkah laku yang tidak dikehendaki atau menjadi agresif.

Disebabkan ciri-ciri mereka yang istimewa, individu dengan autisma memerlukan pendekatan khas untuk penjagaan kesihatan mulut. Pencegahan masalah pergigian adalah isu penting disebabkan oleh beberapa faktor.

Pertama sekali, kesihatan mulut yang baik iaitu mulut yang bersih, bebas daripada kaviti dan penyakit gusi boleh menggalakkan kesihatan secara umum. Seseorang yang mempunyai kesihatan mulut yang baik mudah menguntumkan senyuman dengan selesa. Malangnya, kebersihan mulut yang tidak memuaskan boleh menyebabkan nafas berbau dan rasa sakit atau kurang selesa. Kemungkinan besar punca ini disebabkan oleh masalah gigi berlubang atau penyakit gusi. Individu dengan autisma terutama yang mempunyai masalah komunikasi mungkin tidak berupaya untuk menyatakan rasa kurang selesa atau kesakitan yang mereka hadapi. Maka, ini menyebabkan kelewatan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya. >>Tanda-tanda bukan verbal sakit gigi

Kesihatan mulut yang sihat juga penting untuk aktiviti-aktiviti seharian seperti mengunyah, menelan dan bercakap. Makanan yang kita makan perlu dikunyah dengan betul untuk membantu sistem pencernaan, penyerapan nutrien dan mencegah sembelit. Sesetengah bunyi yang kita keluarkan juga memerlukan kehadiran gigi, seperti  huruf ‘C’, ‘S’ dan ‘F’. Gigi yang sihat boleh membantu dalam perkembangan pertuturan bagi individu dengan autisma.

Tambahan pula, kesihatan gigi yang baik mencegah keperluan untuk mendapatkan rawatan pergigian yang kompleks. Disebabkan ciri-ciri istimewa mereka, individu dengan autisma mungkin mengalami kesukaran untuk memberikan kerjasama semasa lawatan pergigian apatah lagi duduk di atas kerusi pergigian untuk mendapatkan rawatan.

Cabaran untuk penjagaan kesihatan mulut:

Penjagaan kesihatan mulut di rumah adalah asas penting untuk kesihatan yang baik. Walau bagaimanapun, ramai ibu bapa atau penjaga mungkin mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti penjagaan kebersihan mulut untuk individu dengan autisma. Kesukaran ini melibatkan masalah tingkah laku seperti enggan membuka mulut, menggigit berus gigi, menoleh kepala ke arah berlawanan dan berkelakuan agresif. Bagi individu dengan autisma mungkin merasakan seolah-olah terjadi ‘pencerobohan’ di dalam mulut mereka seterusnya menyebabkan tingkah laku yang tidak diingini. Akibatnya, penjagaan kesihatan mulut menjadi beban kepada kedua-dua pihak.

Selain itu, ada di kalangan individu dengan autisma yang mengambil ubat-ubat tertentu untuk mengawal emosi mereka atau untuk masalah perubatan lain seperti sawan dan refluks asid gastrik. Ubat-ubatan ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang berkaitan dengan kesihatan mulut seperti mulut kering, risiko kerosakan gigi, gigi haus dan gusi yang bengkak.


Gambar menunjukkan gusi yang bengkak disebabkan kebersihan mulut yang kurang memuaskan dan pengambilan ubat-ubatan.

Individu dengan autisma juga mungkin mempunyai otot-otot yang mengawal lidah dan pipi yang lemah. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah semasa makanan dikunyah. Akibatnya , sisa-sisa makanan kekal di dalam mulut untuk jangka masa yang lama. Ini boleh membawa kepada nafas berbau, risiko kerosakan gigi, penyakit gusi dan jangkitan mulut.

Tip-tip untuk ibu bapa atau penjaga :

  1. Menjadi kreatif

    Bagi mereka yang mempunyai perkembangan motor yang baik, galakan harus diberikan untuk memberus gigi sendiri.  Antara usaha yang boleh dipraktikkan , gambar-gambar yang mengandungi teknik memberus gigi boleh diletakkan di dalam bilik mandi. >> Memberus Gigi


    Sumber: http://www.mayer-johnson.com/autism-article3
    Contoh jadual visual untuk membimbing seseorang untuk memberus gigi.

    Terdapat sesetengah individu dengan autisma yang memerlukan bantuan untuk aktiviti penjagaan kesihatan mulut secara langsung daripada ibu bapa atau penjaga mereka. Jika seseorang itu tidak biasa atau berasa tidak selesa semasa dibantu, cuba untuk memperkenalkan berus gigi sekali lagi dengan cara yang berbeza. Penggunaan gambar atau video juga amat berguna. Pendedahan kepada alat bantuan penjagaan mulut seperti berus gigi dan ubat gigi secara perlahan-lahan dan berulang-ulang kali boleh membantu individu dengan autisma menerima penjagaan kesihatan mulut dengan lebih baik.

    Sesetengah individu dengan autisma mempunyai deria yang sensitif. Sebagai contoh, sesetengahnya amat sensitif kepada sentuhan, rasa dan/atau tekstur. Mereka mungkin tidak suka tekstur berus gigi di dalam mulut mereka. Mungkin ada yang tidak suka rasa pudina atau rasa ubat gigi tertentu. Strategi yang boleh digunakan termasuk memulakan aktiviti penjagaan kesihatan mulut dengan mengurut di sekeliling mulut, diikuti dengan pembersihan menggunakan kain basah yang bersih sebelum menggunakan berus gigi. Cara lain termasuk menggunakan berus gigi dengan bulu lembut atau membenarkan seseorang itu untuk memberus bibir/pipi beliau sebelum memasukkan berus gigi ke dalam mulut. Cuba untuk mencari alat bantuan yang paling sesuai dengan keperluan seseorang individu itu.

  2. Pendekatan Beritahu-Tunjuk-Buat

    Pertama , beritahu anak bahawa anda akan memberus giginya. Kemudian tunjukkan kepada anak bagaimana anda akan melakukannya, sama ada dengan membuat demonstrasi, atau dengan menunjukkan gambar atau video. Kemudian bantu untuk memberus gigi mereka secara perlahan-lahan dan lembut. >> Penjagaan Kesihatan Mulut Di Rumah Bagi Golongan Orang Kurang Upaya Intelektual
     

  3. Tetapkan rutin

    Kebiasaannya, individu dengan autisma memerlukan rutin setiap hari yang tetap dan tidak suka perubahan yang mendadak. Oleh itu, masa yang khusus wajar diamalkan untuk aktiviti penjagaan kesihatan mulut. Memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, iaitu pagi selepas sarapan pagi dan malam sebelum tidur. Membersihkan mulut selepas mengambil ubat-ubatan juga merupakan amalan yang baik. Jadual waktu bergambar boleh membantu mereka mematuhi rutin baru.


    Sumber: http://thr7.com/daily-schedule-template-for-kids-with-autism.html
    Contoh jadual waktu bergambar.
     

  4. Hubungi doktor gigi yang terlatih

    Pemeriksaan gigi/mulut secara berkala adalah penting untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik. Hubungi doktor gigi yang terlatih dalam bidang pergigian keperluan khas atau yang menunjukkan minat untuk merawat individu dengan autisma. Kebanyakan doktor gigi dilatih semasa program ijazah pertama untuk merawat pesakit dengan keperluan khas, tetapi tahap pendedahan mungkin berbeza. Bincangkan mengenai keadaan dan keperluan pesakit terutamanya strategi-strategi yang boleh dilakukan supaya lawatan pergigian kali pertama menjadi pengalaman yang selesa. 
     

  5. Penyediaan sebelum lawatan pergigian yang pertama

    Ibu bapa dan penjaga digalakkan untuk persediaan mental anak/orang yang dijaga itu dari rumah beberapa hari sebelum lawatan pergigian. Strategi yang boleh digunakan termasuklah bercerita tentang lawatan pergigian, menunjukkan buku cerita bergambar, memberitahu mereka prosedur yang akan diambil, peralatan yang akan digunakan dan bau yang mungkin dihidu.

    Kit yang mengandungi gambar-gambar doktor gigi, kakitangan pergigian dan klinik pergigian, dan beberapa peralatan pergigian seperti sarung tangan dan cermin mulut mungkin boleh disediakan untuk membiasakan diri sebelum lawatan pergigian.

     

     

    Gambar doktor gigi dan staf pergigian

     


    Kerusi pergigian


    Sarung tangan


    Cermin mulut & pen doktor gigi


    Berus gigi doktor


    Krim fluorida

    Contoh gambar rajah sebagai persediaan mental sebelum lawatan pergigian yang pertama. Pembaca dialu-alukan untuk mencetak jadual ini untuk kegunaan sendiri. Bincang dengan doktor gigi jika gambar doktor dan kakitangan mungkin boleh diambil dan dimasukkan ke dalam jadual ini .


    Contoh gambar panduan untuk menyediakan seseorang sebelum lawatan pergigian (Sumber: https://www.autismspeaks.org/sites/default/files/documents/dentalguide.pdf)

    Ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk membuat temujanji awal pagi untuk keselesaan dan doktor gigi tidak berada di dalam keadaan tergesa-gesa.

    Ibu bapa atau penjaga perlu bersikap lebih tenang dan tidak gelisah. Ini kerana tingkah laku yang resah akan memberikan kesan negatif ke atas tingkah laku seseorang di bawah jagaan mereka.

  6. Lawatan pergigian pertama

    Elakkan meletak harapan yang terlalu tinggi semasa lawatan pergigian yang pertama. Tujuan lawatan ini adalah sebagai sesi perkenalan. Maklumkan kepada doktor gigi tentang apa yang disukai atau tidak disukai seseorang itu. Satu pemeriksaan mulut yang ringkas mungkin boleh dicapai tetapi jangan berasa hampa sekiranya ini tidak berlaku.
     

  7. Lawatan susulan

    Individu dengan autisma mungkin tidak suka keadaan yang susah diramal dan kebiasaannya mereka menghadapi keadaan tersebut dengan cemas. Antara cara-cara untuk membantu mereka, doktor gigi biasanya akan mengenalkan prosedur pergigian langkah demi langkah, bermula dengan prosedur mudah dan dengan perlahan-lahan beralih kepada prosedur yang lebih kompleks. Sebagai contoh, doktor gigi boleh memulakan rawatan dengan teknik memberus gigi dan penyapuan ubat fluorida ke atas permukaan gigi. Jika seseorang itu dapat menerima prosedur ini dengan selesa, doktor gigi akan mengenalkan instrumen tangan sebelum mengenalkan instrumen yang dioperasi dengan mesin pergigian. Proses ini mungkin mengambil masa yang lama dan berulang-ulang kali atau pada hari temujanji yang berlainan. Ini memerlukan kesabaran dan kerjasama daripada kedua-dua belah pihak.

    Setelah semua usaha yang telah dilakukan, kadang-kala, mustahil untuk mencapai kerjasama yang memuaskan semasa lawatan pergigian. Dalam kes ini, doktor gigi mungkin mencadangkan rawatan pergigian di bawah bius umum, terutamanya jika seseorang itu mempunyai penyakit gigi/mulut yang aktif. Rawatan pergigian di bawah bius umum dilakukan di hospital. Semasa sesi bius umum, doktor gigi akan memeriksa dengan teliti di dalam mulut dan biasanya menyediakan rawatan yang menyeluruh termasuk pengskaleran, tampalan dan cabutan gigi di mana yang perlu. Selepas rawatan yang komprehensif di bawah bius umum, seseorang itu patut menjalankan pemeriksaan pergigian secara berkala untuk rawatan pencegahan.

Apps yang berguna

  • My Healthy Smile App untuk iPhone/iPod
  • Leila’s First Visit to the Dentist App untuk Android

Rujukan

  1. Friedlander AH, Yagiela JA, Paterno VI, Mahler ME. The neuropathology, medical management and dental implications of autism. The Journal of the American Dental Association 2006;137(11):1517-27.
  2. Nelson TM, Sheller B, Friedman CS, Bernier R. Educational and therapeutic behavioral approaches to providing dental care for patients with Autism Spectrum Disorder. Special Care in Dentistry 2014:n/a-n/a.
  3. Stein LI, Polido JC, Mailloux Z, Coleman GG, Cermak SA. Oral care and sensory sensitivities in children with autism spectrum disorders. Special Care in Dentistry 2011;31(3):102-10.
  4. https://www.autismspeaks.org/family-services/tool-kits/dental-tool-kit

 

Semakan Akhir : 11 Mei 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Eileen Yap Ai Ling
Akreditor : Dr. Norjehan bt. Yahaya

 

Artikel Berkaitan

Amalan Kesihatan Pergigian yang Baik

Penjagaan kesihatan pergigian penting untuk mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi di kalangan kanak-kanak. Kesihatan pergigian yang baik membolehkan mereka mengunyah makanan dengan selesa dan bertutur dengan jelas.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia