Diabetes adalah penyakit yang kronik yang diakibatkan oleh paras glukosa darah yang tinggi daripada paras normal disebabkan oleh kegagalan dalam pengeluaran insulin, tindakan insulin, atau kedua-duanya.
Pada masa ini, terdapat hampir 1.2 juta orang di Malaysia yang menghadapi penyakit diabetes.
Pada amnya, terdapat dua jenis penyakit diabetes:
- Diabetes Jenis 1
- Diabetes Jenis 2
Lebih 90% daripada pesakit diabetes di Malaysia adalah diabetes jenis 2. Kedua-dua jenis diabetes ini boleh menyebabkan satu bentuk penyakit buah pinggang kronik yang dikenali sebagai diabetik nefropati. Lebih kurang 30-40% pesakit diabetes akhirnya akan mengalami keadaan ini.
Secara amnya, diabetik nefropati boleh dikesan di kalangan pesakit-pesakit diabetes yang kronik (10 tahun atau lebih selepas permulaan penyakit), oleh itu pesakit biasanya berusia antara 50 dan 70 tahun. Ia adalah punca utama penyakit buah pinggang dan kegagalan buah pinggang peringkat akhir di Malaysia.
Walau bagaimanapun, untuk pesakit diabetes yang tidak mempunyai kehadiran protein dalam air kencing, mereka hanya mempunyai 1% peluang sahaja untuk mendapat diabetik nefropati selepas 20 hingga 25 tahun.
Gejala & Tanda
Diabetik nefropati biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal. Tanda-tanda awal termasuklah pengesanan protein dalam air kencing (air kencing berbuih) dan keperluan untuk membuang air kecil dengan kerap terutama pada waktu malam. Jika tidak menerima rawatan pada peringkat ini, pesakit tersebut akan mengalami pengumpulan air dan bengkak-bengkak di anggota-anggota badan (terutama kaki), kurang selera makan, tahap tenaga yang kurang dan kesukaran bernafas.
Komplikasi
Pada waktu yang sama pesakit diabetik nefropati akan mengalami komplikasi diabetes yang lain seperti penglihatan yang kabur, luka-luka di kulit yang lambat sembuh, kebas-kebas dan kesejukan di anggota badan disebabkan oleh aliran darah yang lemah, angin ahmar, serangan jantung atau angina (bentuk serangan jantung yang ringan).
Faktor-Faktor Risiko
Berikut adalah faktor-faktor risiko untuk diabetik nefropati:
- Sejarah keluarga yang positif untuk diabetes
- Tempoh menghidapi diabetes yang panjang
- Tekanan darah yang tinggi
- Kawalan gula yang tidak normal
- Obesiti
- Merokok
Rawatan
Aspek-aspek penting dalam penjagaan kesihatan pesakit diabetik nefropati adalah :
- Kawalan paras gula yang baik dengan bacaan HbA1c <7%
- Kawalan tekanan darah di bawah <130/80mmhg
- Mengurangkan garam dalam pemakanan dan pengambilan gula kurang daripada 5 gram sehari
- Merawat hiperlipidemia
- Senaman selama 20 minit sehari
- Mengehadkan pengambilan protein seperti yang disyorkan oleh doktor atau pakar pemakanan
- Bagi pesakit yang mempunyai protein dalam air kencing, pengambilan ubat-ubatan seperti ACEI atau ARB
<7%<130/80mmhg
Pencegahan
- Belajar bagaimana untuk menggunakan kit ujian glukosa darah di rumah dan menggunakannya dengan kerap – ini akan membolehkan seseorang untuk mengukur paras glukosa darah dan mengawalnya dengan ubat-ubatan diabetes
- Belajar cara penyuntikan insulin seperti dinasihatkan oleh doktor
- Berhenti merokok
- Ikut cara pemakanan seperti yang dinasihatkan oleh doktor dan mengambil sebahagian kecil makanan pada selang waktu yang tetap
- Bersenam secara kerap
- Berjumpa doktor secara berkala untuk mendapatkan pemeriksaan paras glukosa darah dan ujian air kencing
- Mata dan kaki perlu diperiksa secara berkala untuk tanda-tanda komplikasi diabetes
- Jika berat badan berlebihan, turunkan berat badan – kehilangan berat badan boleh mengurangkan gula dalam darah
Pemeriksaan dan Ujian
Ciri utama diabetik nefropati adalah kehadiran protein yang berterusan dalam air kencing. Pengunaan ujian dipstik air kencing (urine dipstick) adalah ujian mudah dan cepat yang boleh mengesan penyakit buah pinggang walaupun dalam peringkat awal. Ujian positif selalunya bermakna seseorang pesakit sudah mempunyai sekurang-kurangnya sedikit kerosakan kepada buah pinggang. Kerosakan pada peringkat ini mungkin boleh disembuhkan sepenuhnya.
Ujian makmal yang lain yang dilakukan termasuk:
- Profil buah pinggang (renal profile)
- Profil tulang (bone profile)
- Ujian pantas pengesanan air kencing (urine spot test dan urine albumin-creatinine ratio (UACR))
- Kiraan kuantiti protein air kencing 24 jam dan penapisan kreatinin (creatinine clearance)
- Tahap gula darah dan kolesterol
- Tahap HbA1c
- Tahap fosforus, kalsium dan hormon paratiroid
- Ujian sel darah merah
- Ujian ultra bunyi buah pinggang
- Ujian sinar-x buah pinggang-saluran kencing
Kumpulan Sokongan Yang Sedia Ada:
- Malaysia Society of Nephrology bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan telah mewujudkan program kesedaran sejak 2005/06/16.
- Maklumat lanjut : http://www.msn.org.my dan www.nkf.org.my.
Semakan Akhir | : | 8 Februari 2012 |
Penulis | : | Prof. Madya Dr. Christopher Lim Thiam Seong |