Juling merupakan ketidakseimbangan otot-otot mata yang menyebabkan sebelah atau kedua-dua belah mata tidak selari. Mata yang tidak melihat dengan baik juga boleh menjadi juling. Ia boleh terjadi sewaktu lahir, peringkat kanak-kanak atau dewasa. Juling yang berlaku pada orang dewasa biasanya disebabkan oleh penyakit vaskular seperti diabetis (kencing manis) atau darah tinggi yang menyebabkan gangguan pada sistem saraf mata. Juling pada kanak-kanak biasanya disebabkan oleh kerabunan. Ada kalanya kanak-kanak yang mengidap sejenis kanser mata (retinoblastoma) boleh menjadi juling.
Gambar menunjukkan kanak-kanak yang juling
Gambarajah menunjukkan jenis-jenis juling yang berlainan
Tanda & gejala
Pesakit yang mengalami juling, mata mereka kelihatan samada menjeling ke dalam atau keluar. Sesetengah mereka mengalami gejala kabur penglihatan atau penglihatan berganda.
Komplikasi
Kanak-kanak yang mengalami juling perlu menjalani pemeriksaan oleh pakar oftalmologi dengan teliti untuk memastikan punca atau penyebab juling. Seterusnya rawatan yang segera dan sesuai perlu untuk mencegah amblyopia (mata malas). Sekiranya retinoblastoma adalah penyebab juling, ia boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat.
Rawatan
Bagi kanak-kanak yang mengalami juling, doktor mungkin memilih rawatan terapi penutupan mata yang penglihatannya baik. Ini bagi memastikan kanak-kanak tersebut menggunakan mata yang malas (amblyopia) untuk menguatkan tahap penglihatan mata tersebut.
Pembedahan boleh dilakukan sekiranya perlu. Ia dilakukan untuk menguatkan atau melemahkan otot mata yang mengawal pergerakkan mata supaya seimbang semula.
Pencegahan
Kanak-kanak yang mengalami juling perlu menjalani pemeriksaan oleh pakar oftalmologi dengan teliti. Adalah sangat penting penyakit juling ini dirawat seberapa segera. Sistem saraf kanak-kanak terus berkembang di sepanjang tempoh bayi membesar dan juling ini perlu diperbetulkan semasa tempoh yang sensitif. Tanpa membuat apa-apa dan hanya menunggu sehingga kanak-kanak remaja /dewasa untuk mendapatkan rawatan akan menyebabkan fungsi penglihatan tidak dapat dipulihkan tetapi dari segi kosmetik dapat dibetulkan melalui pembedahan otot.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Kursiah Bt. Mohd Razali Pn. Nor’Aini Bt. Anuar Pn. Nor Azizah Bt. Ismail |
Penyemak | : | Dr. Rosniza bt. Ab. Razak |