A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Penyakit Hidung, Telinga &...
  8. /
  9. Bendasing dalam Hidung, Telinga...

Bendasing dalam Hidung, Telinga & Tekak

Pengenalan

Benda asing biasanya dimasukkan secara tidak sengaja, ditelan atau disedut dan jarang berlaku pada dewasa.

Benda asing boleh tersedut tanpa disengaja dan tersekat di dalam saluran pernafasan dan paru-paru. Ini adalah situasi yang sangat bahaya dan memerlukan rawatan kecemasan perubatan dengar segera.

Benda asing boleh tertelan tanpa disengaja dan tersekat samada di tekak atau saluran makanan (esophagus).

Benda asing di dalam telinga dan hidung adalah kurang bahaya dan kurang berlaku pada orang dewasa.

Kebiasaannya, benda asing boleh dibahagikan kepada dua jenis:

Benda asing ini kurang menyebabkan reaksi setempat kecuali benda yang mengandungi bahan kimia seperti bateri.

  1. Benda asing organik; cth. Kekacang dan sayuran, serangga di dalam telinga, tulang ayam dan ikan pada tekak atau salur makanan dan kekacang pada saluran pernafasan. Benda asing jenis ini menyebabkan banyak berlaku keradangan dan risiko mendapat jangkitan
  2. Benda asing bukan organik; cth putik kapas, pin, kelip kertas di dalam telinga, gigi palsu di dalam salur makanan dan pin baju di dalam saluran pernafasan.

Sebab

Benda asing di dalam saluran pernafasan / paru-paru :

  • Benda-benda yang dihisap atau yang berada lama di dalam mulut memberi risiko tinggi untuk tercekik seperti gula-gula getah, biji bunga matahari, coklat yang keras dan pin baju.
  • Makan dalam keadaan berbaring, terutamanya sebelum tidur, meningkatkan risiko aspirasi (tercekik).
  • Faktor-faktor yang meningkatkan risiko ialah masalah penyakit sistem saraf seperti ‘senile dementia’, terencat akal, sawan / epilepsi, lumpuh, dan parkinson. Beberapa keadaan yang akan merencat fungsi otak ialah pengambilaan alkohol, narkotik, barbiturate, dan benzodiazepine akan meningkatkan kemungkinan makanan termasuk ke dalam paru paru.

Benda asing telinga :

  • Kebanyakan objek yang dijumpai di dalam telinga adalah tanpa disengajakan seperti putik kapas yang tercabut semasa mengorek telinga.
  • Serangga adalah terkenal merayap ke dalam telinga, biasanya semasa tidur. Tidur di atas lantai atau di luar rumah meningkatkan risiko ini.

Tanda dan Gejala

Benda asing di dalam saluran pernafasan dan paru-paru

  • Tercekik atau batuk, kesukaran bernafas dan nafas berbunyi (‘inspiratory stridor’ atau ‘expiratory wheezing’)

Benda asing di dalam tekak

  • Terasa kehadiran benda asing terutamanya selepas memakan ayam atau ikan, walaupun berbagai-bagai objek mungkin terlibat.
  • Darjah ketidakselesaan yang berbeza, daripada ringan kepada teruk, seperti air liur meleleh atau tidak boleh menelan.
  • Seseorang biasanya boleh menunjukkan lokasi benda asing yang dirasainya di tekak.

Benda asing di dalam saluran makanan (esophagus)

  • Biasanya berlaku secara tiba-tiba (akut), dengan masalah kesusahan untuk menelan ataupun semasa sedang makan. Ketidakupayaan untuk menelan air liur menunjukkan sekatan penuh.
  • Seseorang yang menggunakan gigi palsu boleh tertelan tanpa disengaja semasa melakukan aktiviti selain dari makan.

Benda asing di dalam telinga

  • Kebanyakan pesakit boleh memberitahu bahawa ada sesuatu di dalam telinga sebab saluran teling sangat sensitif terutama berdekatan dengan gegendang telinga. Gejala ini biasanya bergantung kepada saiz, bentuk dan bahan yang terlibat.
  • Kesakitan ialah gejala yang paling kerap diadu. Jika objek itu menutup kesemua saluran telinga, anda mungkin mengalami kurang pendengaran pada telinga yang terlibat.
  • Tambahan pula, iritasi pada saluran telinga boleh menyebabkan anda loya dan seterusnya muntah.
  • Pendarahan juga kerap berlaku, terutamanya jika objek itu tajam atau anda cuba untuk mengorek benda itu keluar.
  • Situasi yang paling teruk ialah mempunyai serangga hidup di dalam telinga. Pergerakan serangga boleh menyebabkan bunyi berdesing di dalam telinga dan agak tidak selesa.
  • Benda asing di dalam telinga juga boleh merosakkan gegendang telinga dan berkemungkinan mengurangkan pendengaran.

Komplikasi

Benda asing di dalam saluran pernafasan

  • Boleh menyebabkan berbagai perubahan, daripada gejala yang ringan, biasanya tidak dapat dikesan, hinggalah ke gangguan pernafasan, kegagalan paru paru dan mungkin kematian.
  • Jangkitan pada paru-paru (pneumonia)
  • Paru-paru mengecut

Benda asing di dalam tekak.

  • Boleh menyebabkan torehan, luka atau tembusan yangakan menyebabkan terjadinya bisul, berlubang dan jangkitan pada tisu.

Benda asing di dalam saluran makanan (esophagus)

  • Torehan, tembusan dan lubang yang menyebabkan kecederaan atau jangkitan di dalam dada atau kecederaan pembuluh darah seperti aorta atau salur darah pulmonary.

Benda asing di dalam telinga

  • Gegendang telinga berlubang
  • Jangkitan saluran telinga dengan kesakitan telinga, lelehan dan kepekakan.

Rawatan

Benda asing di dalam saluran pernafasan

  • Ini memerlukan rawatan kecemasan
  • Benda asing akan dibuang oleh pakar ENT menggunakan bronchoscope yang rigid dan pesakit diberi bius yang penuh (‘general anaesthesia’)

Benda asing di dalam tekak

  • Ini memerlukan rawatan kecemasan terutamanya jika berlaku sekatan penuh dan kesakitan yang teruk semasa menelan.
  • Rawatan bergantung kepada lokasi benda asing itu.
  • Benda asing di dalam tekak biasanya boleh dibuang di klinik oleh pakar ENT.
  • Penggunaan peralatan yang rigid dan pemberian bius yang penuh perlu bagi benda asing yang terlekat jauh di dalam saluran makanan

Benda asing di dalam telinga

  • Dalam kebanyakan kes, benda asing di dalam telinga tidak memudaratkan nyawa. Kecemasan sesuatu benda asing bergantung kepada lokasi dan bahan yang terlibat.
  • Bateri akan bertindakbalas di dalam telinga menyebabkan bahan kimia keluar dan saluran telinga terbakar. Ia mesti di keluarkan dengan segera.
  • Bagi bahan organic seperti kekacang, ia disarankan juga dikeluarkan dengan cepat kerana ia akan berbau busuk apabila lembap.
  • Pengeluaran objek dengan segera diperlukan jika ia menyebabkan sakit yang teruk atau tidak selesa.

Kebanyakan kes biasanya boleh dibuang pada keesokan harinya.

  • Memasukkan sesuatu ke dalam telinga tanpa dilihat biasanya menyebabkan objek itu termasuk lebih jauh ke dalam saluran telinga. Ini bukan sahaja boleh merosakkan gegendang telinga, tetapi menyukarkan objek itu di keluarkan.
  • Untuk kes serangga di dalam telinga, biasanya selamat untuk memasukkan beberapa titik minyak mineral ke dalam telinga walaupun anda tidak tahu samada terdapat lubang pada gegendang telinga. Ini akan membunuh serangga itu dan akan mententeramkan anda sementara berjumpa pakar ENT.
  • Semua benda asing adalah disarankan dibuang oleh pakar ENT kerana mereka boleh melihat objek itu dengan jelas dengan menggunakan lampu dan peralatan yang sesuai. Pemberian ubat pelali atau bius yang penuh mungkin perlu dalam beberapa situasi.

Pencegahan

Benda asing di dalam saluran pernafasan

  • Elakkan dari meletakkan apa-apa objek di antara gigi semasa melakukan aktiviti lain.
  • Jangan bercakap atau ketawa semasa ada benda di dalam mulut.
  • Jangan makan dalam keadaan berbaring terutamanya sebelum tidur

Benda asing di dalam salura makanan

  • Pastikan gigi palsu anda dipasang dengan kemas dan tidak longgar.
  • Makan secara perlahan mengelakkan tertelan benda asing (tulang ikan atau ayam).

Benda asing di dalam telinga

  • Jangan sekali-kali memasukkan apa-apa objek di dalam telinga.
  • Elakkan daripada tidur di atas lantai atau di luar rumah untuk mengelakkan serangga merayap ke dalam telinga.
Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Iskandar Hailani
Penyemak : Dato’ Dr. Narizan Ariffin

 

Artikel Berkaitan

Tikus : Penyakit Bawaannya dan Kawalan

Jangkitan penyakit berjangkit secara langsung berlaku apabila rembesan najis atau cecair yang mengandungi organisma seperti bicilli, rickettsia atau virus daripada tikus yang efektif terkena kepada manusia. Antara contoh penyakit yang diakibatkan jangkitan secara langsung adalah leptospirosis, salmonellosis, trichinosis, lymphocytic choriomeningitis (LCM) ricketssial pox dan malioidosis. Terdapat juga penyakit yang disebabkan oleh agen yang menjadikan tikus sebagai perumah seperti kutu, tungau, sengkenit dan hama. Agen ini adalah penyebab kepada penyakit berjangkit seperti hawar, scrub typhus dan murine typhus.

Stasis Ekzema

Stasis eczema sering terjadi di bahagian kaki. Ia boleh melibatkan sebelah, atau kedua-dua belah kaki

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia