–A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kosmetik
  6. /
  7. Kenali kosmetik anda

Kenali kosmetik anda

Produk kosmetik ditakrifkan sebagai “bahan atau sediaan yang bertujuan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar alat kelamin atau gigi dan membran mukosa di dalam mulut, yang bertujuan untuk membersih, mewangi, memperbaiki/mengubah rupa, mencantikkan, menghilangkan bau badan, melindungi dan mengekalkan dalam keadaan baik ”.

Takrifan Produk Kosmetik

Produk kosmetik ditakrifkan sebagai “bahan atau sediaan yang bertujuan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar alat kelamin atau gigi dan membran mukosa di dalam mulut, yang bertujuan untuk membersih, mewangi, memperbaiki/mengubah rupa, mencantikkan, menghilangkan bau badan, melindungi dan mengekalkan dalam keadaan baik ”.

Kosmetik vs Bukan Kosmetik

Merujuk kepada takrifan produk kosmetik, produk kosmetik merangkumi produk-produk yang disyorkan untuk digunakan atau disapu pada bahagian luaran tubuh manusia sahaja dan mestilah mempunyai salah satu daripada fungsi utama iaitu sama ada untuk membersih, mewangi, memperbaik/mengubah rupa atau mencantikkan dan/atau menghilangkan bau badan dan/atau melindungi atau mengekalkan dalam keadaan baik. Antara contoh-contoh produk yang dikelaskan sebagai produk kosmetik adalah seperti produk pembersih muka, pelembap muka, pewarna kuku, gincu bibir, pembayang mata, minyak wangi, losyen badan, produk penjagaan gigi, pembersih luaran bahagian intim wanita, sabun mandi dan syampu.

Produk-produk seperti produk makanan/minuman untuk dimakan/diminum atau produk dalam bentuk suntikan yang dipromosikan untuk tujuan mencantikkan muka, kulit atau badan tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik kerana cara penggunaan produk-produk tersebut tidak mematuhi skop takrifan produk kosmetik.

Produk-produk untuk kegunaan luaran (untuk disapu) tetapi mempunyai tuntutan perubatan seperti untuk merawat penyakit/jangkitan kulit atau untuk menghilangkan kesakitan seperti minyak urut (minyak yang disapu untuk menghilang sakit-sakit sendi) atau produk untuk disapu pada bahagian alat sulit lelaki atau wanita untuk tujuan rangsangan seksual juga tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik.

Tuntutan Kosmetik

Tuntutan produk kosmetik mestilah mematuhi skop takrifan produk kosmetik, tidak mengelirukan pengguna dan mampu disokong dengan data sokongan yang mencukupi serta tidak merujuk kepada sebarang tuntutan perubatan.

Nama produk (termasuk jenama) adalah secara tidak langsung merupakan sebahagian daripada tuntutan produk. Nama produk tidak boleh dinyata dengan nama-nama yang tersirat yang membawa maksud atau sebutan, ejaan yang diubah suai tetapi mempunyai maksud dan tujuan perubatan atau yang melampaui skop takrifan kosmetik. Antara contoh nama produk yang tidak dibenarkan ialah Slimming Lotion, Sabun Resdung, Eczema Cream, Hair Growth Serum dan lain-lain. Nama-nama yang berunsur seks juga tidak dibenarkan.

Contoh-contoh tuntutan yang tidak dibenarkan bagi produk kosmetik adalah seperti berikut:

Jenis Produk
Tuntutan yang tidak dibenarkan
Produk penjagaan rambut
  • Menghilangkan kelemumur secara kekal
  • Mengembalikan sel-sel rambut
  • Menggalakkan pertumbuhan rambut baru
Produk penjagaan kuku
  • Menggalakkan pertumbuhan kuku
Produk penjagaan kulit
  • Menghalang, mengurang atau menterbalikkan proses fisiologi dan keadaan degenerasi yang disebabkan oleh proses penuaan
  • Menghilangkan parut
  • Menghalang, menyembuhkan, merawat atau menghentikan jerawat
  • Merawat selulit
  • Mengurangkan, mengawal bengkak/ bengkak air
  • Mengurangkan berat badan
  • Membakar dan menghilangkan lemak
  • Merawat jangkitan virus atau kulat
Produk penjagaan gigi atau oral
  • Merawat atau mengelakkan gigi bernanah, gusi bengkak, radang, ulser mulut, periodontitis, jangkitan dalam mulut
Produk pewangi
  • Tuntutan berkaitan rangsangan seks atau daya tarikan hormon

Semakan Status Notifikasi Kosmetik

Produk kosmetik adalah dikawal di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia. Semua produk kosmetik yang dipasarkan di Malaysia perlu dinotifikasikan kepada Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum produk kosmetik tersebut boleh dikilang, diimport atau dijual di Malaysia. Syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik tersebut perlu mengemukakan notifikasi kepada NPRA sebelum produk tersebut dipasarkan.

Produk kosmetik yang memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam garis panduan akan dibenarkan untuk notifikasi dan akan diberikan nombor notifikasi. Produk kosmetik yang bernotifikasi dengan NPRA akan dipantau secara berterusan melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi bagi memastikan setiap produk kosmetik bernotifikasi di pasaran adalah mematuhi keperluan yang ditetapkan, berkualiti dan selamat.

Pengguna boleh menyemak status notifikasi produk kosmetik melalui laman sesawang rasmi NPRA iaitu melalui sistem ‘QUEST3+ product search’ atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuatturun melalui Google Play Store.

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyemak status notifikasi produk kosmetik melalui laman sesawang NPRA

  1. Layari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), www.npra.gov.my
  2. Klik tab ‘Consumer’ (rujuk rajah 1)
  3. Klik tab ‘Search Product’ (rujuk rajah 2)
  4. Pilih ‘Cosmetics’ (rujuk rajah 3)
  5. Semakan boleh dibuat dengan menggunakan kriteria-kriteria seperti berikut:
  1. Nama produk/ Product’s Name
  2. Nombor Notifikasi / Notification Number
  3. Pemegang Notifikasi / Notification Holder
  4. Kandungan bahan/ Cosmetic Substance
  5. Nama Pengilang/ Manufacturer’s name
  6. Nama Pengimport /Importer

Jika produk tersebut bernotifikasi, nama produk, nombor notifikasi, maklumat pemegang notifikasi akan diperolehi. Jika produk tersebut tidak bernotifikasi, ‘no results found’ akan dipaparkan.

Rajah 1 : Klik tab ‘consumer’.

Rajah 2 : Klik tab ‘search product’.

Rajah 3 : Pilih ’cosmetics’.

Sebagai Pengguna yang Bijak

Pengguna harus membaca maklumat pada label produk kosmetik dengan teliti sebelum memilih sesuatu produk kosmetik yang sesuai untuk mereka. Maklumat-maklumat berikut perlu ada pada label produk kosmetik iaitu:

  • Nama produk dan fungsinya
  • Cara penggunaan – jika tidak jelas daripada deskripsi produk
  • Senarai bahan dalam produk yang disusun dalam turutan menurun mengikut kepekatan
  • Negara pengeluar/pengilang ( contohnya : Made in Malaysia)
  • Nama dan alamat syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk
  • Kandungan ( mg atau ml)
  • No. Kelompok (Batch No.)
  • Tarikh dikilangkan atau tarikh luput
  • Maklumat tambahan seperti amaran atau pernyataan sumber bahan daripada bovine atau porcine

Pengguna dinasihatkan supaya mengelak dari membeli produk kosmetik daripada penjual atau premis yang meragukan seperti di kaki lima, pasar malam dan sebagainya kerana cara penyimpanan produk adalah tidak sesuai dan dikhuatiri boleh mempengaruhi kestabilan dan merosakkan kandungan produk kosmetik tersebut serta bagi mengelakkan daripada akses kepada produk-produk kosmetik tiruan.

Pengguna juga digesa untuk tidak mudah terpengaruh dengan prosedur kosmetik yang diwar-warkan mampu mengubah rupa paras mereka kepada yang lebih cantik bagi mengelakkan kemudaratan kepada mereka. Pengguna harus sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang menjanjikan kesan yang pantas atau menunjukkan kesan dalam jangka masa singkat kerana produk-produk sedemikian berpotensi untuk dicampur palsu dengan bahan-bahan yang terlarang. Hal ini demikian disebabkan produk-produk kosmetik adalah berfungsi untuk memberikan kesan seperti yang disarankan dengan cara penggunaan yang betul dan secara berterusan.

Pengguna juga dinasihatkan untuk membaca maklumat pada label produk kosmetik dengan teliti sebelum memilih sesuatu produk kosmetik yang sesuai untuk mereka.

Sekiranya pengguna mendapat kesan yang tidak diingini atau mengesyaki produk kosmetik bernotifikasi mengandungi bahan terlarang, laporan atau aduan boleh dibuat menggunakan Borang Aduan Kosmetik Bernotifikasi melalui pautan https://npra.gov.my/images/public/BORANG_ADUAN_KOSMETIK.pdf dan emailkan borang yang telah dilengkapkan kepada kosmetik@npra.gov.my untuk diambil tindakan selanjutnya.

Semakan Akhir : 22 Ogos 2019
Penulis : Khairul Huda bt. Mohamadiah
Akreditor : Zuraida bt. Abdullah
Penyemak : Wan Mohaina bt. Wan Mohammad
  : Hanum Maisarah bt. Abdul Rahman

Artikel Berkaitan

Ubat dan Asma

Bagaimanakah penyakit asma dirawat? Secara umumnya, matlamat rawatan asma adalah

Gamat

Pengenalan Gamat yang juga dikenali sebagai Timun Laut atau Sea

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia