A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Diet bagi Pesakit Gout

Diet bagi Pesakit Gout

Diet bagi pesakit gout boleh membantu menyekat pembentukan asid urik dan meningkatkan penyingkirannya. Namun, diet ini tidak dapat menurunkan kepekatan asid urik secukupnya bagi merawat gout. Ubat-ubatan masih diperlukan disamping diet yang betul untuk membantu mengurangkan kekerapan serangan gout dan tahap keterukan penyakit gout.

Pengenalan

  1. Gout merupakan satu bentuk artritis akut yang menyebabkan kesakitan teruk dan bengkak pada bahagian sendi. Ia disebabkan oleh pengumpulan asid urik yang tinggi di dalam badan.
  2. Asid urik terhasil daripada pemecahan bahan kimia purin dalam badan. Kebiasaannya, purin hadir secara semulajadi di dalam badan, tetapi ia juga terdapat dalam sesetengah jenis makanan. Asid urik disingkirkan daripada badan melalui air kencing.
  3. Diet untuk pesakit gout boleh membantu menurunkan paras asid urik dalam darah. Diet tidak boleh menyembuhkan sakit gout, tetapi ia boleh menurunkan risiko serangan gout dan melambatkan kerosakan sendi.
  4. Pesakit gout yang mengamalkan diet bagi gout masih memerlukan ubat-ubatan untuk mengawal kesakitan dan menurunkan paras asid urik.

Tujuan Pengurusan Pemakanan Pesakit Gout :

  1. Mencapai berat badan ideal dan tabiat pemakanan yang baik
  2. Mengelakkan sesetengah (tidak semua) makanan yang tinggi kandungan purin
  3. Mengambil makanan yang baik dan membantu mengawal paras asid urik

Prinsip asas diet bagi pesakit gout :

  1. Penurunan berat badan – berlebihan berat badan meningkatkan risiko untuk menghidap gout. Kajian mencadangkan penurunan kalori dan berat badan boleh menurunkan paras asid urik dan mengurangkan serangan gout. Penurunan berat badan juga akan mengurangkan tekanan terhadap sendi-sendi.
  2. Karbohidrat kompleks – makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta bijirin penuh yang membekalkan karbohidrat kompleks. Elakkan makanan dan minuman yang ada kandungan sirap jagung tinggi-fruktosa (high-fructose corn syrup), serta hadkan meminum jus buah-buahan yang semulajadi manis. Metabolism fruktosa dalam badan akan menghasilkan asid urik seterusnya meningkatkan parasnya dalam darah.
  3. Minuman – kekalkan hidrasi dengan meminum banyak air kosong.
  4. Lemak – elakkan pengambilan lemak tepu daripada daging, daging terproses, lemak ayam/itik dan produk tenusu tinggi-lemak.
  5. Protein – pilih bahagian daging/ayam tanpa lemak, produk tenusu rendah lemak dan kekacang sebagai sumber protein.

Saranan makanan atau suplemen yang lebih khusus :

  1. Organ dalaman – elakkan pengambilan organ dalaman seperti hati, paru, perut, limpa dan lain-lain : ia mengandungi paras purin yang tinggi dan meningkatkan paras asid urik dalam darah.
  2. Daging merah – hadkan pengambilan daging lembu, kambing dan khinzir.
  3. Makanan laut – sesetengah jenis makanan laut seperti ikan bilis, kerang kerangan, sardin dan ikan tongkol mengandungi purin yang lebih tinggi berbanding yang lain. Akan tetapi, kebaikan pengambilan ikan adalah lebih banyak berbanding risiko bagi pesakit gout. Oleh itu, pengambilan ikan secara sederhana adalah disarankan.
  4. Sayur-sayuran tinggi purin – kajian telah menunjukkan bahawa kandungan purin dalam sayur-sayuran seperti bayam, asparagus, bunga kobis tidak meningkatkan risiko serangan gout.
  5. Alkohol – Bir dan likuor meningkatkan risiko penyakit gout dan serangan gout berulang. Pengambilan wain secara sederhana pula tidak meningkatkan risiko serangan gout. Elakkan alkohol semasa serangan gout berlaku, dan hadkan alkohol, terutamanya bir pada masa lainnya.
  6. Makanan dan minuman manis bergula – hadkan/elakkan makanan manis bergula seperti bijirin manis, kuih muih manis dan roti/bakeri. Hadkan pengambilan jus buah-buahan yang semulajadi manis.
  7. Vitamin C – Vitamin C mungkin membantu menurunkan paras asid urik. Bincang dengan doktor/pegawai dietetik tentang kesesuaian suplemen tambahan 500 mg vitamin C dengan diet serta pelan perubatan anda.
  8. Kopi – terdapat kajian yang mencadangkan pengambilan kopi secara sederhana berkemungkinan membantu penurunan risiko gout. Namun, pengambilan kopi mungkin tidak sesuai jika anda mempunyai masalah perubatan yang lain. Berbincanglah dengan pegawai dietetik untuk menentukan kesesuaian jumlah kopi dalam diet anda.

Kesimpulan

Diet bagi pesakit gout boleh membantu menyekat pembentukan asid urik dan meningkatkan penyingkirannya. Namun, diet ini tidak dapat menurunkan kepekatan asid urik secukupnya bagi merawat gout. Ubat-ubatan masih diperlukan disamping diet yang betul untuk membantu mengurangkan kekerapan serangan gout dan tahap keterukan penyakit gout.

Diet yang bersesuaian, disamping kawalan kalori dan senaman berterusan adalah perlu untuk memperbaiki tahap kesihatan pesakit gout secara menyeluruh dengan membantu mencapai dan mengekalkan berat badan ideal.

Rujukan

  1. Becker MA. Lifestyle modification and other strategies to reduce the risk of gout flares and progression of gout. https:www.uptodate.com/contents/search.
  2. AskMayoExpert. Gout. Rochester, Minn. : Mayo Foundation for Medical Education and Research; 2018.
  3. Beyl RN, et al. Update on importance of diet in gout. The American Journal of Medicine. 2016;129:1153.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nik Mahani binti Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

Pemakanan Sihat Semasa Tahun Baru Cina

Terdapat 8 tips makan secara sihat semasa Tahun Baru Cina yang boleh diamalkan. Antaranya adalah makan mengikut waktu – elakkan melangkau waktu makan, makan ikut keperluan, pilih menu dan kaedah memasak yang sihat, amalkan pemakanan seimbang dan ambil makanan dalam sukatan/saiz/pinggan yang kecil.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia