A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Hak Pengguna Kanta Lekap

Hak Pengguna Kanta Lekap

Pengenalan

Penggunaan kanta lekap semakin popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Kanta lekap bukan sahaja berfungsi sebagai alternatif kepada cermin mata, malah kini ianya digunakan dengan meluas untuk tujuan kecantikan.

Kanta lekap berwarna semakin mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya golongan remaja.

Dengan meningkatnya populariti kanta lekap warna di pasaran, bilangan pengguna kanta lekap juga turut meningkat. Adakah anda sebagai pengguna kanta lekap peka dengan hak anda?

Tahukah anda, seperti pengguna-pengguna yang lain, anda juga mempunyai hak sebagai pengguna kanta lekap?

Pengguna yang bijak adalah pengguna yang menyedari haknya sebagai pengguna dan bertindak dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab.

Walaupun hanya sebilangan kecil pengguna kanta lekap yang mengalami kemudaratan dari penggunaannya, namun ianya tidak boleh di pandang remeh. Ketahui hak anda sebagai pengguna untuk melindungi mata anda.

Hak yang pertama ialah hak untuk mendapatkan pemeriksaan awal. Tidak kira apa jua jenis kanta lekap yang anda gunakan, berwarna atau tidak, aspek keselamatan mata anda tidak boleh di tolak ansur.

Seringkali pengguna melontarkan persoalan seperti ini, “Kenapa saya perlu periksa mata, sedangkan mata saya tidak rabun?”.

Kegagalan pengguna kanta lekap berwarna menjalani pemeriksaan mata sebelum menggunakan kanta lekap, mengundang bahaya kepada mata mereka sendiri.

Walau apa jenis kanta yang digunakan, samada untuk tujuan perubatan atau kecantikan, pengguna kanta lekap perlu menjalani pemeriksaan mata untuk menentukan kesesuaian kanta lekap tersebut dengan mata mereka.

Bukan semua individu boleh memakai kanta lekap. Terdapat sebilangan individu yang mempunyai masalah mata kering, alahan yang teruk pada mata, sejarah penyakit mata atau suasana tempat kerja yang berhabuk dan kering.

Individu yang mengalami masalah seperti ini tidak sesuai menggunakan kanta lekap. Oleh itu adalah sangat penting untuk mengetahui samada anda layak atau tidak menggunakan kanta lekap. (hyperlink to artikel Siapa Yang Layak Memakai Kanta Lekap)

Pelbagai jenama, saiz dan warna kanta lekap di pasaran ketika ini juga merupakan faktor mengapa pemeriksaan awal perlu dilakukan.

Setiap jenama mempunyai saiz yang berbeza dari segi kelengkungan dasar dan diameter kanta. Sebelum menggunakan kanta lekap, pengguna perlu menjalani prosedur pemasangan kanta lekap cubaan.

Rajah 1 : Pemeriksaan Keratometer

Pemasangan kanta cubaan perlu dilakukan untuk menentukan parameter kanta yang benar-benar sesuai dengan mata pengguna. Setiap individu memerlukan parameter kanta lekap yang berbeza dari individu lain.

Rajah 2 : Gambar Ukuran HVID

Kanta yang selesa dipakai, tidak semestinya sesuai dengan mata pengguna. Biasanya kanta lekap yang ketat sangat selesa dipakai, tetapi kesan jangka panjang adalah tidak bagus. Kanta lekap yang ketat akan menghalang air mata dan oksigen dari masuk ke kawasan kornea.

Selepas beberapa jam dipakai, mata akan rasa kurang selesa dan mula menjadi merah. Apakah akan terjadi sekiranya anda menggunakan kanta lekap tersebut dalam tempoh yang lama?

Mata anda akan menjadi kurang peka dengan perubahan yang berlaku menyebabkan anda terus menggunakan kanta lekap tersebut. Apabila ini berlarutan, mata anda akan mudah mendapat jangkitan. Akibatnya risiko untuk mata anda menjadi buta adalah tinggi.

Rajah 3 : Mata Merah

Hak yang kedua ialah hak mendapatkan khidmat nasihat pemakaian yang betul. Pengguna perlu ingat bahawa membeli kanta lekap yang mahal dan berjenama tidak semestinya menjamin keselamatan.

Kebersihan diri dan penjagaan kanta lekap yang betul diperlukan untuk mengelakkan risiko jangkitan atau kecederaan mata.

Membeli kanta lekap dari individu yang tidak bertauliah, kedai-kedai yang tidak diberi kuasa atau membeli secara atas talian hanya akan mengundang padah kepada mata.

Golongan ini bukan sahaja tidak menjalankan pemeriksaan awal ke atas pengguna, malah tidak memberi nasihat dan tunjuk ajar terhadap pemakaian dan tahap kebersihan yang diperlukan. Ingat kanta lekap hanya boleh dibeli dari Pengamal Optometri yang bertauliah dan berdaftar sahaja.

Rajah 4 : Aksesori Kanta Di Internet Dan Di Kedai Aksesori

Pengguna kanta lekap seharusnya mendapat khidmat nasihat merangkumi cara pemakaian yang betul, tempoh pemakaian yang dibenarkan dan cara-cara yang betul membersih, menyimpan serta membasmikuman kanta dan bekas simpanan kanta.

Informasi mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang pemakaian kanta lekap juga akan diterangkan kepada pengguna. (Hyperlink kepada artikel Pemakaian Kanta Lekap Yang Selamat)

Hak yang ketiga dan terakhir ialah hak untuk mendapatkan rawatan susulan. Untuk memastikan kesihatan mata terjamin, pengguna perlu menjalani rawatan susulan. Semasa rawatan susulan ini, Pengamal Optometri akan memeriksa keadaan kanta lekap dan mata pengguna.

Hanya Pengamal Optometri yang bertauliah sahaja yang boleh mengesan risiko awal pada mata pemakai kanta lekap. Mereka boleh memberi nasihat dan memantau masalah pengguna serta memberi rawatan dan konsultasi sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Pengamal Optometri bertauliah juga boleh memberitahu anda bila kanta lekap yang sedang dipakai tidak lagi sesuai dengan mata anda.

Rajah 5 : Lens Deposit

Jadilah penguna kanta lekap yang bijak dengan mengetahui hak-hak anda. Pastikan Pengamal Optometri memenuhi hak-hak anda bagi menjamin kesihatan mata yang berpanjangan. Sayangi mata anda. Jangan membeli kanta lekap dari individu yang tidak bertauliah. Pengguna bijak, mata sihat.

Rajah 6 : Mata sihat

Rujukan

  1. Keselamatan Kanta Lekap Kepada Pengguna, Mohana Priya, www.konsumerkini.net, September, 2011
  2. Hak Sebagai Pengguna, www.nccc.org.my
  3. Kanta Sentuh Warna Penyebab Kebutaan, Dr Haliza Abdul Mutalib, Utusan Malaysia, April, 2004

 

Semakan Akhir : 22 September 2014
Penulis : Pn. Nor Azizah bt. Ismail
Penyemak : Pn. Normala bt. Sami

 

Artikel Berkaitan

MRI ABDOMEN

Apa Itu Pemeriksaan MRI Abdomen Magnetic Resonance Imaging (MRI) Abdomen

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia