A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengendalian Kesakitan

Kesakitan akut adalah kesakitan yang berlaku untuk jangka masa kurang dari 30 hari.

Persatuan Kajian Kesakitan Sedunia (The International Association for the Study of Pain (IASP)) mendefinisikan kesakitan sebagai satu pengalaman deria dan emosi yang tidak selesa akibat kerosakan tisu yang sama ada sudah berlaku atau berpotensi untuk berlaku atau seperti diterangkan apabila kerosakan berlaku.

Kesakitan akut adalah kesakitan yang berlaku untuk jangka masa kurang dari 30 hari.

Komplikasi

Kelewatan mendapat rawatan akan memanjangkan penderitaan dan boleh mengakibatkan kerosakan ke tahap yang tidak boleh dirawat. Berikut adalah komplikasi kesakitan akut:

  1. Ganguan fungsi: Warga emas mungkin memerlukan pertolongan dalam mengendalikan aktiviti kehidupan hariannya. Ramai yang tidak dapat bergerak akibat kesakitan.
  • Meracau (delirium): Sebahagian warga emas meracau dan menjadi tidak keruan apabila mereka berada di dalam kesakitan. Ini terutamanya di kalangan yang mempunyai masalah kognitif.
  • Meningkatkan kos rawatan dan pengunaan perkhidmatan kesihatan.

Kesakitan akut yang tidak dirawat akhirnya akan bertukar menjadi kesakitan kronik dan meyebabkan kesakitan psikologikal (psychological pain). Kesakitan psikologikal mengakibatkan kesusahan dan penderitaan berpanjangan. Perubahan emosi tidak menentu  dan mudah resah.  Masalah tidur adalah satu isu yang penting dalam aspek ini. Sesetengah pesakit menjadi terpinggir, kurang bergaul dan akhirnya menjadi murung.

Rawatan

Adalah penting untuk kita faham bahawa proses penilaian untuk masalah kesakitan warga emas bukanlah suatu proses yang mudah. Ada kalanya, punca kesakitan tidak dapat dikenal pasti walaupun selepas penilaian yang teliti disebabkan oleh perkara berikut:

  1. Punca kesakitan yang jarang dijumpai oleh doktor. Oleh itu, lebih masa mungkin diperlukan sebelum punca kesakitan dikenal pasti.
  2. Wujudnya lebih daripada satu penyakit pada seseorang warga emas yang boleh menyebabkan kesakitan.
  3. Gejala sakit yang luar biasa disebabkan oleh kurangnya keupayaaan sensori pesakit, contohnya akibat masalah penglihatan dan pendengaran.
  4. Terdapat halangan budaya di mana pesakit dan penjaga cenderung untuk tidak memaklumkan kesakitan yang dialami dengan tepat.
  5. Kurangnya kebolehan kognitif, contohnya pesakit nyanyuk (dementia) yang tidak mampu menjelaskan keadaan kesakitannya dengan baik.

Penilaian teliti adalah mustahak untuk membolehkan perawat mendapat satu gambaran lengkap kesakitan pesakit di akhir penilaiannya. Ini akan dapat membantu pengendalian kesakitan dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan. Penilaian termasuk:

  1. Jenis kesakitan. Sama ada kesakitan tisu lembut, tulang, saraf, organ dalaman dan sebagainya.
  2. Keterukan kesakitan. Dengan mengunakan skala analog gambaran (visual analog scale) atau carta ekspresi wajah, keterukan kesakitan dapat dicartakan dan digunakan. Kemungkinan punca kesakitan dan akhirnya pilihan rawatan untuk mengurangkan kesakitan dapat dipastikan.
  3. Kesakitan akut akan berhenti apabila kecederaan sembuh atau apabila puncanya dapat dirawat.

Kejayaan rawatan sangat bergantung kepada kejayaan mengubati puncanya dan masalah berkaitan dengannya.

Pendidikan Kesihatan Pesakit Dan Penjaga

Pesakit dan penjaga perlu mendapat pendidikan kesihatan mengenai:

  1. Kaedah mengubah tingkah-laku untuk mengurangkan kesakitan.
  2. Rawatan tanpa ubat seperti rawatan fisio.
  3. Rawatan ubat yang sesuai dengan jenis dan tahap kesakitan.

Doktor akan menimbang risiko kesan sampingan dan manfaat sesuatu ubat sebelum diberikan untuk mengawal kesakitan.

Penting! Kesakitan perlu dinilai dan disemak semula secara berterusan dan berkala semasa rawatan diterima.

Faktor yang menentukan kesesuaian ubat tahan sakit:

  1. Mengambil kira semua masalah perubatan yang dialami.
  2. Interaksi dengan ubat lain yang digunakan untuk merawat masalah perubatan yang sedia ada.
  3. Keserasian ubat dan kos ubat.

Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian semasa doktor anda memberi preskripsi ubat adalah seperti berikut:

  • Ubat mengikut punca kesakitan. Contohnya: COX2 inhibitors untuk serangan gout, kesakitan penularan kanser ke tulang, carbamazepine atau gabapentine untuk sakit saraf seperti trigeminal neuralgia atau kesakitan selepas jangkitan herpes.
  • Ubat yang dipadankan kepada tahap kesakitan. Contoh: ubat penahan sakit yan lebih kuat untuk sakit yang sangat teruk seperti suntikan morfin untuk serangan jantung (acute myocardial infarction).
  • Kekerapan dan jenis ubat penahan sakit: Mengikut nasihat WHO, ubat tahan sakit mestilah diberi melalui mulut secara kerap dan berkala (mengikut jam) dan menggunakan garis panduan Model 3 Mata Tangga WHO (WHO ladder of 3-step) sebagai panduan dalam memadankan ubat penahan sakit yang sesuai dengan tahap kesakitan pesakit. Ubat penahan sakit tambahan yang lain mungkin diperlukan. Contoh ubat tambahan adalah seperti anti kemurungan (anti-depressants), anti sawan (anti-convulsants), pelalian setempat (local anesthetics) dan steroids.
  • Mengikut Model 3 Mata Tangga WHO, pilihan ubat penahan sakit mengikut tahap kesakitan adalah seperti berikut:
    • Ubat paracetemol (dengan atau tanpa ubat tambahan) untuk kesakitan yang ringan.
    • Ubat opiad ringan (dengan atau tanpa ubat tambahan) untuk kesakitan yang sederhana.
    • Ubat opiad kuat seperti morfin (dengan atau tanpa ubat tambahan) untuk kesakitan yang teruk.

Pencegahan

PENDIDIKAN KESIHATAN KEPADA PESAKIT DAN PENJAGA adalah sangat mustahak.

Perkara dibawah mesti dibincangkan bersama doktor anda:

  1. Diagnosis, prognosis, dan sejarah semula jadi penyakit yang dihidapi.
  2. Berkomunikasi dan penerangan mengenai kesakitan dan mekanisme kesakitan selepas penilaian teliti dilakukan ke atas kesakitan yang dialami oleh pesakit.
  3. Penerangan strategi penggunaan ubat.
  4. Pengendalian potensi kesan sampingan ubat.
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Yau Weng Keong
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Punca

Pengenalan Persatuan Kajian Kesakitan Sedunia (The International Association for the

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,617

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia