A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Diet Bagi Penyakit Hati...

Diet Bagi Penyakit Hati Berlemak

Pengurusan diet bagi pesakit hati berlemak bergantung kepada punca penyakit tersebut (obesiti, tinggi kolesterol, sindrom metabolik atau pengambilan alkohol berlebihan). Pesakit perlulah mematuhi diet yang ditetapkan untuk mengurangkan lemak dalam tisu hati.

Pengenalan

Hati adalah organ yang paling aktif di dalam tubuh. Ia terletak di sebelah kanan bahagian atas abdomen.

Definisi Hati Berlemak

Hati berlemak terhasil daripada pengumpulan lemak yang berlebihan di dalam tisu hati. Ia adalah penyakit yang biasa terjadi dan kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda dan komplikasi.

Walau bagaimanapun, jika dibiarkan tanpa rawatan ia boleh menyebabkan keradangan dan parut pada hati seterusnya membawa kepada kerosakan hati.

Rajah 1: Perbezaan hati normal dengan hati berlemak.

Berbanding hati normal, saiz hati yang berlemak adalah lebih besar dan berwarna pudar. Tisu hati menunjukkan berlakunya pengumpulan lemak.

Jenis-jenis Hati Berlemak

  1. Hati berlemak bukan alkohol (Non-alcoholic fatty liver)
    1. Ia disebabkan oleh pengumpulan lemak di dalam hati dan bukan disebabkan oleh pengambilan alkohol secara berlebihan.
    2. Penghidap hati berlemak biasanya tidak menunjukkan tanda-tanda menghidap hati berlemak.

      Hati berlemak
      Non-Alcoholic Steatohepatitis (NASH)
      Sirosis
      Lemak berkumpul pada hati Lemak berserta radang dan parut pada hati Tisu berparut menggantikan sel hati

      Rajah 2 : Proses kerosakan hati berlemak bukan alkohol

      Punca Hati Berlemak Bukan Alkohol (Non-Alcoholic Fatty Liver)

      Hati berlemak terhasil daripada ketidakseimbangan penghasilan lemak yang berlebihan dan penyingkiran lemak yang kurang dalam darah. Seterusnya, berlaku pengumpulan lemak di dalam hati.

      Punca-punca tersebut adalah :

      1. Hiperkolesterolemia (aras kolesterol tinggi dalam darah)
      2. Hipertrigliseridemia (aras trigliserida tinggi dalam darah)
      3. Sindrom metabolik – pesakit mempunyai 3 atau lebih penyakit :
        1. Ukur lilit pinggang – perempuan lebih 80cm atau lelaki lebih 90cm
        2. Diabetes Mellitus
        3. Hipertensi
        4. Penyakit jantung
      4. Obesiti – mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih daripada 30kg/m2
      5. Diabetes Mellitus (Kencing Manis)
  2. Hati berlemak beralkohol (Alcoholic fatty liver)
    1. Ia disebabkan oleh pengambilan minuman beralkohol secara kronik dan berlebihan.
      1. Pengambilan alkohol berlebihan adalah lebih 4 cawan sehari bagi lelaki. Manakala, bagi perempuan adalah lebih daripada 3 cawan sehari.
    2. Faktor genetik atau keturunan juga boleh menyebabkan alcoholic fatty liver.
      1. Ini disebabkan berlakunya ketagihan alkohol sehingga menjejaskan enzim hati (ALT, ALP dan AST) yang terlibat dalam metabolisma (pemecahan) makanan di dalam hati.

Rujuk: Rosak Hatimu Akibat Arak

Tanda-tanda

Ramai pesakit hati berlemak tidak menyedari akan tanda-tanda penyakit tersebut. Tanda-tanda penyakit hati berlemak adalah:

  1. Pembesaran hati (Hepatomegali)
  2. Rasa tidak selesa di sebekah kanan bahagian atas abdomen
  3. Keletihan.

Ujian Makmal

Aras enzim hati digunakan untuk diagnosis hati berlemak. Hati berlemak adalah penyebab utama aras enzim hati di dalam darah tidak normal.

Enzim hati adalah :

  1. Alkaline Phosphatase (ALP)
  2. Alanine Transaminase (ALT)
  3. Aspartate Transaminase (AST)

Ujian makmal lain untuk menentukan hati berlemak adalah :

  1. trigliserida
  2. kolesterol LDL
  3. kolesterol HDL
  4. jumlah kolesterol dan
  5. glukosa darah

Jadual di bawah adalah aras normal bagi ujian yang digunakan untuk mengesan hati berlemak :

Ujian Makmal Aras Normal
Alanine Aminotransferase (ALT)

Lelaki          : 0 – 40 U/L

Perempuan : 0 – 3 U/L

Alkaline Phosphatase (ALP)

Lelaki          : 53 – 128 U/L

Perempuan : 42 – 98 U/L

Aspartate Transaminase (AST)

Lelaki          : 0 – 40 U/L

Perempuan : 0 – 31 U/L

Glukosa dalam darah

Gula darah berpuasa (FBS)

Gula darah tidak berpuasa (RBS)

 

3.8 – 6.0 mmol/L

7.8 – 11.1mmol/L

Total Cholesterol (T Chol) < 5.2mmol/L
LDL Cholesterol (LDL-C) < 3.4 mmol/L
HDL Cholesterol (HDL-C)

Lelaki           : 0.9 – 1.45mmol/L 

Perempuan  : 1.15 – 1.68 mmol/L

Trigliserida (TG) < 2.3 mmo/L

Pengurusan Diet

Terapi pengurusan diet yang digunakan adalah bergantung kepada punca berlakunya hati berlemak tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya penyakit hati berlemak adalah disebabkan oleh kolesterol yang tinggi dalam darah, maka dengan kawalan diet dan aktiviti fizikal dapat mengurangkan tahap hati berlemak dan risiko sakit jantung atau strok.

    1. Ubah diet kepada yang lebih sihat
      1. Kurangkan pengambilan makanan berlemak dan kolesterol tinggi serta tingkatkan pengambilan serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini dapat membantu dalam mengurangkan lemak dalam hati.
        Rujuk : Pemakanan Untuk Hiperkolesterolemia
    2. Kurangkan berat badan
      1. Pesakit hati berlemak yang obes atau berlebihan berat badan digalakkan untuk menurunkan berat badan secara berperingkat.
      2. Penurunan berat badan yang disarankan adalah antara 3 hingga 10 % daripada berat badan asal.
      3. Ini dapat membantu mengurangkan jumlah lemak dalam sel hati.
      4. Sebagai contoh, sekiranya berat badan pesakit adalah 80 kg, maka penurunan berat badan adalah antara 2.4 kg hingga 8 kg.
    3. Tingkatkan aktiviti fizikal
      1. Pesakit hati berlemak digalakkan bersenam untuk membantu mengurangkan berat badan, kawalan kolesterol dan gula dalam darah.
      2. Pesakit digalakkan bersenam sekurang-kurangnya selama 30 hingga 40 minit setiap sesi dengan kekerapan 3 hingga 4 kali seminggu.
    4. Kawal gula dalam darah
      1. Kawalan paras gula dalam darah adalah penting terutamanya kepada pesakit Diabetes Mellitus. Sila patuhi preskripsi ubat dan arahan yang telah diberikan oleh doktor anda.
        Rujuk : Diet Untuk Diabetes Mellitus
    5. Kawal pengambilan alkohol
      1. Penghidap hati berlemak bukan alcohol perlu mengurangkan pengambilan minuman alkohol. Bagi penghidap hati berlemak beralkohol (alcoholic fatty liver), mereka dikehendaki berhenti minum alkohol.

Kesimpulan

Pengurusan diet bagi pesakit hati berlemak adalah bergantung kepada punca penyakit tersebut sama ada masalah berlebihan berat badan, obesiti, kolesterol tinggi dalam darah, sindrom metabolik atau pengambilan alkohol yang berlebihan. Oleh itu, pesakit perlulah mematuhi diet yang telah ditetapkan untuk mengurangkan lemak dalam tisu hati.

Rujukan

  1. Chalasani N., Younossi Z., Lavine JE. Et al (2012) .Diagnosis and Management of Non-Alcoholic Fatty Liver Disease: Practice Guideline by the American Association for the Study of Liver Diseases, American College of Gastroenterology, and the American Gastroenterological Association. Journal of the American Association for the Study of Liver Disease.
  2. Fatty liver Disease. Melalui internet: http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/nonalcoholic-fatty-liver-disease/basics/prevention/con-20027761
  3. Fatty liver Disease. Melalui internet: http://www.webmd.com/hepatitis/fatty-liver-disease
  4. Rolfer et al. (2000). Nutrition, Liver Disease and Gallstones. Understanding Normal and Clinical Nutrition. 7th Ed. Peter Marshall. Thompson Higher Education. 10 Davis Drive, Belmont, CA 94002-3098 USA.
  5. The difference between normal liver and fatty liver (Rajah 1). Melalui internet : http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/nonalcoholic-fatty-liver-disease/basics/prevention/con-20027761. 2 April 2014.
  6. The spectrum of NAFLD (Rajah 2). Melalui internet : http://www.precisionnutrition.com/lean-liver-with-low-carb
  7. Ueno T., Sugawara H., Sujako K. et al (1997). Therapeutic effects of restricted diet and exercise in obese patients with fatty liver. Vol. 27, Issue 1 (103-107). Journal of Hepatology.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Faulina Khamisan
Akreditor : Cyril Sibon
Penyemak : Nik Mahani Binti Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

Fad Diet

Apakah ‘fad diet’? ‘Fad diet’ adalah pelan diet yang menjanjikan

Susu dan Sihat (Minum Susu Untuk Lebih Sihat)

Susu adalah makanan yang mengandungi hampir kesemua nutrien yang diperlukan oleh badan. Malah, susu juga adalah sumber nutrisi utama yang perlu diberikan kepada anak pada peringkat awal pertumbuhan mereka dan ia harus diamalkan sepanjang usia.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,746

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia