A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Mental
  4. /
  5. Pengenalan
  6. /
  7. Bagaimana Proses Diagnosis Masalah...

Bagaimana Proses Diagnosis Masalah Kecelaruan Mental Dijalankan

Rawatan pada peringkat awal dapat mencegah kecelaruan mental dari menjadi bertambah teruk serta mempunyai potensi penyembuhan yang lebih tinggi.

Definisi kecelaruan mental :

Kecelaruan mental merupakan perubahan psikologi atau tingkahlaku yang tidak normal. Ia merangkumi perubahan pada emosi, pemikiran (kognitif), persepsi atau tingkah laku disebabkan oleh gangguan ketidak seimbangan bahan kimia pada bahagian otak.

Kecelaruan mental boleh berbeza dari jenis penyakit, tahap keterukan, jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian.

Adalah penting bagi perawat untuk membuat diagnosis masalah kecelaruan mental dengan cepat dan tepat bagi mengelakkan gejala berpanjangan serta rawatan yang betul dapat diberikan. Rawatan pada peringkat awal dapat mencegah kecelaruan mental dari menjadi bertambah teruk serta mempunyai potensi penyembuhan yang lebih tinggi.

Bagaimana proses diagnosis dilakukan?

Proses diagnosis kecelaruan mental boleh dilakukan sama ada di klinik psikiatri atau pun di dalam wad bergantung kepada keadaan pesakit. Pesakit biasanya dirujuk dari  klinik kesihatan/swasta, jabatan kecemasan atau pun dari disiplin perubatan yang lain setelah disyaki mengalami kecelaruan mental.

Perbezaan antara penilaian masalah kecelaruan mental dan penilaian penyakit fizikal adalah

  1. Pengambilan sejarah penyakit yang lebih panjang dan komprehensif.
  2. Pengambilan sejarah kolaboratif dari individu terdekat dengan pesakit (samada keluarga atau rakan).
  3. Penilaian status mental dilakukan.
  4. Penggunaan ‘Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders 5th edition (DSM-5) atau International Classification of Diseases 10th Edition, WHO (ICD 10) untuk mengesahkan diagnosis kecelaruan mental.

Proses diagnosis akan melibatkan langkah-langkah berikut :

  1. Pengambilan sejarah penyakit dari pesakit

    Ini adalah untuk mendapatkan aduan utama serta gejala-gejala yang berkaitan. Pengambilan sejarah dari pesakit mengambil masa yang panjang kerana selain dari gejala kecelaruan, pesakit akan turut ditanya mengenai perkara-perkara berikut :

    • Jangkamasa gejala tersebut berlaku.

      Berbanding penyakit fizikal, adalah sangat penting untuk pakar psikiatri mengetahui berapa lama pesakit mengalami gejala kecelaruan mental kerana ia akan membantu dalam menentukan diagnosis. Sebagai contoh, kecelaruan Skizofrenia memerlukan jangkamasa 6 bulan untuk membolehkan diagnosis tersebut dibuat. Sekiranya berlaku gejala kecelaruan mental kurang dari 6 bulan, tetapi lebih dari 1 bulan pesakit akan didiagnosakan sebagai ‘Schizophreniform disorder’, manakala kurang dari 1 bulan, diagnosis yang dibuat adalah ‘Brief psychotic disorder’. Mengapa ini penting ? Ia sangat penting kerana walaupun gejala kecelaruan adalah sama, prognosis dan jangkamasa pesakit perlu mengambil ubatan adalah berbeza. Pesakit Skizofrenia contohnya, mungkin perlu mengambil ubatan dalam tempoh yang lebih lama dan mempunyai prognosis yang lebih teruk berbanding ‘Brief psychotic disorder’ atau ‘Schizophreniform’ disorder.

    • Punca tekanan.

      Ini adalah untuk mengenalpasti apakah yang menyebabkan pesakit menjadi tertekan. Seterusnya, dapat membantu pesakit dalam menangani tekanan yang dihadapi melalui kemahiran penyelesaian masalah (‘problem solving skills’) , pengurusan stress atau pun kaunselling individu/keluarga.

    • Sejarah kelahiran seperti lahir cukup bulan, ada penyakit kuning, jangkitan sewaktu lahir.
    • Sejarah perkembangan (‘developmental history’) sewaktu kecil
    • Sejarah penyakit dalam keluarga.
    • Sejarah penyakit-penyakit lain (Contohnya: penyakit kronik/trauma/sawan atau demam).
    • Sejarah latarbelakang pesakit termasuk persekolahan, pekerjaan dan perkahwinan.
    • Personaliti individu sebelum mendapat penyakit (Pre-morbid personality). Ini kerana perubahan tingkah-laku juga menunjukkkan tanda kecelaruan mental.
    • Sejarah penyalahgunaan dadah
    • Kebolehan pesakit untuk menjalankan fungsi harian.
    • Risiko untuk mencederakan diri atau orang lain. Ini bagi menentukan samaada pesakit perlu dirawat didalam wad atau boleh dirawat sebagai pesakit luar.
  2. Pengambilan sejarah penyakit dari keluarga/rakan terdekat (collaborative history)

    Berbeza dengan penyakit fizikal, pengambilan sejarah dari individu yang rapat dengan pesakit adalah penting.Ini kerana adakalanya pesakit sendiri tidak dapat memberikan secara tepat tentang gejala kecelaruan atau tidak menyedari mengenai perubahan tingkah laku. Selain itu, ia juga dapat mengesahkan apa yang diceritakan oleh pesakit kepada perawat.

  3. Penilaian status mental (Mental state examination)

    Ini dibuat melalui pemerhatian dan interbiu yang dijalankan oleh doktor. Antara komponen status mental ialah penampilan diri, ‘kebolehan pesakit bekerjasama, emosi, kehadiran fikiran atau persepsi yang tidak normal seperti delusi dan halusinasi, keinginan membunuh diri, fungsi kognitif, kebolehan membuat keputusan (‘judgement’) serta kesedaran mengenai penyakit (‘insight’).

  4. Pemeriksaan fizikal

    Pemerikssan fizikal yang lengkap merupakan sebahagian dari penilaian psikiatri yang komprehensif.Ini kerana terdapat penyakit fizikal yang boleh menimbulkan gejala kecelaruan mental seperti masalah sistem saraf serta kelenjar tiroid. Selain tanda-tanda vital seperti tekanan darah nadi, berat badan juga akan diambil bagi pengiraan Body mass index (BMI).

  5. Penyiasatan melibatkan pengambilan darah atau radiologi jika perlu.

    Penyiasatan darah dilakukan bagi mengesahkan bahawa gejala kecelaruan mental bukan berpunca dari penyakit fizikal serta untuk mengetahui tahap kesihatan asas setiap individu. Ujian rutin yang biasanya dilakukan ialah ‘Full blood count(FBC), Ujian fungsi buah pinggang (‘Renal function test’) dan fungsi hati (‘liver function test’).Adakalanya, ujian fungsi tiroid (Thyroid function test) turut juga diambil. Sekiranya perlu, ujian Imbasan “Computed Tomography” (CT Scan) otak akan dilakukan jika disyaki terdapat masalah yang melibatkan otak atau sistem saraf.

Diagnosis untuk kecelaruan mental adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh “Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders 5th edition ” (DSM-5)  yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association (APA) ataupun The ICD-10 Classification of Mental and Behavioural Disorders (ICD 10). Pesakit perlu memenuhi kriteria-kriteria yang tertentu sebelum diagnosis dapat dibuat. Selain dari sekumpulan gejala-gejala penyakit yang perlu dipenuhi, kriteria lain yang perlu diambil kira dalam mendiagnosa penyakit kecelaruan mental adalah :

  1. Kecelaruan mental bukanlah disebabkan secara langsung oleh penyakit fizikal/organik.
  2. Kecelaruan mental bukanlah disebabkan secara langsung oleh pengambilan dadah
  3. Kecelaruan mental tersebut menyebabkan gangguan yang ketara kepada fungsi hidup serta aktiviti harian individu tersebut

Sumber: Google

Buku manual yang digunakan untuk diagnosis kecelaruan mental  iaitu “Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders 5th edition ” (DSM-5) 

Setelah proses diagnosis selesai, pesakit dan keluarga akan diberikan penerangan mengenai kecelaruan, jenis rawatan, kesan sampingan ubatan  serta jangkamasa rawatan susulan yang diperlukan. Kebanyakkan kes kecelaruan mental dapat dirawat secara pesakit luar. Walaubagaimanapun, terdapat sebilangan kes yang perlu dimasukkan ke wad bagi pemantauan serta rawatan yang rapi, terutamanya  jika mereka mempunyai risiko membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Rujukan:

  1. American Psychiatric Association (2013) .Diagnostic And Statistical Manual Of Mental disorders Fifth Edition : DSM-5. Washington DC; APA
  2. Bhugra D, Bell S, Burns A,Howes O (2010).The complete psychiatrist. London; The Royal    College of Psychiatrist.
  3. Medical development divison (2011).Psychiatry and mental health services operational policy. Kuala Lumpur; MOH.
  4. Gelder M, Andereasen N, Lopez-Ibor J, Geddes J (2012). New Oxford textbook of psychiatry. Oxford; Oxford University press.
  5. Sadock BJ, Sadock VA (2003).Kaplan & Sadock’s Synopsis of Psychiatry Behavioral sciences/ clinical psychiatry 9thPhiladephia, Lippincott Williams & Wilkins.
  6. World Health Organization (1996).Diagnostic and management guidelines for mental disorders in primary care: ICD 10 Chapter V Primary care version. Germany; WHO/ Hogrefe & Huber Publishers.
Semakan Akhir :  28 Ogos 2020
Penulis :  Dr. Firdaus Bt. Datuk Abdul Gani
Akreditor :  Dr. Ramli Mohd Ali 
Penyemak :  Dr. Nurulwafa binti Hussain

 

Artikel Berkaitan

Sihat Mental

Sihat Mental Anda mempunyai mental yang sihat sekiranya anda Selesa

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,443

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia