A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Glukometer

Apa Itu Glukometer

Glukometer adalah sejenis alat perubatan untuk mengukur kepekatan gula (glukosa) dalam darah. Alat ini boleh digunakan untuk memantau kandungan glukosa dalam darah di rumah oleh pesakit kencing manis (Diabetes mellitus) Jenis 1 atau Jenis 2.

Pengukuran kepekatan glukosa dalam darah dengan menggunakan glukometer dapat memberikan keputusan ujian yang cepat dan membolehkan pesakit mengetahui samada kandungan glukosa dalam darah adalah lebih tinggi daripada kadar biasa, terlalu rendah daripada paras yang diharapkan atau berada pada tahap yang boleh diterima.

Terdapat pelbagai jenama dan model glukometer di pasaran dengan pelbagai saiz, fungsi dan mesra pengguna. Bagi pengguna yang pertama kali menggunakan mesin glukometer perkara paling penting dan utama adalah mengetahui  bagaimana menggunakan mesin glukometer dengan cara yang betul selain dari memilih glukometer yang  mesra pengguna. Kesilapan dalam penggunaan glukometer  boleh menyebabkan keputusan ujian yang diberikan adalah salah dan sangat merbahaya bagi pesakit kencing manis.

 Tatacara Mengukur Kadar Glukosa Darah

    •  Kumpulkan semua barang-barang yang diperlukan : strip ujian, kapas beralkohol dan jarum lanset. Pastikan glukometer mempunyai bateri yang berfungsi dengan baik dan diletakkan  pada permukaan yang rata.
  • Buka botol bahan uji dan keluarkan strip dari pembalut aluminium sekiranya dibungkus secara individu.
  • Pastikan   kod kalibrasi pada strip adalah sama dengan kod  pada glukometer.
  • Cuci tangan dan bersihkan hujung jari. Sekiranya menggunakan kapas beralkohol, biarkan hujung jari kering terlebih dahulu.
  • Cucuk hujung jari menggunakan jarum lanset yang baru pada bahagian sisi hujung jari bagi mengurangkan rasa sakit.
  • Hidupkan glukometer (setengah model akan hidup secara automatik sebaik sahaja strip dimasukkan). Pastikan nombor kod ujian yang terpampang pada skrin glukometer adalah sama dengan nombor kod yang terdapat pada bungkusan strip yang digunakan.
  • Letakkan setitik darah ke atas strip ujian. Masukkan strip ujian ke bahagian yang dikhaskan untuk strip pada mesin glukometer.(Sila rujuk pada manual glukometer yang disediakan untuk mengetahui kuantiti darah yang diperlukan)
  • Glukometer akan membaca paras gula (glukosa) darah dalam beberapa saat.
  • Catit keputusan bacaan gula (glukosa) darah dalam buku nota kecil sebagai rujukan sendiri atau untuk rujukan doktor anda .Setengah glukometer mempunyai memori yang besar bagi merekod dan menyimpan keputusan gula (glukosa) darah.
TIP DAN AMARAN PENGGUNA

  • Pengguna di nasihatkan untuk menyimpan lebih dari satu bateri, strip ujian dan perkakasan berkaitan.

  • Bekas bio-hazard boleh diperolehi/dibeli daripada mana-mana farmasi untuk melupuskan jarum lancet dan strip ujian yang telah digunakan.

  • Hangatkan ‘warm-up’ terlebih dahulu hujung jari yang hendak disusuk dengan jarum lanset bagi mengurangkan rasa sakit dan juga membolehkan pengaliran darah yang lebih lancar.

  • Selepas tusukan dan darah telah diperolehi, tekan bahagian luka tusukan menggunakan kapas kering/kertas tisu yang bersih bagi menghentikan aliran darah.

  • Selang selikan jari yang hendak disusuk lanset bagi mengelakkan terjadinya kudis pada hujung jari.

  • Jarum lanset hanya dipakai sekali sahaja.

Memahami  Apakah Maksud Paras  Glukos Darah

Gula (glukosa) dalam darah diperolehi dari sumber makanan bagi  membekalkan tenaga  kepada badan dan otak. Walaubagaimana paras gula (glukosa) dalam darah boleh menjadi terlalu rendah atau terlalu tinggi akibat dari kegagalan badan megimbangi kitaran gula dalam badan.

  Aras
Normal
         Puasa (sebelum makan) 4.0 – 6.0 mmol/l
         Rawak (bila-bila masa) 5.6 – 8.3 mmol/l
Abnormal
         Hiperglisemia ? 11.1 mmol/l
         Hipoglisemia ? 2.8 mmol/l
Rujukan: MOH Clinical Practice Guidelines Management of Type 2 Diabetes Mellitus,4th Ed (2009)
*Sila rujuk risalah produk untuk julat normal
Paras gula (glukosa) darah menunjukkan samada kandungan gula terlalu tinggi (hiperglisemia) atau kandungan gula terlalu rendah (hipoglisemia) dalam aliran darah.
Hiperglisemia boleh disebabkan oleh hamil, penyakit buah pinggang, masalah hati atau jangkitan pada pankreas.
Hipoglisemia boleh dikaitkan dengan masalah tiroid atau kelenjar adrenal. Ia juga boleh menunjukkan bahawa anda tidak mengambil makanan yang mencukupi.

Jadual 1 :Paras Glisemia

Cara Memilih Mesin Glukometer Yang Sesuai


Terdapat kepelbagaian ciri glukometer yang berbeza – beza  antara satu model dengan model yang lain

  • Kos: Harga glukometer adalah berbeza-beza mengikut jenis model. Kos yang perlu diambil kira semasa membeli mesin glukometer adalah harga strip yang mana ia menyumbang kepada kos paling besar kerana penggunaan  strip adalah kerap. Strip yang dibungkus secara individu adalah lebih mahal, tetapi pesakit mungkin tidak boleh menghabiskan semua strip yang di bungkus dalam satu botol/container sebelum tarikh luput. Kenalpasti jenis strip yang sesuai untuk keperluan bagi menjimatkan perbelanjaan
  • Saiz: Saiz yang paling ideal adalah sebesar saiz tapak tangan dan setengahnya lebih kecil sekecil sebatang pen dan beroperasi menggunakan bateri.
  • Penyelenggaraan yang mudah dan senang digunakan: Sesetengah meter adalah mudah digunakan berbanding yang lain. Perkara yang perlu diambil kira adalah kedua-duanya iaitu meter dan strip. Mudahkah untuk melihat nombor pada skrin monitor? Mudahkah meletakkan sampel darah ke atas strip? Samada memerlukan darah yang sedikit atau banyak? Sesetengah glukometer memerlukan kod manakala setengahnya tidak.
  • Strip ujian: Setiap strip hanya digunakan sekali  sahaja dan hendaklah terus dibuang (pakai buang). Sesetengah strip boleh mengesan dan mengukur beta-hydroxybutyrate di dalam darah (ketone dalam darah) bagi mengesan diabetes ketoacidosis (DKA), iaitu keadaan dimana berlaku paras gula yang terlampau tinggi dalam badan iaitu sejenis komplikasi hiperglisemia.
    • Kod: Strip ujian mungkin berbeza dari satu paket ke satu paket yang lain. Sesetengah glukometer memerlukan pengguna memasukkan kod atau cip yang dibekalkan bersama strip. Tujuan memasukkan kod adalah untuk mengkalibrasi glukometer supaya kod yang disetkan pada glukometer adalah sama seperti mana kod yang terdapat pada strip. Ini bagi memastikan keputusan yang dikeluarkan adalah tepat.
  • Persijilan: Pilih glukometer /strip yang mempunyai tanda CE, diluluskan  oleh FDA atau yang diiktiraf dengan persijilan ISO.
  • Isipadu sampel  darah: Kuantiti darah yang diperlukan adalah berbeza-beza iaitu dari 0.3 hingga 1 ul. Semakin sedikit jumlah darah yang diperlukan maka semakin kurang kekerapan cucukan yang tidak diperlukan.
  • Tempoh pengukuran: Masa yang diperlukan untuk megukur kandungan glukosa dalam darah adalah berbagai-bagai iaitu diantara 3 ke 60 saat mengikut jenis model glukometer.
  • Paparan: Unit yang digunakan untuk mengukur kadar kandungan darah dalam badan adalah berbeza-beza mengikut negara; unit mg/dl digunakan di U.S, France, Japan, Israel dan India. Unit mmol/l digunakan di Kanada, Australia, China, Malaysia dan UK.  Unit pengukuran ini samada dalam mg/dl atau mmol/l akan dipaparkan pada skrin kecil pada mesin .Pengguna glukometer dinasihatkan menetapkan unit SI (mmol/l) pada glukometer.
  • Jam/Memori: Sesetengah glukometer terkini mempunyai jam yang boleh ditetapkan masa serta tarikh dan mempunyai memori untuk menyimpan bacaan yang sebelumnya. Ini membolehkan pengguna merekod data untuk tujuan pengurusan dan dapat memperlihatkan corak kadar glucosa dari masa ke semasa untuk tujuan pemantauan. Pengguna biasanya tidak menetapkan masa yang betul dan ini boleh menyebabkan keputusan yang ditunjukkan tidak  mengikut masa sebenar dan ini akan menyukarkan pengurusan corak paras glukosa.
  • Ciri istimewa: Tanyakan ciri-ciri istimewa sesebuah glukometer bagi memenuhi kehendak yang diperlukan. Sebagai contoh sesetengah meter adalah lebih besar saiz skrin dan strip mudah dikendalikan. Setengahnya pula mempunyai reka bentuk yang kecil dan padat serta senang dibawa. Bagi pengguna yang mempunyai masalah penglihatan, sebaiknya membeli meter yang mempunyai skrin yang besar atau meter bersuara yang boleh memberitahu atau mengumumkan keputusan glukosa. Terdapat juga meter yang berwarna dan memberikan bacaan yang cepat untuk pengguna kanak-kanak. Sesetengah model pula mempunyai latar bercahaya untuk bacaan semasa  kecemasan di waktu malam
  • Khidmat sokongan selepas jualan: Kebanyakan pengeluar menawarkan talian bebas tol yang diletakkan pada bahagian belakang glukometer bagi membolehkan pengguna membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan apabila diperlukan. Pilih meter yang memberikan penerangan yang jelas bagaimana untuk mengendalikan meter dengan cara yang betul. Sesetengah pengeluar memaparkan manual pengguna pada laman sesawang mereka.

Penjagaan Dan Penyelenggaraan Glukometer

Penyelenggaraan secara rutin glukometer adalah elemen penting bagi memastikan keputusan paras glukosa yang diukur    adalah tepat supaya rawatan yang diterima juga adalah tepat dan betul. Berikut adalah beberapa tip penting untuk memastikan glukometer anda berada dalam keadaan baik;

  • Persediaan untuk penetapan glukometer memerlukan:
    • Nombor lot paket strip
    • Ujian kawalan mutu
    • Menjalankan kalibrasi apabila perlu.
  • Patuhi  setiap saranan yang dicadangkan oleh pengeluar.
  • Kendalikan meter secara berhati-hati!
  • Bersihkan meter seperti yang disarankan oleh pengeluar.
  • JANGAN dedahkan meter kepada kepanasan, kelembapan, kesejukan, habuk dan kekotoran yang melampau.
  • Simpan glukometer dalam bekas yang disediakan oleh pengeluar.
  • Setiap glukometer mestilah dibekalkan dengan buku panduan operasi untuk kod ralat dan cadangan penyelesaian masalah. Jika tidak  hubungi pengeluar menggunakan talian bebas tol untuk perkhidmatan selepas jualan.
  • Kawalan Kualiti.

Ketepatan Bacaan Glukometer

Di sini dinyatakan masalah dan isu yang sering berlaku dan cara mengatasi  akibat dari  kekerapan penggunaan yang boleh menyebabkan ketidaktepatan bacaan. Memahami bagaimana glukometer berfungsi dan apa yang boleh menjejaskan keputusan bolah membantu mencegah masalah dari berlaku.

  • Bateri: Bateri yang lemah boleh menyebabkan bacaan glukosa tidak tepat dan tidak boleh dipercayai.
  • Bahan Kawalan Mutu: Berkemungkinan boleh memberi keputusan glukosa yang salah jika disimpan pada suhu yang melampau atau menggunakan strip yang melebihi tarikh luput atau menggunakan strip yang tercemar akibat dari botol penyimpanan yang retak atau botol  penyimpanan strip tidak ditutup rapat. Sila dapatkan bantuan pengeluar jika memerlukan bantuan.
  • Kalibrasi: Ketepatan bacaan bergantung kepada bagaimana kalibrasi dilakukan. Nombor kod meter yang salah boleh membahayakan kepada pengguna glukometer di rumah dan ini boleh meningkatnya risiko hipoglisemia.
  • Strip ujian: Strip mengandungi bahan kimia yang bertindakbalas dengan darah untuk memberi bacaan paras glukosa. Tempatkan  meter pada  suhu yang sesuai dan jangan menggunakan strip yang telah tamat  tempoh.

Faktor menyebabkan nilai glukos tinggi

    • Sampel darah/glukometer tercemar
    • Menggunakan strip yang telah melebihi tarikh luput atau rosak
    • Pesakit mengalami dehidrasi atau pesakit kurang darah (anaemia)
    • Sampel darah dari bahagian lain selain dari hujung jari

Faktor menyebabkan nilai glukos rendah

    • Menggunakan strip yang telah tamat tempoh atau rosak.
    • Glukometer kotor/ tercemar dengan darah
    • Pesakit dalam keadaan renjatan
    • Terlebih memicit jari dalam usaha mendapatkan darah.
    • Sampel yang tidak mencukupi.
    • Tidak memasukkan strip ke dalam meter dengan cara yang betul
    • Pesakit yang mempunyai paras haemoglobin yang tinggi.

Rujukan

  1. www.mayoclinic.com
  2. David C. Klonoff, M.D., FACP,1 and Joseph F. Perz, Dr.P.HAssisted Monitoring of Blood Glucose: Special Safety Needs for a New Paradigm in Testing Glucose.Journal of Diabetes Science and TechnologyVolume 4, Issue 5, September 2010
  3. S. F. CLARKE and J. R. FOSTER 2012 A history of blood glucose meters and their role in self-monitoring of diabetes mellitus. British Journal of Biomedical Science 2012 69 (2)
  4. H.Peter Chase MD, Rosanna Fiallo-Scharer MD, Chapter 7: Blood Sugar (Glucose) Testing. Monitoring Diabetes (Testing Blood Sugar) Pg 49-64.
Semakan Akhir : 14 Julai 2014
Penulis : Chuo Peck Ham
Penterjemah :: Hatibah bt. Malik
Akreditor Siti Gayah bt. Loman

Artikel Berkaitan

Batuk

Batuk adalah tindakbalas semulajadi untuk menyingkirkan bendasing dan kuman di mana ia dapat membantu menghalang salur pernafasan daripada terkena sebarang jangkitan dan memasuki paru-paru yang boleh menyebabkan penyakit yang serius seperti radang paru-paru (pneumonia). Tindakbalas ini akan menghasilkan lendir atau kahak.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,443

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia