Pengenalan
Pada akhir Mac dan awal April tahun 2009, wabak jangkitan virus novel Influenza A H1N1 dikesan di Mexico. Virus ini kemudiannya menyebabkan pandemik selesema H1N1 tahun 2009. Pandemik adalah keadaan wabak penyakit yang merebak dengan begitu meluas, sama ada hingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia disebabkan oleh kemunculan virus baru. Di Malaysia, lebih 15,000 individu telah dijangkiti dengan virus ini semasa gelombang awal pandemik H1N1 berlaku.
Tanda dan gejala
Gejala jangkitan virus influenza adalah serupa dengan selesema bermusim, termasuk:
- Demam (dengan suhu melebihi 37.8ºC)
- Menggigil
- Batuk
- Sakit tekak
- Sakit badan
- Sakit kepala
- Keletihan
- Muntah dan cirit-birit (bukan gejala selesema bermusim)
Komplikasi
Komplikasi influenza berlaku pada sesetengah individu; pneumonia adalah komplikasi yang paling biasa. Pneumonia adalah jangkitan paru-paru yang serius dan biasanya berlaku dalam kalangan:
- wanita hamil;
- bayi, dan kanak-kanak khususnya di bawah 2 tahun;
- individu yang mengalami penyakit kronik (termasuk asma atau penyakit paru-paru, penyakit jantung, diabetes, penyakit buah pinggang atau beberapa masalah neurologi);
- individu yang sistem pertahanan (imuniti) badannya terjejas teruk contohnya: penghidap HIV, individu yang menggunakan steroid dalam tempoh yang lama, individu yang mendapatkan rawatan kanser dan lain-lain.
Rawatan
Kebanyakan indivdu akan pulih menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah. Rehat secukupnya dan banyakkan meminum air. Gunakan paracetamol jika sakit. Walau bagaimanapun, anda perlu berjumpa doktor jika:
- berasa sesak nafas atau mengalami masalah pernafasan
- mengalami sakit di perut atau sesak dada
- mengalami dehidrasi, seperti pening apabila berdiri atau tidak buang air kecil
- berasa keliru
- muntah tanpa henti atau anda tidak mampu minum air yang secukupnya
- Demam lebih daripada dua (2) hari
Bagi kanak-kanak, anda perlu mendapatkan bantuan jika kanak-kanak mengalami sebarang gejala di atas atau gejala berikut:
- Kulit beturkar menjadi biru atau ungu
- Begitu marah sehingga tidak mahu dipegang
- Tiada air mata apabila menangis (bayi)
- Sukar bangun tidur
Ubat antiviral seperti oseltamivir (Tamiflu ®) dan zanamivir (Relenza ®) berkesan jika diambil dalam tempoh 48 jam. Dapatkan nasihat doktor bagi menentukan jenis ubat yang diperlukan.
Jangan sebarkan virus kepada individu di sekeliling anda. Jangkitan boleh merebak dalam tempoh satu hari sebelum anda mempunyai gejala sehingga sekurang-kurangnya 24 jam selepas demam anda reda (tanpa mengambil ubat-ubatan anti-demam). Individu yang lemah daya tahan (imuniti) diri mungkin boleh merebakkan virus lebih daripada tujuh hari. Oleh itu, jika anda sakit:
- duduk di rumah dan elakkan ke tempat kerja, sekolah atau tempat yang terdapat ramai orang.
- Tutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin. Jika gunakan tisu, buangnya ke dalam tong sampah.
- Basuh tangan dengan sabun dan air atau bahan pembersih yang berasaskan alkohol.
- Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin
- Gunakan penutup mulut dan hidung (mask) untuk mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain;
- Maklumkan kepada keluarga dan rakan-rakan tentang penyakit anda dan elakkan berada dekat dengan orang lain;
Pencegahan
Cara virus Influenza A H1N1 merebak adalah serupa dengan virus selesema yang lain. Virus ini boleh disebarkan melalui batuk atau bersin, atau menyentuh hidung atau mulut selepas menyentuh permukaan yang dicemari virus. Elakkan diri daripada dijangkiti dengan:
- Menjauhi diri dari individu yang menunjukkan gejala selesema seperti batuk atau bersin (sekurang-kuangnya 1 meter);
- Basuh tangan menggunakan sabun dan air, atau bahan pembersih yang berasaskan alkohol (terutamanya jika menyentuh permukaan yang dicemari);
- Elakkan daripada menyentuh mulut, hidung dan mata;
- Elakkan berada di persekitaran yang sesak;
- Buka tingkap bagi meningkatkan pengudaraan di rumah;
- Amalkan cara hidup yang sihat (termasuk tidur yang cukup, makan makanan berkhasiat, dan lakukan aktiviti fizikal);
- Dapatkan suntikan vaksin influenza bermusim.
Semakan Akhir | : | 9 Mei 2014 |
Penulis | : | Dr. Suresh Kumar a/l Chindambaram |