A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kaedah Penyusuan Bayi Dengan Klef

Permasalahan yang sering berlaku adalah jangkamasa penyusuan yang berpanjangan dan pengambilan nutrisi yang tidak mencukupi. Ini menyebabkan pembakaran kalori berlebihan dan  menjejaskan kenaikan berat badan bayi.

Salah satu kebimbangan ketara di kalangan ibu bapa yang mempunyai bayi yang lahir dengan klef adalah bagaimana cara untuk menyusukan bayi mereka.

Pada 24 jam pertama kelahiran, bayi klef akan diberi minum susu melalui tiub oro-gastrik.

Sejurus selepas itu, jururawat laktasi klef, pakar kanak-kanak dan/atau pakar pergigian pediatrik akan membantu ibu dengan memperkenalkan cara penyusuan  bayi  yang diubah suai untuk bayi klef tersebut. Ini akan  memastikan bayi mendapat  nutrisi yang sewajarnya dan mengurangkan perasaan stres di kalangan ibu.

Bolehkah bayi klef menyusu secara normal?

Bukaan ke dalam mulut dari hidung kerana klef menyebabkan kebocoran udara dan menjejaskan hisapan yang berkesan. Bayi yang hanya mempunyai klef bibir boleh menghisap dengan baik dari botol atau buah dada.

Sekiranya klef melibatkan bibir dan gusi,hisapan bayi berkemungkinan akan berkurang dan bayi akan memerlukan bantuan dengan menggunakan botol yang lembut dan boleh dipicit atau puting yang laju aliran susunya.

Bagaimana dengan bayi yang mempunyai klef lelangit sahaja?

Bagi bayi dengan klef lelangit sahaja, ibu boleh memilih samada:

Untuk menyusukan bayinya secara langsung dari buah dada  ATAU ibu boleh memerah ke dalam botol susu terlebih dahulu dan menyusukan. Jururawat laktasi klef akan memberi panduan kepada ibu bagaimana hendak menggunakan botol lembut yang boleh dipicit dan/atau mengubahsuai lubang puting botol susu

Penyusuan badan bayi dengan klef lelangit agak mencabar melainkan klef lelangitnya agak jauh di belakang mulut dan kecil. Penyusuan badan boleh berlangsung selama 10 minit setiap sesi dan disambung pula dengan penyusuan botol seandainya didapati susu ibu sahaja tidak dapat menampung pemakanan untuk tumbesaran bayi.

Bayi saya mempunyai klef bibir dan lelangit penuh, bagaimana hendak menyusukannya?

Penyusuan bayi klef bibir dan lelangit penuh sememangnya mencabar kerana mereka mempunyai rongga mulut yang tidak sekata.  Bayi sukar mencapai lekapan bibir yang sempurna dan ini menjejaskan hisapan yang mencukupi untuk mengeluarkan susu daripada puting buah dada atau botol.

Botol dan puting dengan injap aliran yang direka khas membantu menambahkan keselesaaan dan keberkesanan penyusuan bayi.

Bagi sebahagian bayi, plat penyusuan khas yang diperbuat dari lempengan akrilik akan  dipasang di lelangit mulut  untuk membantu menstabilkan puting seterusnya menjadi perintang antara lelangit dan puting untuk untuk hisapan dan penelanan yang berkesan

Cadangan penyusuan botol bayi klef

  1. Penyusuan kerap (setiap 3 jam) adalah merupakan perkara biasa  dalam 3 minggu pertama kelahiran
  2. Beri ibu dan bayi sedikit masa untuk mempelajari cara penyusuan yang mungkin akan mengambil lebih sedikit masa. Cuba hadkan penyusuan kepada 30minit sahaja dengan penambahan 10 minit lagi utuk sendawa
  3. Bayi akan didukung pada posisi separuh menegak (sudut 45 darjah) untuk menghadkan jumlah cecair memasuki hidung. Kepala dan bahu bayi ditampung dengan satu tangan dan botol dipegang dengan tangan yang satu lagi. Letakkan sehelai selimut yang dilipat atau bantal di bawah siku sekiranya ibu selesa mengendong bayi di sikunya.
  4. Cuit bibir bawah bayi atau di sudut mulutnya dengan puting dan letakkannya di atas lidah sejurus sahaja kepala bayi berpusing ke arah puting dan membuka mulut dengan sendirinya
  5. Setelah puting berada di dalam mulut bayi, biarkan bayi menghisap dan bernafas beberapa kali sebelum memicit botol. Mulakan dengan picitan yang lembut dan perlahan-lahan menambah tekanan picitan
  6. Puting botol harus diletakkan selari dengan lantai mulut supaya mulut bayi  tidak penuh dengan susu untuk beberapa telanan pertama. Sejurus bayi selesa bernafas dan menelan, botol boleh ditegakkan sekit lagi untuk puting dipenuhi susu
  7. Ibu tidak perlu risau untuk melihat sedikit lelehan susu keluar dari lubang hidung. Sekiranya jumlah cecair banyak di dalam rongga hidung, atau keluar dari mulut, palingkan bayi ke depan atau ke sisi. Susu lebihan akan keluar mengikut tarikan graviti
  8. Keluarkan puting dari mulut bayi sekiranya kelihatan tanda-tanda kesukaran penyusuan  seperti batuk, tidak bernafas selepas 3-4 hisapan atau tanda-tanda cemas di muka bayi. Setelah bayi kembali tenang , mulakan semula penyusuan perlahan-lahan.

Masalah yang mungkin timbul dan menganggu penyusuan berkesan?

Permasalahan yang sering berlaku adalah jangkamasa penyusuan yang berpanjangan dan pengambilan nutrisi yang tidak mencukupi. Ini menyebabkan pembakaran kalori berlebihan dan  menjejaskan kenaikan berat badan bayi. Penyusuan berpanjangan berkemungkinan berpunca dari aliran susu yang terlalu perlahan. Jururawat laktasi klef akan membantu mengubahsuai bukaan  lubang puting dengan belahan bersilang (‘X’) dan mengkaji semula penyusuan bayi


Contoh botol lembut boleh picit dengan puting berbentuk sudu

Rujukan

  1. Feeding a Child with Cleft Lip and Palate, Paediatric Cleft Lip and Craniofacial Centre Centre, Golisano Children Hospital
    www.cleftline.org/who-we-are/what-we-do/feeding-your-baby/
  2. Your baby first year – Cleft Palate Foundation
    www.cleftline.org/docs/Booklets/FYL-01.pdf
  3. Cleft Lip and Palate Association United Kingdom – Feeding section
    www.clapa.com/treatment/feeding/
  4. St Louis Hospital Cleft Palate and Craniofacial Centre – Tips of Feeding and Infant with Cleft Lip
    http://www.stlouischildrens.org/our-services/cleft-palate-and-craniofacial-institute/tips-feeding-infant-cleft-lip
Semakan Akhir : 14 Jun 2017
Penulis / Penterjemah : Dr. Mimi Syazleen bt. Abd Rahman
Akreditor : Dr. Leong Kei Joe

Artikel Berkaitan

Liken Planus Mulut

Liken planus adalah suatu keadaan keradangan kronik pada kulit tetapi juga boleh melibatkan mulut (liken planus mulut) dan membran mukus yang lain seperti kawasan kemaluan.

Gigitan Tak Sekata

Gigitan tak sekata adalah ketidak sekataan jajaran gigi dan rahang atau  secara ringkasnya gigitan yang salah (tidak normal)

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,812

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia