A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kosmetik
  6. /
  7. Kawalan produk kosmetik di...

Kawalan produk kosmetik di Malaysia

Semua produk kosmetik yang dipasarkan di Malaysia perlu bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM sebelum produk tersebut boleh diimport, dikilang, diedarkan atau dijual di Malaysia. Notifikasi produk kosmetik boleh dihantar melalui sistem QUEST3+ secara atas talian. Produk kosmetik yang bernotifikasi tidak bermaksud bahawa produk tersebut telah diluluskan oleh KKM. Notifikasi produk adalah proses dimana syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik membuat pengisytiharan berkenaan maklumat produk kepada NPRA sebelum mereka memasarkan produk tersebut di pasaran Malaysia.

Definasi Produk Kosmetik

Mengikut Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia, produk kosmetik ditakrifkan seperti berikut:

‘Mana-mana bahan atau penyediaan yang bertujuan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia (kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar alat kelamin) atau gigi dan membran mukus mulut, dengan tujuan utama untuk membersih, mewangikan, mengubah rupa dan/atau memperbaiki bau badan dan/atau melindungi atau mengekalkan dalam keadaan baik.’

Contoh-contoh produk kosmetik adalah sabun badan, pencuci dan krim muka, pelindung matahari, syampu dan perapi rambut, produk penjagaan gigi dan cecair kumur mulut, pewarna rambut, pewangi, deodoran gincu bibir, pembayang mata dan pengilat kuku.

Akta-Akta dan Peraturan-Peraturan Berkaitan Produk Kosmetik

Produk kosmetik dikawal di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Peraturan- Peraturan ini adalah berkaitan dengan kawalan keselamatan, kualiti dan tuntutan produk untuk memastikan semua tuntutan kosmetik boleh disokong dengan data yang mencukupi, bagi tujuan melindungi dan menggalakkan kesihatan awam.

Notifikasi Produk Kosmetik di Malaysia

Mulai 1 Januari 2008, semua Negara ASEAN telah bersetuju untuk melaksanakan prosedur notifikasi kosmetik sebagai sistem kawalan bagi semua produk-produk kosmetik di rantau ASEAN selaras dengan Skim Harmonisasi Kosmetik ASEAN dan ASEAN Cosmetic Directive (ACD).

Semua produk kosmetik yang dipasarkan di Malaysia perlu bernotifikasi dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM sebelum produk tersebut boleh diimport, dikilang, diedarkan atau dijual di Malaysia. Notifikasi produk kosmetik boleh dihantar melalui sistem QUEST3+ secara atas talian. Produk kosmetik yang bernotifikasi tidak bermaksud bahawa produk tersebut telah diluluskan oleh KKM. Notifikasi produk adalah proses dimana syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik membuat pengisytiharan berkenaan maklumat produk kepada NPRA sebelum mereka memasarkan produk tersebut di pasaran Malaysia.

Setiap produk kosmetik bernotifikasi perlu mematuhi keperluan Garispanduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia. Syarikat yang mengemukakan notifikasi bagi sesuatu produk kosmetik perlu membuat perakuan untuk bertanggungjawab bagi setiap perkara yang berkaitan dengan produk mereka yang dipasarkan di Malaysia. Pihak syarikat tersebut juga perlu memastikan bahawa produk tersebut selamat, berkualiti dan tuntutan yang dibuat boleh disokong dengan dokumentasi yang sahih dan mencukupi.

Garispanduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia boleh didapati di laman sesawang NPRA di pautan www.npra.gov.my.

Memastikan Keselamatan dan Kualiti Produk

Syarikat-syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan harus memastikan bahawa produk kosmetik tersebut adalah berkualiti dan selamat digunakan. Produk-produk kosmetik tidak boleh mengandungi bahan terlarang atau bahan yang melebihi had dan syarat yang benarkan. Maklumat berkaitan bahan-bahan terlarang dan bahan-bahan terhad boleh didapati di dalam Garispanduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia. Syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan perlu memastikan produk mereka dihasilkan oleh pengilang yang mematuhi keperluan garispanduan Amalan Pengilangan Baik (APB).

Aktiviti Surveilans Produk Kosmetik di Pasaran

Semua produk kosmetik yang bernotifikasi dipantau secara berterusan oleh pihak NPRA melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi bagi memastikan setiap produk kosmetik bernotifikasi di pasaran adalah mematuhi keperluan garispanduan dan undang-undang yang ditetapkan, berkualiti dan selamat.

Aktiviti-aktiviti utama bagi Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi termasuklah penyaringan maklumat produk; audit ke atas Fail Maklumat Produk, penyampelan produk untuk ujian kualiti, pemantauan kepatuhan label, pemeriksaan premis pengilang bagi memastikan pematuhan kepada keperluan APB serta dan pemantauan iklan produk bernotifikasi. NPRA juga memantau laporan kesan advers dan menjalankan penyiasatan ke atas aduan yang diterima berkaitan produk kosmetik.

Semasa aktviti surveilans kosmetik, NPRA mendapati terdapat beberapa kategori produk di pasaran yang sering disalah ertikan sebagai produk kosmetik oleh pengguna. Contoh produk dengan tuntutan-tuntutan perubatan seperti minyak urut yang disapu untuk merawat sakit badan, pening kepala dan sakit sendi, produk-produk pelangsingan yang digunakan secara luaran atau dimakan dengan tuntutan seperti membakar lemak dan mengurangkan berat badan, produk berbentuk gel, minyak atau krim yang digunakan bagi tujuan rangsangan seksual dan produk-produk yang digunakan secara kaedah mesoterapi dan suntikan atau produk yang diminum atau dimakan untuk tujuan kecantikan. Kesemua produk-produk ini adalah tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik.

Tindakan Ke Atas Produk Yang Tidak Mematuhi Keperluan Garispanduan

Apabila sesuatu produk didapati tidak mematuhi keperluan garispanduan dan undang-undang, NPRA akan mengambil tindakan di mana status notifikasi produk akan dibatalkan dan/atau pihak syarikat yang bertanggungjawab diarahkan untuk memanggilbalik produk tersebut dari pasaran.

Kosmetik dan Anda

Walaupun pihak syarikat adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan produk kosmetik yang berada di pasaran adalah selamat dan berkualiti, namun sebagai pengguna kita haruslah menyedari dan perlu prihatin dengan apa yang kita gunakan pada tubuh badan sendiri. Sebagai pengguna, kita perlu membuat pilihan yang bijak apabila memilih produk-produk kosmetik di pasaran.

Pengguna dan orang awam boleh menyemak status notifikasi produk kosmetik di laman sesawang rasmi NPRA iaitu www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuatturun melalui Google Play Store sebelum membeli sesuatu produk kosmetik di pasaran. Senarai terkini produk kosmetik yang diuji dan dikesan mengandungi bahan terlarang seperti hydroquinone juga boleh disemak pada laman sesawang yang sama.

Sekiranya pengguna mendapat kesan yang tidak diingini atau mengesyaki produk kosmetik bernotifikasi mengandungi bahan terlarang, laporan atau aduan boleh dibuat menggunakan Borang Aduan Kosmetik Bernotifikasi melalui pautan https://npra.gov.my/images/public/BORANG_ADUAN_KOSMETIK.pdf dan emailkan borang yang telah dilengkapkan kepada kosmetik@npra.gov.my untuk diambil tindakan selanjutnya.

Semakan Akhir : 22 Ogos 2019
Penulis : Erina Camillia bt. Mohd Chazali
Akreditor : Zuraida Abdullah
Penyemak : Wan Mohaina bt. Wan Mohammad
  : Hanum Maisarah bt. Abdul Rahman

 

Artikel Berkaitan

Kenali kosmetik anda

Produk kosmetik ditakrifkan sebagai “bahan atau sediaan yang bertujuan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar alat kelamin atau gigi dan membran mukosa di dalam mulut, yang bertujuan untuk membersih, mewangi, memperbaiki/mengubah rupa, mencantikkan, menghilangkan bau badan, melindungi dan mengekalkan dalam keadaan baik ”.

Adik, ubat bukan gula-gula

Ibu bapa perlu bijak memainkan peranan dalam mendidik kanak-kanak berkenaan penggunaan ubat-ubatan secara selamat.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,816

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia