Hidup sehari-hari kanak-kanak dengan epilepsi boleh diubah dengan kehadiran penyakit atau keadaan mereka. Ini boleh menimbulkan banyak tekanan ke atas kanak-kanak serta penjaga mereka. Walau bagaimanapun, kualiti kehidupan kanak-kanak dan risiko epilepsi yang mempengaruhi kesihatan mereka secara keseluruhan boleh diperbaiki dengan meningkatkan pengetahuan tentang hal-hal sekitar epilepsi dan mengambil langkah-langkah tertentu dan berjaga-jaga.
Isu-isu kehidupan kanak-kanak dengan epilepsi akan merangkumi:
- Sekatan pemakanan.
- Penjagaan Epilepsi di rumah.
- Pergi ke sekolah.
- Epilepsi dan tingkah laku.
- Aktiviti sukan dan rekreasi.
Sekatan pemakanan
Tiada sekatan makanan untuk kanak-kanak yang mempunyai epilepsi. Tiada makanan yang setakat ini telah diketahui untuk mendorong atau menyebabkan sawan.
Epilepsi di rumah
Pastikan anak anda tidak tercedera jika sawan berlaku di rumah. Kecederaan boleh berlaku di tempat-tempat berikut:
- Di atas tangga: Gunakan penghadang di tangga. Elakkan tinggal di rumah yang mempunyai tangga yang tinggi atau balkoni yang besar.
- Di dalam bilik air:
- Kanak-kanak kecil perlu di awasi di dalam bilik air, adalah lebih baik jika pintu dibiarkan tidak berkunci.
- Elakkan kolah mandi atau bekas/baldi besar di dalam bilik air anda.
- Penggunaan alat pancuran air adalah lebih selamat.
Pergi ke sekolah
Kanak-kanak yang menghidap epilepsi seharusnya digalakkan untuk melibatkan diri dengan aktiviti sekolah seperti kanak-kanak lain.
Guru sekolah patut dimaklumkan mengenai penyakit anak anda dan apa yang perlu dilakukan dan siapa yang patut dihubungi jika anak anda mengalami sawan di sekolah.
Ada kanak-kanak penghidap epilepsi mempunyai masalah pembelajaran. Masalah ini disebabkan epilepsi itu sendiri atau disebabkan oleh masalah otak (yang merupakan punca pesakit itu mendapat epilepsi).
Jika terdapat masalah pembelajaran, anak anda perlu berjumpa dengan pakar psikologi pembelajaran/klinikal untuk penilaian seterusnya.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil semasa aktiviti senaman dan sukan.
Epilepsi dan tingkah laku
Sebilangan kanak-kanak yang menghidap epilepsi mempunyai tingkah laku yang luar biasa. Ini boleh dikaitkan dengan epilepsi atau disebabkan oleh masalah otak yang menyebabkan epilepsi.
Contoh tingkah laku yang luar biasa ini adalah:
- Terlalu aktif.
- Cepat marah atau merajuk.
- Agresif dan tingkah laku yang mengganggu orang lain.
- Tingkah laku autisme.
Apabila tingkah laku ini sukar untuk dihadapi, dapatkan nasihat doktor.
Aktiviti sukan dan rekreasi
Kanak-kanak yang menghidap epilepsi seharusnya digalakkan untuk hidup seperti kanak-kanak normal yang lain. Aktiviti sukan dan rekreasi sangat digalakkan.
Walau bagaimanapun, sesetengah aktiviti perlu diawasi contohnya:
- Berbasikal: kanak-kanak harus memakai topi keledar dan berbasikal jauh daripada jalan yang sibuk.
- Berenang: perlu kawalan rapi pada setiap masa oleh orang dewasa yang bertanggungjawab di dalam dan di sekitar kolam renang. Berenang di lautan tidak digalakkan.
- Aktiviti di tempat tinggi: mungkin tidak sesuai bagi kanak-kanak yang menghidap sawan yang sukar dikawal.
Semakan akhir | : | 26 April 2012 |
Penulis | : | Dr. Irene Cheah Guat Sim |
: | Dr. Terrance Thomas | |
: | Dr. Umathevi Paramasivam | |
Penyemak | : | Dr. Nor Azni b. Yahaya |