A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Rekod Perubatan
  6. /
  7. Implikasi Pengurusan Rekod Perubatan...

Implikasi Pengurusan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) Di Hospital KKM

Hospital – Hospital IT Di Kementerian Kesihatan Malaysia

Apakah Itu Rekod Perubatan Elektronik (EMR)?

EMR adalah dokumen yang mengandungi maklumat mengenai perawatan pesakit versi digital yang dihasilkan dan direkodkan oleh pegawai-pegawai perubatan yang merawat dan menguruskan pesakit.

Umum mengetahui bahawa, penggunaan Rekod Perubatan Elektronik / Electronic Medical Records (EMR) di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia telah banyak memberi impak positif di dalam proses perawatan pesakit di samping beberapa halangan dan cabaran yang perlu ditangani dan diatasi oleh pihak pengurusan Kementerian Kesihatan dan Kerajaan ke arah penggunaan EMR yang lebih menyeluruh dan efektif di hospital.

EMR dengan menggunakan teknologi maklumat terkini telah memberi nafas baru kepada pengurusan sistem kesihatan di Malaysia kerana ia lebih mudah dan efisyen dimana kesemua maklumat perawatan pesakit disatukan di dalam satu pangkalan data.

Sebagai contoh jika pesakit yang berada di dalam situasi kecemasan tiba-tiba datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan, pegawai perubatan boleh menyemak sejarah maklumat kesihatan dan perawatan pesakit di dalam komputer seperti nama, umur, kerentanan ubat, ujian makmal, xray dan lain-lain ujian dalam dengan mudah. Manifestasi klinikal pesakit dapat diperolehi dengan pantas. Selepas pesakit selesai diperiksa, doktor yang merawat boleh mendapatkan keputusan segera ujian klinikal, diagnosis dan cadangan rawatan yang akan diberikan.

Jika ia adalah kes-kes yang sukar, doktor yang merawat juga boleh mendapatkan pandangan pakar dengan mudah. Doktor pakar boleh memberikan komen di pejabat pakar atau di rumah untuk membantu doktor yang merawat pesakit membuat keputusan terhadap perawatan pesakit. Justeru, masa menunggu bagi pesakit juga dapat dikurangkan terutama semasa rawatan pesakit luar.

Masa Menunggu Dapat Dikurangkan

Kesilapan dalam menulis maklumat perawatan pesakit di dalam rekod perubatan juga tidak akan berlaku menggunakan EMR. Tulisan tangan mudah terdedah kepada kesilapan manusia seperti kesalahan ejaan, tulisan berangkai yang sukar dibaca, dan penggunaan istilah-istilah yang berbeza. Oleh yang demikian kesinambungan maklumat di dalam rekod perubatan dapat dijaga dan tidak disalah tafsir oleh Pegawai Perubatan yang lain yang merawat pesakit.

Di samping itu, EMR adalah mudah disimpan, dicapai semula dan pelbagai penyelidikan saintifik dan analisis statistik dapat dilakukan dengan cepat, tepat dan mudah dan akan dapat menggalakkan perkembangan ilmu perubatan di kalangan pegawai perubatan, pakar dan pelatih.

Seterusnya fakta menarik tentang penggunaan EMR ini, ia dapat membantu menjimatkan ruang, tenaga manusia, kos pembelian fail rekod, rak simpanan, ruangan simpanan rekod dan masa. Pewujudan rekod perubatan akan bertambah dengan cepat selaras dengan pertambahan bilangan pesakit yang datang ke hospital kerajaan kini. Setiap rekod perubatan dimuatkan di dalam satu fail atau folder dan memerlukan ruang yang luas dan bilangan rak yang banyak untuk penyimpanan fail.

Berbeza dengan penyimpanan maklumat elektronik, maklumat EMR disimpan dalam ruang yang kecil (server) dan tidak memerlukan pekerja yang ramai untuk memfail dan jumlah rak yang banyak untuk penyimpanan fail. Walaubagaimanapun, di hospital-hospital KKM yang telah menggunakan EMR, masih wujud fail-fail rekod perubatan kerana penggunaan dokumen rekod perubatan tertentu yang tiada terkandung di dalam EMR atau limitasi EMR itu sendiri.

Di antara kebaikan EMR yang lain adalah ia mudah diurus dan diselenggara dalam tempoh yang lama. Sistem backup ditempatkan di luar kawasan hospital supaya data dapat digunakan semula sekiranya kerosakan berlaku pada pangkalan data utama akibat dari kejadian bencana alam. Ini kerana rekod perubatan yang berasaskan kertas mudah hilang atau akibat dari kesalahan atau kesilapan proses pemfailan rekod perubatan atau kecuaian manusia. Kejadian bencana alam seperti kebakaran, banjir, kerosakan, kecemasan dan lain-lain bencana juga boleh memusnahkan rekod fizikal.

Penggunaan EMR di hospital juga terdapat kelemahan dan halangan yang perlu diambil perhatian bagi memastikan penggunaannya mencapai ke tahap yang maksimum dan objektif pelaksanaannya tercapai. Berikut merupakan beberapa halangan dan kelemahan yang dikenalpasti dalam penggunaan EMR di dalam proses perawatan dan pengurusan pesakit;

Perubahan Pengurusan

Perubahan minda atau cara berfikir adalah cabaran yang diperlukan untuk memastikan budaya menggunakan system computer sepenuhnya untuk urusan dokumentasi rekod perubatan daripada penggunaan kertas kerana kakitangan perubatan lebih selesa menggunakan kertas dan menulis secara manual. Literasi teknologi maklumat juga diperlukan untuk penggunaan EMR kerana kadangkala wujud masalah teknikal pada perisian dan perkakasan komputer yang membuatkan pegawai perubatan kurang senang menggunakan EMR untuk catatan maklumat perawatan disebabkan gangguan tersebut.

Kos Tinggi Untuk Penyelenggaraan Sistem Dan Peralatan ICT

Umum mengetahui, kos untuk pembelian perisian EMR, peralatan ICT dan penyeleggaraan EMR adalah tinggi. Justeru penggunaan maksimum dan menyeluruh EMR dapat membantu menyeimbangkan kos penggunaan tenaga, kertas, ruang dan rak untuk pengurusan rekod perubatan. Disamping itu, diantara cabaran penggunaan EMR di hospital adalah hubungan pegawai perubatan dengan pesakit sedikit terbatas kerana pegawai perubatan terpaksa memasukkan maklumat perubatan di dalam sistem semasa menemuduga sejarah kesihatan pesakit. Kadangkala masa yang diuntukkan untuk berkomunikasi dengan pesakit amat sedikit disebabkan masa yang lama digunakan untuk menggunakan system EMR.

Risiko Kehilangan Data / Maklumat Pesakit Tidak Lengkap

Kehilangan data boleh berlaku pada mana-mana peranti yang menyimpan data. Ia juga boleh berlaku disebabkan kesilapan manusia dan kecuaian manusia seperti tidak sengaja menekan butang perisian EMR atau tidak mengetahui cara-cara penghapusan data EMR. Kesilapan dokumentasi juga boleh berlaku disebabkan kelajuan menaip dan bilangan pesakit yang ramai. Justeru aktiviti audit EMR perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan maklumat pesakit adalah lengkap dan tiada keciciran. 

Kerosakan Fail Disebabkan Kerosakan Alat Perisian Dan Jangkitan Virus

Sistem EMR juga terdedah kepada masalah teknikal seperti kegagalan perkakasan ICT, gangguan network dan elektrik disebabkan faktor-faktor luar jangka seperti kebakaran, banjir , gempa bumi , kilat, dan lain-lain. Justeru itu, penyelenggaraan EMR perlu diuruskan dengan baik dan perancangan backup recovery data dilaksanakan dengan betul bagi memastikan perjalanan EMR tidak terganggu semasa perawatan pesakit.

Keselamatan Maklumat Digital

Keselamatan maklumat di dalam EMR merupakan cabaran terbesar dalam pengurusan EMR. Ia merujuk kepada langkah-langkah perlindungan data digital untuk menghalang capaian yang tidak dibenarkan pada maklumat rekod perubatan, komputer dan pangkalan data. Polisi akses dan capaian kepada EMR perlu dikawal selia dengan teliti disebabkan kemudahan capaian maklumat pesakit oleh semua pegawai-pegawai perubatan dan kakitangan kesihatan. Polisi berkaitan pengawalan kerahsiaan maklumat seperti penggunaan Password / Akses Level Polisi perlu diperkukuh dan diperkemaskan ditambah pula dengan perkembangan teknologi pencerobohan maklumat seperti ancaman hackers.

Semakan Akhir : 8 Ogos 2017
Penulis : Pn. Siti Zamnah Binti Mohammed Zaki
Akreditor : Pn. Siti Ajar Binti Baharim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia