A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Bila Anak Bermasalah Pendengaran

Masalah pendengaran dikategorikan sebagai masalah yang tersembunyi memandangkan ia tidak dapat dilihat secara fizikal atau lahiriah. Berdasarkan statistik dan nilai perangkaan yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2013 didapati sebanyak 360 juta orang penduduk di seluruh dunia mengalami masalah pendengaran manakala 32 juta daripadanya adalah membabitkan kanak-kanak.

Melahirkan bayi yang sihat, cukup sifat dan normal belum menjamin seseorang anak itu memiliki pendengaran yang baik. Jesteru itu pengesanan dan intervensi awal kanak-kanak bermasalah pendengaran adalah penting dan wajar dilakukan.     

Menurut Yoshinaga-Itano (1995), pengesanan masalah pendengaran kanak-kanak perlu dilakukan seawal umur 3 bulan manakala intervensi awal masalah pendengaran  kanak-kanak perlu  dilakukan selewat-lewatnya  umur 6 bulan.

Proses dalam Intervensi anak bermasalah pendengaran

Pegawai Pemulihan Perubatan (Pendengaran) atau dikenali sebagai Pegawai Audiologis merupakan individu awal yang terlibat dalam melakukan proses intervensi. Antara tugas-tugas utama pegawai terlibat adalah:

  • Melakukan pemeriksaan dan ujian pendengaran.
  • Menentukan tahap dan jenis masalah pendengaran.
  • Membuat pemilihan alat bantu pendengaran yang sesuai.
  • Memberi khidmat kaunseling berkaitan penggunaan dan penjagaan alat bantu pendengaran.
  • Melakukan pemeriksaan dan ujian ke atas alat bantu pendengaran bagi memastikan prestasi alat adalah baik dan mencapai tahap yang optimum.
  • Melakukan pengubahsuaian sekiranya didapati perlu.
  • Memberikan rawatan susulan secara berkala.

Setelah pemakaian alat bantu pendengaran dilakukan, kanak-kanak perlu dirujuk kepada Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) atau dikenali sebagai Terapi  Pertuturan.

Kanak-kanak akan dinilai dari segi kemahiran bahasa (reseptif dan ekspresif), perkembangan kognitif dan kebolehan mendengar. Selain itu kanak-kanak juga akan diajar bertutur menerusi kemahiran mendengar secara total. Maklumat daripada Terapi Pertuturan ini amat penting bagi membantu dalam cadangan penempatan kanak-kanak semasa kemasukan ke alam persekolahan kelak.

Antara profession lain yang turut sama terlibat dalam proses intervensi awal ini adalah seperti berikut:-

  1. Pakar Otorhinolaringologi (ENT)
    • Pakar perubatan yang akan melakukan pemeriksaan berkaitan penyakit telinga. Ini bagi memastikan etiologi masalah pendengaran serta boleh atau tidak ianya diubati secara ubatan atau pun pembedahan.
    • Sekiranya didapati perlu, rujukan untuk ujian darah, pemeriksaan kesihatan lain dan penilaian radiologi akan dilakukan.
  2. Pakar Pediatrik
    • Memantau kesihatan anak anda secara keseluruhan serta memantau perkembangan fizikal serta mentalnya.
    • Menentukan sebarang jenis penyakit, sindrom ataupun masalah yang berkait rapat dengan masalah pendengaran.
  3. Pegawai Genetik
    • Membantu dalam menentukan punca masalah pendengaran yang berkait rapat dengan sesetengah penyakit ataupun sindrom.
    • Memberikan khidmat kaunseling kepada ibubapa berkaitan penyakit genetik yang menyebabkan masalah pendengaran.
  4. Psikologis
    • Membuat penilaian dan memberikan maklumat berkaitan perkembangan intelektual anak sama ada perkembangan itu seiring dengan rakan sebayanya.
  5. Neurologis
    • Membuat penilainan sekiranya kanak-kanak dikenalpasti mengalami masalah fizikal, kemahiran motor dan masalah perkembangan.
  6. Terapis Cara Kerja (OT)
    • Membantu kanak-kanak yang mengalami kesukaran motor halus, masalah keseimbangan dan masalah sensori sama ada terlalu hyper atau hyposensitif kepada sentuhan, rasa dan visual.
  7. Fisioterapis
    • Membantu kanak-kanak yang mengalami masalah kesukaran motor kasar dan kesimbangan.

 Jangkaan realistik ibubapa

  • Alat bantu pendengaran merupakan alat sokongan dan bukannya ubat. Pemakaian alat tidak akan dapat memulihkan kembali pendengaran kepada normal. Oleh itu, alat perlu sentiasa dipakai oleh anak sepanjang masa.
  • Anak perlu menghadiri sesi terapi untuk belajar bercakap. Ini kerana kebanyakkan ibubapa beranggapan selepas anak memakai alat bantu pendengaran anak akan terus dapat bercakap.
  • Temujanji susulan bersama pegawai audiologis perlu bagi memastikan alat bantu pendengaran yang dipakai mencapai tahap yang optimum. Sekiranya perlu pengubahsuai/ konfigurasi semula alat pendengaran akan dilakukan.

Kesan lambat intervensi

Pendengaran merupakan salah satu deria yang amat penting dan berguna dalam kehidupan harian kita. Dengan mendengar kita dapat  bertutur, berkomunikasi dan seterusnya dapat belajar dengan lebih baik. Ini secara tidak langsung dapat membantu dalam perkembangan seseorang kanak-kanak.

Sekiranya pengesanan dan intervensi awal masalah pendengaran kanak-kanak tidak dilakukan ia akan mengakibatkan kelewatan dalam perkembangan bahasa dan pertuturan, kemahiran komunikasi, kognitif dan sosial. Kelewatan dalam perkembangan ini juga mengakibatkan kanak-kanak akan ketinggalan jauh di belakang jika dibandingkan dengan rakan sebayanya yang lain serta akan menyebabkan kurangnya keyakinan diri.

Rujukan

  1. Madell.J.R , 1998, Behavioral Evaluation og Hearing in Infants and Young Children.
  2. America Speech-Language-Hearing Association (ASHA), 2000. Principles and Guidelines for Early Hearing Detection and Intervention Programs.
Semakan akhir : 07 Mac 2014
Penulis : Yusni Zariah bt. Yusof
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia