A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Hipotensi

Apa itu tekanan darah rendah ?

Tekanan darah adalah keupayaan darah menolak ke arah dinding pembuluh darah arteri ketika jantung mengepam darah.  Tekanan darah diukur sebagai tekanan sistolik dan diastolik.  Tekanan darah sistolik adalah tekanan yang diukur semasa jantung berdenyut.  Tekanan diastolik adalah tekanan yang diukur semasa jantung sedang rehat.

Anda akan selalu melihat tekanan darah ditulis sebagai tekanan sistolik di bahagian atas dan tekanan diastolik di bawahnya, contoh 120/80 mmHg (mmHg maksudnya milimeter raksa – unit yang digunakan untuk mengukur tekanan darah)

Tekanan darah normal di kalangan orang dewasa lebih rendah dari 120/80 mmHg.  Tekanan darah dikatakan rendah bila bacaan berada di paras lebih rendah dari 90/60 mmHg.

Gambaran Secara Umum

Tekanan darah bertukar sepanjang hari. Ianya rendah bila anda tidur dan menjadi tinggi bila anda bangun. Ianya boleh berubah jadi tinggi bila anda berada dalam keadaan teruja, takut atau aktif.

Sesetengah orang mengalami tekanan darah rendah sepanjang masa. Mereka tiada tanda-tanda atau gejala, dan tekanan darah rendah adalah normal bagi mereka.

Bagi individu lain pula, terdapat beberapa keadaan atau faktor- faktor yang menyebabkan tekanan darah jatuh di bawah paras normal, sehingga mendatangkan gejala-gejala seperti pening, pengsan atau keadaan yeng lebih teruk lagi iaitu ‘shock’.

Jenis-Jenis Tekanan Darah Rendah

Terdapat tiga jenis utama tekanan darah rendah.

  1. Tekanan Darah Rendah ‘Orthostatic’
    Jenis tekanan darah rendah ini akan berlaku bila anda berubah posisi, bangun dari tidur atau duduk.  Penurunan tekanan darah akan menyebabkan anda berasa pening atau pengsan.
    Ianya terjadi bila tubuh badan tidak dapat menyesuaikan tekanan pengaliran darah dengan cepat agar sesuai dengan kedudukan badan anda.  Keadaaan ini biasanya akan berlaku hanya sekejap, dari beberapa saat ke beberapa minit selepas anda berdiri.
  2. Tekanan Darah Rendah ‘Neurally Mediated’ (NMH)
    Keadaan ini berlaku apabila otak dan jantung tidak berkomunikasi antara satu sama lain dengan baik. Sebagai contoh, apabila anda berdiri untuk jangkamasa yang panjang, darah mulai berkumpul di kaki anda.
    Hal ini menyebabkan tekanan darah anda menurun. Dalam NMH, badan keliru dan memberitahu otak bahawa tekanan darah tinggi. Sebagai tindakbalas, otak melambatkan kadar denyutan jantung. Hal ini membuat penurunan tekanan darah yang lebih, menyebabkan pening  kepala dan rasa hendak pitam.
  3. Tekanan Darah Rendah Teruk berkaitan dengan ‘Shock’
    ‘Shock’ adalah suatu keadaan yang boleh mengancam nyawa di mana tekanan darah turun begitu rendah sehingga otak, buah pinggang dan organ-organ penting yang lain tidak dapat bekalan darah yang cukup.

Apa penyebab hipotensi?

Pelbagai jenis hipotensi ini mempunyai sebab-sebab yang berbeza.

Hipotensi ortostatik

Terdapat beberapa sebab kenapa jenis hipotensi ini berlaku.

  1. Nyahhidrasi
    Ianya berlaku bila badan kehilangan air lebih dari yang diambil seperti berpeluh berlebihan semasa aktiviti fizikal, demam, muntah dan cirit-birit
  2. Keadaan panas atau tidak bergerak untuk beberapa ketika yang lama
  3. Ubat-ubatan
    Setengah ubat-ubatan boleh meningkatkan risiko anda untuk hipotensi ortostatik. Ubat-ubatan ini termasuk:
    • Ubat merawat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung:
      • Diuretics atau ubat kencing
      • Calcium channel blockers
      • Angiotensin-converting enzyme (ACE) inhibitors
      • Angiotensin II receptor blockers
      • Nitrates
      • Beta blockers
    • Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat keadaan seperti kebimbangan, kemurungan, mati pucuk dan gangguan sistem saraf pusat (seperti penyakit Parkinson)
  4. Bahan-bahan lain
    Alkohol, barbiturat dan beberapa jenis ubat yang dibeli sendiri sekiranya diambil dengan ubat tekanan darah tinggi
  5. Hipotensi selepas makan (postprandial hypotension)
    Hipotensi ‘postprandial’ ini akan terjadi selepas makan

Hipotensi ‘Neurally Mediated’ (NMH)

NMH biasa berlaku di dalam keadaan berikut:

  • berdiri untuk masa yang lama
  • kesakitan atau ketakutan yang amat sangat

Hipotensi teruk berkaitan dengan ‘Shock’

‘Hypotensive shock’ adalah satu keadaan kecemasan yang memerlukan rawatan dengan segera. Hypotensive shock terdiri daripada:

  1. ‘Septic shock’
    Ia boleh berlaku apabila bakteria memasuki aliran darah. Bakteria mengeluarkan toksin (racun) yang berbahaya dengan membawa kepada penurunan tekanan darah.
  2. Hypovolemic shock
    Kehilangan darah atau cecair dari badan boleh berlaku akibat daripada:
    • Pendarahan luaran yang teruk (contohnya dari luka parah atau cedera)
    • Pendarahan dalaman yang teruk (contohnya dari pembuluh darah yang pecah atau luka yang menyebabkan pendarahan dalam badan)
    • Kehilangan cecair badan dari luka terbakar yang teruk
    • Keradangan kelenjar pankreas yang teruk (organ yang menghasilkan enzim dan hormon seperti insulin)
    • Cirit-birit yang teruk
    • Penyakit buah pinggang yang teruk
    • Terlalu sering menggunakan diuretik
  3. ‘Cardiogenic shock’
    Ketidakupayaan jantung untuk mengepam darah disebabkan oleh serangan jantung, embolisme pulmonari atau aritmia (degupan jantung yang tidak teratur)
  4. ‘Vasodilatory shock’
    Saluran arteri yang tiba-tiba meregang luas (‘vasodilatation’) sehingga menurunkan tekanan darah. Hal ini terjadi kerana :
    • Kecederaan kepala yang teruk
    • Tindak balas kepada ubat-ubatan tertentu
    • Kegagalan hati
    • Keracunan
    • Reaksi alergi yang teruk (dipanggil anafilaktik shock)

Siapa yang berisiko untuk mendapat Tekanan Darah Rendah?

Hipotensi boleh berlaku di kalangan individu dari pelbagai peringkat umur.  Walau bagaimanapun, ada individu dalam kumpulan usia tertentu yang lebih cenderung untuk mendapat tekanan darah rendah yang tertentu:

  • Orang tua lebih cenderung untuk mendapat hipotensi ortostatik selepas makan
  • Kanak-kanak dan remaja lebih cenderung memiliki tekanan darah rendah ‘neurally mediated’   
  • Orang-orang yang mengambil ubat-ubatan tertentu, seperti ubat tekanan darah tinggi
  • Orang-orang yang mempunyai gangguan sistem saraf pusat (seperti penyakit Parkinson)
  • Masaalah hati
  • Kurang bergerak (contohnya lumpuh) untuk tempoh masa yang lama
  • Wanita hamil. Hipotensi semasa mengandung adalah perkara biasa dan akan pulih selepas bersalin 

Apa Tanda-Tanda dan Gejala Tekanan Darah Rendah?

Tanda-tanda dan gejala tekanan darah rendah bergantung kepada sebab terjadinya hipotensi.

Hipotensi ortostatik

Tanda-tanda dan gejala hipotensi ortostatik boleh berlaku dalam beberapa saat atau minit selepas anda bangun dari keadaan berbaring atau duduk.  Anda mungkin merasa bahawa anda akan pengsan, atau anda betul-betul pengsan. Tanda-tanda gejala termasuk :

  • Pening atau merasa pusing
  • Penglihatan kabur
  • Kekeliruan
  • Kelemahan
  • Loya (perasaan sakit perut)

Hipotensi ‘Neurally Mediated’

Tanda-tanda dan gejala hipotensi ‘neurally mediated’ ini adalah sama dengan hipotensi ortostatik. Penurunan tekanan darah tidak berlaku lama dan sering hilang selepas duduk.

Hipotensi teruk berkaitan dengan ‘Shock’

Pada peringkat awal, ia mungkin sukar untuk mengesan sebarang tanda-tanda atau gejala. Pada orang tua, gejala pertama mungkin hanya kekeliruan.

Jika keadaan ‘shock’ menjadi semakin teruk, seseorang itu tidak akan dapat duduk tanpa merasa pitam. Jika ini berlarutan, pesakit mungkin tidak sedar diri.

Tanda-tanda dan gejala-gejala yang lain adalah berbeza, bergantung kepada apa yang menyebabkan ‘shock’. Apabila isipadu darah menjadi rendah (dari kehilangan darah yang banyak, misalnya) atau jantung gagal mengepam darah, maka :

  • Kulit menjadi sejuk dan berpeluh. Ia akan kelihatan biru atau pucat. Jika ditekan, warna kembali normal dengan lebih perlahan daripada biasa
  • Denyut nadi menjadi lemah dan pantas
  • Pesakit akan mula bernafas dengan cepat

Apabila berlaku vasodilatasi atau keregangan pembuluh darah (seperti dalam septik shock), seseorang merasa panas dan kulit menjadi merah pada awalnya.

Sekiranya berlarutan, ‘shock’ menjadi semakin teruk, kulit menjadi sejuk dan basah, dan pesakit akan berasa tenat. Keadaan ini adalah suatu keadaan yang cemas dan mesti diberi perhatian serta merta.

Bagaimana Hipotensi dapat dikesan?

Hipotensi dapat dikesan berdasarkan sejarah perubatan anda, pemeriksaan fizikal dan keputusan ujian-ujian yang akan dijalankan. Doktor anda perlu mengetahui mengenai:

  • Jenis tekanan darah rendah yang anda hidap dan tahapnya
  • Apa keadaan yang menyebabkan tekanan darah rendah

Pakar-Pakar Yang Terlibat

Seorang doktor penjagaan primer atau pakar boleh mendiagnos dan merawat tekanan darah rendah.  Pakar-pakar lain yang mungkin juga terlibat adalah pakar jantung, pakar bedah, pakar buah pinggang, pakar otak dan sebagainya.

Bagaimana hipotensi dirawat?

Anda tidak memerlukan rawatan sekiranya anda tidak mempunyai apa-apa tanda dan gejala walaupun tekanan darah anda rendah.

Sekiranya anda merasa pening atau hampir pitam, anda sepatutnya terus duduk atau baring.  Letak kaki anda di paras yang sama dengan jantung anda atau duduk sambil meletak kepala di antara lutut.
Kalau masalah ini masih berkekalan, anda mesti segera berjumpa dengan doktor. 

Amalan yang disyorkan untuk mengurangkan terjadinya keadaan hipotensi:

  • Minum banyak air sekiranya nyahhidrasi
  • Menghadkan pengambilan alkohol
  • Berdiri dengan perlahan
  • Jangan silang kaki semasa duduk
  • Elakkan berdiri terlampau lama pada satu tempat
  • Tingkatkan pengambilan garam mengikut nasihat doktor
  • Kurangkan pengambilan karbohidrat sekiranya anda selalu pening selepas makan

 

Semakan Akhir : 16 Februari 2015
Penulis : Dr. Mohd Jahangir Abd. Wahab
Penterjemah : Dr. Sinari bt. Salleh
Akreditor : Dr. Jameela bt. Sathar

 

Artikel Berkaitan

Hyperhidrosis

Hyperhidrosis or excessive sweating is a condition where there is sweating beyond the normal need of the body

Photophobia

Introduction Photophobia (light sensitivity) is defined as fear to light.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,400

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia