Definasi
Ianya merupakan inflamasi (radang) pada kulit yang disebabkan oleh hapten (alergen – dermatitis kontak alergi) atau faktor-faktor iritasi (dermatitis kontak iritasi) di persekitaran. Reaksi kulit dikesan sebagai ekzema atau dermatitis.
Gambar 1: Dermatitis kontak disebabkan oleh nickel dalam jam tangan |
Apakah bahan-bahan alergen yang biasa menyebabkan dermatitis?
Hapten (alergen) yang kebiasaannya menyebabkan inflamasi pada kulit seperti tersenarai:
- Bahan kimia atau bahan getah campuran dalam sarung tangan, alat pemegang bergetah pada peralatan, peralatan senaman atau basikal / motosikal.
- Minyak wangi dalam cecair wangian, deodoran, syampu, sabun atau losyen dan kosmetik.
- Pelbagai jenis ubat sapu tradisional
- Barang-barang yang mengandungi nickel seperti barang perhiasan contoh: keronsang atau rantai leher, jam tangan, butang seluar jean, kepala tali pinggang dan cermin mata.
- Pelbagai jenis bahan kimia dari industri di tempat kerja.
Apakah faktor-faktor iritasi yang biasa menyebabkan dermatitis?
Faktor-faktor tersebut seperti tersenarai:
- Detergen dalam sabun basuh, cecair pencuci pinggan mangkuk atau lantai
- Pelarut
- Faktor-faktor fizikal seperti haba, geseran, tekanan yang berulang kali, humiditi yang rendah atau tinggi contoh: pekerjaan yang sentiasa basah.
Apakah gejala-gejala dermatitis yang biasa dilihat?
- Kawasan yang terlibat bergantung pada kawasan yang mengenai bahan.Kebiasaannya melibatkan tangan, lengan, muka dan kaki.
- Pada peringkat awal (akut), kebiasaannya gatal, timbul ruam-ruam merah atau gelembung-gelembung cecair. Gelembung-gelembung cecair akan pecah dan menyebabkan kulit berair atau berkeruping.
- Pada peringkat selanjutnya (kronik), kebiasaannya gatal, warna kulit menjadi lebih gelap samada coklat tua atau kehitaman, kulit menebal dan bersisik sedikit.
Rawatan
- Rawatan utama adalah untuk elakkan dari terdedah kepada alergen atau faktor yang menyebabkan iritasi. Patch test boleh dijalankan untuk mengenalpasti alergen.
- Peringkat awal:
- Kerap kali rendam atau cecah kulit dengan potassium permanganate untuk lesi kulit yang berair atau lembab. Kebiasaanya dilakukan 2 hingga 3 hari.
- Sapu ubat steroid sekali atau dua kali sehari mengikut nasihat doktor. Ini dapat mengurangkan inflamasi kulit.
- Antihistamin boleh menolong mengurangkan rasa gatal pada sesetengah pesakit
- Peringkat selanjutnya:
- Sapu ubat steroid sekali atau dua kali sehari mengikut nasihat doktor.
- Sapu pelembap dalam bentuk krim atau salap berminyak untuk mengurangkan kulit kering atau bersisik
- Antihistamin boleh menolong mengurangkan rasa gatal pada sesetengah pesakit
- Antibiotik hanya diberikan oleh doktor jika disyaki terdapat jangkitan kuman bakteria.
Langkah-langkah pencegahan
- Adalah penting untuk mengelakkan dari terdedah semula kepada alergen atau faktor-faktor yang menyebabkan iritasi untuk mengelakkan masalah berulang.
- Guna peralatan pelindungan diri yang bersesuaian seperti yang diarahkan oleh penyelia anda
- Penjagaan tangan:
- Jangan rendam tangan terlalu lama atau sentiasa basah
- Kurangkan kekerapan basuh tangan
- Guna sarung tangan bila perlu mengendalikan bahan kimia atau pencuci
- Guna bahan pencuci yang tidak begitu kuat
- Keringkan tangan yang
- Guna pelembab dan sapu kerap kali
Semakan Akhir | : | 30 Oktober 2013 |
Penulis | : | Datin Dr. Asmah bt. Johar |