A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Mental
  4. /
  5. Kesihatan Mental Umum
  6. /
  7. Bolehkah Pesakit Mental Kembali...

Bolehkah Pesakit Mental Kembali Bekerja?

Seseorang individu yang mengalami penyakit mental, kefungsiannya dari segi pesonaliti, pergaulan sosial dan kognitif akan mengalami perubahan dan gangguan.

Pengenalan

Seseorang individu yang mengalami penyakit mental, kefungsiannya dari segi pesonaliti, pergaulan sosial dan kognitif akan mengalami perubahan dan gangguan. Di Australia, seorang daripada lima orang rakyatnya mengalami penyakit mental. Data ini diperolehi daripada “Australian Health Ministers, 1992”.

Di Malaysia, jumlah pesakit psikiatri yang dirawat di hospital pada tahun 2012 ialah sebanyak 21,852 kes berbanding 21,217 kes pada tahun 2011 daripada Pengarah Pembangunan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azmi Shapie. Sehubungan dengan bukti data yang dipaparkan maka pemulihan ataupun rehabilitasi amat perlu untuk memastikan pesakit mental dapat kembali berdikari ke tahap yang maksima di dalam kehidupan seharian mereka serta dapat memenuhi tanggungjawab terhadap diri,keluarga dan masyarakat .

Menurut WHO (World Health Organization) pemulihan adalah satu proses yang bertujuan mengurangkan kecacatan dan kesannya terhadap seseorang individu dan membolehkan seseorang itu berintegrasi semaksimum yang mungkin di dalam komuniti.

Stigma adalah satu perkara yang boleh menjejaskan kehidupan pesakit mental. Persepsi negatif oleh anggota masyarakat terhadap pesakit mental selalunya menyebabkan mereka tertekan kerana masyarakat menganggap mereka selalu bertindak di luar jangkaan. Tanggapan ini menjadi lebih jelas dengan paparan berita-berita daripada media cetak dan media elektronik tentang pembunuhan dan amukan yang dilakukan oleh pesakit mental.

Sebenarnya, perkara yang dipaparkan tidak mengambarkan keadaan yang sebenarnya kerana terdapat banyak faktor yang boleh mencetuskan senario yang tragis ini. Di antaranya adalah:

  1. Masalah penjagaan kesihatan mental, keluarga, persekitaran dan taraf ekonomi mereka. Penjagaan kesihatan mental amatlah perlu dititikberatkan kerana dengan cara ini penyakit mental tidak akan berulang iaitu kadar “relapse” tidak akan meningkat jika mereka diberi “psychoeducation” tentang kepentingan ubat dalam kehidupan mereka. Pemantauan yang berterusan amatlah diperlukan untuk mempastikan mereka sentiasa mengambil ubat mengikut jadual.

  2. Faktor kedua yang sama pentingnya adalah keluarga pesakit mental. Keluarga dianggap seperti tiang tanpanya sebuah rumah tidak dapat berdiri dengan kukuh. Peranan yang dimainkan oleh pihak keluarga pesakit mental amatlah penting untuk mereka. Sokongan, perhatian dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi amat perlu bagi meningkatkan semangat dan keyakinan diri di dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Sokongan moral yang berterusan amatlah diperlukan oleh mereka ini.

  3. Faktor ketiga adalah persekitaran. Persekitaran yang memberangsangkan dapat melonjak seseorang individu agar lebih aktif dan bermotivasi untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Persekitaran yang negatif contohnya jika kawan-kawannya banyak memberi impak yang tidak baik seperti ketagihan dadah maka secara tidak langsung seseorang individu akan tertarik ke kancah ketagihan dadah walaupun pada mulanya ia tidak langsung memerlukannya.

  4. Faktor taraf ekonomi juga boleh menyebabkan seseorang individu mudah mengalami penyakit mental dan di antaranya adalah kemiskinan. Puncanya mungkin banyak dan salah satu daripadanya adalah taraf pendidikan yang rendah menyebabkan rezeki mereka hanya kais pagi, makan pagi dan kais petang makan petang. Tanggungjawab mereka terhadap perbelanjaan keluarga mereka perlu pikul. Beban tanggungan ini menimbulkan masalah kewangan kepada mereka memandangkan gaji yang diperolehi tidak mencukupi dan ini memberikan tekanan yang berlebihan kepada diri mereka. Perkara ini tidak dapat dibendungkan lagi dan menyebabkan mereka mendapat penyakit mental.

Justeru itu,satu program yang dikenali sebagai “Supported Employment” ataupun dalam bahasa Malaysia penempatan kerja dengan sokongan telah diwujudkan bagi membantu mereka yang berpenyakit mental mengharungi kehidupan. “Supported Employment” dari segi definasinya menurut Wehman et al. 1992, menyatakan bahawa ia adalah satu kombinasi pekerjaan dan perkhidmatan yang berterusan dan bukannya cara penyediaan pekerjaan serta aktiviti pekerjaan. Ianya fleksibel untuk mempastikan mereka mendapat kebaikan dari pekerjaan tersebut.

Penempatan pekerjaan ini membekalkan sokongan berterusan,mewujudkan peluang pekerjaan, berintegrasi dan lebih fleksibel. Matlamatnya untuk menyediakan pesakit dengan program pemulihan yang lebih efektif agar pesakit dapat berdikari dari aspek mental,sosial,fizikal dan ekonomi dengan menggunakan aktiviti yang terpilih dan bersesuaian.

Faktor-faktor pesakit mental perlu bekerja adalah:

  1. Pekerjaan sebagai media rawatan.

  2. Mengembalikan pesakit ke dalam sistem masyarakat.

  3. Pesakit belajar melalui rutin seharian.

  4. Banyak nilai terapeutik dalam pekerjaan

  5. Menyediakan unsur-unsur positif dari segi:

  • Berdikari dalam aktiviti seharian – bangun pagi, mandi, pakai pakaian yang bersih

  • Kestabilan mental – cabaran di tempat kerja

  • Kefungsian kognitif-belajar perkara-perkara baru

  • Berdikari dari aspek fizikal.

  • Menanamkan work habits yang baik.

  • Berkeupayaan untuk bersosial

  • Berkeupayaan untuk menguruskan penyakit mereka-perlu makan ubat dan

  • Mendapatkan bantuan apabila hadapi masalah.

Perbincangan dengan majikan tentang pencapaian pesakit di tempat kerja

Perbincangan dan mendapatkan feedback daripada pesakit mental yang telah bekerja

Sehubungan dengan itu, kejayaan pesakit mental adalah bergantung kepada faktor-faktor seperti:

  1. Pesakit sendiri berminat untuk bekerja

  2. Pekerjaan yang ditawarkan bersesuaian dengan keinginan pesakit

  3. Sokongan berterusan

Jika seseorang berminat untuk bekerja maka ia akan bekerja dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu tetapi jika ia tidak berminat untuk bekerja maka Jurupulih Perubatan Carakerja perlu memainkan peranannya menggalakkan dan meningkatkan motivasi mereka agar timbul keinginan mereka untuk bekerja .

Pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka perlu bersesuaian dengan kehendak dan keupayaan mereka dan sokongan yang berterusan daripada ibubapa / keluarga / penjaga amatlah penting sebagai pembakar semangat untuk mereka lebih berdedikasi dan komited didalam pekerjaan yang mereka lakukan. Masyarakat juga memainkan peranan yang sama beratnya berganding bahu bersama-sama untuk menghulurkan bantuan dan menerima mereka seperti insan biasa yang lain.

Rujukan

  1. Rosenheck, R.; Leslie, D; Keefe, R; McEvoy, J; Swartz, M; Perkins, D; Stroup, S; Hsiao, JK et al. (2006). “Barriers to Employment for People with Schizophrenia”. American Journal of Psychiatry 163 (3): 411–7

  2. Becker, Deborah; Drake, Robert;Bond, Gary (2011). “Benchmark Outcomes in Supported Employment”. American Journal of Psychiatric Rehabilitation 14 (3): 230–236.

  3. Drake RE, Skinner JS, Bond GR, Goldman HH. Social security and mental illness: reducing disability with supported employment. Health Aff. 2009;28:761–770

  4. Bond, Gary; Drake, Robert; Becker, Deborah (2008). “An Update on Randomized Controlled Trials of Evidence-Based Supported Employment”. Psychiatric Rehabilitation Journal 31 (4): 280–290.

  5. Becker DR, Whitley R, Bailey EL, Drake RE. Long-term employment outcomes of supported employment for people with severe mental illness. Psychiatr Serv. 2007;58:922–928.

  6. Malaysian Society Association,Malaysia.

 

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Fauzi bt Rihan
Penyemak : Tan Foo Lan

 

Artikel Berkaitan

“NASIHAT YANG DIBENCI” PENGHIDAP KEMURUNGAN

Gangguan mental seperti kemurungan sehingga hari ini masih sukar diterima oleh masyarakat sebagai salah satu daripada jenis penyakit meskipun mereka yang menghidapnya adalah lebih ramai berbanding penyakit yang dapat dilihat secara fizikal.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia