Saluran kencing anda terdiri dari:
- Buah pinggang
- Ureter
- Pundi kencing
- Uretra
Apakah jangkitan saluran kencing?
Apabila kuman (bakteria) menyerang saluran kencing, ia dikenali sebagai UTI.
Apakah kuman biasa yang menyebabkan UTI?
Organisma yang biasa menyebabkan UTI adalah Escherichia Coliyang terdapat di saluran penghadaman (usus) dan di bahagian kulit sekeliling kemaluan.
Adakah lelaki boleh mendapat jangkitan saluran kencing?
Ada juga lelaki yang dijangkiti jangkitan saluran kencing tetapi jarang jika dibandingkan dengan kaum wanita.
Jika lelaki mendapat jangkitan saluran kencing, mereka mungkin mempunyai struktur dan fungsi yang abnormal di sistem saluran kencing mereka.
Kenapa jangkitan saluran kencing lebih kerap berlaku di kalangan kaum perempuan?
Uretra pada perempuan adalah pendek.
Lubang uretra terletak bersebelahan dengan dubur dan lubang kelamin.
Apakah tempat yang biasa dijangkiti?
Pundi kencing adalah tempat yang biasa dijangkiti.
Jangkitan pada pundi kencing dikenali sebagai “cystitis”.
Bagaimanakah cara kuman memasuki pundi kencing?
Pencemaran bakteria mungkin berlaku di kalangan perempuan semasa mengesat dubur dari belakang ke depan selepas membuang air besar.
Bakteria dalam faraj (vagina) mungkin akan naik ke pundi kencing semasa hubungan kelamin.
Apakah gejala yang biasa UTI?
- Kencing dengan kerap
- Rasa sakit atau rasa pedih selepas kencing
- Rasa hendak kencing lagi walaupun tiada air kencing (tidak puas)
- Rasa sakit di bahagian bawah abdomen
- Kencing berdarah atau kencing yang berbau
- Demam sederhana
Apakah gejala yang menunjukkan jangkitan sudah melintasi pundi kencing?
- Demam yang tinggi berserta dengan rasa sejuk dan menggigil
- Loya dan muntah
- Sakit di bahagian belakang pinggang
Apakah patut anda buat jika anda rasa anda menghidap UTI?
Anda patut mendapat rawatan doktor segera kerana:
- Gejala anda tidak akan baik jika tidak mendapat rawatan
- Jangkitan boleh merebak dan merosakkan buah pinggang
Apakah rawatan untuk UTI?
Minum banyak air dengan kerap dan dapatkan nasihat serta rawatan dari doktor anda.
Anda mungkin akan diberi ubat antibiotik untuk membunuh kuman. Adalah penting untuk anda menghabiskan rawatan antibiotik seperti yang diarahkan oleh doktor.
Bagaimana anda boleh mencegah UTI?
Tampon
- Tukar tampon dan tuala wanita dengan kerap semasa anda datang haid
- Sentiasa bersihkan dan keringkan bahagian kemaluan anda
- Bersihkan dubur dan bahagian kemaluan dari depan ke belakang setiap kali selepas anda buang air
- Pergi ke tandas setiap kali anda rasa hendak membuang air
- Jangan gunakan seluar dalam jenis nilon dan tukar seluar dalam anda dengan kerap
- Jangan gunakan spray kebersihan wanita atau ‘douche’ kerana produk ini boleh merengsakan uretra.
- Minum air yang mencukupi setiap hari
Rujukan
- http://www.en.allaboututi.com/html/images/urinary_female.gif
Last Reviewed | : | 27 April 2012 |
Writer | : | Dr. Salmiah Md. Sharif |
Translator | : | Pn. Selamah bte. Hj. Ismail |
Accreditor | : | Dr. Marina Md. Sham |
: | Dr. Nazrila Hairizan bte. Nasir | |
Reviewer | : | Dr. Salmah bt. Nordin |
: | Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary |