A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Janda Dan Duda (Gelaran Yang Memberi Kesan)

Janda adalah merujuk kepada wanita berkahwin yang kehilangan suami sama ada disebabkan penceraian mahupun kematian manakala duda pula merujuk kepada lelaki berkahwin yang kehilangan isteri samaada disebabkan penceraian atau kematian.

Pendahuluan

Bukan kehendak badan untuk di gelar janda mahupun duda. Tetapi itulah gelaran yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang kehilangan salah seorang pasangan sama ada suami atau pun isteri. Janda adalah merujuk kepada wanita berkahwin yang kehilangan suami sama ada disebabkan penceraian mahupun kematian manakala duda pula merujuk kepada lelaki berkahwin yang kehilangan isteri samaada disebabkan penceraian atau kematian.

Kesan gelaran janda dan duda

Memegang gelaran janda atau pun duda bukanlah suatu kemahuan tetapi itulah realiti kehidupan sesetengah masyarakat yang terikat dengan nilai dan budaya tertentu. Gelaran janda dan duda dilihat sangat signifikan dengan perkara-perkara negatif terutama apabila gelaran tersebut disebabkan penceraian pada usia muda.

Kesan gelaran janda dan duda adalah berbeza mengikut faktor-faktor tertentu. Pelbagai kajian dijalankan untuk melihat hubungan di antara kesan gelaran (janda dan duda) dengan jantina dan juga kesan gelaran (janda dan duda) dengan faktor penceraian iaitu faktor kematian ataupun penceraian. Kajian juga melihat kesan gelaran (janda dan duda) dengan waktu kejadian iaitu sama ada pada usia muda atau tua.

Pada umumnya, gelaran janda dan duda memberi kesan psikologi, terutama sekali kesan emosi khususnya kepada mereka yang bercerai muda. Pelbagai perkara yang terpaksa dilalui oleh janda dan duda yang boleh memberikesan emosi seperti perubahan hidup daripada berdua kepada hidup seorang, perubahan tingkahlaku dan perubahan kewangan. Perubahan yang terpaksa dilakukan ini boleh menyumbang kepada masalah kesihatan mental sepertikemurungan serta masalah kesihatan fizikal seperti perubahan berat badan dan masalah tingkahlaku seperti penyalahgunaan bahan terlarang.

Terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi kesan gelaran janda dan duda iaitu personaliti individu itu sendiri dan juga faktor persekitaran. Kedua-dua faktor ini saling bergantungan antara satu sama lain dalam memastikan mereka yang bergelar janda dan duda khususnya pada usia muda dapat meneruskan kelangsungan hidup yang lebih positif.

Memegang gelaran janda atau duda disebabkan penceraian, dilihat lebih memberi kesan kepada emosi yang boleh menyebabkan masalah kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety) berbanding dengan mereka yang menjanda dan menduda disebabkan kematian. Antara faktor yang dikenalpasti adalah kerana mereka sendiri takut dilabelkan dengan perkara-perkara yang tidak baik oleh masyarakat. Bagi mereka yang menjanda dan menduda pada usia  muda lebih berisiko tinggi untuk mendapat kemurungan dan kebimbangan kerana mereka ini kurang kemahiran daya tindak, kurang kemahiran membuat keputusan, kurang persediaanuntuk kehilangan pasangan dan kurang kemahiran mengawal emosi.

Keadaan ini akan menjadi lebih teruk jika mengambil kira pandangan masyarakat yang negatif tentang ketiadaan anak semasa perkahwinan dan juga tempoh perkahwinan yang singkat. Duda dilaporkan lebih mudah mengalami masalah kesihatan fizikal dan tingkahlaku berbanding janda. Oleh kerana mereka ini dilihat kurang bepengalaman dan kurang rangkaian sokongan sosial, mereka lebih cenderung melakukan perkara-perkara yang tidak baik seperi merokok dan penyalahgunaan bahan sebagai kaedah pengurusan emosi mereka. Dari sudut yang lain, mereka yang menjanda dan menduda pada usia tua disebabkan penceraian dilihat lebih mengalami kemurungan berbanding kebimbangan. Mereka ini sering dikaitkan dengan perasaan bersalah, kegagalan, rasa terbuang dan juga kesunyian dan sekali gus menjadikan mereka kurang keyakinan diri.

Berlainan dengan keadaan dimana mereka yang menjanda dan menduda pada usia muda disebabkan kematian. Kebiasaanya mereka hanya akan mengalami tanda-tanda kemurungan untuk tempoh enam bulan yang pertama dan kurangmengalami masalah kebimbangan. Kajian perbandingan antara janda dan duda dalam menangani kemurungan, mendapati janda lebih cepat mengatasi tanda-tanda kemurungan berbanding dengan duda. Ini kerana mereka lebih mudah untuk berkongsi perasaan mereka dengan ahli keluarga dan juga kawan-kawan.

Kajian juga mendapati janda adalah paling ramai mencari bantuan ahli professional jika mereka merasakan perlu melakukan sedemikian. Kemerosotan kesihatan samaada fizikal atau tingkahlaku dilihat lebih mudah berlaku kepada mereka yang menjanda dan menduda pada usia tua dan disebabkan kematian.

Kajian mendapati, kemerosotan fizikal atau tingkahlaku adalah disebabkan perasaan kesunyian akibat kehilangan orang yang disayangi. Duda dilaporkan lebih cepat mengalami masalah fizikal dan tingkahlaku kerana kurang memberi perhatian kepada diri sendiri dan juga kurang untuk menyertai komuniti berbanding dengan janda. Ini disebabkan cara kedua-duanya menangani perasaan kehilangan adalah berbeza seperti yang dinyatakan.

Pengurusan gelaran janda dan duda

Mereka yang bergelar janda atau duda tidak kira faktor gelaran, sangat memerlukan sokongan emosi yang berterusan terutama sekali pada tahun pertama kehilangan orang yang disayangi. Ini kerana mereka akan bergelut dengan pelbagai perubahan terutamanya perubahan tingkahlaku. Janda dilihat sangat memerlukan sokongan emosi tambahan pula jika janda tersebut tidak pernah bekerja dan bergantung penuh kepada bekas pasanganhidup. Beberapa perkara boleh dilakukan untuk membantu janda dan duda mengurus emosi mereka dari saat mereka bergelar janda atau duda:

    1. Pengurusan emosi

      Untuk enam bulan pertama bergelar janda atau duda, ketidakstabilan emosi adalah perkara pertama yang dilalui. Kemahiran mengurus emosi yang baik dapat mencegah kepada masalah kesihatan yang lain seperti kesihatan mental, kesihatan fizikal dan juga kesihatan tingkahlaku.

    2. Belajar meluahkan perasaan

      Janda dan duda perlu belajar untuk meluahkan perasaan semasa mereka tidak kira samaada perasaan tersebut adalah positif atau negatif. Luahan perasaan ini tidak hanya terikat pada tahun pertama bergelar janda atau duda, malah ianya perlu dilakukan secara berterusan sehingga janda atau duda tersebut dapat menerima kehilangan pasangan masing-masing. Menggalakkan janda atau duda meluahkan perasaan secara tidak langsung dapat membantu mereka mengenali perasaan sebenar mereka dan juga dapat mengenalpasti apa yang berada dalam fikiran mereka. Mereka yang menjanda dan menduda disebabkan penceraian sangat perlu digalakkan untuk meluahkan perasaan mereka seperti perasaan bersalah, rasa terbuang dan marah kerana ia akan membantu mereka menerima keadaan mereka dengan lebih baik. Memendam perasaan seperti rindu atau sakit hati terhadap bekas pasangan bukanlah cara terbaik kerana ianya berisiko kepada masalah kesihatan yang lain.

    3. Tunjukkan perasaan simpati dan empati

      Perasaan simpati dan empati tidak hanya diperlukan pada awal kehilangan orang yang disayangi, malah ia sentiasa diperlukan. Malah terdapat sesetengah kes, simpati dan empati sangat diperlukan sehingga ke akhir hayat mereka. Ini kerana mereka yang menjanda dan menduda pasti mempunyai kenangan tidak kira kenangan manis ataupun pahit yang boleh menyebabkan emosi mereka terganggu. Simpati dan empati tidak hanya bolehdinyatakan dengan kata-kata, malah ia juga boleh dizahirkan melalui perbuatan. Malah terdapat kajian yang menunjukkan penegahan penggunaan perkataan tertentu dalam menzahirkan simpati dan empati terhadap mereka. Antara contoh perkataan tersebut seperti ”saya dapat rasa apa yang awak rasa” dan ”bersabarlah, bukan awak sahaja yang mengharungi perkara seperti ini”. Terdapat juga kajian yang mendapati janda atau duda lebih mengharapkan seseorang untuk mengajak mereka melakukan sesuatau berbanding menawarkan untuk melakukan sesuatu.

    4. Memberi sokongan

      Bagi membina keyakinan untuk janda dan duda meneruskan hidup, sokongan fizikal dan spiritual adalah amat penting. Bagi mereka yang menjanda dan menduda disebabkan kematian, sokongan boleh ditunjukkan dengan memberi ruang dan peluang untuk mereka menguruskan hal-hal berkaitan kematian pasangan jika mereka mampu lakukan hal sedemikian. Ini kerana mungkin terdapat memori terakhir yang mereka inginkan sebelum pasangan pergi buat selama-lamanya. Selain itu, janda dan duda juga perlu diberi ruang dan peluang untuk membuat keputusan dan menentukan apa yang mereka sendiri ingin lakukan. Disaat janda atau duda sedang merancangkan apa yang terbaik bagi mereka, ahli keluarga dan kawan-kawan adalah sangat digalakkan untuk tidak terlalu memberi nasihat dan memaksa mereka untuk mengikuti nasihat tersebut.

    5. Bantuan professional

      Bantuan professional adalah salah satu perantaraan yang boleh membantu janda atau duda untuk mengatasi kesukaran dalam hidup. Bantuan professional ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu bantuan sokongan emosidan juga bantuan sokongan fizikal. Janda yang tidak bekerja sangat memerlukan kedua-dua bantuan kerana meraka akan mengalami kesukaran hidup yang lebih lama berbanding janda yang bekerja. Permasalahan utama yang dikenalpasti adalah masalah kewangan dan keadaan menjadi lebih rumit apabila mereka sendiri yang terpaksa menyara anak-anak mereka. Justeru itu menyalurkan mereka ke bantuan fizikal seperti kewangan dapat mengurangkan tekanan dan ketidakstabilan emosi.

    6. Tingkatkan hubungan dengan Pencipta

Memahami kesan gelaran janda atau duda dari aspek keagamaan dapat membantu janda dan duda mengubah pemikiran mereka ke arah yang lebih positif. Hubungan yang baik dengan Pencipta dapat membantu seseorang itu memahami hikmah dan kelebihan setiap perkara yang berlaku. Pengakhiran kepada peningkatan hubungan dengan Pencipta akan membantu janda dan duda untuk lebih tenang dan belajar menerima setiap ketentuan.

Rumusan

Gelaran janda dan duda dilihat lebih banyak memberi kesan negatif berbanding positif. Kesan negatif lebih banyak dilihat kepada mereka yang menjanda dan menduda pada usia muda disebabkan penceraian berbanding kematian. Walaubagaimana pun, kesan gelaran janda dan duda banyak bergantung bagaimana individu itu mengintrepetasi gelaran tersebut samada lebih kepada positif atau negatif.

Rujukan:

  1. Kamus Dewan, edisi keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2007
  2. J.K.Trivedi etl, Psychological aspects of widowhood and Divorce; PubMed Central. 2008
  3. Sara Wilcox etl, First Year of Widowhood Most Harmful to Mental Health, According to a Sample of Over 70,000 Middle Aged Women. American Psychological Association (APA). 14 September 2003
  4. Widows and widowers-What Do They Need? How Can You Help? http//wol.jw.org/en/wol/d/r1
Semakan Akhir : 22 Mei 2017
Penulis : En. Mat Noor Kamarul b. Abdul Talib
Akreditor : Pn. Ruhana bt. Mahmod

Artikel Berkaitan

Keterampilan Diri (Dewasa)

keterampilan diri boleh di definisikan sebagai keyakinan diri atau kepercayaan terhadap diri sendiri iaitu kemampuan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran utama kehidupan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,827

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia