A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kosmetik
  6. /
  7. Bahan campurpalsu (Adulterant) ...

Bahan campurpalsu (Adulterant) dalam produk kosmetik

Sesuatu produk kosmetik dikatakan telah dicampurpalsu sekiranya ia mengandungi logam berat seperti merkuri (raksa) dan plumbum atau bahan racun berjadual seperti hydroquinone, tretinoin, antibiotik seperti clindamycin atau steroid seperti betamethasone.

Pengenalan

Produk kosmetik adalah teman rapat kaum wanita dan kini semakin popular di kalangan golongan lelaki. Produk kosmetik bukan sahaja penting untuk menjaga penampilan malah boleh membantu meningkatkan keyakinan diri.

Saban hari, kita diperkenalkan dengan pelbagai jenama produk kosmetik baru dari dalam mahupun luar negara. Syarikat-syarikat produk kosmetik berjenama terkemuka pula saban tahun mengeluarkan produk baru yang dikatakan lebih baik daripada produk terdahulu dan telah diuji keberkesanannya. Pelbagai testimoni dan hasil kajian ditunjukkan di dalam iklan produk kosmetik sebagai sokongan untuk menarik minat orang ramai membelinya. Tetapi, adakah anda tahu tahap keselamatan sesuatu produk itu? Adakah ia boleh memberi kesan mudarat kepada penggunanya sekiranya digunakan dalam jangkamasa yang panjang? Adakah keberkesanan sesuatu produk itu disebabkan oleh bahan kandungannya yang sangat efektif atau kerana kehadiran bahan campurpalsu terlarang?

Apa Itu Bahan Campurpalsu?

Sesuatu produk kosmetik dikatakan telah dicampurpalsu sekiranya ia mengandungi logam berat seperti merkuri (raksa) dan plumbum atau bahan racun berjadual seperti hydroquinone, tretinoin, antibiotik seperti clindamycin atau steroid seperti betamethasone.

Lazimnya, produk kosmetik dicampurpalsu bertujuan untuk membuktikan keberkesanan produk yang dijual di mana pengguna akan mendapatkan kesan yang dijanjikan dalam masa yang singkat. Contohnya, hydroquinone dan merkuri biasanya ditambah ke dalam produk pemutih kulit untuk mendapatkan kulit yang lebih cerah atau merawat masalah pigmentasi kulit manakala tretinoin dan antibiotik ditambah ke dalam produk kosmetik untuk merawat masalah kulit berjerawat. Pengguna yang membeli dan menggunakan produk kosmetik yang dicampurpalsu akan berasa teruja dengan kesan yang dialami dan seterusnya akan kerap membeli produk tersebut. Cara penjualan produk sebegini adalah suatu tindakan syarikat yang sangat tidak bertanggungjawab kerana tidak memikirkan kesan mudarat yang mungkin dialami oleh pengguna.

Produk kosmetik yang mengandungi logam berat seperti merkuri boleh memberikan kesan mudarat kepada kesihatan serta menyebabkan kerosakan kepada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Selain itu, pendedahan kepada merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan yang tidak diingini pada kulit. Manakala produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan bahan racun berjadual seperti hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif. Hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi dan ini menyebabkan pengurangan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya serta meningkatkan risiko kanser kulit.

Kawalan Produk Kosmetik Di Pasaran Malaysia

Di Malaysia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia adalah bertanggungjawab untuk mengawal aktiviti yang melibatkan produk kosmetik. Semua produk kosmetik yang dijual di negara ini perlu bernotifikasi dengan BPFK. BPFK sentiasa memantau keselamatan dan kualiti produk kosmetik di pasaran tempatan melalui aktiviti Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik di Pasaran di mana pengujian makmal dijalankan ke atas produk kosmetik secara berterusan untuk memastikan ia bebas daripada bahan terlarang dan campurpalsu.

Tanggungjawab Pengguna

Walaupun wujud badan seperti BPFK yang memantau produk kosmetik di pasaran, pengguna haruslah berwaspada dan mengambil langkah bijak sebelum membeli dan menggunakan sesuatu produk kosmetik. Sudah menjadi kebiasaan dalam dunia yang serba canggih ini, semua barang boleh didapati di hujung jari. Kewujudan laman-laman sosial juga membuka peluang kepada para peniaga yang tidak bertanggungjawab untuk menjual produk kosmetik yang tidak bernotifikasi.

Sebelum membuat sebarang pembelian, pengguna seharusnya mengesahkan status notifikasi sesuatu produk kosmetik melalui laman sesawang BPFK iaitu www.bpfk.gov.my. Senarai produk kosmetik yang dikesan mengandungi bahan campurpalsu juga boleh disemak di laman web tersebut. Pengguna haruslah sentiasa peka supaya tidak mudah terpedaya. Kita tidak seharusnya mengorbankan kesihatan demi kecantikan sebaliknya perlu mengamalkan cara hidup sihat dan menggunakan produk kosmetik yang selamat dan berkualiti.

Sekiranya pengguna mengalami kesan advers selepas menggunakan sesuatu produk kosmetik atau mensyaki ada produk yang berkemungkinan dicampurpalsu, pengguna boleh membuat laporan aduan berkenaan produk tersebut kepada BPFK melalui beberapa cara seperti rajah di bawah:

Rujukan

  1. American Pharmacists Association (2008). Drug Information Handbook with International Trade Names Index.
  2. Sahu, R., Saxena, P. & Johnson, S. (2014). Heavy Metals In Cosmetics (http://www.cseindia.org)
  3. R&R Law Group (2014). FDA Cosmetic Handbook. (http://www.mlmlaw.com/library/guides/fda/Coshdbok.htm)
Semakan Akhir : 02 Julai 2015
Penulis : Nadiah bt. Abd. Manan
Akreditor : Noor Hidayah bt. Mohd Nor

 

Artikel Berkaitan

Antiemetik

Apa itu antiemetik Antiemetik adalah kumpulan ubat yang efektif bertindak

Duromine

Apakah itu Duromine? Duromine merupakan sejenis produk yang mengandungi bahan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia