Pengenalan
Batuk kering atau Tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis yang selalunya menjangkiti paru-paru. Namun, ia juga boleh menjangkiti bahagian badan yang lain seperti tulang, sendi, organ pembiakan dan perkumuhan, usus, kulit, selaput otak (tuberculous meningitis) dan lain-lain.
TB adalah salah satu masalah kesihatan utama di seluruh dunia. Ia juga merupakan penyakit berjangkit yang muncul semula. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan:
- 1/3 dari penduduk dunia dijangkiti TB
- Hampir 9 juta orang menghidap penyakit TB setiap tahun
- 2 juta kematian setiap tahun
- Penyebab utama kematian dari agen tunggal dalam kalangan orang dewasa di negara membangun
- Kadar insiden adalah tinggi di benua Afrika, Asia dan Amerika Selatan
Risiko jangkitan adalah berbeza-beza antara negara. Di benua Afrika dan Asia, jangkitan HIV telah meningkatkan morbiditi dan mortaliti TB. TB rentan ubat-ubatan pula kini semakin meningkat di kebanyakan tempat di seluruh dunia.
Risiko dijangkiti untuk individu yang sering melakukan lawatan ke keluar negara adalah terhad tetapi mereka dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari terdedah kepada pesakit TB apabila berada di kawasan yang sesak (hospital, penjara atau tempat perlindungan).
Risiko jangkitan TB didalam penerbangan adalah sama dengan kawasan tertutup yang lain.
Agen penyebab: Mycobacterium tuberculosis, iaitu bakteria berbentuk rod Manusia juga boleh dijangkiti tuberculosis bovine yang disebabkan oleh M. bovis.
Cara jangkitan: Melalui udara apabila seorang pesakit yang menghidap tibi batuk atau bersin, bacteria ini boleh menjangkiti individu yang berada berhamoiran dengan pesakit Tibi tersebut.. TB Bovine (yang disebabkan oleh Mycobacterium bovis) menular melalui pemakanan yang tercemar, produk tenusu yang tidak dipasteur dari lembu yang dijangkiti.
M.tuberculosis boleh berjangkit, tetapi kebanyakan jangkitan tidak menyebabkan penyakit. Risiko mendapat penyakit adalah 5 hingga 10% semasa hayat, tetapi boleh meningkat disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya faktor kurangnya daya ketahanan tubuh (contohnya jangkitan HIV).
Tempoh pengeraman: 2 hingga 10 minggu
Tanda dan Gejala
- Batuk berterusan melebihi dua (2) minggu
- Batuk berkahak dan kadang-kala berdarah
- Hilang selera makan dan susut berat badan
- Demam
- Sukar bernafas (Dispnea)
- Berpeluh di waktu malam
- Sakit dada
- Suara serak
Diagnosia
Diagnosa makmal dilakukan melalui pemeriksaan kahak pesakit Tibi (sputum Asid fast bacilli0 atau pemeriksaan cecair atau dalam tisu badan yang lain.
Diagnosa penyakit TB turut disahkan dengan cara pengkulturan M. tuberculosis dari kahak atau spesimen pernafasan yang lain untuk TB pulmonari dan cecair atau tisu badan lain yang terjejas untuk TB luar pulmonari.
Secara purata, ia mengambil masa 2 hingga 4 minggu untuk proses kultur dan mengenal pasti M. tuberkulosis, walaupun menggunakan teknik kultur yang cekap.
Diagnosa penyakit TB dilakukan berdasarkan kriteria klinikal sekiranya tiada pengesahan mikrobiologi.
Komplikasi
- Batuk berdarah (hemoptysis)
- Udara dalam paru-paru (pneumothorax)
- Paru-paru bernanah (empyema)
Rawatan
Penyakit TB dirawat dengan rawatan pelbagai ubat selama 6 bulan (isoniazid, rifamipicin, ethambutol dan pyrazinamide selama 2 bulan, diikuti dengan isoniazid dan rifamipicin selama 4 bulan).
Bagi TB rentan ubat.(Drug resisant) lebih sukar dirawat. Ia memerlukan 4 hingga 6 jenis ubat selama 18 sehingga 24 bulan dan rawatan pula perlu dilakukan oleh pakar yang terlatih.
Kriteria kemasukan pesakit ke hospital
- Pesakit tenat
- TB sebaran akut
- TB yang melibatkan sistem saraf pusat, perikardium, adrenal dan tulang belakang
- TB rentan pelbagai ubat (Multi-drug resistant)
- Pesakit yang tidak patuh dengan regimen rawatan
- Pesakit dengan komplikasi penyakit lain
- Pesakit turut menghidap penyakit berkaitan diabetes tidak terkawal dan kegagalan buah pinggang
- Pesakit mengalami kesan sampingan ubatan yang teruk seperti alahan kulit yang teruk atau jaundis
- Pesakit yang perlu mengurangkan kesan buruk (desensitisasi) ubat anti-tuberkulosis
Rawatan Di bawah Pemerhatian Langsung (Directly Observed treatment – DOTS)
Satu regimen rawatan TB di bawah pengawasan petugas kesihatan atau sesiapa yang dilatih dalam tempoh 6 bulan untuk memastikan pesakit mengambil setiap dos ubat.
Pencegahan
Imunisasi Bacille Calmette Guerin (BCG) diberikan kepada semua bayi yang baru lahir kecuali bayi yang mempunyai kontraindikasi seperti ibu HIV positif, bayi kurang berat badan. (semua bayi yang mempunyai kontraindikasi akan diberikan imunisasi BCG setelah mendapat pandangan daripada pakar kanak-kanak)
Revaksinasi BCG diberikan kepada bayi atau kanak-kanak yang berumur sehingga 15 tahun jika telah diberikan imunisasi BCG tetapi tidak mempunyai parut BCG, mempunyai parut pinpoint iaitu kurang dari 2mm dan tidak pernah mendapat imunisasi BCG.
Perlindungan vaksin bermula selepas 4 hingga 6 minggu. Dos tambahan tidak diperlukan. Imunisasi BCG telah terbukti memberi 70 hingga 80% perlindungan terhadap meningitis TB.
Jenis vaksin: Vaksin hidup tubercle bacilli
Bilangan dos:
Satu Dos
Bayi kurang dari 1 tahun : 0.05ml
Kanak-kanak berumur dari 1 tahun sehingga 15 tahun :0.1ml
Secondary BCG telah diberhentikan bermula 1 Julai 2002.
Cara pemberian : Intradermal
Kontraindikasi:
- Jangkitan simptomatik HIV
- Penyakit kulit yang teruk
- Demam tinggi melebihi 38°C
- Kurang Berat badan <1.8 kg
- Neonatal jaundis
Kesan sampingan :
- Papule pada 1 minggu
- Ulser 2-6 minggu. Sembuh dalam masa 12 minggu dan akan membentuk parut
Komplikasi :
- Lelehan dari parut dalam masa kurang dari 1 minggu contohnya saiz ulser 10 mm, lambat sembuh (lebih dari 12 minggu)
- Pembesaran kalenjar/ nanah di tempat suntikan atau subcutaneous.
- Parut keloid – rujuk doctor jika terjadi sebarang komplikasi.
Langkah berjaga-jaga
Individu yang melawat negara bukan endemik mempunyai risiko yang rendah untuk dijangkiti.Anggota kesihatan yang bertugas secara langsung dengan pesakit tibi dinasihatkan menggunakan alat pelindung pernafasan (contoh: N95).
Individu dari negara dengan insiden TB yang rendah boleh dijangkiti semasa membuat lawatan ke negara dengan insiden TB yang tinggi (contoh:anggota kesihatan, pekerja bantuan kemanusiaan dan mubaligh (missionaries). Mereka dinasihatkan menjalani ujian asas TB pada kulit untuk membandingkan hasil ujian selepas kembali dari membuat lawatan.
Jika ujian menunjukkan jangkitan, individu perlu mendapatkan nasihat dan rawatan dari pegawai perubatan.
Pesakit yang sedang menjalani rawatan penyakit TB
PESAKIT DILARANG melakukan sebarang lawatan ke luar sehingga doktor yang merawat membuktikan bahawa pesakit tidak lagi infectious dan tidak berisiko menjangkiti orang lain.
Pesakit dinasihatkan agar MEMATUHI REGIMEN RAWATAN YANG DIITETAPKAN.
Rujukan / sokongan:
- International Travel & Health, WHO 2013
- Control of Communicable Diseases Manual, 18th Edition by David L. Heymann, MD, Editor, 2004
- Clinical Practice Guidelines, Management of Pulmonary Tuberculosis, Ministry of Health Malaysia, 2002.
- Clinical Practice Guidelines, Management of Tuberculosis (3rd edition), Ministry of Health Malaysia, 2012
- WHO. Global tuberculosis control-surveillance, planning, financing: WHO Report 2007. Geneva: World
- Health Organization; 2007.
- http://travelhealth.co.uk/
- Manual Sistem Maklumat Tibi Kebangsaan (National Tuberculosis Information System BCG-TBIS BCG). Unit Kawalan Tibi / Kusta, Bhgn Kawalan Penyakit, KKM. 2004
- BCG Pratical Manual. National Tuberculosis Control Programme
- Panduan Program Imunisasi Kebangsaan Bayi dan Kanak-Kanak Untuk Anggota Kejururawatan. Bhgn Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM 2008
Semakan Akhir | : | 14 November 2014 |
Penulis | : | Dr. Norhayati bt. Rusli |
Penterjemah | : | Noorhayati bt. Kassim |
Akreditor | : | Dr. Norhayati bt. Rusli |