Terapi Pertuturan : Cabaran Perkembangan Bahasa Kanak-Kanak Di Malaysia
Pengenalan
Bayi dan kanak-kanak memerlukan rangsangan bahasa yang berterusan agar perkembangan bahasa mereka berkembang selari dengan perkembangan kognitif dan fizikal. Kajian menunjukkan bahawa perkembangan pendengaran dan bahasa boleh dirangsang seawal di dalam rahim ibu untuk mendengar butir-butir bahasa yang digunakan oleh ibubapa. Terdapat hipotesis mengenai tempoh kritikal bagi perkembangan bahasa kanak-kanak yang menjadi perdebatan antara pengkaji-pengkaji psikolinguistik dan linguistik kognitif namun rata-rata mereka bersetuju bahawa usia 1 tahun hingga 5 tahun adalah tempoh yang disebut sebagai tempoh sensitif atau optimal yang perlu diberi perhatian agar perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak mencapai potensi maksima. |
Sumber: Gambar Koleksi Penulis |
|
Sumber: Gambar Koleksi Penulis
Cabaran-cabaran utama perkembangan bahasa kanak-kanak
Terdapat pelbagai kekangan yang dihadapi oleh pihak ibubapa sepanjang tempoh anak-anak membesar. Antara yang paling ketara, adalah empat perkara-perkara yang dinyatakan seperti di bawah:
-
Kekangan masa bersama anak-anak
Dalam situasi ekonomi semasa di Malaysia, banyak keluarga memerlukan lebih daripada satu sumber pendapat untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Ibubapa yang sibuk ditempat bekerja pulang ke rumah untuk menguruskan rumah tangga diwaktu malam. Dengan keterbatasan masa ini, masa 24 jam yang dilihat singkat kini telah dihabiskan begitu sahaja tanpa sempat memberi fokus kepada memperkembang bahasa anak-anak. Jika dilihat dari aspek perkembangan bahasa, perhatian dan tanggungjawab ibubapa adalah besar kerana ibubapa seharusnya menjadi model bahasa yang baik, pemangkin bahasa kanak-kanak dan juga individu yang dapat membetulkan penggunaan kosa kata anak-anak sekiranya mereka menggunakan kosa kata yang salah ketika bercakap. Contohnya, bagi anak-anak yang pelat, ibubapa adalah individu yang sangat rapat dengan anak-anak yang seharusnya membetulkan kesilapan sebutan mereka setiap hari.
Tidak dinafikan, bagi sebuah keluarga yang besar dengan anak yang ramai, sumber kewangan yang mencukupi perlu diutamakan oleh kedua ibubapa dan ramai yang terpaksa bekerja lebih daripada 12 jam sehari untuk memastikan penjagaan dan pendidikan anak-anak dapat diberi seoptima mungkin. Bilakah masa untuk dilaburkan kepada perkembangan pertuturan anak-anak sekiranya tempoh bekerja menjadi semakin panjang? Inilah cabaran besar ibubapa di zaman milenia ini iaitu keterbatasan masa bersama anak-anak yang menjadi penyumbang utama kepada kelewatan pertuturan kanak-kanak di Malaysia
-
Kurang perhatian dan INTERAKSI antara ibubapa dan anak-anak
Bagi ibubapa yang mempunyai masa dengan anak-anak pula, psikologi anak perlu diutamakan dengan memastikan anak-anak diberi perhatian dan pemerhatian berterusan. Perhatikan tingkah laku anak-anak yang cuba untuk mencuri perhatian kita ketika kita membuat sesuatu perkara yang lain. Contohnya anak-anak kecil akan memanggil-manggil nama ibunya berkali-kali dan menarik tangan atau muka untuk mendapatkan perhatian. Anak-anak yang cuba mendapatkan perhatian adalah anak-anak yang merasakan dirinya tidak mendapat cukup perhatian daripada ibubapa. Oleh itu, ibubapa perlu terus berhenti membuat apa sahaja yang dilakukan pada masa tersebut untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka. Jadilah seorang ibubapa yang kreatif untuk mencari topik perbincangan dengan anak-anak. Anak-anak yang fasih bercerita adalah hasil daripada ibubapa yang suka bercerita kepada mereka. Berinteraksi dengan anak secara mesra dan berterusan seawal usia bayi, menjadikan kanak-kanak lebih ceria, aktif dan matang. Cuba jadikan perbualan sebagai rutin harian malahan jadikan kaedah masa untuk membaca buku cerita bersama anak-anak sebagai salah satu kaedah yang terbaik untuk mengembangkan kemahiran bahasa kanak-kanak.
-
Usia dan tahap kematangan ibubapa muda
Faktor kematangan ibubapa menjadi faktor penting untuk menentukan sama ada mereka mampu atau sanggup memikul tanggungjawab berat sebagai ibubapa atau tidak. Pasangan yang baru berkahwin terutamanya berkahwin di usia muda, perlu lebih cakna mengenai tanggungjawab sebagai ibubapa dan pemangkin bahasa anak-anak. Adakah mereka sanggup berubah menjadi pasangan yang lebih matang dalam merencanakan misi kehidupan bersama atau masih mahu berada difasa berbulan madu sahaja. Pasangan muda dilihat masih mentah dan kurang sabar di dalam mendidik kanak-kanak. Kestabilan dari segi emosi dan ekonomi mungkin menjadi penyebab mengapa mereka kurang kesabaran dalam mendidik anak-anak kecil, tidak pandai mengambil hati si kecil kerana masih ingin menumpukan perhatian terhadap diri sendiri (self-centered) sahaja. Oleh itu, ibubapa diluar sana, perlu mempelajari ilmu keibubapaan sebelum menempuhi alam tersebut, agar anda lebih bersedia, berfikir secara matang dan menjadikan perkembangan bahasa kanak-kanak sebagai satu keutamaan untuk pendidikan awal si kecil.
-
Gaya Asuhan yang diamalkan oleh ibubapa ketika mendidik
Terdapat 4 gaya asuhan atau parenting style yang dicadangkan oleh Pakar Psikologi, Diana Baumrind (1967) iaitu berdasarkan empat tonggak iaitu (1) strategi disiplin, (2) gaya komunikasi ibubapa, (3) tahap kemesraan ibubapa serta (4) tahap bimbingan yang diberikan oleh ibubapa sepanjang tempoh perkembangan kanak-kanak. Menurut Diana, 4 gaya asuhan yang dicadangkan adalah (1) gaya kuku besi (autoritatif), (2) gaya pemerintah (autoritarian), (3) gaya pengizin (permisif) dan akhir sekali iaitu (4) gaya mengelak dari terlibat dalam pendidikan anak-anak (uninvolved). Dari segi perkembangan bahasa kanak-kanak, gaya asuhan akan membentuk anak-anak dengan keupayaan pertuturan seperti berikut:
- Gaya Kuku Besi (Autoritarian): Dengan gaya asuhan secara kuku besi, anak-anak menjadi pendiam, kurang berani berbincang (negotiating) untuk memberikan pendapat tetapi hanya patuh dan menurut sahaja sebarang kehendak daripada ibubapa dalam membuat sesuatu keputusan. Mereka dilihat lebih pasif dan lebih gemar menyendiri kerana takut. Mereka juga kurang berkomunikasi dengan rakan sebaya.
- Gaya Pemerintah (Autoritatif): Dengan gaya pemerintah, anak-anak akan menjadi lebih yakin ketika bercakap kerana mereka tahu, ibubapa mereka boleh dibawa berbincang mengenai sesuatu perkara. Anak-anak lebih berani menyatakan hasrat hati, lebih tertib kerana terdapat kawalan yang sederhana, dan mereka berani menyatakan hasrat hati walaupun bercanggah dengan pendapat ibubapa. Ia akan menghasilkan anak-anak yang berkeupayaan tinggi kerana sifat ingin tahu mereka sentiasa diberi perhatian oleh kedua ibubapa. Mereka juga sentiasa dilihat riang dan gembira kerana ibubapa melayan mereka secara mesra.
- Gaya Pengizin (Permissive): Gaya asuhan secara pengizin adalah di mana anak-anak selalunya diberikan sepenuh kebebasan untuk bercakap apa-apa sahaja yang diinginkan tanpa sebarang kawalan. Tingkahlaku mereka juga tidak dikawal dan ibubapa dilihat terlalu banyak memberi kebebasan bercakap, berkawan dan bersosial. Ia menjadikan seseorang menjadi lebih lantang, tidak berbudi bahasa dan juga sukar dikawal apabila dewasa nanti. Ibubapa dilihat lebih mesra tetapi kurang dapat mengawal tingkah laku anak-anak.
- Gaya Mengelak daripada terlibat dalam asuhan anak-anak (Uninvolved): Ibubapa tidak langsung terlibat dalam perkembangan bahasa kanak-kanak tetapi memberikan sepenuhnya tanggungjawab ini kepada individu lain seperti datuk dan nenek, penjaga atau pembantu rumah, keluarga angkat atau saudara mara yang lain. Ibubapa langsung tidak mahu terlibat dalam perkembangan anak-anak yang menyebabkan anak-anak menjadi pasif, tidak berminat dengan komunikasi, terabai, kurang bersosial dan berkemungkinan besar lali dalam menjalankan tanggungjawab kerana tiada pemangkin yang memotivasikan mereka dalam kehidupan. Ini berlaku disebabkan oleh pengabaian tanggungjawab dalam sebuah keluarga kerana pelbagai kekangan kehidupan di masa kini. Gaya inilah yang menyumbang kepada kes-kes pengabaian kanak-kanak dan penderaan di kalangan kanak-kanak di dunia termasuklah di Malaysia.
Faktor pemilihan bahasa bagi anak-anak
Faktor pemilihan bahasa pertama anak-anak menjadi cabaran terutamanya bagi ibubapa di Asia Tenggara secara kolektif. Ini berikutan proses asimilasi bahasa daripada kepelbagaian bahasa, dialek, bangsa, etnik dan agama yang menyatukan komuniti di Malaysia. Bagi anak-anak yang masih kecil, mereka tidak boleh membezakan bahasa-bahasa yang digunakan oleh individu disekelilingnya termasuklah ibubapa serta pembantu rumah mereka. Input-input bahasa yang berbeza-beza memungkinkan mereka memilih untuk menjadi lebih pasif dan memilih untuk diam kerana tidak mahir menggunakan mana-mana bahasa dengan baik. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang mempunyai pembantu rumah yang bertutur bahasa Indonesia, manakala ibunya bertutur menggunakan bahasa Melayu dan ayah pula bertutur menggunakan bahasa Inggeris. Anak yang keliru ini, langsung memilih untuk diam kerana keliru dengan bahasa-bahasa yang didengarinya setiap hari. Sebaiknya, ibubapa harus membuat pemilihan bahasa dari awal lagi untuk memastikan bahasa PERTAMA anak anda stabil terlebih dahulu sebelum memperkenalkan bahasa kedua kepada mereka.
Kesimpulan
Tanggungjawab sebagai ibubapa dalam memperkembangkan bahasa kanak-kanak adalah besar walaupun terdapat pelbagai cabaran yang akan dihadapi oleh mereka sepanjang proses tersebut. Oleh itu, ibubapa perlu tahu kepelbagaian gaya asuhan yang dicadangkan oleh psikologis supaya mereka lebih bersedia dan lebih cakna mengenai perkembangan bahasa kanak-kanak. Sekiranya mereka mengesyaki anak-anak mereka lewat bertutur, tindakan segera boleh diambil dengan mendapatkan rujukan dari mana-mana klinik kesihatan atau hospital/klinik swasta terlebih dahulu dan dapatkan tarikh temujanji untuk rawatan di Klinik Terapi Pertuturan di seluruh Malaysia.
Rujukan
- Positive Parenting Magazine. Vol. 1 (2010) daripada Abott Nutirion.
- Mohd Haikal Anuar Adnan et. Al. 2015. Gaya Keibubapaan Dan Hubungannya Dengan Kemurungan Dalam Kalangan Remaja. Pusat Pengajian Psikologi Dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
- 4 Parenting Styles – Characteristices and Effects [ Infographic] https://www.parentingforbrain.com/4-baumrind-parenting-styles/
Semakan Akhir | : | 18 April 2019 |
Penulis | : | Nadwah bt. Onwi |
Akreditor | : | Rosmah Suriani bt. Mohd Raini |