A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Kepatuhan Kepada Ubat Antidiabetes

Kepatuhan Kepada Ubat Antidiabetes

Terdapat dua jenis Diabetes Mellitus, iaitu Diabetes Mellitus Bergantung Insulin (Jenis 1) dan Diabetes Mellitus Tidak Bergantung Insulin (Jenis 2). Pesakit yang menghidapi Diabetes Mellitus Jenis 1 biasanya tidak dapat menghasilkan insulin langsung, manakala Diabetes Mellitus Jenis 2 berlaku apabila insulin yang dihasilkan adalah tidak mencukupi, atau badan pesakit mengalami ketidakpekaan terhadap insulin yang dihasilkan.

Pengenalan

Diabetes Mellitus, atau penyakit kencing manis adalah sejenis penyakit dimana paras gula dalam darah seseorang pesakit adalah tinggi dari paras normal. Penyakit ini berlaku apabila badan pesakit tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi, atau insulin yang dihasilkan tidak dapat digunakan dengan sempurna. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Ia berperanan sebagai ‘kunci’ yang mengawal paras gula dalam darah agar ia sentiasa berada di dalam paras normal. Kekurangan insulin menyebabkan gula tidak dapat dibawa ke dalam sel dan tisu untuk digunakan, dan seterusnya menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah.

Terdapat dua jenis Diabetes Mellitus, iaitu Diabetes Mellitus Bergantung Insulin (Jenis 1) dan Diabetes Mellitus Tidak Bergantung Insulin (Jenis 2). Pesakit yang menghidapi Diabetes Mellitus Jenis 1 biasanya tidak dapat menghasilkan insulin langsung, manakala Diabetes Mellitus Jenis 2 berlaku apabila insulin yang dihasilkan adalah tidak mencukupi, atau badan pesakit mengalami ketidakpekaan terhadap insulin yang dihasilkan.

Gejala/Tanda

Pesakit Diabetes akan mengalami gejala-gejala paras gula dalam darah yang tinggi seperti keletihan, sentiasa berasa haus, kerap kencing, luka lambat sembuh dan penurunan berat badan walaupun berselera makan. Pesakit yang mengalami gejala-gejala seperti di atas perlu menghubungi klinik yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat profesional kesihatan atau menjalani ujian darah.

Komplikasi

Paras gula dalam darah yang tinggi, jika tidak dirawat, boleh merosakkan salur darah dan saraf. Ini seterusnya mengakibatkan komplikasi-komplikasi seperti serangan jantung, strok (angin ahmar), penglihatan kabur atau kebutaan, rasa kebas atau kehilangan sensori di hujung jari kaki dan tangan, dan kerosakan buah pinggang.

Rawatan

Diabetes Mellitus tidak boleh disembuhkan, tetapi ia boleh dikawal dengan rawatan ubat antidiabetes dan amalan cara hidup sihat. Pesakit Diabetes akan diberi rawatan samada menggunakan ubat jenis oral (tablet), suntikan insulin, atau kedua-duanya bergantung kepada tahap kawalan paras gula seseorang pesakit.

1) Ubat Antidiabetes Jenis Oral

Kumpulan ubat antidiabetes jenis oral yang sering digunakan dalam rawatan Diabetes adalah seperti berikut:

Bil.
Kumpulan Ubat
Cara Bertindak
Contoh Ubat
Contoh Imej
a) Biguanide
  • Mengurangkan penghasilan gula oleh hati
  • Meningkatkan kepekaan badan pesakit terhadap insulin
Metformin

Tablet Metformin 500mg

b) Sulphonylureas
  • Meningkatkan penghasilan insulin oleh pankreas
Glibenclamide, Glicazide

Tablet Glibenclamide 5mg

Tablet Glicazide 80mg

c) a- Glucosidase Inhibitor Mengurangkan peningkatan paras gula selepas makan dengan mengurangkan pencernaan dan penyerapan karbohidrat dalam usus Acarbose

Tablet Acarbose (Glucobay®) 50mg

d) Thiazolidinedione Meningkatkan kepekaan badan pesakit terhadap insulin. Rosiglitazone, Pioglitazone

Tablet Rosiglitazone (Avandia®) 4mg

e) DPP-4 inhibitor Memanjangkan tindakan hormon GLP-1, sejenis hormon semulajadi yang merangsang penghasilan insulin apabila paras gula dalam darah meningkat selepas makan Sitagliptin, Saxagliptin, Linagliptin, Vildagliptin

Tablet Sitagliptin (Januvia®) 100mg

2) Suntikan Insulin

Rawatan menggunakan suntikan insulin diberikan apabila rawatan menggunakan ubat antidiabetes jenis oral tidak dapat menurunkan paras gula ke tahap normal atau apabila seseorang pesakit dilarang untuk mengambil ubat antidiabetes jenis oral. Di antara pesakit-pesakit yang dilarang mengambil ubat antidiabetes jenis oral adalah pesakit yang mengandung atau menghadapi masalah buah pinggang. Insulin mengawal paras gula dalam darah dengan meniru tindakan insulin semulajadi dalam badan. Jenis insulin yang diperlukan oleh setiap pesakit adalah berlainan mengikut keperluan insulin masing-masing.

Berikut adalah jenis insulin yang digolongkan mengikut jangkamasa tindakan:

Bil.
Jenis Insulin
Contoh
Masa Suntikan
a) Insulin tindakan amat cepat Insulin aspart (Novorapid®),
Insulin lispro (Humalog®)
Sejurus sebelum makan
b) Insulin tindakan pendek Insulin regular
(Actrapid®, Insuman Rapid®)
30 minit sebelum makan
c) Insulin tindakan sederhana Insulin isophane (Insulatard®, Insuman Basal®) Sebelum tidur
d) Insulin tindakan panjang Insulin determir (Levemir®)
Insulin glargine (Lantus®)
Masa yang sama setiap hari
e) Insulin Pracampuran Novomix 30®Mixtard,
Insuman Comb30®
Sejurus sebelum makan
30 minit sebelum makan

Kepentingan Kepatuhan Kepada Ubat Antidiabetes

Ubat antidiabetes adalah ubat untuk mengawal paras gula dan bukannya untuk menyembuhkan Diabetes. Oleh itu, ia perlu diambil secara berterusan. Kepatuhan kepada pengambilan ubat antidiabetes mengikut arahan yang telah ditetapkan terutamanya dari segi dos dan waktu pengambilan adalah sangat penting kerana dos berlebihan akan menyebabkan paras gula terlalu rendah (hipoglisemia), manakala dos ubat kurang akan menyebabkan paras gula menjadi tidak terkawal (hiperglisemia). Ini akhirnya boleh menyebabkan komplikasi-komplikasi seperti kerosakan buah pinggang dan serangan jantung. Pesakit Diabetes boleh merujuk kepada doktor, ahli farmasi, atau jururawat pendidikan diabetes sekiranya ingin mengajukan sebarang pertanyaan atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai ubat antidiabetes yang diambil.

Pertubuhan Sokongan/ Rujukan

  1. American Diabetes Association http://www.diabetes.org/living-with-diabetes/treatment-and-care/medication/
  2. NPS Medicinewise http://www.nps.org.au/
Semakan Akhir : 25 November 2015
Penulis : Lee Chia Kee
Akreditor : Nor Aida bt. Sanusi

 

Artikel Berkaitan

Puasa dan Ubat

Bagi mereka yang sakit, puasa bukanlah penghalang untuk meneruskan rawatan. Pengubahsuaian cara pengambilan ubat-ubatan boleh dilakukan oleh pesakit. Pesakit juga harus peka terhadap tahap kesihatan diri dan perlu bersedia untuk berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,617

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia