A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Tradisional
  6. /
  7. Kegunaan stevia sebagai pemanis

Kegunaan stevia sebagai pemanis

Pendahuluan

Stevia (Stevia rebaudiana Bertoni) adalah sejenis herba daripada keluarga Asteraceae. Ia berasal daripada Paraguay, di mana ia tumbuh secara liar di tanah berpasir. 1Stevia rebaudiana telah digunakan oleh orang-orang asal di Paraguay dan Brazil sejak zaman dahulu. Daun Stevia rebaudiana mengandungi pemanis yang tidak menyebabkan kerosakan gigi dan tanpa kalori, di mana penggunaannya boleh memberi kesan yang baik terhadap kesihatan manusia. Ia menjadi lebih terkenal di luar pusat Amerika Selatan berikutan penemuannya pada tahun 1887 oleh ahli botani, Antonio Bertoni. Disebabkan oleh rasa manis yang dihasilkan, stevia telah diberi pelbagai nama termasuk daun manis, herba manis Paraguay, daun madu dan candyleaf. Herba ini adalah agak asing di Malaysia walaupun ia ditanam secara komersial di Brazil, Paraguay, Amerika dan beberapa negara Asia seperti China, Jepun, Korea dan juga Thailand.

Herba ini, terutama daunnya, menghasilkan glikosida diterpene, kebanyakannya rebaudioside dan stevioside yang mempunyai kesan pemanis sebanyak 40-250 kali ganda daripada sukrosa. Atas sebab ini, minat terhadap herba ini telah meningkat secara mendadak pada kebelakangan ini kerana potensinya sebagai pemanis semulajadi yang tidak mengandungi kalori – satu kelebihan untuk industri makanan kesihatan, khususnya individu yang mempunyai masalah obesiti dan diabetes. Minat terhadap herba ini juga timbul di Malaysia akibat kekurangan gula dalam pasaran tempatan tidak lama dahulu. Selain daripada kawasan utara Semenanjung Malaysia, iklim yang lembap di Malaysia tidak menggalakkan penanaman tebu dan sebahagian besar pemintaan gula tempatan dipenuhi melalui pengimportan gula dari negara luar. Rakyat Malaysia amat terkenal dengan pengambilan gula yang berlebihan melalui pengambilan minuman dan kuih-muih tradisional yang manis. Tabiat yang tidak sihat ini berkemungkinan menyebabkan peningkatan kes-kes kencing manis yang membimbangkan – daripada 0.65% daripada jumlah penduduk Malaysia pada tahun 1960 kepada 16-18% pada tahun 1998.

Deskripsi

Stevia merupakan tumbuhan yang tumbuh secara menegak, berkembang dan boleh membesar sehingga 20-30cm sebelum ia mula berbunga. Daunnya sessile, berwarna hijau dan membesar secara berpasangan dengan ukuran lebar kira-kira 2.5-3.5cm dan panjangnya 3-6cm. Bunganya berwarna putih dengan diameter 8-15mm dan tumbuh pada hujung pucuk. Biji benih yang matang berwarna hitam dan sangat kecil (0.5-1.0g / 1000 biji). Batangnya berkayu dan akarnya adalah sedikit bercabang.

Stevia sangat mudah ditanam dalam pelbagai jenis tanah. Walaubagaimanapun, ia lebih sesuai ditanam dalam tanah gembur dan tanah berpasir dengan kandungan bahan organik yang tinggi. Herba ini memerlukan masa yang panjang untuk pertumbuhan maksimum sebelum ia mula berbunga. Ia memerlukan pendedahan cahaya matahari selama 13 jam untuk penghasilan biojisim dan kandungan steviosides yang maksimum. Dengan pendedahan selama 13-16 jam cahaya matahari setiap hari, herba tersebut boleh tumbuh sehingga ketinggian 0.9-1.0m sebelum ia mula berbunga.

Kegunaan

Ekstrak daun Stevia digunakan di Jepun, Korea dan negara-negara tertentu di Amerika Selatan untuk memaniskan minuman ringan, soju, kicap soya, yogurt dan makanan-makanan lain. Di Amerika Syarikat, Stevia digunakan sebagai suplemen kesihatan. Ekstrak daun Stevia rebaudiana telah digunakan secara tradisional dalam rawatan diabetes. Komponen pemanis yang utama dalam daun Stevia rebaudianais stevioside dikatakan mempunyai kesan antioksidan, anti-mikrob dan anti-kulat.

Stevioside dan rebaudioside A merupakan komponen pemanis yang utama, di mana kesan pemanis masing-masing adalah 110-270 dan 180-400 kali ganda berbanding gula tebu. Kedua-dua komponen stabil walaupun pada suhu setinggi 200 ° C, menjadikan mereka sesuai digunakan dalam makanan yang dimasak. S. rebaudiana sangat berpotensi sebagai tanaman pertanian baru kerana permintaan pengguna bagi makanan herba yang semakin meningkat. Kajian analisis turut menunjukkan bahawa Stevia juga mengandungi asid folik, vitamin C dan asid amino yang sangat diperlukan kecuali tryptophan. Justeru, penanaman Stevia dan pengeluarannya merupakan alternatif kepada gula terutamanya untuk pesakit kencing manis dan mereka yang berdiet kerana kalori Stevia yang sangat rendah serta tidak mengandungi karbohidrat, lemak atau protein. Disebabkan daun Stevia mempunyai ciri-ciri yang lebih baik berbanding pemanis lain, ia berpotensi menjadi sumber utama sebagai pemanis untuk pasaran makanan semula jadi yang semakin meningkat.

Ekstrak pemanis Stevia dikatakan memberi kesan yang baik terhadap kesihatan; termasuk mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan paras gula dalam darah, tidak merosakkan gigi, dapat melawan jangkitan rotavirus, membantu metabolisma gula dan membantu peningkatan fungsi buah pinggang. Ekstrak akueus daun kering Stevia rebaudiana juga mendorong vasodilatasi sistemik dan buah pinggang, menyebabkan penurunan tekanan darah, dieresis dan natriuresis dalam tikus.

Selain daripada itu, ekstrak ethanol daun Stevia rebaudiana mengandungi kandungan jumlah komponen phenolic yang boleh digunakan sebagai sumber antioksidan semula jadi yang baik kepada kesihatan.

Kawalan Regulatori di Malaysia

Minat terhadap pemanis Steviol glycoside telah wujud sejak sekian lama. Walaubagaimanapun, herba tersebut tidak dapat dipasarkan secara meluas disebabkan beberapa masalah teknikal iaitu rasa Stevia yang pahit, spesifikasi yang tidak mencapai permintaan regulatori dan kekurangan data yang menyokong keselamatan penggunaan Stevia. Isu-isu ini telah menyebabkan Steviol glycosides tidak dapat digunakan sebagai pemanis dalam kebanyakan negara.

Di Malaysia, Stevia rebaudiana dibenarkan dalam produk farmaseutikal sebagai pemanis. Isu keselamatan Stevia masih dalam perdebatan kerana terdapat banyak penemuan saintifik yang bercanggah antara satu sama lain. Badan regulatori seperti United States Food and Drug Administration (USFDA) melarang penggunaan ekstrak Stevia dan daun Stevia kerana terdapat kebimbangan terhadap keselamatan penggunaannya, contohnya seperti kawalan paras gula dalam darah, kesan kepada sistem pembiakan, sistem kardiovaskular dan buah pinggang. Kajian klinikal yang lebih mendalam perlu dijalankan sebelum keselamatan Stevia boleh disahkan.

Rujukan

  1. Globinmed. Global Information Hub on Integrated Medicine [homepage on the internet]. No date [cited 13/4/2014]. Available fromhttp://www.globinmed.com/index.php?option=com_content&view=article&id=79351:stevia
  2. Carakostas M.C., Curry L.L., Boileau A.C. et.al. Overview: The history, technical function and safety of rebaudioside A, a naturally occurring steviol glycoside, for use in food and beverages. Food and Chemical Toxicology. 2008; 46: S1-S10.
  3. Madan S., Ahmad S., Singh G.N. et.al. Stevia rebaudiana (Bert.) Bertoni- A Review. Indian Journal of Natural Products and Resources. September 2010; 1(3): p.267-286.
  4. Tan S.L., Wan Zaki W.M., MuhamadGhawas, M.Mansor, P. and Zawawi M. 2010 Stevia (Stevia rebaudianaBertoni). In TeknologiPenanamandanPemprosesan Primer TumbuhanUbatan (Musa Y., Mansur P., Yahaya H., Wan Zaki, W.M. and Aini, Z. editor).
  5. Preliminary Evaluation and Selection of Stevia under Malaysian Conditions. J. Trop. Agric. and Fd. Sc. 36 (2)(2008): 000-000.
  6. Shukla S., Mehta A., Bajpai V.K. et.al.In vitro antioxidant activity and total phenolic content of ethanolic leaf extract of Stevia rebaudiana Bert.Food and Chemical Toxicology. 2009; 47: p.2338-2343.
  7. Roberto L.M., Antonio V.G., Liliana Z.B. and Kong A.H. Stevia rebaudianaBertoni, source of a high-potency natural sweetener: A comprehensive review on the biochemical, nutritional and functional aspects. Food Chemistry. June 2012; 132(3): p. 1121-1132.
  8. Goyal S.K., Samsher, Goyal R.K. Stevia (Stevia rebaudiana) a bio-sweetener: a review. Int J Food SciNutr. 2010; 61(1):p. 1-10.
  9. Australian Government. Department of Health, Therapeutic Goods Administration. ACCM extracted ratified minutes, Meeting 2 [homepage on the internet]. C2010 [updated 2010 June 4; cited 2014 April 19]. Available from http://www.tga.gov.au/about/accm-recommendations-2010-02.htm
  10. United States Food and Drug Administration.www.fda.gov (Data retrieved on 4 July 2014)
Semakan Akhir : 29 Mac 2015
Penulis/Penterjemah : Tang Sia Chin
Akreditor : Noor’ain bt. Shamsuddin

Artikel Berkaitan

Lozenges

Apa itu lozenges dan fungsinya Lozenges merupakan sediaan berbentuk gula-gula

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia