A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Batu Karang

Pengenalan

Air kencing terbentuk di dalam buah pingggang mengalir melalui struktur tiub yang dipanggil ureter ke pundi kencing sebelum dikeluarkan. Batu karang atau kalkuli boleh ditemui di mana saja pada buah pinggang, ureter atau pundi kencing. Di Malaysia batu karang biasa ditemui di bahagian atas saluran kencing ( buah pinggang dan ureter). Kekerapan batu karang ini adalah 10%-20% di Asia berbanding dengan 15%-18% di negara barat.

Batu karang dalam pundi kencing

Batu karang terbentuk apabila terdapat kepekatan yang tinggi bahan-bahan tertentu di dalam air kencing yang menyebabkan terbentuknya kristal. Biasanya air kencing mempunyai bahan yang dipanggil ‘penghalang’ yang menghalang pembentukan batu karang, tetapi ada setengah kes ia tidak berfungsi. Kepekatan air kencing yang tinggi ini biasa terjadi pada mereka yang sering kali kekeringan (dehydrasi) kerana kurang pengambilan cecair. Sebahagian daripada mereka mungkin mempunyai paras bahan ini yang lebih tinggi dari paras normal di dalam darah dan meningkatkan jumlah bahan ini di dalam air kencing. Jangkitan salur kencing yang berulang kali juga menggalakkan pembentukan batu karang. Apabila terdapat halangan pada saluran air kencing seperti pembesaran kelenjar prostat, takungan air kencing akan menyebabkan berlakunya jangkitan dan pembentukan batu karang yang berulang-ulang. Sebahagian pesakit mungkin dilahirkan dengan saluran air kencing yang tidak normal yang menyebabkan halangan pada saluran air kencing.

Ada beberapa jenis batu karang, antaranya ialah kalsium oxalate, asid urik dan cystine. Batu jenis struvite pula terdiri daripada magnesium, ammonia dan fosfat bercampur dengan karbonat. Ini dikenali juga sebagai batu jangkitan. Di Malaysia, batu jenis kalsium oxalate, asid uric dan batu jangkitan biasa di temui.

Gejala dan Tanda

Batu karang di buah pinggang biasanya tidak menyebabkan kesakitan dan mungkin ditemui secara tidak sengaja semasa pemeriksaan ultrasound atau x-ray abdomen untuk sebab-sebab yang lain. Batu yang kecil mungkin boleh keluar tanpa rasa sakit atau mungkin menyebabkan rasa sakit yang teramat sangat daripada belakang hingga ke kemaluan dengan rasa mual dan muntah yang biasanya disebut sebagai ‘Renal Colic’. Ini berlaku apabila batu itu bergerak melalui saluran ureter yang sempit yang mengecut untuk mengeluarkannya. Setengah pesakit akan merasa sakit yang tajam pada testikel mereka atau sepanjang zakar mereka semasa kencing. Mereka biasanya dapat mengesan adanya darah di dalam air kencing.

Batu yang lebih besar yang tidak boleh keluar dengan sendiri mungkin tersekat di dalam ureter dan menyebabkan halangan. Ini akan menyebabkan sakit yang berterusan dan mungkin demam jika terdapat jangkitan kuman. Biasanya pesakit batu karang di buah pinggang akan merasa sakit dan sengal-sengal di belakang. Sakit ini tidak dipengaruhi oleh pergerakan atau perubahan postur yang biasanya disebabkan oleh sakit yang berpunca dari tulang ataupun otot.

Penyiasatan

90% batu karang boleh dikesan dengan x-ray abdomen. Ini biasanya diikuti dengan siri x-ray yang di ambil selepas sejenis pewarna disuntik ke dalam badan. Prosedur yang dikenali sebagai Intravenous Pyelogram (IVP) ini digunakan untuk melihat pada paras mana batu karang tersebut berada dan kemungkinan adanya halangan. Ujian Ultrasound pula akan diadakan jika batu karang disyaki tetapi tidak dapat dilihat dengan x-ray. Kaedah yang lebih tepat adalah dengan imbasan CT (CT Scan) abdomen, tetapi ini hanya ada di hospital yang besar sahaja.

Satu siri ujian darah dijalankan untuk menilai fungsi buah pinggang, paras asid urik dan kalsium di dalam darah. Ujian air kencing pula dijalankan untuk melihat jika ada jangkitan kuman, keasidan atau alkali. Dalam setengah kes, juga untuk memeriksa paras kalsium, oxalate dan asid urik.

X-ray abdomen

Intravenous Pyelogram (IVP)

Komplikasi

Batu karang di buah pinggang atau ureter akan menyebabkan halangan. Ini akan mengundang jangkitan kuman pada buah pinggang dan dalam kes yang teruk pembentukan nanah. Jangkitan ini boleh merebak ke dalam darah dan pesakit akan jadi sangat teruk kerana urosepsis. Ini adalah kecemasan dan pesakit tersebut perlu rawatan dengan antibiotik dan halangan tersebut perlu di atasi dengan memasukkan tiub ke dalam ureter untuk melepasi ureter atau memasukkan tiub ke buah pinggang untuk mengalirkan air kencing yang dijangkiti kuman. Halangan yang kronik akan merosakkan buah pinggang dan jika berlaku pada kedua-dua buah pinggang pesakit tersebut akan mengalami kegagalan buah pinggang. Jika ada batu karang, tetapi tidak menghalang aliran air kencing juga boleh menyebabkan jangkitan yang berulang-ulang yang di namakan Pyelonephritis.

Begitu juga dengan batu karang di pundi kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman. Batu ini boleh menjadi penghalang dengan tersekat pada pangkal pundi kencing, di bahagian pundi kencing bersambung dengan urethra iaitu saluran kencing di dalam zakar, atau di dalam urethra sendiri. Dalam situasi ini, pesakit tersebut akan menghadapi kesukaran membuang air kecil dan terdapat pengumpulan air kencing. Jika ia berlaku untuk tempoh yang lama tekanan kebelakang mungkin akan memberi kesan kepada ureter dan buah pinggang yang akan menyebabkan kegagalan buah pinggang. Otot pada pundi kencing yang gagal mengeluarkan halangan tersebut akan meregang dan kemudiannya menjadi kegagalan otot. Ini adalah penting kerana pesakit mungkin tidak dapat mengeluarkan air kencing dari pundi kencing biarpun batu tersebut telah dikeluarkan.

Dalam kes yang jarang berlaku, terdapat gangguan berterusan oleh batu karang pada permukaan dalam pundi kencing dan akan menyebabkan kanser.

Rawatan

Kebanyakan batu karang yang kurang dari 4mm akan keluar dengan sendiri. Tetapi pesakit akan memerlukan intervensi/rawatan jika batu itu tidak keluar selepas tempoh pemerhatian dan berterusan menyebabkan kesakitan. Batu tersebut mungkin akan membesar atau menyebabkan komplikasi seperti halangan dan jangkitan. Kadangkala batu karang tersebut tidak menyebabkan kesakitan tetapi menyebabkan fungsi buah pinggang semakin teruk. Rawatan batu karang ini bergantung kepada lokasi, saiz dan jenis batu karang tersebut.

Extracorporeal Shockwave Lithotripsy (ESWL)

Ini adalah prosedur yang biasa dijalankan di mana pesakit akan baring di atas meja khas dan gelombang yang dikeluarkan oleh sejenis mesin menembusi badan pesakit dan memecahkan batu itu kepada ketulan-ketulan kecil. Pesakit itu akan mengeluarkan serpihan batu ini apabila kencing. X-ray atau ultrasound digunakan untuk mengesan lokasi batu karang tersebut. Prosedur ini sesuai untuk batu karang yang kurang dari 2 cm dan kebanyakan batu karang di dalam ureter boleh dilihat dengan x-ray.

Ini adalah prosedur pesakit luar dan biasanya pesakit akan diberi suntikan penahan sakit dan ubat tidur. Batu yang lebih besar memerlukan beberapa kali siri rawatan.

Kesan lebam mungkin boleh dilihat di bahagian belakang. Lazimnya terdapat kencing berdarah, kadangkala pendarahan ini akan menyebabkan darah beku yang besar di sekeliling atau di dalam buah pinggang. Jika terlalu besar, ia akan menekan buah pinggang. Jangkitan boleh berlaku dan pesakit akan demam dan sakit belakang. Serpihan batu itu mungkin tidak keluar kesemuanya dan akan membentuk jalur yang menghalang ureter. Oleh kerana itu tiub akan dimasukkan untuk mengeluarkan air kencing dari pundi kencing dan buah pinggang sebelum ESWL.

Extracorporeal Shockwave Lithotripsy (ESWL)

Percutaneous Nephrolithotomy

Dalam prosedur ini doktor akan melakukan hirisan kecil pada belakang pesakit di bahagian buah pinggang untuk membentuk satu laluan bagi memasukkan sejenis alat yang berteleskop. Batu karang dilihat dan dipecahkan dengan sumber kuasa seperti laser, ultrasound atau angin. Di akhir prosedur, pesakit akan ada tiub sementara untuk mengeluarkan air kencing. Prosedur ini dijalankan dengan bius penuh, sesuai untuk batu karang yang lebih besar dari 2 cm dan yang gagal ESWL.

Komplikasi yang biasa berlaku adalah jangkitan dan pendarahan semasa atau selepas prosedur. Kadangkala agak mustahil untuk mengeluarkan kesemua batu karang tersebut dan pesakit perlu menjalani prosedur kecil melalui hirisan yang sama untuk mengeluarkan baki batu tersebut.

Ureteroscopy

Prosedur ureteroscopy melibatkan memasukkan sejenis alat melalui urethra, pundi kencing dan ke dalam ureter. Batu karang akan dipecahkan, dikeluarkan dan tiub sementara akan dipasang dalam ureter untuk mengeluarkan air kencing. Prosedur ini dilakukan dengan bius penuh dan sesuai untuk batu karang dalam ureter yang besar, tidak dapat dilihat dengan x-ray atau gagal dipecahkan dengan ESWL. Komplikasi yang biasa termasuk kecederaan pada ureter, jangkitan dan pendarahan.

Pembedahan Terbuka

Ini jarang dilakukan sekarang kerana kebanyakan batu boleh dikeluarkan dengan cara yang lebih mudah. Untuk pesakit yang mempunyai batu karang yang besar, ia masih lagi menjadi pilihan. Kadangkala apabila buah pinggang dengan batu karang ini menjadi berparut dan tidak berfungsi dengan baik, ia akan dikeluarkan. Masih lagi ada peranan pembedahan terbuka untuk membuang batu karang yang besar.

Pencegahan

Apabila pesakit telah ada batu karang, dia mempunyai risiko untuk pembentukan batu karang lagi. Pesakit dinasihatkan untuk meminum sekuarng-kurangnya 2-3 liter air untuk memastikan diri mereka cukup air dan mencairkan air kencing mereka. Panduan yang baik ialah apabila kencing, warnanya jernih seperti air. Nasihat ini lebih penting kita di iklim panas ini.

Perubahan dalam pemakanan mungkin diperlukan untuk mencegah pembentukan batu karang. Diet yang kaya dengan protein mungkin akan meningkatkan pengeluaran kalsium oxalate dan asid urik dalam air kencing. Pesakit yang mempunyai batu karang jenis asid urik dinasihatkan untuk mengurangkan makanan yang kaya dengan purine seperti daging merah, makanan laut dan alkohol. Tidak ada halangan untuk mengambil makanan tenusu yang kaya dengan kalsium untuk mencegah batu karang jenis kalsium, tetapi biarlah bersederhana. Makanan seperti coklat, kopi dan bayam kaya dengan oxalate dan patut dikurangkan pengambilannya untuk mereka yang berulangkali membentuk batu karang jenis oxalate. Dalam keadaan lain pesakit mungkin perlu mengambil ubat untuk mencegah pembentukan batu karang jenis kalsium dan asid urik. Ubat allupurinol mungkin berguna bagi yang masih mempunyai masalah batu karang jenis asid urik biarpun dengan mengawal makanan. Ini biasanya dengan kombinasi ubat untuk mengurangkan keasidan air kencing.

Kumpulan Sokongan

Semakan Akhir : 27 April 2012
Penulis : Dr. Susan Woo
Penyemak : Dr. Sunita a/p Bavanandan

 

Artikel Berkaitan

Chlamydia

Chlamydia adalah jangkitan bakteria yang kerapkali berlaku di Malaysia. Ia dikategorikan sebagai penyakit kelamin yang berjangkit melalui hubungan seks.

Kanser Tulang

Pengenalan Pengenalan , Definasi & Epidemiologi Badan kita mempunyai lebih

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,752

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia