A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Kenapa Pandangan Saya Sempit

Kenapa Pandangan Saya Sempit

Pengenalan

Keluasan pandangan dan tahap penglihatan yang normal sangat penting dalam menjalani kehidupan harian. Apabila keluasan pandangan atau dikenali sebagai medan penglihatan menjadi sempit, aktiviti harian seperti penjagaan kebersihan diri, membaca, memandu dan aktiviti orientasi dan mobiliti akan terganggu. Contohnya :

“Saya tidak perasan kereta di tepi ketika memandu menyebabkan saya hampir kemalangan”

“Setiap kali saya masuk ke bilik yang agak gelap, saya tidak nampak objek di sekeliling saya, sedangkan kawan saya boleh nampak, mengakibatkan saya kerap terlanggar objek tersebut”

“Saya melihat seperti tabir turun dan menghalang sebahagian daripada medan penglihatan saya”

“Saya melihat tompokan hitam di bahagian tengah bahan bacaan saya”

Apa Itu Medan Penglihatan?

Medan penglihatan merupakan luas kawasan yang dapat dilihat oleh mata termasuklah bahagian sisi. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu monokular (satu mata) dan binokular (dua mata). Medan penglihatan monokular adalah luas pandangan yang menjangkau 60° ke atas, 70° ke bawah, 60° ke hidung dan 100° ke telinga1. Manakala medan penglihatan binokular pula merangkumi luas pandangan yang dapat dilihat oleh kedua-dua mata secara serentak iaitu sebanyak 120°.

1 2

Medan penglihatan monokular

3Medan penglihatan binokular

Medan Penglihatan yang Normal

Bagi penglihatan yang normal, sebarang objek yang dilihat akan dipancar melalui kanta kristalin ke retina mata. Kemudian ia akan melalui saraf optik mata dan juga optic chiasm sebelum diproses di otak untuk menghasilkan imej. Sebarang penyakit atau lesi yang berlaku pada retina atau di laluan tersebut akan menyebabkan medan penglihatan seseorang terganggu.

Bagaimana Mengukur Medan Penglihatan

Medan penglihatan dapat diukur dengan menjalani beberapa ujian. Ujian ini dapat mengukur medan penglihatan bahagian tengah dan sisi pesakit. Ia perlu dilakukan secara berasingan pada setiap mata. Ujian medan penglihatan dilakukan secara subjektif, maka pesakit perlu memberi sepenuh kerjasama dan memahami arahan yang diberikan supaya keputusan ujian adalah tepat.

Terdapat beberapa jenis ujian medan penglihatan bergantung kepada jenis penyakit dan keperluan iaitu :

1. Ujian saringan medan penglihatan asas dikenali sebagai Ujian Konfrontasi (Confrontation test). Ia dijalankan dengan pesakit memandang lurus dan mengira jari pemeriksa yang ditunjukkan dari bahagian sisi. Sekiranya pesakit tidak dapat melihat jari pemeriksa, maka ujian medan penglihatan komprehensif akan dilakukan.

4Ujian saringan medan penglihatan (Ujian Konfrontasi)

2. Ujian carta Bjerrum merupakan ujian yang mudah dan cepat bagi menguji medan penglihatan sentral sehingga 30°. Semasa ujian dijalankan, pesakit perlu duduk pada jarak 1 atau 2 meter daripada carta, bergantung kepada saiz carta Bjerrum tersebut.

5Ujian carta Bjerrum / Tangent Screen

3. Ujian medan penglihatan komprehensif (ujian perimetri) menggunakan mesin Automated Visual Field seperti Humphrey Field Analysis dan Octopus.

6Ujian Humphrey Field Analysis

4. Ujian menggunakan carta Amsler Grid akan dilakukan jika pesakit mengadu gangguan penglihatan di bahagian tengah semasa membuat kerja pada jarak dekat seperti membaca. Ujian ini dilakukan sekiranya pesakit disyaki menghidap penyakit mata pada bahagian makula atau sekitarnya sehingga 10°. Ujian dilakukan pada jarak 30cm dari pesakit, maka cermin mata jarak dekat perlu dipakai bagi pesakit yang mempunyai Presbiopia.

7 8
Rajah Amsler Grid : Pandangan Normal Pandangan penghidap Age Related Macula Degeneration (ARMD)

Terdapat 4 jenis gangguan medan penglihatan yang utama

1. Gangguan medan penglihatan di bahagian altitudinal (atas atau bawah, melibatkan bahagian horizontal)

9

2. Gangguan medan penglihatan bitemporal hemianopia / binasal hemianopia (bahagian kiri dan kanan penglihatan binokular)

10 11

3. Gangguan medan penglihatan di bahagian tengah.

12

4. Gangguan medan penglihatan homonymous hemianopia (di bahagian yang sama pada kedua-dua belah mata)

13 14
Left homonymous hemianopia Right homonymous hemianopia

Penyakit yang Menyebabkan Gangguan Medan Penglihatan

Antara penyebab utama gangguan medan penglihatan adalah seperti berikut :

No. Penyakit Mata Keterangan
1. Glaukoma Penyebab kebutaan kedua tertinggi di dunia.

Merupakan satu penyakit saraf optik yang kronik dan progresif dengan tekanan di dalam mata yang tinggi dan dalam kebanyakan kes tidak menyebabkan sakit pada mata5.

Sekiranya tidak dirawat, boleh merosakkan saraf optik secara perlahan-lahan sehingga mengakibatkan kebutaan yang kekal.

Medan penglihatan pesakit glaucoma :

26 15
Penglihatan normal

Glaukoma peringkat awal

27 16
Glaukoma lanjutan Glaukoma teruk
2. Retinitis Pigmentosa Penyakit keturunan yang menyebabkan kehilangan medan penglihatan periferi pada kedua-dua mata secara perlahan-lahan.

17

3. Lekangan retina Retina (lapisan tipis tisu saraf yang melapisi dalam mata dan amat sensitif pada cahaya) lekang dan terangkat daripada kedudukan asal. Jika tidak dirawat dengan segera, ia akan menyebabkan kehilangan penglihatan yang kekal.

Medan penglihatan yang terjejas bergantung kepada bahagian retina yang lekang dari kedudukan asal.

18

4. Tumor pada bahagian otak Jenis-jenis gangguan medan penglihatan yang berlaku adalah bergantung kepada di mana tumor tersebut berada.

Contoh :

19

5. Degenerasi Makular Berkaitan Umur (ARMD) Disebabkan oleh kerosakan makular (tempat paling sensitif di dalam mata yang membolehkan seseorang melihat dengan jelas dan terperinci).

Bermula dengan perubahan bentuk objek yang dilihat seperti garisan lurus dilihat menjadi bengkok. Lama-kelamaan berubah menjadi bayang hitam yang boleh menjadi semakin besar dan mengganggu pandangan.

Pandangan sentral pesakit akan menjadi kabur dan terganggu.

20 21

 

6. Macular hole Lubang yang terjadi pada bahagian makula menyebabkan pandangan sentral kabur, bengkok dan berombak.

22

7. Optic Neuritis Jangkitan pada saraf optik menyebabkan pandangan kabur dan gangguan kepada medan penglihatan.

23

8. Retinopati diabetik Kerosakan pada retina yang disebabkan oleh komplikasi penyakit diabetes

25

Nasihat Dan Panduan

Gangguan medan penglihatan boleh terjadi kepada semua peringkat umur, daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa. Oleh itu, pengesanan awal amatlah penting supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan bagi mengelakkan gangguan medan penglihatan yang lebih serius.

Pemeriksaan mata tahunan merupakan salah satu cara untuk mengesan gangguan medan penglihatan. Sekiranya anda mengesyaki terdapat masalah pada medan penglihatan, segeralah berjumpa dengan Optometris atau Pakar Mata untuk mendapatkan pemeriksaan mata.

Rujukan

  1. http://www.eyecalcs.com/DWAN/pages/v3/v3c049.html#r1
  2. Jay WM. Visual Field Defects. Am Fam Physician,1981 Aug; 24(2):138-42. Abstrak   diambil daripada http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/7258077
  3. List of 31 causes of Visual field defects. Dipetik dari http://www.rightdiagnosis.com/symptoms/visual_field_defects/causes.htm
  4. In focus (2004). Glaucoma is second leading cause of blindness globally. Bulletin Of The World Health Organisation, 82(11)887. Dipetik dari http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2623060/pdf/15640929.pdf
  5. Gary H. Eight Ways to Protect Your Eyesight. Dimuat turun dari http://www.allaboutvision.com/over60/vision-changes.htm
  6. http://pixshark.com/visual-field-test-confrontation.htm
  7. http://www.aao.org/image/tangent-screen
  8. http://killinglyeyecare.com/technology/technology-glaucoma-management/humphrey-visual-field/
  9. http://www.eyereview.com
  10. http://www.eyeoneyecare.in/images/glaucoma
  11. https://en.wikipedia.org/wiki/Visual_field
  12. http://www.rnib.org.uk/sites/default/files/blurred_vision.jpg
  13. https://myhealth23.primuscore.com/index.php/my/dewasa-glaukoma
  14. http://www.parekheyehospital.com/patientEducation/Glaucoma
  15. http://www.unil.ch/files/live//sites/dgm/files/shared/monna_lisa
  16. http://womensvoicesforchange.org/for-save-your-vision-month-a-guide-to-eye-emergencies.htm
  17. https://myhealth23.primuscore.com/index.php/my/lekangan-retina
  18. http://www.blindness.org/retinitis-pigmentosa
  19. http://fce-study.netdna-ssl.com/images/upload-flashcards/back/9/4/59749980_m.jpg
  20. https://myhealth23.primuscore.com/index.php/my/degenerasi-makula-berkaitan-dengan-usia-armd
  21. https://nei.nih.gov/health/macularhole/macularhole
  22. http://chicagoretinavitreous.com/sites/default/files/machole-eye-vision
  23. http://www.allaboutvision.com/conditions/optic-neuritis.htm
  24. http://imgarcade.com/1/optic-neuritis
  25. https://faculty.washington.edu/chudler/gif/diabrp.jpg

 

Semakan Akhir : 22 Mac 2016
Penulis : Pn. Nurul Faiz Binti Rahmat
Akreditor : Pn. Hafizah Binti Abu Yamin

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia