A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Iklan Ubat: Antara Realiti...

Iklan Ubat: Antara Realiti dan Fantasi

Realiti vs Fantasi

Sebut sahaja iklan ubat di media cetak, elektronik dan laman sosial pasti tergambar di minda kita ubat kurus, ubat kuat, ubat penyakit 3 serangkai, ubat kanser, ubat pemutih kulit, ubat hilangkan jerawat dan sebagainya. Tidak kurang pula pelbagai makanan atau jus kesihatan dengan pelbagai tuntutan perubatan dimuatkan dalam iklan tersebut samata-mata untuk memancing perhatian umum. Ditambah pula dengan pelbagai testimoni dan gambar dan visual menunjukkan keadaan sebelum dan selepas pengguna yang menggunakan produk tersebut pasti hati terdetik untuk mencuba produk yang diiklankan.

Sudah pasti, dari pihak penjual, strategi pemasaran yang menarik perlu digunakan untuk menambat hati orang awam di luar sana agar mereka membeli produk yang diiklankan. Teknik pencahayaan, mimik muka, teknik ‘superimposed’, teknik ‘editing’ antara cara yang digunakan bagi membezakan gambar sebelum dan selepas pengguna produk. Lebih memualkan ada juga iklan-iklan yang disiarkan menunjukkan keintiman suami isteri dengan dialog-dialog dan posisi gambar yang menjuruskan ke arah ketidaksopanan melangkaui budaya ketimuran masyarakat Malaysia.

Sementelah itu tidak ketinggalan juga ada yang menggunakan platform agama dengan memuatkan petikan ayat dari al-Quran dan hadith yang diambil secara rambang; demi menjadi modal dan tiket untuk melariskan produk mereka. Memang tidak dinafikan, setiap bahan itu ada khasiatnya yang tersendiri tetapi apabila pelbagai bahan dicampur dalam satu botol atau peket, apakah kesan yang berlaku kepada badan pengguna tidak diketahui. kerana tiada ujian secara terperinci terhadap kesahihan & keberkesanan kombinasi bahan-bahan tersebut dan kesannya kepada badan manusia. Hanya berdasarkan kepada testimoni pengguna, pihak pengeluar memasarkan produk keluaran mereka tanpa menjalankan kajian saintifik yang spesifik terhadap produk yang dihasilkan.

No. MAL dan KKLIU

Beza pula sekiranya produk tersebut dikelaskan sebagai produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM; ia perlu menjalani penilaian oleh PBKD, KKM untuk memastikan agar ia selamat dan berkualiti untuk digunakan. Setelah didaftarkan, ia akan diberikan dengan nombor pendaftaran yang dimulai dengan MAL dan diikuti oleh 8 digit dan diakhiri dengan kod-kod tertentu (contoh: MAL12345678T). Bukan itu sahaja, apabila sesuatu produk farmaseutikal berdaftar itu hendak diiklankan pula, seperkara lagi yang perlu dipatuhi adalah mendapatkan kelulusan iklan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini bagi memastikan agar fakta atau tuntutan perubatan yang digunakan dalam iklan tersebut diakui sahih, benar dan bukannya direka-reka demi melariskan sesuatu ubat.

Sehinggakan penggunaan ayat seperti ‘TERLARIS DI MALAYSIA’, ‘No. 1’ akan disemak oleh LIU bagi memastikan kenyataan tersebut disokong dengan data atau statistik tertentu. Sekiranya sesuatu iklan tersebut tiada kelulusan LIU, sudah tentu fakta dan kenyataan tuntutan perubatan di dalamnya tidak disaring dan diragui kesahihannya. Untuk mengetahui samada iklan tersebut telah diluluskan oleh LIU, para pengguna perlu memastikan nombor KKLIU (contoh: KKLIU 1234/2014) dipaparkan pada iklan yang disiarkan tidak kira samada di media cetak atau elektronik dan tak terkecuali di internet dan media-media sosial.

Nak ‘Kuat’ Terkulai Akhirnya

Bagi kaum adam, sudah pasti iklan ubat kuat lebih diberi perhatian. Bagi mereka yang terdesak, sudah pasti iklan sebegini menjadi sumber mereka mendapatkan produk tersebut. Sikap malu untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat menjadi jalan untuk mereka mencari sendiri ubat-ubat haram untuk mengubati masalah yang dihidapi oleh mereka khususnya yang melibatkan masalah kesihatan kaum lelaki. Mereka lebih percaya omong-omong rakan-rakan mereka berbanding golongan profesional yang bertauliah. Mungkin ini menjadi penyebab lambakan ubat kuat khasnya untuk lelaki di pasaran.

Dari statistik KKM tahun 2013, mendapati sebanyak 1125 bilangan item dikesan dicampuri racun terkawal perangsang seks; Sildenafil dan analog. Disebabkan permintaan yang tinggi ada pihak yang tidak bertanggungjawab mencampuri perangsang seks tersebut juga dalam kopi dan juga gula-gula. Berhati-hatilah membuat pembelian lebih-lebih lagi sekiranya produk tersebut membuat tuntutan meningkatkan prestasi seksual samada secara terang atau tersirat dengan harga yang tidak munasabah.

       

Ingin Kurus Cepat Kesihatan Terabai

Bukan sekadar hanya mengambil makanan atau jus minuman dan juga produk sapuan tanpa sebarang pergerakan fizikal boleh menjadikan seseorang itu turun berat badan dengan drastik. Gambar testimoni pengguna sebelum dan selepas sering menjadi modal pihak pengeluar produk pelangsingan untuk melariskan produk mereka. Pengguna perlu faham proses penurunan berat badan memerlukan masa dan melibatkan metabolisme dalam badan. Sudah tentu produk atau krim sapuan luaran tidak boleh dijadikan asas untuk menguruskan berat badan.

Bagi produk penurunan berat badan yang diambil secara oral, lebih membimbangkan kerana pihak Bahagian Penguatkuasa Farmasi, KKM mendapati sejumlah 203 bilangan item pada tahun 2013 dicampuri dengan racun berjadual yang telah diharamkan. Pengambilan racun tersebut boleh mengundang bahaya terhadap nyawa pengguna. Janganlah disebabkan hendak kelihatan cantik luaran tetapi dalaman sengsara. Ingatlah para pengguna, organ dalaman kita bukan seperti kereta yang mempunyai alat ganti. Beralihlah kepada langkah yang lebih sihat dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan senaman yang berterusan. Memang tidak dinafikan, ia mengambil sedikit masa tetapi ia berbaloi dari mengambil risiko menggunakan produk-produk tidak berdaftar.

      

Kes Sebenar

  1. Seorang pengadu mengalami pening dan sakit pinggang setelah mengambil sejenis kopi ‘kuat’ yang diiklankan boleh meningkatkan prestasi seksual. Kopi tersebut yang berharga RM70 sekotak dibeli melalui internet.
  2. Seorang pengadu mengalami pening dan sakit pinggang setelah mengambil sejenis kopi ‘kuat’ yang diiklankan boleh meningkatkan prestasi seksual. Kopi tersebut yang berharga RM70 sekotak dibeli melalui internet.
  3. Seorang pengadu membeli sejenis produk kesihatan yang dipromosikan boleh menurunkan tekanan darah dan kolesterol mengalami buang air besar berdarah sebanyak 8 kali. Setelah 3 jam pengambilan produk itu, dia mengalami peluh berlebihan dan denyutan jantung yang sangat kuat. Produk tersebut dibeli dari satu kiosk di sebuah pasaraya.

Bijak Bertindak

“Eh Nina, awak cuba la produk ni, memang bagus la… dalam facebook pun hangat diperkatakan….diluluskan oleh KKM lagi…ada sijil JAKIM pulak tu… ubat ni boleh merawat pelbagai jenis penyakit tau, … tengoklah gambar-gambar pengguna ni Nina, yang gemuk sudah kurus, yang berkulit gelap sekarang dah putih berseri, yang tidak boleh berjalan sekarang dah boleh berlari…selebriti pun guna ubat ni…”.

Andai ada dikalangan kita didekati dengan perbualan sebegini, apakah tindakan kita? Mungkin ada yang termakan pujukan mereka yang mempromosi produk tersebut dan terus membeli produk tersebut tanpa usul periksa. Bagi yang mereka bijak pula, sudah tentu membuat semakan lanjut kepada pihak berkuasa adalah satu tindakan yang perlu dicontohi. Sekiranya ubat tersebut didakwa telah diluluskan oleh KKM, sila buat semakan lanjut di laman portal www.pharmacy.gov.my untuk mengetahui status pendaftaran produk tersebut. Sekiranya ubat tersebut telah diluluskan, maklumat lanjut seperti nombor pendaftaran, pengilang, alamat pengilang berkenaan produk tersebut akan dipaparkan. Sekiranya rekod tidak ditemui, boleh dirumuskan bahawa produk tersebut tidak berdaftar dan dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan.

Selain itu juga, orang awam juga boleh meneliti sekiranya terdapat nombor KKLIU yang diberikan oleh Lembaga Iklan Ubat pada iklan tersebut. Sekiranya ingin mendapat maklumat lanjut terhadap kesahihan nombor kelulusan tersebut, semakan boleh dibuat kepada Lembaga Iklan Ubat di talian 03-78413200.

Manakala sekiranya produk tersebut dikelaskan sebagai makanan, seharusnya pengiklan tidak boleh menggunakan kenyataan ‘TELAH DILULUSKAN OLEH KKM’ kerana KKM tidak memberi kelulusan kepada produk makanan tetapi hanya mengkelaskan produk tersebut sebagai makanan. Produk yang dikelaskan sebagai makanan tidak boleh memuatkan tuntutan-tuntutan perubatan terhadap penggunaan produk tersebut. Begitu juga dengan iklan kosmetik. Iklan kosmetik tidak boleh mengandungi sebarang tuntutan perubatan kerana peranan kosmetik asalnya adalah secara kegunaan luaran seperti mewangi, membersih, menyegar dan tuntutan kosmetik lain yang dibenarkan berdasarkan kepada Kod Pengiklanan Kosmetik (sila layari www.bpfk.gov.my)

Memang tidak dinafikan, dengan peningkatan penggunaan teknologi masakini, pelbagai iklan boleh disebarkan dalam sekelip mata khususnya pengunaan media-media social seperti facebook, whatsapps, twitter dan sebagainya. Oleh yang demikian, kawalan terhadap iklan oleh KKM amatlah mencabar dan perlu dibantu oleh orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan sebegini. Sekiranya tiada permintaan maka tiadalah penawaran. Pengguna perlu bijak dalam memilih ubat khususnya ubat yang dimakan dan disapu pada kulit. Pendekatan yang diambil terhadap iklan ubat tidak boleh disamakan dengan iklan seperti iklan serbuk pencuci, iklan tas tangan dan sebagainya. Ubat yang dimakan akan memberi kesan kepada badan kita.

Maka, berhati-hatilah apabila membeli ubat. Dapatkan khidmat nasihat dari pegawai perubatan atau ahli farmasi. Elakkan membeli ubat dari pasar-pasar, kaki-kaki lima, kiosk-kiosk dan laman-laman web atau media sosial. Pastikan produk farmaseutikal berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL beserta pelekat hologram dan iklannya diluluskan oleh LIU. Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, orang awam boleh kemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413200 atau melalui emel pharmacy1@moh.gov.my.

Rujukan

  1. Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 (Disemak 1983)
Semakan Akhir : 05 Jun 2013
Penulis : Normawati bt. Mohammed Noor

Artikel Berkaitan

Kacip Fatimah

Pengenalan Kacip Fatimah merupakan sejenis herba yang tumbuh melata di

Bahan semulajadi dalam kosmetik

Produk kosmetik mengandungi pelbagai bahan yang boleh dikelaskan sebagai bahan semulajadi dan bahan sintetik. Formulasi suatu produk kosmetik boleh terdiri daripada samada campuran bahan sintetik dan bahan semulajadi, bahan-bahan sintetik atau bahan-bahan semulajadi sahaja.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,778

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia