A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Urologi
  8. /
  9. Jangkitan Saluran Kencing

Jangkitan Saluran Kencing

Apa Itu Jangkitan Saluran Kencing?

Jangkitan saluran kencing adalah jangkitan oleh mikroorganisma (kuman) pada bahagian tertentu saluran kencing samada pada ginjal, ureter, pundi kencing dan urethra. Jangkitan pada saluran kencing bawah merupakan jangkitan yang kerap berlaku.

Saluran kencing manusia terdiri daripada dua bahagian iaitu:

  1. Saluran kencing bawah yang terdiri daripada pundi kencing dan urehtra (tiub yang menyambungkan pundi kencing dengan bahagian luar tubuh badan)
  2. Saluran kencing atas yang terdiri daripada buah pinggang (ginjal) dan ureter

Sistem saluran kencing perempuan (kiri) dan lelaki (kanan).

Jangkitan yang berlaku pada pundi kencing dikenali sebagai Cystitis. Lazimnya berlaku lebih kerap kepada wanita berbanding lelaki. Ini kerana urethra wanita adalah lebih pendek berbanding lelaki.

Jangkitan pada urethra pula dikenali sebagai Urethritis. Ia boleh berlaku kepada kedua-dua wanita dan lelaki.

Jangkitan yang lebih serius adalah jangkitan pada buah pinggang yang juga dikenali sebagai Pyelonephritis. Ia merupakan keradangan pada buah pinggang yang mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria atau sebab-sebab lain yang tidak menyebabkan jangkitan.

Jangkitan saluran kencing berlaku apabila bakteria memasuki saluran kencing. Kebanyakan bakteria yang memasuki saluran kencing akan dibuang ketika membuang air kecil. Jika bakteria tersebut kekal di dalam saluran kencing, jangkitan akan berlaku. Air kencing dikumuhkan di buah pinggang dan ia akan mengalir dari ureter ke dalam pundi kencing. Air kencing akan meninggalkan pundi kencing melalui urethra. Jangkitan saluran kencing biasanya berlaku pada saluran kencing bawah yang melibatkan pundi kencing dan urethra.

Apa Yang Menyebabkan Jangkitan Saluran Kencing?

 

Bakteria merupakan penyebab utama jangkitan saluranKencing. Manakala jangkitan oleh virus dan fungus amat jarang.

Kerap kali kes jangkitan saluran kencing disebabkan oleh bakteria seperti E.coli (80%-85%) dan S.saprophyticus (5%-10%). Bakteria-bakteria lain seperti Klebsiella, Proteus, Enterobacter dan Pseudomonas mempunyai kadar jangkitan yang rendah.

Apakah yang meningkatkan risiko untuk mendapat Jangkitan Saluran Kencing?

  • Masalah saluran kencing : Sekiranya anda tidak mampu mengawal ketika membuang air kecil, risiko untuk mendapat jangkitan akan meningkat. Anda juga lebih berisiko sekiranya anda pernah mendapat jangkitan saluran kencing sebelumnya atau menjalani pembedahan pada saluran kencing pada masa lalu.
  • Saluran tersumbat : Saluran kencing yang tersumbat akan mengganggu dan menjejaskan aliran air kencing. Antara sebab-sebab saluran kencing tersumbat adalah batu karang yang terbentuk di buah pinggang dan pundi kencing.
  • Tidak berkhatan : Kulup yang terdapat pada zakar memudahkan kuman terperangkap dan memasuki saluran kencing.
  • Masalah prostat : Kelenjar prostat yang membesar atau jangkitan prostat (prostatitis) meningkatkan risiko jangkitan saluran kencing.
  • Hubungan kelamin : Anda akan lebih mudah mendapat jangkitan sekiranya pasangan anda mempunyai jangkitan. Pada wanita muda yang sedang aktif melakukan hubungan kelamin, risiko untuk mendapat jangkitan adalah lebih tinggi. Honeymoon cystitis biasanya berlaku pada pasangan yang baru berkahwin. Sebab utamanya adalah pemindahan bakteria E.coli (yang lazimnya hidup di dalam usus) ke dalam urethra.
  • Sistem imun lemah : Sistem imun anda adalah pertahanan badan anda terhadap jangkitan dan penyakit. Sistem imun yang lemah mungkin tidak mampu melawan kuman yang menyebabkan jangkitan saluran kencing. Sistem imun akan menjadi lemah sekiranya anda menghidapi penyakit jangka panjang seperti HIV atau diabetes.

Siapa Yang Boleh Dijangkiti?

Orang dewasa dan kanak-kanak boleh mendapat jangkitan pundi kencing. Tetapi, orang dewasa terutamanya wanita adalah lebih cenderung untuk mendapat jangkitan ini.

Simptom-simptom

Antara ciri-ciri klinikal jangkitan yang berlaku pada pundi kencing termasuk kesakitan atau kepedihan ketika membuang air kecil, kerap membuang air kecil, rasa terdesak untuk membuang air kecil, rasa tidak selesa di bahagian bawah abdomen, air kencing berbau atau menjadi keruh atau kemerah-merahan, dan rasa tegang di bahagian bawah abdomen.

Manakala, jangkitan yang melibatkan buah pinggang pula akan mengalami simptom-simptom seperti kerap membuang air kecil, rasa sakit semasa membuang air kecil, rasa terdesak untuk membuang air kecil, sakit di bahagian belakang badan, pangkal peha dan bahagian sisi badan, demam, terdapat darah atau nanah dalam air kencing, loya, muntah-muntah dan rasa tegang di bahagian belakang badan.

Kadangkala, simptom-simptom adalah kurang spesifik dan ini termasuklah keletihan dan kekeliruan. Terdapat ramai orang yang mendapat jangkitan saluran kencing tetapi tidak mengalami apa-apa simptom terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi seperti wanita mengandung dan juga penghidap diabetis.

Bagaimana Ia Didiagnosis?

Antara petunjuk jangkitan saluran kencing adalah kehadiran nitrit yang tinggi dalam air kencing. Ini kerana, kebanyakan bakteria yang menyebabkan jangkitan saluran kencing menukarkan nitrat, kompaun yang biasanya hadir dalam air kencing kepada nitrit. Kehadiran 100,000 bakteria dalam 1 mililiter air kencing juga adalah satu indikasi terdapatnya jangkitan. Sel darah putih dan sel darah merah juga dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.

Di makmal mikrobiologi, air kencing akan biasanya akan dikultur untuk menentukan jenis bakteria yang menyebabkan jangkitan tersebut. Ujian sensitiviti antibiotik juga dilakukan bagi menentukan antibiotik yang terbaik untuk digunakan sebagai rawatan.

Bagaimana Ia Dirawat?

Antibiotik digunakan dalam merawat jangkitan saluran kencing. Jenis antibiotik yang akan digunakan dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti keadaan kesihatan pesakit dan jenis bakteria yang menyebabkan jangkitan.

Antibiotik yang biasanya digunakan untuk merawat jangkitan saluran kencing termasuk Trimethoprim, Nitrofurantoin, Cephalosporins, Penicillins, Fluoroquinolones dan Fosfomycin.

Penggunaan antibiotik secara meluas dan tidak terkawal boleh menyebabkan peningkatan tahap kerintangan bakteria terhadap antibiotik. Ini bermakna antibiotik yang selalu digunakan untuk rawatan tidak lagi berkesan,maka antibiotik yang lebih kuat perlu digunakan. Oleh itu, kebimbangan terhadap isu ini telah dibangkitkan terutamanya berkenaan penggunaan antibiotik secara berlebihan sebagai rawatan utama bagi jangkitan yang berlaku di dalam komuniti.

Sekiranya anda diberikan antibiotik, adalah lebih baik untuk bertanyakan kepada doktor anda berkenaan isu ini. Adalah penting untuk menyempurnakan pengambilan antibiotik yang diberikan mengikut cara dan nasihat yang diberikan oleh doktor.

Pencegahan

  • Elakkan dari menahan membuang air kecil ketika anda berasa perlu. Menahan membuang air kecil ketika perlu akan menyebabkan pembiakan bakteria-bakteria yang mungkin terdapat dalam air kencing.
  • Pastikan anda minum air secukupnya, sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Ini akan membantu pembuangan air kecil yang lebih kerap.
  • Sentiasa membersihkan kawasan genital sebelum dan selepas melakukan hubungan kelamin untuk mengelakkan pemindahan bakteria ke kawasan urethra atau vagina.
  • Meminum jus cranberry adalah salah satu cara semula jadi untuk mencegah jangkitan saluran kencing malah ia juga membantu dalam menyembuhkan jangkitan tersebut. Pengambilan 2 gelas jus Cranberry setiap hari sudah mencukupi untuk mencegah dan mempercepatkan pemulihan sekiranya jangkitan berlaku.
  • Ambil vitamin C secara berkala. Vitamin C akan meningkatkan tahap keasidan air kencing, seterusnya akan mengurangkan jumlah bakteria berbahaya yang mungkin terdapat dalam sistem saluran kencing.
  • Elak menggunakan produk kebersihan wanita ( feminine product) yang boleh menyebabkan kerengsaan pada bahagia urethra.

Rujukan

  1. http://en.wikipedia.org/wiki/Urinary_tract_infection
  2. http://www.thestar.com.my/story.aspx?file=%2f2010%2f8%2f4%2fhealth%2f6761230
  3. http://www.mayoclinic.com/health/urinary-tract-infection/DS00286
  4. http://womenshealth.gov/publications/our-publications/fact-sheet/urinary-tract-infection.cfm
  5. http://www.onhealth.com/urine_infection/article.htm
Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis : Balqissiah bt. Baharuddin
Akreditor : Mohd Sadek bin Yasin

Artikel Berkaitan

Batu Karang

Pengenalan Air kencing terbentuk di dalam buah pingggang mengalir melalui

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia