A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Fake Braces

Fake braces ialah braces palsu yang dipasang pada gigi yang menyerupai braces sebenar (aplian tetap ortodontik). Walau bagaimanapun ianya tidak berfungsi seperti aplian tetap ortodontik.

Apa itu fake braces?

Fake braces ialah braces palsu yang dipasang pada gigi yang menyerupai braces sebenar (aplian tetap ortodontik) dan dipasang oleh pengamal yang tidak bertauliah. Walau bagaimanapun ianya tidak berfungsi seperti aplian tetap ortodontik.

Apa itu aplian tetap ortodontik?

Aplian tetap ortodontik adalah alat-alat yang dipasang untuk rawatan ortodontik. Ianya terdiri daripada ‘bracket’ (pendakap), wayar dan getah yang dilekatkan pada permukaan gigi.

Aplian tetap ortodontik digunakan oleh pakar ortodontik untuk menggerakkan gigi yang tidak teratur dengan pemeriksaan secara berkala sehingga menjadi susunan yang cantik. Pemeriksaan berkala ini mengambil tempoh biasanya dua setengah hingga ke tiga tahun.

Contoh gambar fake braces.

Sebelum dipasang.
Di dalam mulut.

Contoh gambar aplian tetap ortodontik

 

Siapa yang selalu memakai fake braces?

Golongan remaja ialah kategori yang paling ramai memakai fake braces ini.

Kenapa remaja memakai fake braces?

Bagi golongan remaja, pemakaian aplian ortodontik kadangkala boleh dilihat sebagai suatu fesyen. Permukaan gigi yang dihiasi dengan getah-getah ortodontik yang berwarna-warni dan berbentuk menarik kelihatan seperti aksesori. Getah-getah ortodontik ada yang berbentuk bunga, bintang, watak kartun (mickey mouse) dan sebagainya.

Susunan gigi mereka ini biasanya sudah teratur dan tidak memerlukan rawatan ortodontik. Tetapi oleh kerana ingin mengikut tren dikalangan rakan sebaya, mereka sanggup melekatkan fake braces ini pada permukaan gigi masing-masing.


Contoh gambar getah fake braces.

Di mana fake braces ini diperolehi?

Fake braces ini dibeli secara online melalui media internet iaitu instagram, facebook dan twitter. Ada juga dijual secara haram disesetengah salun dan pasar gelap. Kos fake braces ini jauh lebih murah berbanding dengan rawatan ortodontik. Ianya berharga di dalam lingkungan RM90 ke RM150 sahaja.

Bagaimana fake braces ini dipasang?

Pemasangan fake braces ini dibuat sendiri oleh pembelinya / pengamal yang tidak bertauliah. Tutorial yang menunjuk ajar cara memasang fake braces ini berleluasa di laman media sosial. Ada juga perkhidmatan memasang fake braces ini di hotel-hotel atau dari rumah ke rumah para pembelinya / pengamal yang tidak bertauliah.

Berbanding rawatan ortodontik, pakar ortodontik yang bertauliah dan berpengalaman yang akan memasang aplian tetap ortodontik. Beliau juga akan menerangkan penjagaan selepas pemasangan.

Berapa lama fake braces ini dipasang di dalam mulut?

Biasanya fake braces ini dipasang dalam tempoh 3-5 bulan sahaja. Jika melebihi tempoh berkenaan, gam yang melekatkan fake braces ini sudah tidak dapat melekatkannya dengan baik. Walau bagaimanapun ianya bergantung kepada remaja berkenaan sama ada untuk memakainya dengan lebih lama atau pun tidak.

Adakah fake braces ini berbahaya?

Sudah tentu ianya bahaya. Ini kerana isi kandungan fake braces ini tidak diketahui samada selamat untuk kesihatan atau tidak. Terdapat laporan mengatakan salah satu bahan yang terkandung di dalam fake braces ini adalah plumbum yang berbahaya pada kesihatan.

Selain daripada itu alat-alat yang digunakan untuk pemasangan fake braces ini tidak dinyahkuman sebagaimana yang dilakukan di klinik-klinik pergigian ortodontik.

Banyak saranan yang telah diberikan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang menghalang orang ramai memakai fake braces di atas sebab keburukan dan kemudaratannya pada kesihatan.

Terdapat dua kematian yang dilaporkan di Thailand yang dipercayai berpunca akibat tertelan fake braces.

Adakah pemakaian fake braces ini memberi sebarang kesan pada gigi?

Semestinya. Pada permukaan gigi, kesan gam yang dilekatkan boleh menyebabkan gigi terhakis. Karies gigi dan gusi berdarah juga boleh terjadi kerana tiada penerangan untuk penjagaan gigi selepas pemasangan. Tunjuk ajar cara memberus gigi tidak diberitahu kepada para pembeli fake braces.

Selain itu, pemasangan fake braces boleh menyebabkan pergerakan gigi secara tidak langsung. Walaupun pergerakan gigi ini mungkin tidak banyak, ada juga kes dilaporkan hampir menyebabkan gigi goyang dan hampir tertanggal dari gusi.

Apa yang perlu dibuat sekiranya saya telah memakai fake braces?

Segeralah mengunjungi klinik pakar ortodontik untuk menanggalkan fake braces ini. Pemeriksaan penuh juga akan dilakukan oleh pakar ortodontik untuk memastikan tiada sebarang kerosakan pada gigi telah berlaku. Rawatan yang sepatutnya akan diberikan oleh pakar ortodontik dan doktor pergigian.

Keratan akhbar mengenai bahaya fake braces

Penerangan di media sosial mengenai bahaya fake braces

  
www.youtube.com/myohd

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Noorhanizar bt. Mansor
Akreditor : Dr. Hjh. Fatimah bt. Abdullah
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

 

Artikel Berkaitan

Komplikasi Cabutan Gigi

Cabutan gigi adalah satu proses pembuangan gigi dari soketnya di tulang rahang .Cabutan gigi yang ideal ditakrifkan sebagai satu  proses pembuangan keseluruhan gigi atau akar gigi yang tidak menyakitkan, dengan trauma yang minimum ke atas  tisu sekelilingnya supaya luka bekas cabutan akan sembuh dengan sempurna.

Cabutan Gigi Untuk Pendakap

Rawatan ortodontik untuk susunan gigi yang sesak biasanya melibatkan pemakaian pendakap dan sering termasuk cabutan gigi.

Kanser Mulut

Kanser mulut merupakan ketumbuhan tisu yang tidak normal di dalam mulut. Pengesanan dan rawatan awal dapat mencegah berlakunya hilang upaya yang teruk dan dapat meningkatkan kualiti kehidupan pesakit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia