A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Bagaimana Cara Betul untuk Memposisikan Kanak-kanak Cerebral Palsy?

Kanak-kanak cerebral palsy mempunyai tahap keupayaan fizikal dan tahap kawalan otot yang rendah yang menyebabkan postur tidak seimbang berterusan.

Apakah posisi yang betul?

Kanak-kanak cerebral palsy mempunyai tahap keupayaan fizikal dan tahap kawalan otot yang rendah yang menyebabkan postur tidak seimbang berterusan. Panjang asal otot boleh berubah mengikut daya biomekanikal yang wujud akibat dari postur yang tidak normal. Oleh itu posisi yang betul bagi kanak-kanak cerebral palsy adalah sangat penting.

Posisi yang betul perlu merangkumi ciri-ciri berikut iaitu:

  • Tonus otot  berada dalam keadaan relaks.

  • Refleks/rangsangan tindakbalas berada dalam keadaan terkawal

  • Kedudukan tulang belakang yang lurus

  • Berada dalam keadaan yang menggalakan posisi yang betul dan melawan arah tarikan posisi yang tidak normal termasuk penggunaan peralatan sesuai serta saiz dan bahan yang digunakan selesa.

    Ilustrasi 1: Posisi yang betul semasa duduk

Apakah posisi yang tidak betul?

  • Tulang belakang berada dalam keadaan melengkung/bengkok berpanjangan

  • Lutut dan tapak kaki yang sentiasa bengkok

  • Badan yang melentik, disertai dengan kepala mendongak dan kaki menegak.

  • Agihan berat badan yang tidak sekata seperti duduk senget, condong ke belakang.

  • Posisi leher yang senget, mendongak atau tunduk

  • Kaki yang bersilang semasa lutut tegak.

  • Sendi pergelangan tangan yang bengkok

    Gambar 1. Posisi tidak betul semasa duduk yang selalu dialami kanak-kanak cerebral palsy

Posisi Semasa Baring

  • Galakkan posisi mengiring di bahagian yang lemah

  • Untuk mengelakkan kekejangan otot di bahagian pinggul yang boleh mengakibatkan kecacatan kaki bersilang (scissoring gait)

  • Galakkan baring meniarap

  • Untuk membantu mengelakkan kecacatan bentuk dinding dada

  • Jika ingin berada di posisi terlentang, bengkokan sedikit leher dan lutut.

Tujuannya ialah untuk merelakskan otot badan (Ilustrasi 2). Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mempunyai kekejangan ektensor (extensor thrust) yang kuat, baring dalam posisi terlentang adalah tidak digalakkan.

Ilustrasi 2: Cara posisikan sendi dan anggota semasa baring mengiring dan terlentang

Posisi Semasa Menyusu

  • Kanak-kanak cerebral palsy selalu melentikkan badan ke belakang, dan ini menyebabkan aktiviti menelan dan menyedut menjadi sukar.

  • Susukan bayi cerebral palsy dalam posisi separuh-duduk dengan kepalanya dibengkokkan sedikit ke hadapan (Ilustrasi 3).

  • Untuk membetulkan kepala setelah terlentik ke belakang, elakkan dari menolak di bahagian belakang kepala kerana ia akan menyebabkab bayi semakin menolak ke arah belakang (Ilustrasi 4).  Pegang bahu dan tolak ke hadapan, dan tekan di dada dengan mantap serta kekalkan lutut pada posisi bengkok .

    Ilustrasi 3: Posisi semasa menyusukan bayi cerebral palsy Ilustrasi 4: Cara yang salah untuk menegakan kepala

Posisi Semasa Mendukung

  • Pastikan kedua belah kaki tidak rapat

  • Semasa mengangkat, kepala tidak disokong untuk memberi peluang kanak-kanak mengawal sendiri tetapi tangan anda perlu sentiasa bersedia untuk menyokong kepala sekiranya kepala melempai secara tiba-tiba.

  • Ibu bapa perlu menilai keupayaan diri sendiri sebelum mengangkat anak.

    Ilustrasi 5. Posisi yang betul semasa mendukung

Posisi Semasa Duduk di Lantai

Bagi tonus otot rendah (lembik)

  • Stabilkan kedudukan kanak-kanak dengan memegang/menekan di pangkal paha (Ilustrasi 6)

  • Cara duduk yang sesuai ialah bersila dan berlunjur

Bagi tonus otot tinggi

  • Bongkokkan sedikit badan kanak-kanak dan pegang bahagian belakang bahu (Ilustrasi 7)

  • Cara duduk yang sesuai ialah bersila, bersimpuh dan berlunjur dan duduk tinggi dengan kaki terletak di lantai.

  • Elakkan duduk secara frog sitting (Gambar 2). Galakkan duduk bersila walaupun kanak-kanak berasa tidak selesa kerana mengalami otot adduktor pinggul yang ketat.

    Ilustrasi 6 Ilustrasi 7 Gambar 2

Posisi Semasa Duduk di Kerusi

Bagi tonus otot rendah (lembik)

  • Sokongan perlu pada tengkuk, sisi badan, kelengkang dan tapak kaki

Bagi tonus otot tinggi

  • Pastikan paras lutut yang dibengkokkan tinggi seinci dari pinggul

  • Kaki dikangkangkan dengan meletakkan blok pemisah di kelengkang supaya  tidak mengelongsor ke bawah

  • Kerusi hendaklah sesuai dengan saiz badan kanak-kanak. Pasang tali pinggang untuk keselamatan.

  • Pasangkan arm rest atau pun table tray untuk menyokong anggota atas dan menggalakan kanak-kanak membuat aktiviti (Ilustrasi 9).

    Ilustrasi 8: Posisi duduk  semasa di kerusi Ilustrasi 9

Posisi Semasa Melakukan Aktiviti

Bagi tonus otot rendah (lembik)

  • Sokongan perlu pada kepala/tengkuk, sisi dan belakang badan diperlukan supaya kanak-kanak berada di posisi yang tegak. Kestabilan bahagian badan dan bahu akan memudahkan fungsi tangan.

  • Melakukan aktiviti dalam kedudukan kurang graviti juga memudahkan kanak-kanak berada dalam posisi yang betul (Ilustrasi 10).

    Ilustrasi 10

Bagi tonus otot tinggi

  • Semasa melakukan aktiviti, pastikan kepala dan badan berada di posisi tegak, kedua-dua lengan tegak dan terbuka dan kedua-dua tangan digunakan di hadapan mata (Ilustrasi 11).

  • Berat badan ditampung samarata ke kedua-dua belah pinggul, lutut dan kaki atau tangan.

  • Bagi kanak-kanak yang cenderung melentikkan badan (Ilustrasi 12), aplikasikan posisi melawan kecacatan dan konsep key point of control semasa melakukan aktiviti. Dengan membengkokkan salah satu atau beberapa daripada sendi besar seperti leher, pinggul dan lutut, tonus reflex tidak normal dapat direncat dan bentuk pergerakan yang normal lebih mudah dilakukan.

  • Untuk aktiviti menulis, selain dari keperluan posisi badan dan kaki yang betul, pengubahsuaian saiz, bentuk dan posisi alatan menulis diperlukan untuk mengatasi masalah kesukaran melakukan pergerakan halus.

    Ilustrasi 11 Ilustrasi 12

 

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Zainudin bin Sattar
Penyemak : Tan Foo Lan

 

Artikel Berkaitan

Jadual Imunisasi

Jadual Imunisasi Jadual 1. Jadual Imunisasi Program Imunisasi Kebangsaan, Kementerian

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,651

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia