Pengenalan
Bagi memastikan kesinambungan dalam penjagaan dan rawatan, rujukan pesakit di antara fasiliti-fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia dipraktikkan. Pesakit dirujuk sama ada dari klinik kesihatan ke hospital, atau dari hospital tanpa pakar ke hospital berpakar di dalam negeri atau zon yang sama ataupun ke hospital yang menjadi Pusat Rujukan Nasional (National Referral Center). Pesakit yang telah dirawat, akan dirujuk semula ke hospital asal bagi proses penyembuhan atau rehabilitasi, atau dibenarkan balik ke rumah bagi yang sembuh. Bagi pesakit yang disahkan oleh Pegawai Perubatan berisiko menggunakan jalan darat disebabkan keadaan penyakitnya dan jarak yang jauh, penggunaan pengangkutan udara adalah alternatif terbaik. Ia bagi mengurangkan risiko perjalanan terhadap pesakit dan memastikan pesakit sampai dengan segera ke hospital rujukan bagi menerima rawatan. Pesakit yang layak akan dibantu menerusi tatacara pemberian Waran Perjalanan Udara Awam bagi pembelian tiket kapal terbang. Perkhidmatan ini sering digunakan oleh hospital-hospital kerajaan di Jabatan Kesihatan negeri Sabah dan Sarawak.
Apa Itu Waran Perjalanan Udara Awam
Waran Perjalanan Udara Awam adalah pesanan yang dikeluarkan oleh pihak hospital kepada agensi-agensi syarikat penerbangan. Selepas menerima dokumen Waran Udara ini agensi-agensi tersebut menyediakan tiket penerbangan bagi pesakit seperti yang dipohon oleh pihak hospital berpandu kepada Panduan Pengguna eSPKB Jabatan Akauntan Negara. Dalam konteks artikel ini, waran udara ini merujuk kepada bantuan tiket kapal terbang kepada pesakit yang layak dan mendapat rawatan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kriteria-Kriteria Pesakit Yang Layak Mendapat Bantuan
Pemberian bantuan Waran Perjalanan Udara Awam bukanlah merupakan suatu kemudahan untuk semua pesakit di hospital kerajaan. Kemudahan ini diberi kepada mereka yang tidak mampu dan benar-benar memerlukan serta memenuhi kriteria yang berikut:
- Pesakit Warganegara Malaysia
- Pesakit berpendapatan rendah atau kurang berkemampuan dan tidak mendapat bantuan kos perjalanan dari mana-mana organisasi kewangan
- Status sosioekonomi pesakit dan keluarga dinilai dan disokong oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) atau pegawai yang dilantik oleh Pengarah Hospital (jika hospital tidak mempunyai PKSP).
- Pesakit yang dirujuk oleh hospital atau klinik kerajaan.
- Pesakit yang bukan terdiri dari penjawat awam atau pesara kerajaan atau kakitangan swasta yang mendapat faedah perjalanan dari jabatan dan majikan masing-masing.
Prosedur Permohonan
Pegawai Perubatan perlu merujuk pesakit yang memerlukan bantuan tiket penerbangan ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital. Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan membuat penilaian status sosioekonomi dan kemampuan pesakit dan keluarga. Semasa penilaian dijalankan, pesakit atau keluarga perlu membawa dokumen-dokumen yang diperlukan seperti dokumen pengenalan diri, penyata gaji, bil utiliti, resit perbelanjaan dan bayaran penyata ansuran. Dokumen ini perlu bagi memastikan pesakit jujur dan ikhlas dalam pemberian maklumat..Penilaian juga mengambilkira sama ada bantuan diberi kepada pesakit saja ataupun bersama pengiring keluarga (sekiranya perlu).
Urusan Penerbangan Bagi Pesakit Dengan Keperluan Khas
Tidak semua pesakit yang menggunakan pengangkutan kapal terbang adalah stabil dan boleh berjalan. Bagi pesakit yang mempunyai keperluan khas seperti kerusi roda, stretcher dan oksigen dalam perjalanan, perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada pihak Klinik dan Pengurusan penerbangan Malaysian Airlines System (MAS). Pakar atau Pegawai Perubatan yang merujuk pesakit perlu mengisi Borang Medical Information Form For Air Travel Handling Information (MEDIF). Pihak PKSP akan menyelaras Borang MEDIF dengan pihak MAS bagi mendapat keperluan khas serta kelulusan penerbangan pesakit berkaitan. Peruntukan untuk tiket pesakit serta pengiring (Keluarga / Pegawai Perubatan) adalah daripada Hospital perujuk.
Kemudahan Pengangkutan Menghantar Dan Mengambil Pesakit Di Lapangan Terbang
Pesakit yang berada di wad akan dihantar menggunakan ambulans hospital perujuk ke lapangan terbang mengikut tarikh dan masa penerbangan. Pihak penerbangan MAS yang telah ambil maklum mengenai pesakit yang mempunyai keperluan khas akan menyelaras perjalanan pesakit bermula daripada kaunter masuk, boarding sehingga ketibaan di lapangan terbang tempat rujukkan. PKSP daripada Hospital yang merujuk akan menghantar melalui Fax Borang ‘Permohonan Ambulans Mengambil Pesakit di Lapangan Terbang’ di tempat rujukan dengan maklumat keperluan khas pesakit jika ada. PKSP juga akan menghubungi Unit Pengangkutan Hospital yang dirujuk melalui telefon bagi memastikan penerimaan permohonan ambulans bagi pesakit yang berkaitan.. Bagi pesakit luar yang stabil, urusan pengangkutan ke lapangan terbang akan diuruskan sendiri oleh pesakit.
Rujukan
- Ibu Pejabat Kesihatan Negeri Sarawak, Permohonan Untuk Mengeluarkan Waran Perjalanan Udara Awam Bagi Kemudahan Mengunjungi Semenanjung Malaysia (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1980)
Semakan Akhir | : | 22 Disember 2014 |
Penulis | : | Hamzah Bin Bolhan |
Akreditor | : | Durin Edward |