A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Ortopedik
  8. /
  9. Hidup Berkualiti selepas Kecederaan...

Hidup Berkualiti selepas Kecederaan Saraf Tunjang

Pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang akan mengalami pelbagai masalah fisiologi, fizikal, mental dan emosi akibat kecederaan.

Pengenalan

Apakah itu kecederaan saraf tunjang? Apakah masalah yang akan dihadapi? Apakah rawatan pemulihan yang boleh dilakukan?, Apakah kecederaan ini akan sembuh?

Persoalan dan permasalahan ini sering wujud dan umumnya, setiap pesakit, keluarga dan masyarakat masih tidak memahami tentang masalah kecederaan saraf tunjang.

Pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang akan mengalami pelbagai masalah fisiologi, fizikal, mental dan emosi akibat kecederaan. Mereka akan mengalami kehilangan keupayaan fizikal, mental dan psikososial yang mana kebanyakan pesakit akan menyendiri, hilang semangat dan malu untuk kembali kepada masyarakat luar sekaligus menyebabkan hilangnya kualiti kehidupannya.

Pelbagai kajian telah dilakukan, namun sehingga kini belum ada rawatan yang boleh memulihkan kecederaan saraf tunjang. Walaubagaimanapun, pesakit yang telah mengalami kecederaan saraf tunjang mampu untuk kembali kepada kehidupan yang lebih berkualiti dan berdikari dalam kehidupan seharian serta kembali berkeyakinan dalam kehidupan bermasyarakat.

Apakah itu saraf tunjang dan tulang belakang?

Saraf tunjang adalah saraf yang paling besar dalam tubuh manusia dan merupakan sebahagian daripada sistem saraf. Ia terbentuk oleh banyak fiber saraf. Fungsi fiber saraf adalah membawa mesej antara otak dan anggota-anggota serta tubuh badan. Ini termasuklah pergerakan anggota, sensori (seperti panas, sejuk atau sakit) dan ia juga mengawal aktiviti luar kawal pada tubuh badan seperti tekanan darah, suhu badan dan perpeluhan. Ia bertindak sebagai perantara antara otak dan tubuh badan serta anggota-anggota lain.

Saraf tunjang adalah lembut dan penting maka ia dilindungi oleh tulang belakang dipanggil vertebra.

Apakah kecederaan saraf tunjang?

Kecederaan saraf tunjang boleh berlaku akibat daripada trauma, contoh kemalangan, kekerasan atau jatuh, penyakit dan disorder seperti tumor atau virus di mana menjejas keupayaan saraf tunjang menghantar dan menerima mesej-mesej ke dan dari otot serta tubuh badan. Ia selalunya menyebabkan perubahan kekal dari segi kekuatan, sensori dan fungsi anggota di bawah paras kecederaan atau penyakit. Umumnya, Kecederaan saraf tunjang berpunca apabila tulang belakang tercedera, akibat kemalangan (traumatic injury), jangkitan kuman dan penyakit yang teruk seperti kanser atau tumour yang telah menghimpit saraf tunjang, dan ini mengakibatkan saraf tunjang bengkak, terluka ataupun tercedera.

Faktor Ini menyebabkan saraf tunjang menghadapi masalah untuk bertindakbalas secara normal dalam proses menghantar segala maklumat penting kepada otak manusia. Mereka yang mengalami kecederaan selalu keliru dan tertanya, adakah mereka masih mampu mengerakan tangannya?;  Adakah mereka boleh jalan semula?; Apakah yang boleh mereka lakukan? Kecederaan ini mengakibatkan kelumpuhan atau ketidakupayaan fizikal anggota badan untuk bergerak. Setiap kecederaan adalah berbeza dan boleh mempengaruhi tubuh badan dalam berbagai cara.

Berikut adalah penerangan ringkas berkenaan perubahan selepas kecederaan saraf tunjang. Ini mampu membantu kefahaman dan ekspektasi realistik kepada mereka yang mengalaminya. Selepas kecederaan saraf tujang, keupayaan anda mengawal anggota bergantung kepada dua faktor, iaitu paras dan tahap keterukan kecederaan saraf tunjang.

Paras adalah dari atas sehingga bawah saraf tunjang, manalaka keterukan kecederaan merujuk kepada kecederaan lengkap atau tidak lengkap:

  • Lengkap bermakna semua deria sensori dan keupayaan mengawal pergerakan (fungsi otot) hilang dari bawah paras kecederaan.

  • Tidak lengkap bermakna masih terdapat kawalan pergerakan otot atau fungsi sensori di bawah paras kecederaan dan ia adalah berbeza dari setiap kes individu, di mana, ada yang ada sensori tetapi tidak ada atau ada sedikit pergerakan; atau ada yang ada pergerakan tetapi tidak ada sensori.

  • Tetraplegia atau quadriplegia di mana anggota-anggota tangan, kaki, tubuh badan dan pinggul terjejas.

  • Paraplegia adalah di mana anggota kaki, tubuh badan dan pinggul terjejas.

    Gambarajah tentang tahap kecederaan dan kelumpuhan bergantung kepada kecederaan pesakit

Kebanyakan Individu yang mengalami kecederaan saraf tunjang akan mengalami fasa gangguan emosi yang berperingkat dan persoalan utama yang wujud adalah :

  • Adakah saya boleh berjalan seperti normal semula?

  • Adakah saya dapat menggerakkan anggota badan saya semula?

  • Dapatkah  deria rasa saya kembali normal?

  • Apakah yang mampu saya buat selepas kecederaan ini?

  • Adakah saya sudah lumpuh seumur hidup?

  • Bagaimanakah saya hendak menjalani kehidupan selepas ini?

Apakah komplikasi selepas kecederaan saraf tunjang?

Pada mulanya perubahan-perubahan dan komplikasi fungsi tubuh badan sangat merisaukan. Walau bagaimanapun, professional-profesional dalam pasukan rehabilitasi Perubatan dapat membantu pesakit menyesuaikan diri menghadapi perubahan ini:

  1. Kawalan kencing: pundi kencing akan terus menakung air kencing dan pesakit ada masalah mengosongkannya. Ini  boleh menyebabkan jangkitan atau terbentuk batu karang dalam pundi kencing.

  2. Kawalan bowel: kawlan pergerakan usus terjejas dan anda mungkin alami sembelit.

  3. Sensori pada kulit di bawah paras kecederaan saraf tunjang mungkin hilang dan menyebabkan anda tidak dapat rasa apabila dalam satu posisi terlalu lama, panas atau sejuk. Ini akan terdedah kepada berlakunya kudis tekanan.

  4. Kawalan sirkulasi boleh terjejas seperti tekanan darah rendah semasa didudukan dan bengkak pada kaki. Ini boleh menyebabkan darah beku. Selain daripada tekanan darah, risiko tekanan darah tinggi juga boleh berlaku dan ini boleh mengancam nyawa pesakit.

  5. Sistem pernafasan: kecederaan saraf tunjang boleh menyebabkan pesakit alami kesukaran bernafas dan batuk terutamanya bila otot-otot dada dan abdomen terlibat.

  6. Tonus otot: dua jenis masalah tonus otot boleh berlaku iaitu spastik di mana otot mengejang tanpa kawalan dan flasid adalah di mana otot lembik tanpa kawalan.

  7. Fitness dan wellness: kehilangan berat badan dan atrofi otot berlaku selepas kecederaan. Mobility terhad menyebabkan kehidupan tersekat. Ini boleh membawa kepada masalah obesity, penyakit jantung dan kencing manis.

  8. Kesihatan seksual: selepas kecederaan saraf tunjang, aktiviti dan fungsi seksual serta kesuburan juga boleh terjejas.

  9. Kesakitan: boleh dialami oleh sebahagian mereka yang mengalami kecederaan saraf tunjang seperti saki otot, sakit sendi dan sakit saraf.

  10. Kemurungan: pesakit mengharungi perubahan akibat kecederaan saraf tunjang amat memilukan dan boleh menyebabkan kemurungan.

(Nota : Sila Rujuk kepada Doktor berdekatan untuk maklumat terperinci)

Bagaimanakah rawatan pemulihan (rehabilitasi ) kecederaan saraf tunjang?

Pelbagai program telah dijalankan bagi membantu pesakit supaya dapat kembali berdikari dalam kehidupan seharian serta menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan bermakna.

Di Hospital (Peringkat Akut)

Rawatan pemulihan akan dilakukan secepat yang mungkin apabila pesakit sudah stabil dan selamat untuk memulakan sesi pemulihan.

Setiap sesi program pemulihan akan dipantau oleh Doktor pakar dan dikendalikan oleh pasukan pemulihan yang terdiri daripada jurupulih carakerja (Occupational Therapist) dan Fisioterapi serta jururawat yang berpengalaman.

Pada tahap ini, perbincangan bersama pesakit dan ahli keluarga/ penjaga tentang program rawatan pemulihan kecederaan saraf tunjang bagi persediaan sebelum pesakit dibolehkan kembali ke rumah.

  1. PERINGKAT PERTAMA

  1.  Posisi Baring yang Sesuai (Bed Positioning) – Ini bertujuan untuk mengelakkan komplikasi yang teruk kepada pesakit.

  2. Penjagaan Bahagian Belakang – Pesakit perlu menggunakan tilam dan kusyen kerusi roda yang sesuai untuk mengelakkan luka tekanan kerana masalah hilang deria rasa akibat kecederaan saraf tunjang.

  3. Penjagaan Kebersihan Badan – Pesakit dan keluarga / penjaga diajar teknik-teknik penjagaan kebersihan diri bagi memastikan pesakit sentiasa bersih dan ceria.

  4. Penjagaan Air Kencing dan Air Besar (Care of Bladder & Bowel) – Pesakit dan keluarga/penjaga akan dilatih tentang teknik-teknik penjagaan yang betul.

  5. Penyediaan Program Pemulihan Pesakit di Rumah – Jurupulih Carakerja akan membuat lawatan kerumah pesakit bagi menilai dan merancang program rawatan yang bersesuaian dengan persekitaran rumah pesakit.

  6. Program Latihan Semula Aktiviti Kehidupan Seharian (Activity of Daily Living (ADL)) – Jurupulih Carakerja akan melatih pesakit dan keluarga /penjaga tentang teknik-teknik pemulihan yang bersesuaian dan membantu pesakit menggunakan alatan bantuan.

  7. Persediaan Alat-alat Bantuan yang diperlukan – Contoh, Kerusi Roda yang bersesuaian.

  8. Sesi Rawatan Senaman Kekuatan Fizikal – Fisioterapi akan melatih pesakit dan keluarga / penjaga teknik-teknik senaman dan cara-cara membantu pesakit bergerak dengan kerusi roda.

  1. PERINGKAT KEDUA

Pusat rawatan Pesakit Luar

  • Selepas keluar dari wad pesakit boleh mendapatkan rawatan pemulihan sebagai pesakit luar di pusat rehabilitasi yang berdekatan seperti hospital kerajaan atau swasta.

Pemulihan di Rumah

  • Jurupulih Carakerja akan membuat lawatan ke rumah dan membuat penilaian tentang keadaan persekitaran rumah serta mencadangkan pengubahsuaian yang bersesuian bagi memudahkan pesakit untuk berdikari dalam aktiviti seharian.
  • Pasukan rehabilitasi yang terdiri daripada Doktor Pakar, Doktor perubatan, jurupulih carakerja, jururawat terlatih, pegawai kebajikan masyarakat dan fisioterapi serta pasukan yang berkaitan akan melatih dan membantu dalam  rawatan rehabilitasi dirumah bagi  pesakit yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rawatan ke hospital yang terdekat kerana faktor persekitaran tempat tinggal seperti dikawasan pedalaman.

Peranan Penjaga dan Ahli Keluarga

  • Persidangan/perbincangan keluarga dan pesakit dibuat sebelum dan selepas keluar dari wad.

  • Ahli keluarga dan penjaga pesakit akan dilatih bagi membantu pesakit berdikari.

Kehidupan yang Berkualiti Selepas Kecederaan Saraf Tunjang?

Pesakit tidak boleh mengharapkan bantuan keluarga sepenuhnya kerana mereka ada tanggungjawab masing-masing. Tiada mustahil di dunia ini, banyak perkara lagi yang lebih mencabar mampu dilakukan walaupun anda hanya menggunakan kerusi roda.

Jadi, perlulah cuba berdikari, Sayang diri sendiri sepenuhnya. Anda akan berasa lebih sedih jika menjadi beban keluarga sedangkan ramai orang lumpuh atau Orang kelainan Upaya (OKU) lain boleh berdikari dan bekerja untuk menanggung keluarga.

Pemulihan dalam Komuniti

Pesakit perlu kembali  dalam pergaulan dengan masyarakat. Hubungan sosial dengan keluarga dan masyarakat sangat penting.

Seandainya masih juga malu atau takut, anda boleh mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pelbagai kumpulan sokongan yang sedia ada.

Rujukan

  1. http://www.spinalcord.uab.edu

  2. http://www.med.umich.edu/pmr/modelsci/
    http://kesslerfoundation.org/researchcenter/spinalcordinjury/modelsystems.php, http://www.upmc-sci.org/

  3. http://sci.washington.edu

  4. SCI Information Network

  5. Spinal Cord Injury Association of Washington State

  6. National Spinal Cord Injury Association

  7. American Syringomyelia Alliance Project

  8. www.spinalcord.org

  9. www.spinalcord.ar.gov

  10. www.aota.org

  11. www.mayoclinic.com

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Abdul Mutalib bin Bau
Akreditor : Sin Nyen Yau
Penyemak : Tan Foo Lan

 

Artikel Berkaitan

Hepatitis B

Pengenalan Hepatitis B adalah sejenis penyakit berjangkit yang ketiga paling

Tiroid

Soalan 1 Apakah kelenjar tiroid dan apakah fungsinya? Jawapan 1

Penyakit Penyimpanan Lisosom (PPL) di Malaysia

Penyakit Penyimpanan Lisosom (PPL) merupakan satu kumpulan penyakit yang terdiri daripada 50 jenis penyakit metabolik keturunan yang jarang ditemui. PPL adalah disebabkan oleh kecacatan pada fungsi lisosom.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia