A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Juling Sekali-Sekala

Juling Sekali-Sekala

KADANG-KADANG JULING, KADANG-KADANG TIDAK!

Aduan seorang ibu…. “Saya perasan kadang-kadang mata anak saya juling. Bila dia melihat sesuatu barang, mata kanan akan melihat ke arah barang tetapi mata kirinya akan juling keluar seolah-olah menjeling ketepi. Ini sering berlaku ketika anak saya kurang sihat, mengelamun atau semasa dia dalam keadaan letih”

Apa Itu Juling?

Juling adalah keadaan dimana kedua-dua mata tidak berada dalam keadaan selari/sejajar apabila melihat ke arah sesuatu objek.

(hyperlink mata juling)

Apa Itu Juling Sekali-Sekala?

Juling sekali-sekala merujuk kepada keadaan dimana juling berlaku pada masa atau keadaan tertentu sahaja. Kadang-kadang satu mata pesakit juling dan kadang-kadang kedua-dua mata dalam keadaan selari/sejajar apabila melihat ke arah sesuatu objek. Juling sekali-sekala boleh berlaku untuk semua peringkat umur.

Juling Sekali-Sekala Boleh Terdapat Dalam Keadaan Berikut;

  • Juling ke luar (exotropia) sekali-sekala iaitu kadang-kadang satu mata memandang ke hadapan / ke arah objek dan mata yang satu lagi mengarah ke luar (ke arah telinga); atau
  • Juling ke dalam (esotropia) sekali-sekala iaitu kadang-kadang satu mata memandang ke hadapan / ke arah objek dan mata yang satu lagi mengarah ke dalam (ke arah hidung).

Juling Keluar Sekali-Sekala Boleh Berlaku;

  • apabila pesakit melihat objek pada jarak dekat sahaja; atau
  • apabila pesakit melihat objek pada jarak jauh sahaja; atau
  • pada masa tertentu sahaja seperti dalam keadaan letih, kurang sihat dan mengelamun.

Gambar 1 : Gambar Mata Juling Keluar Sekali-Sekala

Juling ke dalam sekali-sekala boleh berlaku apabila pesakit yang mempunyai rabun dekat (hiperopia) tetapi tidak dibetulkan dengan cermin mata. Ini berlaku kerana pesakit rabun dekat terlalu memfokus untuk melihat sesuatu objek dengan jelas tanpa memakai cermin mata. Akibatnya kadang-kadang sebelah mata akan juling ke dalam.

Gambar 2 : Mata Juling Ke Dalam Sekali-Sekala

Juling sekali-sekala boleh terjadi pada satu mata sahaja atau pada kedua-dua mata secara bergilir-gilir.

Apakah Punca Atau Faktor Penyebab?

  1. Rabun dekat (Hiperopia), rabun jauh (miopia), atau tahap rabun yang berbeza antara kedua mata (anisometropia) yang tidak dibetulkan dengan cermin mata.
  2. Faktor keturunan (hereditary). Risiko untuk berlakunya mata juling adalah lebih tinggi sekiranya terdapat ahli keluarga yang mempunyai masalah mata juling.

Tanda Dan Gejala

  1. Tumpuan kanak-kanak sering terganggu terutama di peringkat awal juling sekali-sekala. Ini berlaku kerana kanak-kanak mengalami penglihatan berganda (diplopia) apabila satu mata juling (double vision/diplopia).
  2. Kanak-kanak kadang-kala menggosok atau menutup sebelah mata terutamanya apabila berada di bawah cahaya matahari yang terang. Pada masa ini mungkin satu mata menjadi juling dan kanak-kanak mengalami penglihatan berganda (double vision/diplopia).
  3. Ibu bapa perasan kanak-kanak mempunyai mata juling ketika mengelamun (day-dreaming), kurang sihat atau dalam keadaan letih.

Rawatan

  • Kanak-kanak / pesakit juling sekali-sekala yang mempunyai rabun mata mesti memakai cermin mata. Ini adalah penting supaya kanak-kanak / pesakit dapat melihat dengan jelas. Cermin mata rabun dekat (hiperopia) membolehkan kanak-kanak melihat dengan jelas tanpa perlu terlalu memfokus.

(hyperlink rabun mata)

  • Kanak-kanak yang mempunyai juling sekali-sekala dan masalah mata malas perlu menjalani terapi/latihan mata.

(hyperlink mata malas)

  • Jika saiz juling kecil, senaman mata / latihan orthoptik adalah boleh dilakukan dengan tujuan membolehkan kedua-dua mata melihat secara serentak.
  • Pembedahan dilakukan sekiranya saiz juling adalah ketara. Pembedahan juga perlu dilakukan jika juling sangat kerap berlaku. Walaupun pembedahan telah dilakukan, penggunaan cermin mata atau rawatan untuk mata malas perlu diteruskan.

Komplikasi / Kesan

  • Juling sekali-sekala mungkin akan menjadi juling kekal sekiranya tidak dirawat di peringkat awal. Seterusnya akan menyebabkan mata malas.

(hyperlink mata malas ke portal myhealth – mata malas)

  • Kanak-kanak akan berasa rendah diri sekiranya juling sekali-sekala kerap berlaku dan mereka sering diejek oleh rakan-rakan. Oleh itu pemeriksaan dan rawatan awal adalah amat penting.

Rujukan

  1. Gambar 1 : http://www.aapos.org/terms/conditions/49
  2. Gambar 2 : http://www.wrighteyecare.com/Accommodative_Esotropia.html
  3. https://myhealth23.primuscore.com/v2/index.php/my/mata-juling
  4. https://myhealth23.primuscore.com/v2/index.php/my/rabun-mata
Semakan Akhir : 18 April 2014
Penulis : Pn. Nor Aishah Binti A. Wahab
Akreditor : Pn. Hajjah Che Ruhani Binti Che Jaafar

 

Artikel Berkaitan

Apakah Dosimetri Iodin 124 (I-124)?

Dosimetri adalah pendekatan terbaik untuk menilai dos optimum Iodin 131 (I-131)bagi pesakit yang menghidap penyakit kanser tiroid. Kaedah penilaian ini biasanya digunakan untuk pesakit menerima I- 131 lebih daripada 7.4 GBq. Pada dasarnya, I-124 mempunyai sifat yang hampirsama dengan I-131, tetapi mempunyai kelebihan di dalam pengimejan tumor. I-124 adalah bahan radionuklid digunakan untuk melihat keadaan tumor tiroid yang berada di dalam badan pesakit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia