A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Kanta Lekap Dan Rabun...

Kanta Lekap Dan Rabun Tua

Pengenalan

Rabun tua atau presbiopia adalah masalah mata yang terjadi akibat perubahan umur atau penuaan. Ia terjadi disebabkan oleh kehilangan kebolehan mata untuk memfokus pada jarak dekat. Ia bukanlah satu penyakit kebiasaannya bermula pada umur 40 tahun ke atas dan dialami oleh semua individu. Ia berbeza dengan rabun dekat di mana rabun dekat berlaku disebabkan bentuk bola mata yang menyebabkan cahaya terfokus di belakang mata.                          

rabun-tua-dan-kanta-lekap-1

Gambar 1: Mata normal dan rabun tua

Simptom Dan Tanda-tanda Rabun Tua

  • Sukar untuk memfokus tulisan atau objek yang kecil pada jarak dekat
  • Eyestrain (ketegangan mata) terutama apabila membaca untuk jangka masa yang lama
  • Perlu pencahayaan yang lebih terang
  • Perlu memegang bahan bacaan lebih jauh dari jarak biasa
  • Cepat berasa letih apabila melakukan kerja dekat
  • Sakit kepala
  • Penglihatan berganda (diplopia)

Rabun tua yang tidak dibetulkan boleh menjejaskan tugasan harian seseorang. Terdapat beberapa kaedah untuk mengatasi rabun tua, iaitu dengan:

  • Pemakaian cermin mata
  • Pemakaian kanta lekap
  • Kombinasi pemakaian cermin mata dan kanta lekap
  • Pembedahan refraktif
  • Implan kanta intraokular multifokal

Kanta Lekap Untuk Merawat Rabun Tua

rabun-tua-dan-kanta-lekap-2

Dengan gaya hidup masa kini yang moden serta aktif, ramai individu yang menghadapi rabun tua masih melakukan pelbagai aktiviti harian.  Mereka memerlukan penglihatan yang optimum untuk melihat pada jarak dekat dan jauh. Oleh itu, kanta lekap adalah satu pilihan yang sesuai untuk mereka bebas dari cermin mata. Kanta lekap juga memberikan medan penglihatan yang lebih luas. Kanta lekap juga digemari kerana ianya mampu mengubah penampilan dan wajah seseorang dan ini boleh meningkatkan tahap keyakinan diri sipemakai. Antara pilihan menggunakan kanta untuk mengatasi presbiopia adalah:

  • Kanta lekap single vision dan cermin mata untuk membaca

kombinasi kanta lekap single vision untuk penglihatan jauh dan cermin mata untuk membaca memberikan penglihatan optimum untuk jarak jauh dan dekat, mudah untuk dipakai serta lebih murah.      

  •  Kanta monovision

Pemakaian kanta lekap untuk rabun tua secara monokular melibatkan pesakit yang mempunyai rabun jauh pada kedua-dua mata. Kanta lekap dipasang pada mata yang dominan untuk melihat jauh. Sebelah mata lagi tidak dipasang kanta digunakan untuk melihat pada jarak dekat. Kebaikan monovision adalah senang untuk pemasangan, hanya perlu menukar satu kanta sahaja dan kos lebih rendah untuk satu kanta. Antara masalah yang dihadapi dengan monovision ialah penglihatan stereoskopik atau stereopsis berkurang.

  •  Kanta lekap bifokal

Mempunyai dua kuasa dalam satu kanta yang diletakkan di kawasan pupil (anak mata) yang membolehkan cahaya dari jauh dan dekat difokuskan ke atas retina. Dengan ini, penglihatan jauh dan dekat adalah terang.

  •  Kanta lekap multifokal

Seperti cermin mata, kanta lekap multifokal mempunyai kuasa yang berubah secara perlahan untuk penglihatan jauh dan dekat. Ia dapat memberi penglihatan yang baik pada pelbagai jarak iaitu jauh, pertengahan dan dekat.

  rabun-tua-dan-kanta-lekap-3

Bolehkah Pesakit Kencing Manis Memakai Kanta Lekap?

Terdapat kajian menyatakan bahawa pesakit kencing manis mungkin mengalami perubahan dalam kandungan kimia air mata, pengurangan penghasilan air mata, serta perubahan struktur dan fungsi terhadap epitelium kornea, endothelium dan saraf kornea. Mereka juga boleh mengalami ketidakstabilan air mata, ketidak selesaan semasa memakai kanta sentuh, kornea edema, kornea yang kurang sensitif dan sel epitelium yang mudah luka.

               Ini menyebabkan pesakit kencing manis lebih mudah terdedah kepada komplikasi okular seperti jangkitan atau luka pada kornea.   Namun begitu, kajian menunjukkan pesakit diabetes masih boleh memakai kanta lekap dengan selamat sekiranya mematuhi arahan dan cara penjagaan yang betul. Mereka juga perlu memastikan tahap gula dalam darah sentiasa terkawal serta sentiasa melakukan pemeriksaan susulan seperti yang ditetapkan.

Bolehkah Pesakit Mata Kering Memakai Kanta Lekap?

Dengan peningkatan usia, mata akan menjadi semakin kering kerana penghasilan air mata semakin berkurang dan ini menyebabkan ketidakselesaan jika memakai kanta lekap. Walaubagaimanapun, dengan pemilihan material, jadual pemakaian, larutan penjagaan serta ubat titis yang sesuai, pesakit dengan mata kering masih boleh menggunakan kanta lekap.  Namun terdapat juga kajian yang menunjukkan pemakaian kanta lekap boleh menyebabkan mata kering menjadi lebih teruk seperti ketidakselesaan dan iritasi, meningkatkan risiko terjadinya jangkitan. Oleh itu, pemeriksaan yang menyeluruh kondisi mata seseorang perlu dilakukan oleh pakar oftalmologis atau optometris sebelum memilih untuk memakai kanta lekap.

Kesimpulan

Penggunaan kanta lekap sentuh bifokal dan multifokal untuk merawat rabun tua adalah satu pilihan bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif dan ingin bebas dari pemakaian cermin mata. Sebelum menggunakan kanta lekap, pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan mata yang menyeluruh dengan pakar oftalmologis atau pegawai optometris yang bertauliah untuk memastikan tahap kesihatan ocular dan kesesuaian untuk memakai kanta lekap lekap.

               Pemakai perlulah mengambil langkah-langkah penjagaan yang betul agar kesihatan mata dapat dikekalkan di samping mengelakkan jangkitan atau masalah yang tidak diingini. Penjagaan kanta yang betul dengan arahan pencucian serta penggunaan ubat titis perlu lebih ditekankan untuk mengatasi masalah mata kering serta jangkitan. Segera ke hospital atau berjumpa pakar mata jika mengalami mata merah, sakit atau iritasi semasa atau selepas menggunakan kanta lekap untuk pemeriksaan lanjut.

Rujukan

  1. http://www.aoa.org/documents/optometrists/CPG-17.pdf
  2. O’Donnell C & Efron N (2012) Diabetes and contact lens wear [Versi elektronik]. Clinical & Experimental Optometry, 95.3, 328-334
  3. S Bennett E (2008) Contact lens correction of presbyopia [Versi Elektronik] Clinical & Experimental Optometry, 91.3, 265-276
  4. http://www.gpli.info/pdf/Rx4Success-AnswerstoFrequentlyAskedQuestions.pdf
  5. http://www.dryeye.org
  6. https://myhealth23.primuscore.com
  7. http://www.allaboutvision.com
Semakan Akhir : 17 Oktober 2016
Penulis : Pn. Majidah Binti Zainal Abidin
Akreditor : Pn. Rosmawati Binti Uthman

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia