A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Umum
  8. /
  9. Lain-lain
  10. /
  11. Berani Mengatakan Tidak

Berani Mengatakan Tidak

 

 beranimenatakantidak

                           Sumber: Google

1. Pendahuluan

Kadangkala kita terperangkap dalam situasi yang tidak selesa kerana sukar untuk mengatakan “Tidak” terhadap permintaan orang lain. Kita mungkin  berasa susah untuk menolak sesuatu tawaran, undangan atau untuk mengatakan sesuatu yang tidak disukai tanpa merasa bersalah seperti situasi berikut :
Ainol serba-salah untuk menolak permintaan rakannya Karim yang sering meminjam wang. Ainol risau jika menolak permintaan Karim, hubungan baik mereka akan terjejas.

Wardah seorang kerani yang amat disukai oleh rakan sekerjanya kerana sering membantu mereka menyiapkan pelbagai tugasan pejabat yang kebanyakannya bukan bidang tugasnya. Ini menyebabkan Wardah tertekan akibat pekerjaannya sendiri tidak selesai dan perlu kerja lebih masa hampir setiap hari.
Ada pelbagai alasan mengapa kita sukar mengatakan “tidak” tanpa rasa bersalah. Antaranya kita mungkin berasa terikat pada kewajipan, faktor budaya, latarbelakang atau kerana takut menyakiti perasaan orang lain. Mengatakan “tidak” secara melulu boleh menjejaskan perhubungan dan menimbulkan kemarahan orang lain. Namun ada cara yang terbaik untuk mengatakan ‘tidak’ kepada situasi sebegini iaitu dengan bersikap asertif.

2. Asertif (Tegas Diri)

Asertif atau ketegasan diri ialah keupayaan menyatakan fikiran dan perasaan sama ada positif atau negatif secara jelas dan jujur. Individu yang asertif dapat membuat suatu keputusan dengan tegas dan baik tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Individu yang asertif dalam kehidupan seharian tidak kira di tempat kerja mahupun di rumah akan mempunyai tahap kepuasan hidup yang tinggi. Sifat tegas diri menjadikan individu yakin dan puas hati dengan dirinya dan masyarakat akan menghormatinya.

3. Ciri-ciri Individu Asertif

Individu yang asertif mempunyai ciri-ciri berikut :

  • Bersikap tegas dan jujur
  • Berupaya membezakan kesan baik dan buruk sesuatu tindakan terhadap diri dan orang lain
  • Tidak mudah terpengaruh
  • Menjaga harga diri dan berkeyakinan
  • Rasional dan matang
  • Berani mengatakan tidak terhadap ajakan dan perbuatan negatif

4. Kenali Diri Anda

Adakah anda tahu tahap keupayaan asertif anda? Sila jawap Ya/ Tidak kepada kenyataan berikut :

  • Anda berani mengatakan ‘Tidak’ terhadap perkara yang anda tidak sukai
  • Apabila anda tidak memahami sesuatu, anda akan bertanya
  • Anda merasakan diri anda cantik dan berharga.
  • Anda akan menegur jika ada orang yang memotong barisan atau giliran anda,
  • Anda boleh meminta pertolongan tanpa rasa malu.
  • Anda boleh menolak tanpa rasa bersalah jika rakan mengajak anda membantunya melakukan perkara yang bertentangan dengan prinsip anda.
  • Anda boleh menyuarakan pendapat anda walaupun berlainan atau bertentangan dengan pendapat orang lain.
  • Anda boleh menerima kritikan dan penolakan orang dengan baik
  • Jika anda tidak bersetuju dengan seseorang, anda akan menyatakannya kepada orang itu.
  • Anda berani mempertahankan hak anda jika dibuli atau dimanupilasi.

Jika jawapan anda adalah ‘Ya’ kepada semua atau lebih daripada separuh kenyataan di atas, bermakna anda sudah mula mengamalkan kemahiran asertif dalam kehidupan harian anda. Jika kebanyakan jawapan anda adalah ‘Tidak’, bermakna anda boleh mula belajar kemahiran asertif ini.

5. Tips Mengatakan Tidak Secara Asertif

Asertif ialah suatu kemahiran yang boleh dipelajari dan dilatih. Berikut adalah tips untuk mengatakan tidak secara asertif.

  • Percaya bahawa anda bertanggungjawab pada diri anda sendiri. Ambil tanggungjawab untuk katakan “tidak”. Jangan minta orang lain yang lakukan untuk anda.
  • Kenalpasti hak, kehendak, keperluan dan perasaan anda ketika itu. Tanya diri sendiri adakah anda selesa dengan situasi itu.
  • Anda boleh katakan “Saya akan beritahu anda kemudian” jika anda tidak pasti. Cari maklumat berkaitan sebelum membuat keputusan. Percaya anda ada hak untuk katakan ‘tidak’ jika anda tidak setuju dengan situasi itu.
  • Pastikan penerima mesej tahu bahawa anda faham permintaannya
  • Mulakan respons anda dengan menyatakan ‘tidak’ dengan jelas, tegas, dan mudah didengar. Contoh: “Maaf, saya tak merokok”, jika rakan mengajak anda merokok atau memberi anda rokok.
  • Tidak perlu menjustifikasikan atau memberi alasan, dan hasilkan penutup yang pasti supaya yang bertanya tidak tertunggu-tunggu.
  • Elakkan menggunakan “Awak/Kamu” kerana ia akan menimbulkan perasaan dituduh kepada penerima seperti ini “Awak membuatkan saya marah”. Perkataan begini membuatkan penerima akan rasa “defensif”. Gunakan perkataan “saya”. “Saya rasa marah bila awak cakap begitu. Lain kali, saya harap awak tidak akan buat perkara itu lagi”
  • Individu aserttif biasanya mengamalkan sikap memberi dan menerima. Contohnya, “Saya rasa bahawa…. bagaimana pula fikiran anda?”, “Saya lebih suka cara begini…..” atau “Mari kita fikirkan bersama untuk menyelesaikan masalah ini?
  • Contoh untuk katakan “tidak” dengan tegas.
    • “Kali ini saya tak boleh….”
    • “Maaf ya saya tak nak ikut awak ke CyberCafe.”
    • “Terima kasih kerana menjemput saya, tetapi saya tidak dapat hadir “
  • Ingat bahawa anda mengatakan ‘tidak’ kepada sesuatu permintaan, bukan menolak atau menyingkirkan seseorang.

6. Perbezaan Sikap Pasif, Asertif dan Agresif.

perbezaansikapSumber : Google Tingkahlaku pasif, asertif dan agresif merujuk kepada kebiasaan kita bertindak ketika menghadapi sesuatu konflik atau situasi yang tidak selesa. Berikut dijelaskan perbezaan ketiga-tiga sikap ini:
  Pasif Asertif Agresif
Ciri-ciri Am *Membiarkan orang lain atau keadaan menentukan keputusan. Orang pasif biasanya tidak menegakkan hak atau menyuarakan pandangan, walaupun keadaan memaksa.
* cenderung memendam perasaan sendiri dan tidak berani meluahkannya.
*Menyatakan fikiran dan perasaan, tanpa membuat harga diri orang lain tersinggung.
*sikap yang seimbang diantara pasif dan sikap agresif.
*berkeyakinan tinggi
*Meluahkan fikiran dan perasaan dengan melukai atau menyerang harga diri orang lain tanpa mempedulikan orang itu.
*Cepat melenting/ naik marah apabila ditegur.
*Rasa kurang selamat dan akan memperkecilkan kemampuan orang lain.
Contoh

“Mmm jika awak mahu begitu….mmm saya ikut je. saya okay.”

“Maaf-maaf, saya akan buat apa yang disuruh”

“Saya suka bila awak puji saya”

“Saya rasa sedih bila dimarahi begini. Saya harap kita boleh bincang dengan baik”

“Lembab betullah awak ni…bukannya susah pun kerja ini”
“Bodohnya awak ni….. berapa kali saya nak cakap”
Komunikasi Lisan *Sering mohon maaf
*Suara terlalu lembut/ perlahan/teragak-agak
*Guna penyataan ‘Saya’
*Suara tegas / jelas
*Guna penyataan ‘Awak/ Kamu/ Kau”
*Suara terlalu kuat/ nyaring/ menjerit
Komunikasi Bukan Lisan *Sering tunduk/ elak bertemu mata
*Terlalu banyak mengangguk kepala, tidak relaks
*Postur tertutup / agak bongkok
*Kontak mata
*Pergerakan santai
*Postur tenang dan
relaks
*Renungan tajam, jeling
*Tegang, genggam tangan, menunding jadi.
*Postur kaku, menggeletar
Implikasi kepada diri dan orang lain.

‘Saya tak OK, Anda OK’

* Perasaan sendiri  tidak penting/ diketepikan
*Saya tidak penting
*Rasa rendah diri

‘Saya OK, Anda OK’

*Perasaan kita sama-sama penting
*Kita sama penting
*Status kita sama

‘Saya OK,Anda tak OK

*Perasaan anda tidak penting
*Awak tidak penting
*Rasa diri lebih utama

Hak utamakan orang lain, abaikan hak sendiri utamakan hak sendiri,
hormati hak orang lain
utamakan hak sendiri, abaikan hak orang lain
Menang/ Kalah Saya kalah,
Anda menang
Saya menang,
Anda menang
Saya menang,
Anda kalah

7. Kelebihan mengatakan tidak secara asertif.

Mengatakan ‘Tidak’ secara asertif boleh membantu :

  • Memupuk perhubungan interpersonal yang positif.
  • Mengurangkan salah faham antara individu.
  • Meningkatkan komunikasi berkesan
  • Mengurangkan tekanan dalam kehidupan dan perhubungan
  • Memupuk kerjasama dan semangat sepasukan
  • Individu menjadi lebih fokus dan produktif
  • Melindungi diri daripada individu dan situasi yang negatif
  • Mengurangkan pembaziran tenaga dalam keadaan di mana sumber adalah terhad.

Dalam era dunia tanpa sempadan ini, gejala sosial seperti dadah, pornografi, dan judi amat berleluasa. Oleh itu, kita perlu bijak dan berani mengatakan ‘Tidak’ secara asertif untuk melindungi diri daripada tekanan sekeliling dan pelbagai gejala negatif agar hidup kita lebih berkualiti dan bermakna.

Rujukan

  1. Maimunah Osman. (2000). Komunikasi Berkesan: Hubungan Interpersonal. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
  2. Noraini Ahmad. (2001). Asertif dan Komunikasi. Cheras, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
  3. Ury, William. (2007). The Power of a Positive No: Save The Deal Save The Relationship and Still Say No. New York: Bantam Dell.
  4. Rohana Hamzah & Fadillah Ismail. (2008). Asertif. Retrieved from http://www.penerbit.utm.my/bookchapterdoc/FPPSM/bookchapter_fppsm14.pdf

 

Semakan Akhir : 4 Jun 2016
Penulis : Aina Mazwin binti Mohamed Radzi
Akreditor : Ruhana binti Mahmod

Artikel Berkaitan

ALAHAN

Apa Itu alahan? Alahan bermaksud perubahan aktiviti. Ia juga dikenali

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia