A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Umum
  8. /
  9. Krisis
  10. /
  11. Hutang dan Gangguan Mental

Hutang dan Gangguan Mental

Hutang dan anda

Kenapa kita berhutang atau membuat pinjaman? Ada beberapa faktor kenapa kita berhutang. Yang paling utama ialah kerana kita mempunyai keinginan untuk memiliki sesuatu, namun kita tidak mempunyai sumber yang mencukupi. Ini kerana barangan atau perkhidmatan yang ingin kita perolehi sangat tinggi nilainya dan di luar kemampuan kita. Contohnya, kita ingin membeli rumah dan kenderaan, kita terpaksa membuat pinjaman kerana harganya sangat tinggi dan diluar kemampuan.

Hutang yang dilakukan dengan teliti tidaklah menjadi satu isu yang besar. Namun berhutang secara semberono tanpa melakukan pengurusan dan pentadbiran kewangan dengan teliti boleh menjerumuskan diri kepada permasalahan yang lebih kritikal, seperti tekanan perasaan dan sebagainya.

Sepertimana yang sedia maklum, keinginan kita terhadap material tiada penghujungnya, namun tanpa menahan diri dan membuat pertimbangan yang wajar menjerumuskan kita kepada masalah di atas.

Persoalan kenapa kita berhutang dari sudut psikologi, pertamanya kita suka berhutang kerana sikap kita sendiri. Sikap yang memandang rendah risiko hutang menjadikan seseorang mudah berhutang. Selalunya individu ini tidak membuat pengiraan yang teliti dalam bajet peribadi setiap bulan, tidak melihat risiko yang akan timbul setelah membuat komitmen terhadap hutang berkenaan dan tidak membuat penilaian sewajarnya terhadap kemampuan diri sendiri.

Kesimpulannya, berhutang atau membuat pinjaman memerlukan perancangan dan pertimbangan yang teliti. Sama ada pinjaman tersebut di dalam kemampuan kita membayarnya, pinjaman berkenaan boleh memberikan pulangan yang sewajarnya, atau sememangnya terdapat keperluan untuk pinjaman berkenaan, maka pinjaman ini seharusnya diteruskan. Namun, pilihan yang terbaik ialah menjauhi hutang, menahan keinginan dengan menyimpan dan barulah membeli adalah pilihan yang paling bijak.

Kawal Perbelanjaan Anda

Menguruskan kewangan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Sesetengah kita gemar untuk berbelanja tanpa memikirkan apa yang akan berlaku di penghujung bulan. Ada juga yang melabelkan individu yang membuat pengiraan bajet setiap bulan, mencatatkan setiap perbelanjaan sebagai ‘tangkai jering’, kedekut dan sebagainya.

Kenapa pula kita mesti menyusahkan diri sendiri untuk membuat bajet setiap bulan? Bajet setiap bulan membantu kita menilai kemampuan kita untuk berbelanja setiap bulan, menyimpan untuk membeli barangan yang didamkan, menyimpan sebagai persiapan untuk sebarang kemungkinan, menjadikan kita insan yang berdisiplin dan menjauhkan diri dari tekanan perasaan akibat hutang yang keterlaluan, desakan pihak tertentu untuk melangsaikan hutang dan sebagainya.

Perkara paling penting ialah dengan membuat bajet setiap bulan kita dapat membezakan antara keperluan dan kehendak kita dalam berbelanja. Keperluan ialah barangan yang tidak dapat tidak kita perlukan demi untuk kelangsungan hidup. Manakala kehendak pula ialah apabila kita membeli barangan melebihi keperluan. Kita membeli sekampit beras demi keperluan makanan, tetapi jika kita membeli beras yang lebih mahal kerana ciri-ciri ‘tambahannya’ seperti beras wangi dan sebagainya, ini dikatakan sebagai membeli demi memenuhi kehendak dan nafsu diri kita. Untuk kita melakukan bajet, kita melakukannya dengan membahagikan pendapatan bulanan kita kepada beberapa bahagian, yang utama ialah simpanan, kemudian kita bahagikan kepada bayaran pinjaman, diikuti dengan pembayaran bil-bil, kemudian perlindungan insuran dan kesihatan dan akhir sekali perbelanjaan-perbelanjaran santai dan hiburan. Apabila pengurusan bajet setiap bulan dapat diuruskan dengan baik, maka individu akan bebas dari perasaan risau akan kemungkinan buruk akibat perbelanjaan tidak berhemah.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit

Katakan anda ingin membeli telefon bimbit yang baru dikeluarkan di pasaran, harganya melangkaui kemampuan semasa anda, persoalannya adakah anda akan membelinya dengan menggunakan wang anda atau menggunakan kad kredit? Pilihan pertama memerlukan anda menahan diri untuk memperolehi barangan impian anda dan apabila duit simpanan mencukupi, barulah anda membeli barangan tersebut. Manakala pilihan kedua membolehkan anda memiliki barangan berkenaan dengan segera, namun anda akan terikat dengan komitmen hutang dan bebanan faedah.

Individu yang berdisiplin, mempunyai kesabaran yang tinggi, tidak gemar kepada terikat dengan komitmen hutang akan menggunakan keadah menyimpan atau menabung bagi mencapai cita-cita dirinya.

Apakah kebaikan menabung?

  1. Menabung membolehkan kita bebas atau kurang terikat dengan bebanan hutang.

  2. Menabung dapat menyelamatkan kita apabila berlaku kesusahan dimana kita sangat terdesak dan memerlukan wang.

  3. Menabung dapat membantu menjadikan wang kita bertambah melalui pelaburan.

  4. Menabung juga membantu kita di usia persaraan, dimana kita sudah tidak mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi pada ketika itu.

Untuk menabung, individu seharusnya meletakkan komitmen melalui bajet setiap bulan ke dalam tabungan di institusi yang dapat memberikan pulangan dengan risiko yang rendah, contohnya, Amanah Saham dan sebagainya. Melalui tabungan seperti ini, individu berkenaan akan mendapat membeli barangan yang diidamkan dan dalam masa yang sama mendapat keuntungan daripada simpanan berkenaan.

Kesan keterhutangan serius terhadap kesihatan mental

Keterhutangan kewangan yang serius dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada individu. Hutang adalah sesuatu yang membebankan. Individu yang berhutang secara keterlaluan akan menanggung beban berkenaan sepanjang masa. Beban ini dipikul secara psikologi. Bebanan ini akan mengganggu fikiran dan emosi sepanjang masa. Kerana beban hutang inilah individu akan menjadi tertekan, seterusnya menimbulkan kerisauan dan kemurungan.

Terdapat pelbagai faktor psikologi yang mempengaruhi seseorang untuk berhutang. Antaranya ialah personaliti diri, persepsi diri terhadap keperluan dan situasi ekonomi dan sikap diri sendiri adalah antara faktor yang mempengaruhi keinginan untuk berhutang. Terdapat kajian yang mengaitkan hutang dengan kesihatan mental, di mana individu yang mempunyai masalah berkaitan hutang akan mengalami masalah kemurungan. Antara penyebab kepada kemurungan tersebut adalah berkaitan dengan kebimbangan terhadap masalah hutang yang sedang ditanggung oleh individu berkenaan. Memandangkan hutang adalah satu bentuk komitmen yang berterusan terhadap peminjam, maka boleh menjadi satu sumber tekanan perasaan yang berterusan. Melainkan hutang ini diselesaikan segera atau bebanan komitmennya dikurangkan, tekanan ini akan senantiasa menghantui peminjam ini. Untuk itu, kaedah yang betul dalam menangani isu ini adalah perlu bagi mengelakkan tekanan tersebut menjadi lebih teruk.

Antara kaedah yang boleh digunakan dalam menangani stress akibat berhutang pertamanya adalah dengan melakukan perubahan corak berfikir. Pertamanya, individu yang berhutang perlu menerima hakikat yang beliau sedang berhadapan krisis diri berkaitan hutang. Seterusnya beliau seharusnya mengakui dan berazam yang tabiat ini perlu diubah. Penerimaan ini membolehkan individu mengenalpasti dan mengatasai corak-corak pemikiran negatif seperti ‘aku tak mampu untuk mengubah tabiat ini’ atau ‘lain kali mesti aku berhutang lagi’.

Keduanya, apabila beliau mengakui akan hakikat ini, maka dia perlu membuat tindakan tertentu seperti mendapatkan seseorang yang berkelayakan untuk meluahkan dan membantu membuat perubahan yang diperlukan. Khidmat bantuan seperti kaunselor kewangan di agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Bank Negara dapat membantu dalam isu ini. Pandangan dan nasihat yang diberikan boleh membantu membuat perubahan yang diperlukan.

Ketiganya, individu berkenaan perlu mengurusan tekanan dengan cara yang sebaik-baiknya. Individu yang mengalami tekanan akibat hutang akan bertingkahlaku dengan cara yang negatif termasuk mengasingkan diri dan meninggalkan aktiviti-aktiviti yang disukainya. Ini bukanlah tingkahlaku yang produktif dan membantu menguruskan tekanan dengan baik. Apabila corak pemikiran telah diubah dan diuruskan dengan baik, maka individu berkenaan perlu beralih kepada melaksanakan aktiviti-aktiviti yang mampu mengurangkan tekanan. Aktiviti-aktiviti seperti bersenam, melakukan hobi yang digemari, mengambil makanan yang berkhasiat dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjana emosi yang positif seterusnya meningkatkan keupayaan menyelesaikan isu dengan lebih baik dan berkesan.

Kesimpulan

Pengurusan kewangan dapat membantu individu menguruskan perbelanjaan setiap bulan dengan baik. Ini sudah tentu membantu mengelakkan diri dari terjebak ke dalam beban hutang yang keterlaluan. Beban hutang menjadikan individu terikat kepada komitmen setiap bulan dan ini amatlah meresahkan fikiran. Keresahan ini jika berterusan akan membawa kepada pelbagai kesan yang negatif, seperti kerisauan dan kemurungan yang teruk. Ini sudah tentu bukanlah sesuatu yang kita inginkan. Oleh itu, uruslah kewangan dengan bijak bagi menjaga kesihatan mental kita.

Rujukan

  1. Azizi, A. (2003). Jutawan dari Planet Jupiter!: Kawal kewangan anda biar wang menghasilkan pulangan dan nikmatilah hidup yang lebih bahagia. Kuala Lumpur: TrueWealth.

  2. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Bank Negara Malaysia, retrieved from www.akpk.gov.my

  3. Fitch, C., Hamilton, S., Bassett, P., & Davey, R. (2011). The relationship between personal debt and mental health: A systematic review. The Mental Health Review, 16(4), 153-166. doi:http://dx.doi.org/10.1108/13619321111202313

  4. Arehart-Treichel, J. (2012). Burden of carrying debt may affect mental health. Psychiatric News, 47(8), 7. Retrieved from http://search.proquest.com/docview/1013875062?accountid=33993

Semakan Akhir : 21 Mei 2014
Penulis : Mohd Fahmi bin Abdul Talib
Akreditor : Hj. Hairol Kamal bin Ab Rahman

Artikel Berkaitan

Motivasi Ibu Tunggal

  Sumber: http://www.google.com.my/imgres?imgurl=http%3A%2F%2Fyangmenarik.weebly.com Seseorang wanita ditakrifkan sebagai Ibu Tunggal sekiranya

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia