A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Umum
  8. /
  9. Lain-lain
  10. /
  11. Bos Dan Anda: Perspektif...

Bos Dan Anda: Perspektif Psikologi

Pengenalan

Perhubungan baik di antara bos dan kakitangan merupakan perkara yang amat penting bagi mewujudkan suasana keseronokan serta kepuasan dalam sesuatu kerjaya yang diceburi. Bagi sesetengah kakitangan, mereka menghadapi kesukaran dalam membina hubungan yang baik dengan bos yang akhirnya cenderung mengalami kemurungan serta menjejaskan laluan kerjaya mereka seperti kesukaran kenaikan pangkat. Selain itu mereka juga berhadapan dengan implikasi psikologi iaitu mereka akan terdedah kepada tekanan emosi yang hebat, penghargaan kendiri yang rendah serta tidak mempunyai motivasi dalam merancang kerjaya pada masa depan. Situasi pada masa kini yang semakin kompleks, yang mana amat memerlukan pembinaan hubungan yang baik iaitu saling kebergantungan di antara kaiktangan dengan bos untuk meningkatkan semangat kerja berpasukan seterusnya mampu mencapai ke arah Budaya Kerja Kelas Pertama.

Ciri-ciri personaliti bos

Oleh itu, tindakan bijak perlu diambil untuk memahami bagaimana mengurus hubungan bos dan kakitangan. Proses memperbaiki hubungan di antara bos dengan kakitangan boleh dipertingkatkan dengan memahami ciri-ciri personaliti seperti yang berikut:

  1. Prihatin

Bos dan kakitangan seharusnya perlu sensitif serta peka terhadap situasi atau mood seseorang. Peka melihat kecenderungan mood misalnya seseorang yang berada dalam mood gembira boleh menerima arahan pada bila-bila masa namun jika mood yang agak bercelaru pada masa itu menyebabkan mereka tidak fokus dengan arahan. Bos seharusnya bijak dalam melihat perubahan emosi anak buahnya bagi memastikan semua arahan dan tugasan dilaksanakan dengan lancar.

  1. Analitikal

Seorang bos yang baik seharusnya mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah kerana bos adalah sumber rujukan kakitangan terutamanya dalam penyelesaian masalah. Oleh itu, bos seharusnya mempunyai pemikiran lateral, manakala bagi kakitangan pula seharusnya mengenalpasti isu serta menyediakan pelan penyelesaian sebelum berbincang dengan bos dan ini akan mampu mencapai keputusan dengan menjimatkan masa serta meningkatkan produktiviti.

  1. Asertif

Seorang bos seharusnya mempunyai sifat yang tegas, tidak mudah mengalah namun bertindak mengikut situasi. Beliau mampu mengawal emosi, tegas dengan peraturan yang ditetapkan namun tidak agresif jika terdapat segelintir kakitangan yang ingkar. Beliau seharusnya mampu bertindak adil tanpa pilih kasih.

  1. Kepimpinan

Kemahiran memimpin, mempengaruhi, bercita-cita tinggi serta mudah bekerjasama perlu dipupuk bagi menarik minat kakitangan untuk terus bermotivasi dalam meningkatkan produktiviti. Semangat kepimpinan sangat diperlukan oleh para kakitangan dari seorang bos kerana pada mereka bos merupakan idola mereka.

  1. Jati Diri

Seseorang bos yang mempunyai ketahanan diri yang tinggi, bermotivasi, berusaha dan dinamik jika menghadapi cabaran serta sifat tidak mudah menyerah kalah malah terus bersemangat dengan keyakinan dalam membuat keputusan dan ia sangat membantu dalam kecemerlangan kakitangan dan organisasi.

  1. Proaktif

Bagi menggalakkan para kakitangan untuk proaktif seseorang bos seharusnya tidak hanya menunggu peluang tetapi aktif mencari atau mencipta peluang yang ada selaras dengan pendekatan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy).

  1. Kreatif

Seseorang bos merupakan seorang yang mampu melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut serta mempunyai idea penyelesaian yang kreatif atau pemangkin yang luar biasa. Perkara ini akan membuatkan kakitangan lebih menghormati serta mengkagumi kredibiliti bos tersebut. Komunikasi Antara Bos dan Anda Elemen penting tentang bagaimana untuk mengurus hubungan di antara bos dan anda bagi memudahkan kedua-dua pihak mencapai kepuasan yang maksimum dalam kerjaya.

  • Gaya komunikasi yang digemari bos anda?
  • Adakah bos anda kerap mahu mendengar pandangan daripada anda?
  • Adakah bos anda mahu mendengar tentang setiap isu atau hanya masalah utama?
  • Bagaimana bos anda mahu mendengar tentang pencapaian anda?
  • Bagaimana anda mengharapkan cara bos anda berkomunikasi?
  • Adakah bos anda mengharapkan jawapan kepada setiap komunikasi?

Medium berkomunikasi dengan seseorang bos adalah bergantung kepada kaedah yang anda selesa. Melalui kaedah telefon, e-mel, sidang video, bersemuka secara perundingan dua hala atau mengadakan mesyuarat. Medium komunikasi ini penting bagi mewujudkan komunikasi yang berkesan di antara bos dan anda serta dapat mengelakkan risiko yang timbul apabila berlaku gangguan dalam komunikasi tersebut. Antara risiko gangguan dalam komunikasi adalah apabila wujud salah tanggapan di antara bos dan kakitangan contohnya jika anda berfikir secara singkat iaitu tidak perlu menunjukkan kesungguhan mencapai prestasi kerja yang baik, sekadar dengan hanya mengampu atau menarik perhatian bos semata-mata. Perkara ini akan memberi kesan terhadap kakitangan yang cekap dalam organisasi sehingga mewujudkan ketidakselarasan dalam matlamat semangat kerja berpasukan.

Cara-cara Menangani Hubungan Bos dan Anda/p>

Kaedah untuk mengenali perwatakan bos dan mempertingkatkan hubungan yang baik (dari aspek emosi, pemikiran dan tingkahlaku) boleh dilihat berdasarkan gaya kepimpinan mereka.

  1. Bos Diktator
  • Perlu membina kepercayaan antara bos dan anda
  • Kebiasaanya perlu meminta izin sebelum melakukan apa-apa tugasan
  • Menjaga tahap prestasi kerja melalui pengemaskinian laporan kemajuan
  • Anda seharusnya menunjukkan keikhlasan dan semangat kerja yang tinggi
  1. Bos Birokrasi
  • Apabila mengemukakan sebarang permohonan perlu secara rasmi
  • Sentiasa mengemukakan cadangan kepada pihak bos dengan merujuk peraturan apabila perlu bagi membantu mereka membuat sebarang keputusan
  • Menyimpan rekod bagi setiap tugasan
  1. Bos Berkarisma
  • Bos yang menjadi sumber inspirasi melalui visi dan impian masa depan sesuatu organisasi
  • Anda sebagai pekerja perlu bersemangat bagi memajukan organisasi
  • Anda perlu menunjukkan kesetiaan kepada bos dan organisasi
  • Memberi sokongan dalam setiap rancangan dan idea bos anda
  1. Bos Sebagai Sumber Rujukan
  • Seorang bos yang berminat untuk berkongsi dalam proses membuat keputusan
  • Anda perlu berani memberikan pandangan yang bernas
  • Sering memberikan sokongan dan pujian kepada bos
  • Turut melibatkan bos dalam aktiviti di organisasi tersebut
  1. Bos laissez-faire
  • Menunjukkan kebolehan bahawa anda boleh dipercayai untuk melaksanakan sesuatu tugasan
  • Menghantar e-mel untuk memberitahu bos tentang pencapaian anda
  • Mendapatkan bantuan bos hanya apabila wujud kesulitan besar dalam organisasi
  • Tidak mengganggu bos dengan isu-isu organisasi yang remeh

Kajian lepas menunjukkan bahawa komitmen kakitangan kepada organisasi terbentuk daripada persepsi mereka terhadap komitmen pihak pengurusan dalam memberi sokongan kepada mereka (Settoon et.al.1996). Kakitangan membuat interpretasi terhadap amalan kepimpinan dan pengurusan yang boleh dipercayai sebagai petunjuk kepada lambang komitmen serta bersikap positif dan produktif terhadap organisasi (Saks 2006). Kebiasaan pengurus, pemimpin atau lebih mesra dipanggil sebagai bos mempunyai tanggungjawab yang amat besar dan pelbagai tugas demi memastikan kemajuan serta perkembangan sesuatu organisasi. Bos yang hebat boleh merangsang prestasi kakitangan dengan lebih baik seperti memperbaiki kehidupan mereka iaitu dari aspek kepuasan kerja, beban kerja yang selaras dengan kemampuan atau potensi seseorang serta diiringi dengan penghargaan dan pengiktirafan terhadap kakitangan. Namun kerjasama yang erat antara bos dan kakitangan sangat penting bagi memastikan produktiviti dan perkembangan sesebuah organisasi.

Rujukan :

  1. Blaire, P. 2010. What’s Wrong With Work : The 5 Frustrations Of Work And How To Fix Them For Good. United Kingdom: Wiley.
  2. Bloomsbury Publishing. 2010. Manage Your Boss: How to Built A Great Working Relationship. Ed. Revised. London: A&C Black Publishers Ltd.
  3. Bryant, A. 2012. The Corner Office: Indispensable and Unexpected Lessons from CEOs on How to Lead and Succeed.  New York: St. Martin’s Griffin.
  4. Fox, J. J. 2002. How to Become a Great Boss: The Rules for Getting and Keeping the Best Employees. New York: Hachette Books.
  5.  Jill, G. 2012. Work Happy: What Great Bosses Know. New York: Centre Street.
  6. Osborne, C. 2003. Essential Managers : Managing Your Boss. United Kingdom: DK Adult.
  7. Saks, A.M. 2006. Antecedents and consequences of employee engagement. Journal of Managerial   Psychology 21: 600-619.
  8. Setton,R.P, Bennett,N.,&Liden,R.C.1996. Social exchange in organizations : perceived organizational support, leader-member exchange, and employee reciprocity. Journal of Applied Psychology. 81(3), 219-227.
  9. Tulgan, B. 2010. It’s Okay To Manage Your Boss. San Francisco: Jossey-Bass.
Semakan Akhir : 3 Februari 2016
Penulis : Shirly Berso
Akreditor : Ruhana binti Mahmod

Artikel Berkaitan

Bahana Arak

Arak membawa bahaya serius yang boleh membunuh. Artikel ini akan mengkaji bahaya arak yang membunuh dengan menumpukan pada risiko dan kesan negatif penggunaan arak dalam masyarakat.

Pemulihan Pesakit Strok

Strok adalah serangan otak dan terjadi apabila bekalan darah ke otak terganggu. Otak adalah pusat saraf tubuh, mengawal setiap yang kita lakukan atau fikirkan, di samping mengawal fungsi-fungsi automatik seperti pernafasan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia