Pengenalan
Gigitan oleh ular berbisa boleh menyebabkan kemasukan bisa ular yang boleh mengakibatkan kecemasan perubatan yang mengancam nyawa. Gigitan ular lazimnya banyak di negara tropika dan subtropika, malangnya epidemiologi tetap tidak diketahui.
Jenis-jenis ular yang ada di Malaysia yang memerlukan rawatan perubatan
Terdapat lebih dari 140 spesis ular di Malaysia, tetapi hanya 17 spesis sahaja yang beracun.
Beberapa jenis ular beracun dan berbahaya ialah seperti ular tedung (cobra dan King cobra), ular kapak (Russell’s Viper, Malaysian pit viper dan Green tree pit viper) dan ular ‘kraits’.
Ular tedung biasanya dijumpai di kawasan ladang, paya, tanah lapang dan juga di kawasan perumahan di mana mudah bagi ular-ular tersebut mencari mangsanya seperti tikus. Manakala “king Cobra” pula biasanya di jumpai di hutan tebal.
Ular kapak (pit viper) pula mudah dijumpai di kebun getah, ladang, kampung dan hutan. Tempat yang biasa bagi ‘Green tree pit viper’ pula ialah di atas pokok.
Ular ‘Kraits’ biasanya didapati di padang, hutan atau di pinggir kawasan perumahan.
Ular laut selalunya berada di pesisiran pantai dan kawasan muara sungai.
Oleh yang demikian, kes-kes patukan ular sering terjadi kepada mereka yang tinggal atau bekerja dekat dengan kawasan-kawasan tersebut dan semasa aktiviti-aktiviti perkhemahan, berkelah dan riadah di kawasan-kawasan tersebut.
Gejala & tanda-tanda dipatuk ular
Kecedaraan atau kemudaratan akibat patukan ular bergantung kepada jenis dan saiz ular, jumlah racun, bilangan patukan, tempat patukan (kesan patukan menjadi teruk jika dipatuk di kepala, leher dan badan) dan saiz mangsa.
Racun ular bertindak melalui 3 cara yang berlainan :
- Toksin darah (Haemotoxins)
- Toksin saraf (Neurotoxins)
- Toksin jantung (Cardiotoxins)
Sesetengah gejala patukan akan dirasai dalam masa yang singkat selepas dipatuk berbanding dengan sesetengah gejala patukan yang lain. Gejala awal:
- Sakit setempat, bengkak dan perubahan warna kulit pada tempat patukan (patukan ular laut biasanya tidak mendatangkan reaksi mahupun rasa sakit).
- Gejala am yang mungkin timbul pada peringkat awal pada 10 hingga 15 minit selepas dipatuk ialah rasa cemas, lemah, muntah, sakit kepala, pening, berpeluh, sesak nafas, perasaan keliru, kekejangan dan kemudian mangsa mungkin akan lumpuh dan seterusnya mati.
Gejala yang berlaku agak lambat:
- Gejala setempat (di tempat patukan): bengkak, bisul, pendarahan dalam kulit dan otot, dan gejala kurang aliran darah ke anggota serta kulit.
- Gejala am seperti: pening, muntah, sesak nafas, demam, kejutan (shock), gusi berdarah, darah dalam najis, air kencing atau muntah dan lumpuh.
- Gangguan deria sentuhan, rasa dan bau; rasa mengantuk, rasa lumpuh pada otot muka dan mata; susah untuk menelan dan pendarahan dalam otak.
Kesan atau Komplikasi patukan ular
Walaupun kebanyakan orang yang dipatuk ular beracun akan sembuh, namun patukan ular boleh menjadi serius dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat. Kesan atau komplikasi yang boleh terjadi ialah :
- Parut dan kesan kosmetik.
- Luka, jangkitan kulit dan jangkitan tulang di tempat yang dipatuk.
- Penyakit Tetanus (kancing gigi).
- Kerosakan buah pinggang.
- Kerosakan otak akibat perdarahan dalam otak
- Luka atau parut kekal dalam mata, jika ular menyembur racun ke mata.
Rawatan patukan ular
Pengurusan am
- Jangan panik.
- Jangan gerakkan anggota digigit dengan serpihan atau sling. (untuk mengelakkan racun dari merebak di dalam badan)
- Posisikan anggota yang terjejas dalam kedudukan neutral atau pada tahap yang sama dengan jantung.
- Basuh anggota yang digigit cepat dan jika boleh berhati-hati dan jangan memotong atau menghisap gigitan.
- Basuh mata dengan segera dengan air yang banyak jika racun tersembur di mata.
- Hentikan perdarahan jika hadir dengan kain bersih. Jangan gunakan tourniquet.
- Cubalah untuk mengingat ciri-ciri ular atau mengambil gambar ular menggunakan kamera / telefon bimbit.
- Hantar ke hospital terdekat atau hubungi 999 untuk ambulan.
Pengurusan hospital
- Analgesik jika pesakit berasa sakit.
- Anti tetanus toxoid di berikan
- Anti racun bisa diberikan
- Antibiotik harus dipertimbangkan dalam gigitan ular dengan recrosis tisu tempatan atau kerosakan tisu yang melampau.
Bagaimana mengelak dari dipatuk ular
- Pakai kasut yang menutup kaki atau seluar panjang semasa berjalan di kawasan semak
- Hentak kaki atau lakukan gegaran dengan kaki semasa berjalan di tempat gelap atau semak
- Jangan masukkan tangan ke dalam lubang, rekahan batu atau tanah
- Jauhi dari ular yang mati kerana ramai orang telah dipatuk 2 atau 3 kali oleh ular yang disangka telah mati.
- Elakkan pergi ke kawasan ular semasa suasana gelap.
Rujukan
- Guideline : Management of Snakebite, Ministry of Health Malaysia
Semakan akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Vyjayanti Kasinathan |
Penyemak | : | Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah |