A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gangguan Sendi Temporomandibular

Tiga simptom utama penyakit ini ialah sakit muka, fungsi rahang yang terhad dan terdapat bunyi sendi.

Apakah TMD?

Gangguan sendi rahang atau dalam istilah bahasa Inggeris sebagai Temporomandibular Disorders (TMD) adalah satu istilah umum bagi beberapa keadaaan sakit dan disfungsi sendi temporomandibular (sendi yang menghubungkan rahang dengan tengkorak) dan juga otot pengunyahan. Ia biasanya melibatkan salah satu sendi rahang dan jarang sekali melibatkan kedua-dua belah sendi. Ramai orang mungkin mempunyai beberapa gejala TMD dan dalam sebilangan kecil ia menyebabkan kesakitan yang memberi kesan kepada fungsi-fungsi harian yang memerlukan pemeriksaan dan mungkin rawatan oleh doktor gigi/pakar pergigian.


Sumber gambar : www.webmd.com
Gambar 1:Gambar skematik sendi Temporomandibular

Apakah tanda dan gejala (simptom) gangguan sendi TM?

Secara umumnya terdapat tiga simptom utama penyakit ini iaitu sakit muka, fungsi rahang yang terhad dan terdapat bunyi sendi. Aduan yang paling biasa dilaporkan oleh pesakit adalah sakit di bahagian preauricular (bahagian di hadapan telinga). Sakit ini boleh menjalar (radiating) ke beberapa bahagian muka dan bahagian  badan yang berhampiran seperti bahagian temporal, frontal dan occipital kepala. Sifat terpancar ini boleh merumitkan diagnosis kerana ia boleh dirasai seperti sakit telinga, sakit kepala atau kadang-kadang sakit leher atau sakit bahu. Tidak menghairankan bahawa ramai pesakit yang mula mendapatkan rawatan daripada doktor perubatan tanpa resolusi gejala atau tanda dari TMD.  

Satu lagi gejala yang dialami oleh pesakit adalah pembukaan mulut menjadi terhad. Ia biasanya disebabkan oleh sakit yang tercetus di dalam satu atau lebih otot pengunyahan apabila membuka mulut dengan luas atau ketika berfungsi. Penghadan pembukaan mulut ini juga boleh disebabkan oleh ketengangan (spasm) otot pengunyahan. Terdapat peratusan kecil pesakit yang mengalami keadaan mulut terkunci (locked) ketika membuka atau menutup mulut. Ini memberi petanda kemungkinan terdapat ketidaknormalan bahagian dalam sendi (internal derangement). Keadaan ini berlaku apabila diska sendi iatu sejenis membran fibrocartilage yang bertindak sebagai alas permukaan artikulasi sendi telah beralih (displaced) dari kedudukan asalnya dan menyekat pergerakan sendi. Dalam peratusan kecil pesakit, tisu parut terbentuk pada diska sendi menyebabkan pergerakan rahang lebih terhad dan boleh meningkatkan rasa sakit.

Bunyi sendi di dalam pesakit gangguan sendi rahang adalah samada bunyi klik atau krepitus. Ia paling mudah didengar dengan meletak hujung jari di kawasan sendi ketika membuka atau menutup mulut.

Secara umum, pesakit TMD mungkin mengalami gejala-gejala ini:

  • Sakit rahang atau kesakitan yang mungkin lebih teruk apabila bangun pagi pada atau waktu malam
  • Sakit rahang ketika menggigit, mengunyah atau menguap.
  • Bunyi klik apabila sendi rahang digerakkan
  • Rasa  ketat (stiffness) sendi rahang atau  terkunci (locked jaw).
  • Sakit telinga atau nada bising dalam telinga (tinnitus).
  • Kesukaran membuka dan / atau menutup mulut anda.
  • Sakit kepala

Apa sebab TMD berlaku?

Punca sebenar TMD masih tidak difahami dengan baik. Secara umumnya, banyak kajian menunjukkan bahawa TMD berkait rapat dengan sebarang aktiviti yang menimbulkan rasa kesakitan dan radang pada sendi dan otot pengunyahan. Beberapa faktor tertentu boleh mencetuskan atau memburukkan  gangguan sendi termasuk bruxism, trauma, tekanan psikologi, maloklusi gigi, penggunaan sendi berlebihan atau overextended sendi TM telah dilaporkan.

Bagaimana TMD didiagnosis?

Majoriti penduduk umum sebenarnya mengalami serba sedikit gejala TMD dalam kehidupan mereka. Banyak kes yang mempunyai hanya tanda kesakitan ringan yang bersifat  sementara dan sembuh dengan terapi penjagaan kendiri di rumah. Walaubagaimana pun bagi kes yang lebih teruk, pemeriksaan yang menyeluruh oleh doktor gigi/ pakar pergigianadalah perlu untuk menolak kemungkinan terdapat masalah sebenar yang tersembunyi dan lebih serius. Beberapa prosedur diagnostik termasuk radiograf, CT scan atau MRI mungkin diperlukan untuk mengesan kehadiran perlekatan tisu parut (fibrous adhesion), penyakit sendi degeneratif atau perubahan patologi lain. Bagi setengah kes, penilaian status psikologi pesakit mungkin diperlukan untuk diagnosis.

Bagaimanakah gangguan TMJ dirawat?

Tiada modaliti rawatan tunggal yang benar-benar berkesan untuk semua pesakit  TMD. Rawatan biasanya bersifat konservatif yang menyasarkan untuk mengurangkan gejala kesakitan dan untuk membolehkan penyembuhan tisu untuk mendapatkan semula fungsi asal. Jarang sekali pembedahan diperlukan dan hanya dikhaskan untuk kes-kes yang teruk yang memerlukan pembetulan tisu oleh prosedur pembedahan. Beberapa rawatan konservatif adalah seperti berikut:

Amalan Penjagaan kendiri di rumah

Terdapat langkah-langkah yang boleh mengambil pesakit yang boleh digunakan untuk membantu melegakan simptom, seperti:

  • Makan makanan yang lembut sehingga hilang gejala atau berkurang,
  • Meletakkan  pek ais pada bahagian badan yang sakit,
  • Menggunakan tuala suam atau pek panas pada sakit otot,
  • Mengelakkan pergerakan rahang melampau (seperti menguap luas, menyanyi kuat atau mengunyah gula-gula getah),
    • Belajar dan mengamalkan teknik untuk merehatkan badan dan mengurangkan tekanan,
    • Mengamalkan regangan rahang dan senaman ringan yang boleh membantu meningkatkan pergerakan rahang. 
    • Biasanya pengamal perubatan  atau ahli terapi fizikal boleh mencadangkan bebrapa kaedah senaman rahang yang bersesuaian dengan masalah pesakit.  

Ubat-ubatan

Bagi pesakit TMD, ubat tahan sakit ringan untuk tempoh yang pendek biasanya memadai. Ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen atau diclofenac sodium, boleh memberikan kelegaan yang mencukupi daripada kesakitan rahang dan bertindak sebagai agen untuk mengurangkan keradangan sendi. Jika perlu, ubat tahan sakit yang lebih kuat boleh diberikan. Dalam beberapa kes, ubat penenang otot (muscle relaxant), atau ubat anti-depresi yang ringan mungkin berguna terutamanya bagi kes-kes kronik.

Splin

Sesetengah doktor gigi mungkin mengesyorkan penggunaan aplian oral iaitu sejenis splin atau pendakap gigi (bite guard) yang dibuat dari plastik lembut untuk rahang atas atau bawah. Didapati aplian splin lembut ini digunakan dengan meluas bagi merawat sakit TMD. Walaubagaimana,pun tiada bukti kukuh yang menunjukkan keberkesanannya. Jika splin ini disyorkan, penggunaanya mestilah hanya untuk tempoh yang pendek sahaja. Ini dapat mengelakkan kesan yang tidak diingini dan tidak berbalik.


Gambar 2: Splin untuk rahang bawah

Rujukan

  1. Greenberg MS. Glick M (2003). Burket’s Oral Medicine Diagnosis & Treament (10th Ed). Hamilton.Ont: B.C Decker.
  2. Lis. T,Axelsson S Management of TMD: evidence from systematic reviews and meta-analysis. Journal of Oral Rehabilitation.May 2010:370(6): 430-51
  3. Neville BW, Damm DD,Alen CA, Bouquot JE (2002): Oral & Maxillofacial Pathology (2nd Ed.).Philadelphia: W.B.Sauders. pp. 75-79
Semakan Akhir : 19 Jun 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Abdul Rahim bin Ahmad
Akreditor : Dr. Hans Prakash a/l Sathasivam

Artikel Berkaitan

Gigi Bongsu

Gigi bongsu ialah gigi geraham ketiga yang tumbuh pada peringkat remaja atau awal dua puluhan. Ia kerap terhimpit (terimpak) kerana ruang di rahang mulut tidak cukup untuk gigi tersebut tumbuh dengan baik.

Leukoplakia Oral

Leukoplakia ditakrifkan sebagai tompokan putih atau plak yang tidak boleh dicirikan sebagai penyakit-penyakit spesifik yang lain secara klinikal atau patologi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia