A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Kawalan Iklan Ubat

Kawalan Iklan Ubat

Prinsip Umum

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Lembaga Iklan Ubat (LIU) yang ditubuhkan di bawah Peraturan-peraturan Lembaga Iklan Ubat 1976. Pihak berkuasa ini bertanggungjawab dalam memberi kelulusan berkaitan iklan ubat dan juga iklan perkhidmatan kesihatan. Ubat berdaftar yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) perlu juga memohon kelulusan iklan daripada LIU sebelum iklan tersebut disiarkan dalam mana-mana media. Iklan ubat yang tiada kelulusan LIU adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956. Manakala bagi premis penjagaan kesihatan, kelulusan iklan diperlukan bagi premis hospital/klinik swasta, makmal perubatan/radiologi swasta yang mengiklankan perkhidmatan kesihatan untuk rawatan, pencegahan dan diagnosis apa-apa penyakit. Iklan perkhidmatan yang tiada kelulusan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4A Akta yang sama.

Walaupun iklan makanan, peralatan perubatan dan kosmetik dikawal secara ‘self-regulate’ tetapi sekiranya ia memuatkan tuntutan perubatan termasuk 20 jenis penyakit yang dilarang, tindakan undang-undang masih tertakluk di bawah Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956.

Keperluan Undang-undang

Berikut adalah kriteria iklan yang memerlukan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat.

Contoh

Setiap iklan yang disiarkan samada di dalam media cetak atau elektronik wajib mempamerkan nombor kelulusan Kementerian Kesihatan Lembaga Iklan Ubat (KKLIU). Contoh adalah seperti di bawah. Iklan yang lulus akan diberi sijil kelulusan bersama dengan format yang diluluskan. Pengiklan wajib menyiarkan iklan mengikut format iklan yang telah diluluskan. Tempoh sah sijil kelulusan dan formatnya adalah selama 3 tahun kalendar.

Tugas Lembaga Iklan Ubat

  • Melulus dan menolak permohonan iklan ubat dengan tuntutan perubatan di media massa dan media lain.
  • Menarik balik atau membatalkan iklan yang telah diluluskan bila perlu.
  • Melulus/meminda garispanduan iklan

Kesalahan

Mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam penyiaran iklan yang melibatkan larangan penyakit, iklan ubat dan perkhidmatan kesihatan tanpa kelulusan daripada LIU boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Kesalahan pertama denda RM3000 atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya dan kesalahan susulan denda RM5000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya.

Semakan Lanjut

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk/kosmetik dengan melayari laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di www.bpfk.gov.my. Portal ini menyediakan maklumat yang lengkap seperti status pendaftaran produk, keterangan produk, alamat pengilang, bungkusan luaran dan label. Selain itu orang awam boleh menyemak produk yang telah ditarik balik dari pasaran. Pastikan produk farmaseutikal berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL beserta pelekat hologram dan iklannya diluluskan oleh LIU. Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, orang awam boleh kemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413200 atau melalui emel pharmacy1@moh.gov.my

Rujukan

  1. Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956 (Disemak 1983)
  2. Laman web www.pharmacy.gov.my
  3. Laman web www.bpfk.gov.my
Semakan Akhir : 05 Jun 2013
Penulis : Normawati bt. Mohammed Noor

 

Artikel Berkaitan

Penyakit Batuk Kering (Tuberculosis) dan Ubat

Antituberculosis adalah kelas ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit batuk kering atau tuberculosis (TB). TB adalah disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis yang selalunya menjangkiti paru-paru tetapi ia juga boleh menjangkiti bahagian badan yang lain seperti usus, tulang dan otak.

Adakah krim pelangsingan produk kosmetik?

Kesan pelangsingan adalah sinonim dengan proses mengurangkan berat badan melalui amalan diet yang betul dan aktiviti fizikal yang mencukupi seperti bersenam. Kesan pelangsingan tersebut tidak dapat dibuktikan sebagai dapat dicapai dengan hanya memakai produk yang disapu secara luaran.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,764,594

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia