A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Keperluan Kesihatan Mental Semasa Infansi

Keperluan kesihatan mental untuk kanak-kanak semasa peringkat bayi merujuk kepada keperluan perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak yang sihat dan perhubungan mereka dengan penjaga terdekat (biasanya ibu bapa) dari lahir sehingga berumur lima tahun.

Apakah keperluan kesihatan mental untuk kanak-kanak peringkat bayi?

Keperluan kesihatan mental untuk kanak-kanak semasa peringkat bayi merujuk kepada keperluan perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak yang sihat dan perhubungan mereka dengan penjaga terdekat (biasanya ibu bapa) dari lahir sehingga berumur lima tahun.

Pertautan emosi dan temperamen adalah binaan asas untuk pembentukan personaliti di kemudian hari. Sejak kecil lagi, pengalaman sosial kanak-kanak bergantung kepada kasih sayang dan jagaan mesra yang diterima daripada ibu bapa atau penjaga. Perhubungan saling percaya-mempercayai dan sifat mengambil berat ibu bapa/penjaga adalah sangat penting untuk kesihatan mental kanak-kanak semasa peringkat bayi.

Kenapa keperluan kesihatan mental untuk kanak-kanak semasa peringkat bayi itu penting?

Ianya penting kerana ia akan mempersiapkan kanak-kanak ke arah kehidupan yang seimbang dari sudut perkembangan sosial dan emosi.

Perkembangan sosial-emosi meliputi kebolehan mengadakan perhubungan sihat dengan orang lain dan memperoleh kefahaman tentang apa yang normal atau tidak normal dan kesedaran tentang peraturan sosial yang perlu dituruti. Pada masa yang sama, kanak-kanak akan belajar tentang emosi mereka sendiri dan memahami emosi orang lain serta belajar mengawal emosi dengan cara yang wajar. Ini akan menghasilkan harga diri yang positif, keyakinan diri dan pengawalan diri yang betul.

Bagaimana keperluan kesihatan mental untuk kanak-kanak semasa peringkat bayi dibina melalui perhubungan?

Perhubungan dalam konteks pemeliharaan dengan penuh kasih sayang memainkan peranan penting dalam kesihatan mental mereka. Apabila kanak-kanak kecil dipelihara dengan mesra dan dengan penuh galakan, mereka akan membesar dengan perasaan selamat dan ini akan membentuk ‘pengkalan selamat’ di mana kanak-kanak mula meneroka dunia mereka dan pada waktu yang sama mereka akan melihat kembali penjaga mereka sebagai jaminan keselamatan dan terus meneroka. Lebih banyak mereka teroka dan mencuba perkara baru, lebih berpengalaman dan berkeyakinanlah mereka.

Apakah tanda perhubungan awal yang tidak sihat?

  • Susah hati, penolakan dan tidak gembira
  • Murung, bermasalah makan dan tidur
  • Masalah tingkah laku seperti bergerak ke depan dan ke belakang untuk cuba menenangkan diri.
  • Mencari perhatian orang seperti meminta pelukan daripada sesiapa yang dapat memberi mereka perhatian.
  • Mudah marah, menjadi agresif dan ganas tanpa sebarang provokasi. Sukar dipujuk.

Apakah tingkah laku yang menunjukkan masalah kesihatan mental?

Kanak-kanak kecil peringkat bayi dan toddler

  • Menunjukan emosi yang mendatar
  • Tidak menunjukkan minat pada apa yang dilihat, didengar dan dirasa
  • Menolak apabila didampingi atau tidak membenarkan diri disentuh atau tidak suka bermain dengan rakan
  • Sukar dipujuk
  • Sukar ditenangkan
  • Ketakutan atau sentiasa berjaga-jaga
  • Tidak memohon pertolongan untuk ditenangkan daripada orang dewasa yang dikenali
  • Menunjukan perubahan tingkah laku yang mendadak

Kanak-kanak prasekolah

  • Tidak bermain dengan kanak-kanak lain atau barang yang disukai
  • Tidak bersuara atau berkomunikasi
  • Selalu bergaduh dengan orang lain
  • Sangat sedih
  • Sangat takut
  • Tindak balas yang tidak wajar terhadap situasi tertentu (sepatutnya menangis, sebaliknya mereka ketawa)
  • Enggan bercampur gaul
  • Terlalu aktif
  • Hilang kemahiran awal (contohnya kemahiran ke ke bilik air, bercakap dan fungsi motor kasar & halus)
  • Perubahan tingkah laku secara tiba-tiba
  • Terdedah kepada kemalangan
  • Mencederakan diri sendiri dan orang lain

Apa yang boleh dilakukan untuk memelihara perkembangan sihat sosial dan emosi kanak-kanak?

  • Pelihara mereka dalam suasana perhubungan yang baik
  • Bergembira dengan senyum dan ketawa
  • Bentuk persekitaran yang saling mempercayai
  • Pelihara mereka dalam persekitaran yang stabil dan konsisten di rumah dan di tempat jagaan kanak-kanak
  • Fahami dan bertindak terhadap tanda-tanda yang ditunjukkan oleh kanak-kanak
  • Sayangi mereka sepenuhnya tanpa syarat.
  • Tenangkan mereka apabila mereka takut, marah dan disakiti.
  • Amalkan rutin harian agar kanak-kanak merasa selamat dan ini akan membantu mereka memahami apa yang diharapkan daripada mereka.
  • Pelajari tahap perkembangan kanak-kanak dan mempunyai ekspektasi yang sewajarnya.
  • Mengambil contoh perhubungan yang baik dan pelajari cara-cara sihat untuk menangani konflik.
  • Kenal pasti tanda awal masalah sosial dan emosi.

(Perhatian: Seorang daripada setiap 10 orang ibu lepas bersalin menghidap penyakit kemurungan lepas bersalin (post-natal depression). Ini adalah sejenis penyakit yang boleh dirawat. Tetapi jika dibiarkan berlarutan akan mengakibatkan seorang ibu tidak mampu memberi kasih-sayang, perhatian dan lain-lain penjagaan yang tersenarai di atas kepada anak kecilnya. Jadi adalah amat PENTING bagi seorang ibu untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan jika mengalami gejala-gejala kemurungan seperti senang marah, hilang minat dan sebagainya demi kesihatan mental anak kecil mereka)

Bagaimana mendapatkan bantuan?

  • Berbincang dengan pakar kanak-kanak, penyedia perkhidmatan jagaan primer dan pakar psikologi klinikal.
  • Berjumpa penyedia perkhidmatan kesihatan mental yang yang mempunyai kepakaran dalam bidang kanak-kanak.

 

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Prof. Madya Dr. Mohd Jamil bin Yaakob
Penyemak : Dr. Eni Rahaiza binti Muhamed Ramli
  : Dr. Nurulwafa binti Hussain

 

Artikel Berkaitan

Kawan Muka Buku

Kawan muka buku ialah seseorang yang ditambah kepada rangkaian anda pada laman web media sosial. Kawan muka buku ini boleh jadi seseorang yang pernah anda jumpa atau berinteraksi atau sebaliknya yang mana dia telah meminta ditambah kepada rangkaian anda atau anda telah mengesahkan dia ditambah kepada rangkaian anda.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia