Berita Harian Jumaat, 17/06/2011 Gerakan perangi denggi perlu diperhebat KUALA LUMPUR: Gerakan memerangi denggi dan nyamuk Aedes perlu diperhebatkan di seluruh negara dengan membabitkan anggota masyarakat dan pimpinan pada peringkat akar umbi bagi mencapai sasaran sifar kes kematian berbanding 14 kematian pada masa ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun bilangan kes dilaporkan menurun sejak suku keempat tahun lalu, usaha berterusan dengan kerjasama semua pihak perlu dilakukan kerana peningkatan kes dan kematian denggi boleh berlaku pada bila-bila masa, terutama apabila persekitaran tidak bersih. Mengikut perangkaan terkini, dari Januari hingga 12 Jun lalu, 9,224 kes demam denggi dengan 14 kematian dilaporkan di seluruh negara berbanding 21,309 kes dengan 69 kematian bagi tempoh sama pada 2010. "Walaupun jumlah kes pada tahun ini 57 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama 2010, kita tidak boleh selesa dan alpa, lalu lupa untuk melakukan aktiviti pencegahan denggi. "Ia seharusnya dilakukan secara berterusan dan dijadikan sebagai amalan hidup kita. Saya dimaklumkan daripada pemantauan dilakukan Kementerian Kesihatan didapati di kawasan wabak, hanya 18 peratus aktiviti gotong-royong dijalankan daripada jumlah sepatutnya. "Oleh itu, diharap pemimpin masyarakat, pengerusi COMBI (Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku) dan penduduk setempat membabitkan diri secara aktif serta mempertingkatkan lagi aktiviti gotong royong demi memastikan kebersihan dan kesihatan masyarakat setempat," katanya pada perasmian sambutan Hari Denggi ASEAN 2011 dan pelancaran semula COMBI peringkat kebangsaan di sini, semalam.
|
{module berita:news} |