Hydrocoele, atau “Angin Pasang Berair” adalah sejenis keadaan di mana cecair badan berkumpul di dalam kantung di sekeliling buah “testis” lelaki atau di ari-ari perempuan (jarang). Keadaan ini kebanyakkannya berlaku dalam kanak-kanak lelaki yang baru lahir.
Hydrocoele boleh diklasifikasikan sebagai “Primary” (tiada punca yang berkaitan) atau “Secondary” (berpunca daripa da masalah lain).
Hydrocoele “primary”, yang khususnya berlaku di kalangan bayi lelaki, adalah disebabkan oleh pembukaan pada otot dinding perut (abdomen) yang dalam kebanyakan masa bukaan ini akan tertutup secara semula jadi sewaktu bayi dilahirkan ataupun dalam tahun pertama kehidupan.
Hydrocoele “secondary” kebanyakkannya berlaku di kalangan kanak-kanak lelaki pra-remaja atau remaja dan disebabkan oleh radang sebagai punca pembentukkan cecair limpa. Radang ini boleh disebabkan oleh jangkitan kuman pada buah ‘testis’ atau kanser ‘testis’.
Demografi dan Epidemiologi
Secara keseluruhannya, kadar masalah “hydrocele” adalah 6% kanak-kanak lelaki yang baru lahir. Kebanyakkannya akan hilang secara sepontan di antara umur 1-2 tahun.
Tanda-tanda
Hydroceole boleh melibatkan sebelah ataupun dua-dua belah telur kanak-kanak lelaki. Ia akan kelihatan seperti telur yang bengkak dan beasa tegang kepada ibubapa yang menyentuhnya.
Gambar 1: Jenis-jenis Hydrocoele (pandangan sisi) Sumber: https://pedclerk.uchicago.edu/page/inguinal-hernias-hydroceles |
Sekiranya ia tidak dirawat, hydrocele secara lazimnya tidak mendatangkan komplikasi yang memudaratkan. Jenis yang tegang boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut terasa kurang selesa bila beraktiviti lasak seperti bersukan, dan ia jarang boleh dijangkiti kuman dari bahagian saluran kencing.
Pengenalpastian hydrocele oleh para doctor dilakukan di dalam bilik rawatan dengan menyuluhkan pena berlampu di bahagian bawah telur yang bengkak dan melihat samada telur tersebut membenarkan lampu dilihat di bahagian atasnya – kaedah yang dipanggil “Transluminasi”.
Gambar 2: Pengenalpastian Hydrocoele denagan kaedah ‘transluminasi’ Sumber: https://pedclerk.uchicago.edu/page/inguinal-hernias-hydroceles |
Rawatan
Sekiranya hydrocele tidak hilang secara sepontan bila seseorang bayi lelaki menjangkau usia 2 tahun, rawatannya berbentuk pembedahan iaitu Herniotomy. Kaedah yang sama digunakan untuk merawat angin pasang (Inguinal hernia).
Ia adalah sejenis prosedur yang memerlukan bius am (general anaesthesia) dan sebaik-baiknya dilakukan oleh pakar bedah kanak-kanak. Pesakit perlu dipuasakan untuk beberapa jam sebelum pembedahan ini.
Pembedahan Herniotomy biasanya dibuat sebagai prosedur unit rawatan harian (Daycare Surgery). Ini bermaksud pesakit tidak perlu tinggal di dalam wad untuk semalaman.
Herniotomy melibatkan torehan kecil (biasanya 2-3cm) di bahagian ari-ari yang bermasalah.
Seterusnya, kantung dijumpai di bawah lapisan otot, dan ia dipisahkan daripada saluran sperma dan saluran darah; sejurus itu, kantung dipotong dan diikat supaya ia tidak dapat membenarkan pergerakan usus atau selaput ke dalamnya lagi. Cecair dalam kantung akan dikeluarkan dan bahagian telur akan nampak kendur setelah kesemua cecair dikeluarkan. Potongan kemudiannya dijahit dengan benang khas di bawah kulit dan akan hilang dengan sendiri dengan peredaran masa. Prosedur ini biasanya memakan masa 15-30 minit.
Selepas pembedahan ini, pesakit boleh diberi minum dan makan apabila dia sedar dengan sepenuhnya. Dia dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama. Ibu bapa akan diarah untuk mengeluarkan pembalut daripada luka 2 hari selepas pembedahan.
Sekiranya luka tidak begitu elok (iaitu merah atau bernanah), pesakit perlu dibawa balik berjumpa dengan doktornya. Biasanya, kanak-kanak yang lebih besar diberitahu untuk mengelakkan daripada aktiviti senaman yang lasak sekurang-kurangnya selama 1-2 bulan.
Last Reviewed | : | 20 October 2017 |
Writer | : | Dr. Shona Alison Edmonds |
Accreditor | : | Dr. Mohamed Azlan b. Mahmud |