A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Bedah Siasat : Medikolegal...

Bedah Siasat : Medikolegal vs Klinikal

Istilah bedah siasat dalam amalan perubatan membawa maksud pemeriksaan secara pembedahan dan sebagainya dilakukan keatas mayat atau jasad untuk mengetahui atau mengenal pasti punca kematian

Pengenalan

Istilah bedah siasat dalam amalan perubatan membawa maksud pemeriksaan secara pembedahan dan sebagainya dilakukan keatas mayat atau jasad untuk mengetahui atau mengenal pasti punca kematian. Perkataan lain yang lazim digunakan yang membawa maksud yang sama dengan bedah siasat adalah seperti autopsi, postmortem dan necropsy.

Autopsi berasal daripada perkataan Greek iaitu autopsia yang membawa maksud ‘untuk melihat sendiri’ (to see for oneself). Albreacht von Haller (1756), seorang anatomis dan pengamal ilmu perubatan dari Switzerland berpendapat bahawa autopsi adalah suatu tindakan seseorang untuk memahami dan menerangkan berdasarkan sesuatu pemerhatian. Pemerhatian yang dimaksudkan ialah ke atas jasad atau mayat.

Mengikut tafsiran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bedah siasat bermaksud suatu pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan ke atas mayat. Pemeriksaan ini melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenalpasti punca kematian serta cara kematian atau bagaimana perubahan dihasilkan oleh sesuatu penyakit, kimia, radiasi, kemalangan, kecederaan dan lain-lain. Matlamat utama bedah siasat adalah untuk menjawab persoalan yang timbul tentang bagaimana dan mengapa seseorang individu boleh mati.

Undang-Undang Malaysia

Undang-undang Malaysia mempunyai peruntukan khas dibawah Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) merujuk kepada Seksyen 329 yang mempertanggungjawabkan pegawai polis (berpangkat sarjan dan ke atas) untuk menyiasat sebarang kes kematian yang dilaporkan. Sekyen 330 pula memberi kuasa kepada pegawai polis tersebut untuk merujuk pegawai perubatan kerajaan yang terdekat untuk menjalankan pemeriksaan bedah siasat jika terdapat keraguan atau perlakuan jenayah ke atas kematian yang dilaporkan. Dan Sekyen 331(1) menyatakan sebaik sahaja maklumat daripada pegawai penyiasat polis diterima, pemeriksaan bedah siasat hendaklah dijalankan secepat yang mungkin.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang Pegawai Perubatan Kerajaan yang bertugas di hospital kerajaan untuk melakukan pemeriksaan bedah siasat setelah diminta oleh pegawai polis yang menyiasat.

Hukum Islam

Walaupun bedah siasat adalah haram mengikut hukum Islam, namun demikian ia masih dibolehkan jika memenuhi syarat yang telah digariskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi terbitan berjudul Garis Panduan Bedah Siasat Mayat Menurut Perspektif Islam. Buku ini diterbitkan setelah dua fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1989 dan 2004 (JAKIM, 2005):

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-25 (13 Disember 1989):

“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup”.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-61 (27 Januari 2004):

“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan darurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan”.

Bedah Siasat

Prinsip asas pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan kepada mayat atau jasad adalah untuk mengetahui dengan lebih tepat berkaitan dengan cara dan penyebab yang paling mungkin keatas sesuatu kejadian kematian. Ini adalah kerana kematian yang berlaku boleh disebabkan oleh pelbagai faktor dan cara.

Sebagai contoh kematian boleh disebabkan oleh jangkitan penyakit yang diketahui atau yang belum diketahui, penyakit-penyakit semulajadi atau juga kematian yang melibatkan elemen medikolegal.

Oleh yang demikian, pemeriksaan bedah siasat secara lazimnya di kategorikan kepada 2 iaitu pemeriksaan bedah siasat klinikal dan pemeriksaan bedah siasat mediko legal.

Pemeriksaan bedah siasat kedua-dua kategori ini masih melibatkan oleh pegawai perubatan kerajaan yang bertauliah tetapi mempunyai perbezaan dari segi kepakaran yang dimiliki.

Ini adalah kerana pemeriksaan bedah siasat klinikal dilakukan atas keperluan pengetahuan dan perkembangan ilmu perubatan manakala pemeriksaan bedah siasat medikolegal dilaksanakan atas keperluan perundangan.

Keperluan Bedah Siasat

Masyarakat Malaysia secara umumnya mempunyai pelbagai pandangan terhadap keperluan pemeriksaan bedah siasat. Ada yang positif dan ada yang negatif. Walauapapun pandangan, pemeriksaan bedah siasat mempunyai keperluan dan kepentingannya dan diantaranya adalah:

  1. Memenuhi keperluan undang-undang.
  2. Untuk mengesahkan identiti si mati.
  3. Untuk mengenal pasti sebab kematian.
  4. Untuk mengetahui punca, cara dan masa kematian.
  5. Untuk menghilangkan keraguan mengenai sebab kematian.
  6. Untuk menunjukkan penyakit dan kecacatan.
  7. Untuk mengesan, menggambar dan mendokumenkan penyakit dan kecederaan luar serta dalam jasad.
  8. Mendapatkan sampel untuk dikaji seperti kajian kuman, tisu abnormal dan lain-lain.
  9. Untuk mengambil gambar dan rakaman video bagi tujuan bukti/barang kes di mahkamah.
  10. Untuk menyediakan laporan bertulis yang lengkap tentang penemuan dalam pemeriksaan mayat.
  11. Untuk memberikan perkhidmatan pakar tentang interpretasi penemuan semasa pemeriksaan mayat.
  12. Untuk memulih semula keadaan mayat yang cedera teruk sebaik mungkin sebelum diserahkan kepada waris.
  13. Untuk pengajian akedemik, menjalankan kajian dan penyelidikan dalam bidang perubatan.
  14. Untuk meningkatkan kepakaran.
  15. Untuk membuat kajian rawatan sesuatu penyakit.

Bedah Siasat Klinikal

Objektif utama pemeriksaan bedah siasat klinikal dijalankan adalah untuk mengkaji dan mengenalpasti sebab utama yang membawa kepada kematian seseorang individu setelah intervensi rawatan sewajarnya yang telah diberikan gagal untuk memulihkan atau menyelamatkan individu tersebut.

Terdapat juga situasi pemeriksaan bedah siasat klinikal akan dijalankan walaupun sebab kematian telah diketahui. Ini adalah berikutan kepada keperluan kajian keatas ciri-ciri penyakit tersebut untuk menambahkan ilmu bidang perubatan dan pemahaman berkaitan dengan penyakit tersebut.

Bedah siasat klinikal biasanya tidak melibatkan kes-kes di bawah siasatan polis.

Maklumat serta ilmu yang diperolehi daripada pemeriksaan bedah siasat klinikal serta kajian yang dijalankan tersebut akan digunakan untuk merawat dan menyelamatkan pesakit yang menghadapi masalah yang sama di masa hadapan.

Pemeriksaan bedah siasat klinikal hanya boleh dilaksanakan sekiranya waris atau ahli keluarga terdekat memberi kebenaran bertulis untuk berbuat demikian. Pihak waris perlu menandatangani borang khas untuk memberi kebenaran kepada pihak hospital untuk menjalankan bedah siasat setelah menerima penjelasan daripada doktor atau pakar yang merawat pesakit tersebut.

Pihak waris berhak menolak permohonan pihak hospital untuk bedah siasat sekiranya waris mendapati tiada keperluan atau kepentingan untuk melakukan bedah siasat. Pihak waris harus membuat keputusan setelah penilaian secara menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek yang berkaitan.

Terdapat juga situasi yang mana pemeriksaan bedah siasat akan dijalankan tanpa memerlukan kebenaran pihak waris, sekiranya kematian tersebut disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit yang melibatkan kepentingan awam. Kebenaran untuk menjalankan tertakluk kepada kuasa yang dimiliki oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sepertimana di bawah Seksyen 16, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Amalan di Malaysia bedah siasat klinikal adalah dilakukan oleh pakar patologi anatomi dan dibantu oleh doktor/pakar bedah yang merawat pesakit tersebut. Fasiliti yang digunakan adalah fasiliti Jabatan Perubatan Forensik/Unit Perubatan Forensik (yang dahulunya dikenali sebagai rumah mayat). Kakitangan sokongan Jabatan Perubatan Forensik akan turut terlibat dalam pemeriksaan bedah sisat tersebut.

Contoh kes yang dikategorikan sebagai bedah siasat klinikal ialah :-

  1. Kematian yang disebabkan penyakit berjangkit seperti COVID 19, wabak H1N1, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), AIDS, Antharaks, Japanese Encephalitis (JE) dan seumpamanya.
  2. Kematian di wad yang diketahui sebabnya tetapi memerlukan maklumat lebih lanjut mengenai sebab kematian iaitu sejauh mana sesuatu organ itu rosak/dijangkiti.
  3. Kematian ibu semasa mengandung (maternal death).

Bedah Siasat Mediko Legal

Bedah siasat medikolegal hanya akan dijalankan sekiranya permohonan pemeriksaan mayat (Borang Permintaan Pemeriksaan Mayat, Polis 61 Pindaan 4/86 diterima oleh pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan/Unit Perubatan Forensik untuk memenuhi siasatan mereka. Berdasarkan peruntukkan undang-undang dibawah Akta Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) kuasa untuk memberi kebenaran pemeriksaan bedah siasat tertakluk kepada Majistret dan pihak polis untuk kes-kes polis sahaja. Kes-kes yang sering melibatkan bedah siasat boleh di kategorikan kepada kematian yang disebabkan kemalangan, bunuh diri, bunuh, kematian semulajadi dan kematian meragukan atau kematian mengejut.

Contoh kes kematian yang melibatkan pemeriksaan bedah siasat medikolegal:

  1. Kematian yang mendadak luar biasa, disyaki bukan kes-kes biasa, akibat perlakuan jenayah seperti bunuh, dera atau seksa.
  2. Kematian mengetahui yang tidak diketahui sebab kematian dari segi perubatan.
  3. Kematian akibat kemalangan menggunakan kenderaan atau jentera.
  4. Kematian di tempat kerja; kemalangan penyakit dan keracunan ditempat kerja.
  5. Kematian akibat keracunan (e.g alcohol intoxication, insecticides etc).
  6. Kematian akibat bunuh diri.
  7. Kematian akibat penggunaan gas-gas perubatan semasa pembedahan, prosedur penyiasatan perubatan, peralatan dan teknologi yang digunakan oleh hospital/klinik dan sebagainya.
  8. Kematian akibat kemalangan di rumah, hospital/institusi/tempat umum.
  9. Kematian yang dipercayai disebabkan oleh kecuaian pegawai perubatan atau kakitangan hospital/klinik seperti kecuaian menggunakan prosedur perubatan, peralatan, ubat, rawatan dan sebagainya.
  10. Kematian semasa tahanan polis, tahanan reman, penjara atau kem-kem tahanan.
  11. Kematian di Institusi Mental, rumah sakit jiwa dan lain-lain.
  12. Kematian bayi baru lahir yang dijumpai.
  13. Kematian kanak-kanak akibat kelemasan (suffocation) nafas.
  14. Kematian berkaitan anak-anak angkat.
  15. Sebarang kematian akibat kebakaran dan letupan.
  16. Mati lemas.
  17. Sebarang kematian di luar kawasan kediaman seperti di tepi jalan, dalam sungai, perairan dan sebagainya, di mana kediaman si mati tidak diketahui.
  18. Kematian akibat dari bahan-bahan kimia dan radiasi perindustrian seperti toksid, asid, radioaktif dan sebagainya.

Pembatalan Bedah Siasat

Persoalan yang sering ditujukan kepada perkhidmatan perubatan forensik: Adakah pemeriksaan bedah siasat boleh dibatalkan sekiranya borang permintaan pemeriksaan mayat Polis 61 telah dikeluarkan oleh pihak berwajib? Seperkara yang perlu diketahui umum ialah permohonan bedah siasat hanya akan dikeluarkan sekiranya terdapat keperluan munasabah pada hemat seseorang pegawai polis atau majistret yang menjalankan siasatan terhadap kematian tersebut. Ia adalah selaras dengan peruntukkan undang-undang ada di negara kita.

Jika pihak waris membuat keputusan menolak pemeriksaan bedah siasat dillakukan atas dasar menghormati atau mematuhi kehendak atau kepercayaan agama, maka mereka boleh berbuat demikian dengan merujuk kepada majistret dan membuat permohonan untuk membatalkan pemeriksaan bedah siasat tersebut.

Jika pihak polis atau majistret membuat keputusan untuk membatal atau menarik balik, maka mereka bertangjungjawab untuk memberikan sebab kematian, bagaimana dan bila kematian itu berlaku.

Penutup

Pemeriksaan bedah siasat hanya akan dilakukan sekiranya ada keperluan yang munasabah seperti untuk mendapatkan maklumat yang penting dalam mengenal pasti dan merungkaikan kejadian sesuatu kematian. Setiap kematian perlulah diketahui lebih-lebih jika ia melibatkan elemen keganasan atau jenayah.

Rujukan

  1. Institut Perubatan Forensik Negara : http://ipfn.moh.gov.my
  2. MOH 2008: Garis Paduan Bedah Siasat Mayat Di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia
  3. DBP 2013 : Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka
  4. JAKIM 2005 : Garis Panduan Bedah Siasat Mayat Menurut Perspektif Islam
Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis : Saravanakumar a/l Maniam
Penyemak : Nurhusni binti Mohammad Room

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia