Pengenalan
Prevalen masalah penglihatan meningkat seiring dengan peningkatan usia penduduk sesebuah negara. Masalah penglihatan termasuklah penglihatan terhad dan buta.
Buta didefinasikan sebagai ketajaman penglihatan kurang daripada 3/60 atau tidak boleh mengira jari yang berada sejauh 3 meter dengan menggunakan alat pembetulan penglihatan terbaik (menggunakan kaca mata).
Penglihatan terhad didefinasikan sebagai ketajaman penglihatan kurang daripada 6/ 18 tetapi sama atau lebih daripada 3/60 (menggunakan kacamata).
Kajian Mata Kebangsaan yang dijalankan di Malaysia pada tahun 1996 menunjukkan prevalen kebutaan adalah 0.29 % manakala penglihatan terhad adalah 2.4 %. Kajian yang sama dijalankan di sebuah kampung pada tahun 1984 dan 10 tahun kemudian menunjukkan terdapat peningkatan dalam masalah penglihatan.
Kajian Mata Kebangsaan tersebut juga menunjukkan prevalen kebutaan dalam kalangan kanak-kanak adalah 0.05 % yang meningkat kepada 4.77 % dalam kalangan warga emas berumur 70 tahun dan ke atas.
Bagi masalah penglihatan terhad, prevalen dikalangan kanak-kanak adalah 0.4 % dan meningkat kepada 30.59 % dikalangan warga emas berumur 70 tahun dan ke atas.
Apakah sebab- sebab masalah penglihatan?
Sebab- sebab masalah penglihatan adalah seperti berikut:
-
Katarak
-
Penyakit Retina
-
Rabun
-
Penyakit Kornea
-
Glaucoma
Mengapa saringan penglihatan penting?
-
Saringan penglihatan adalah penting dilakukan kerana lebih daripada 50% kes yang mengalami masalah buta berpunca daripada penyebab yang boleh dicegah dan dirawat.
-
Lebih daripada 80% orang yang mengalami masalah penglihatan terhad mempunyai penyebab yang boleh dicegah dan dirawat.
-
Katarak dan masalah rabun merupakan penyebab utama kepada masalah penglihatan yang sebenarnya mudah dirawat di Malaysia.
-
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa katarak merupakan penyebab utama kepada masalah penglihatan terhad dan apabila penduduk meningkat usia, kebutaan yang disebabkan oleh age- related macular degeneration turut meningkat dengan ketara.
-
Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga melaporkan bahawa 82% daripada orang buta berada dalam lingkungan umur 50 tahun dan ke atas.
-
Masalah mata akibat diabetes menyebabkan masalah penglihatan terhad kepada 22% pesakit dan buta kepada 9% pesakit.
Apa akan berlaku sekiranya masalah penglihatan tidak dikesan awal melalui saringan penglihatan dan tidak dirawat dengan sepatutnya?
Penglihatan yang sempurna dapat memberikan maklumat mengenai keadaan sekeliling dan persekitaran kita. Oleh itu masalah penglihatan akan memberi kesan terhadap aktiviti kehidupan dan mengakibatkan kebergantungan.
Masalah penglihatan sebelah mata adalah berkaitan dengan isu keselamatan dan kebergantungan. Pesakit akan mengalami masalah menganggar kedalaman, sensitiviti kontra, silau dan koordinasi penglihatan serta pergerakan motor. Ini akan mengakibatkan ketidakseimbangan pergerakan.
Manakala masalah penglihatan kedua-dua belah mata pula adalah berkaitan dengan kebergantungan, isu psikososial dan gangguan aktiviti kehidupan seharian.
Masalah penglihatan adalah berkaitan dengan:
-
Jatuh dan patah tulang.
-
Kemalangan jalanraya
-
Kebergantungan
-
Kemurungan dan keresahan
-
Pengasingan diri
-
Perasaan rendah diri
-
Hilang daya ingatan
Tambahan pula, kebanyakan masalah penglihatan yang dialami oleh warga emas tidak dilaporkan kepada kakitangan kesihatan. Oleh itu saringan penglihatan di kalangan warga emas adalah disarankan.
Rujukan
-
K.Y Loh, J. Ogle Age Related Visual Impairment in Elderly Med J Malaysia Vol 59 No 4 Okt 2004
-
M Zainal, SM Ismail, AR Ropilah, H Elias, G Arumugam, D Alias, J Fathilah Prevalence of blindness and low vision in Malysia population: results from the National Eye Survey 1996 Br J Ophthalmol 2002: 86: 951 – 956
-
Serge Resnikoff, Donatella Pascolini, Daniel Etya’ ale Global data on visual impairment in the year 2002.Policy and Practice. Bulletin of World Health Organization 2004;82: 844 – 851
-
HTV Vu, J.E. Keeffee, C.A. Mc Carty, H R Taylor. Impact of unilateral and bilateral vision loss on quality of life. Br J Ophthalmol. 2005 March; 89(3): 360–363.
Semakan Akhir | : | 03 Oktober 2013 |
Penulis | : | Dr. Radziah binti Abd. Rashid |