A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Bayi Tabung Uji :...

Bayi Tabung Uji : IVF

Pengenalan

Persenyawaan In Vitro (IVF) atau bayi tabung uji merupakan satu teknologi bantuan reproduktif bagi membantu pasangan yang mengalami masalah kesuburan. Proses ini melibatkan persenyawaan ovum atau oosit oleh sperma di luar badan manusia selepas teknik bantuan reproduktif yang lain telah menemui kegagalan.

Sejarah

Kajian mengenai permanian beradas telah bermula sejak tahun 1909 lagi. Namun, hanya pada tahun1965, seorang saintis dari British, Robert Edward telah berjaya mensenyawakan ovum melalui teknik in vitro ini dengan kerjasama  Howard dan Georgeanna Jones  yang bekerja di dalam bidang IVF di Amerika. Bagi membolehkan persenyawaan in vitro ke atas manusia dilakukan, Edwards telah bekerjasama dengan seorang pakar sakit puan di Oldham, England, Patrick Steptoe. Steptoe telah memperkenalkan teknik pembedahan laparoskopi di abdomen bagi membolehkan pengambilan ovum dilakukan.

Pada 1975, Edward dan Steptoe telah berjaya menghasilkan kehamilan luar rahim melalui teknik IVF dan telah mengalami keguguran. Kemudian, pada tahun 1977, seorang pesakit Steptoe bernama Lesley Brown yang mengalami masalah kegagalan tiub fallopian telah menjalani pembedahan untuk mengambil ovum atau oosit. Ovum yang telah disenyawakan berkembang menjadi lapan sel embrio dan dimasukkan semula ke dalam rahim Lesley selepas dua hari persenyawaan.

Pada Disember 1977, Lesley telah disahkan hamil melalui pemindahan ovum yang telah disenyawakan melalui kaedah in vitro tersebut. Bayi tabung uji yang pertama ini mencipta sejarah apabila dilahirkan pada 25 Julai 1978 dan diberi nama Louise Joy Brown.             

Kaedah

Proses rawatan bermula dengan merangsang ovari untuk menghasilkan folikel yang banyak. Proses hiperstimulasi ovari ini, adalah bergantung kepada umur, protokol dan dos FSH (follicular stimulating hormone) yang diberikan. Analog FSH yang disuntik akan diperhatikan dan dipantau secara berkala termasuk pemantauan perkembangan folikel sehingga hari ke 10 suntikan.

Suntikan hCG (human chorionic gonadotropin) akan diberi kepada pesakit bagi membantu mematangkan ovum dan diikuti dengan prosedur pengambilan ovum selepas 34 hingga 36 jam hCG telah diberikan. Pengambilan ovum akan dilakukan melalui vagina dengan berpandukan imbasan ultrasound. Cecair folikel akan dipindahkan kepada embriologis bagi mengenalpasti kehadiran oosit.

Sperma akan diproses di dalam makmal sebagai persediaan persenyawaan dengan menyingkirkan cecair seminal dan sel yang tidak aktif.  Sperma dan oosit akan dieramkan bersama selama 1 hingga 4 jam bagi membolehkan persenyawaan berlaku. oosit yang telah bersenyawa akan diperhatikan melalui kehadiran dua pronuklei. Kemudian, embrio akan dipindahkan ke dalam media yang khusus sekurang-kurangnya 48 jam sehingga berkembang menjadi enam hingga lapan sel embrio.  Teknik menyuntik seekor sperma ke dalam oosit (ICSI) akan dilakukan bagi membolehkan persenyawaan berlaku bagi pesakit yang mengalami masalah kekurangan bilangan sperma.   

Perkembangan embrio selepas persenyawaan akan diperhatikan sehingga embrio dimasukkan ke dalam rahim ibu dengan menggunakan kateter halus melalui vagina. Embriologis akan mendokumenkan bilangan sel, perkembangan dan peratusan fragmentasi embrio. Usia dan bilangan embrio yang akan dipindahkan semula ke dalam rahim ibu, bergantung kepada bilangan embrio yang berkualiti, umur pesakit wanita dan pelbagai faktor kesihatan yang lain.

Indikasi

Teknik IVF disyorkan kepada wanita yang sudah berkahwin selama 2 tahun dan masih belum dikurniakan zuriat mungkin disebabkan kegagalan  tiub fallopian atau ketidaksuburan yang tidak dikenalpasti. 

Kejayaan IVF memerlukan; ovum yang sihat dan baik, sperma yang mampu mensenyawakan ovum dan rahim yang mampu meneruskan kandungan. Selepas teknik bantuan rawatan yang lebih murah(IUI) masih gagal, prosedur IVF akan disyorkan kepada pasangan tersebut.

Kaedah ICSI akan digunakan bagi masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki disebabkan masalah seperti kekurangan dalam kuantiti dan kualiti sperma, dan sperma yang tidak mampu memasuki ovum. Kaedah ICSI mampu meningkatkan kadar kejayaan  in vitro

Komplikasi prosedur IVF

  1. Kelahiran lebih dari satu

    Kelahiran lebih dari satu adalah merupakan risiko yang terbesar hasil dari prosedur IVF. Ini disebabkan oleh bilangan embrio yang dipindahkan lebih dari satu. Keadaan ini turut berkait dengan risiko yang lain seperti keguguran, komplikasi obstetrik, bayi pramatang dan morbiditi neonatal.
     

  2. Kecacatan sewaktu kelahiran

    Tiada hubungan yang pasti antara kecacatan sewaktu kelahiran dengan rawatan infertiliti seperti prosedur IVF. Namun begitu, terdapat faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan ini, seperti umur ibu, keturunan, keadaan genetik dan keadaan persekitaran yang menyebabkan kegagalan ini berlaku.

Kadar kejayaan

Faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan kandungan dan kadar kelahiran di kalangan pesakit IVF adalah bergantung kepada umur ibu. Umur yang optima untuk menjalani rawatan ini adalah pada umur 23 hingga 42 tahun.  

  1. Kehamilan

    Peratusan pesakit yang berjaya hamil melalui prosedur IVF adalah tinggi bagi yang berumur 35 tahun ke bawah dengan 35 hingga 45 % kejayaan. Peratusan kejayaan ini akan berkurangan seiring dengan peningkatan usia wanita tersebut.
     

  2. Kadar Kelahiran

    Kadar kelahiran bagi pasangan yang masih muda dengan usia 21 tahun dan ke bawah, adalah dari 30 hingga 35 %. Bagi mereka yang lebih berusia seperti 37 tahun, kadar kelahiran dicatatkan ialah 20 hingga 27.4 % manakala bagi mereka yang berusia 48 tahun, hampir tiada kelahiran bayi dapat dicatatkan. 

Faktor kegagalan

  1. Tekanan perasaan

    Tiada sebarang kajian membuktikan bahawa tekanan perasaan mempengaruhi kejayaan prosedur IVF. Namun begitu, pesakit yang melalui prosedur IVF atau sebarang masalah infertiliti boleh mengalami tekanan perasaan, kemurungan dan seterusnya menyebabkan ketidakstabilan hormon.
     

  2. Lain-lain faktor

    Terdapat pelbagai faktor lain yang terlibat dalam kejayaan dan kegagalan IVF seperti kualiti sperma, kadar fragmentasi DNA, merokok, indeks jisim tubuh (BMI)  tidak normal yang mungkin boleh mengakibatkan keguguran, diabeties, tekanan darah tinggi atau hipertensi, tromboembolisma, atau sebarang komplikasi sewaktu melahirkan. Kuantiti dan kualiti embrio yang dimasukkan ke dalam rahim ibu tersebut turut mempengaruhi kejayaan IVF.

 

Semakan Akhir : 22 Oktober 2014
Penulis : Siti Norfaizah bt. Wagiman
Akreditor : Krishnan a/l Kanniah

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia